Sunday, December 18, 2022

Anwar wajar diberi peluang untuk buktikan kemampuan urus ekonomi dan negara


    18/12/2022

SHAH ALAM – Isu sama ada status seseorang ahli Parlimen dari blok penyokong gabungan Kerajaan Perpaduan Malaysia enggan menyokong undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Isnin, terlucut keanggotaannya dalam Parlimen adalah tertakluk kepada Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan adalah pindaan baharu kepada Perlembagaan Persekutuan yang digubal untuk menghalang ahli Parlimen daripada bertukar parti, namun ia tidak menghalang seseorang ahli Parlimen daripada mengundi bertentangan dengan arahan partinya sendiri.

Pakar Perlembagaan dari Universiti Malaysia Pahang, Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain menegaskan, perlucutan keanggotaan seseorang Ahli Dewan Rakyat hanya boleh terjadi apabila syarat yang ditetapkan Perlembagaan dipenuhi.

Berikutan itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, semua kepimpinan parti berkenaan perlu mengambil langkah yang sah menurut undang-undang untuk menguatkuasakan apa yang dihasratkan sesuai perjanjian permuafakatan (MoU) antara gabungan politik dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia pimpinan Anwar, sebelum ini.

Wan Ahmad Fauzi berkata, keputusan politik kepartian tidak mutlak dan dibuat mengikut perkiraan politik, akhirnya semua langkah dan keputusan perlu memenuhi syarat undang-undang untuk membolehkannya di kuatkuasa secara sah.

“Bagaimanapun, secara moralnya ahli Parlimen dari gabungan kerajaan perlu menyokong penuh undi percaya terhadap Anwar kerana keputusan berkenaan sudah diputuskan kepimpinan parti masing-masing.

“Apatah lagi proses ini berlaku untuk memberi keyakinan kepada dunia khususnya pelabur bahawa keadaan Malaysia sudah kembali stabil dan semua pihak kini memasuki mood untuk bekerja

“Jadi tidak wajar banyak andaian dibuat tentang isu yang belum berlaku kerana dalam MoU itu ada kerangka untuk menguruskan perbezaan pandangan,” katanya kepada wartawan Sinar Premium.

Wan Ahmad Fauzi berkata demikian ketika mengulas dakwaan bahawa semua ahli Parlimen parti gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan Malaysia, yang tidak menyokong Perdana Menteri dalam apa-apa usul berkait usul percaya, pembekalan, atau apa-apa usul berbentuk prosedur, perlu mengosongkan kerusinya serta-merta.

Perkara itu adalah kandungan dokumen perjanjian persefahaman kerajaan yang ditandatangani ketua parti terlibat, baru-baru ini.

Dokumen itu, juga menyatakan bahawa parti dan pihak berkenaan hendaklah mengundi untuk menyokong Perdana Menteri dalam usul-usul berkait dengan usul percaya, perbekalan dan/atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Justeru itu, Wan Ahmad Fauzi juga berharap semua ahli Parlimen termasuk blok pembangkang wajar menyokong penuh undi percaya yang bakal dibentangkan terhadap Perdana Menteri, di Dewan Rakyat, pada Isnin ini.

Beliau berkata, semua ahli Parlimen termasuk wakil pembangkang perlu menyokong Anwar semasa undi percaya bagi membolehkan Perdana Menteri melaksanakan tugasnya dan tanggungjawabnya memulihkan ekonomi negara secepat mungkin.
Wan Ahmad Fauzi
“Semua pihak termasuk pihak pembangkang perlu memberi peluang kepada Anwar memimpin Jemaah Menteri, sebagai mana yang berlaku semasa kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini turut bergantung kepada titah nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk menenangkan polemik kepartian suatu masa dulu.

“Komitmen Perdana Menteri, untuk memimpin pentadbiran kerajaan Malaysia berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan khususnya dalam mempertahankan elemen watan yang menjadi struktur asas kepada Perlembagaan perlu disambut baik dan diberikan ruang sewajarnya

“Proses yang berlaku pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memperlihatkan usaha pengukuhan kerajaan perpaduan, Parlimen dipanggil bersidang dalam tempoh dua bulan dan usaha Perdana Menteri menunjukkan beliau mempunyai undi kepercayaan majoriti adalah langkah berwibawa bagi mengharungi cabaran ekonomi global yang mendatang,” katanya.

INFO:

Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan:


– Meliputi dua bahagian iaitu Perkara 49A (1) dan Perkara 49A (2).

Fasal 1 Perkara 49A memperuntukkan bahawa seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat itu dan kerusinya hendaklah menjadi kosong jika mereka melakukan perkara berikut:

a) setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik, dia melepaskan keanggotaan sebagai, atau tidak lagi menjadi anggota parti politik itu; atau

b) setelah dipilih ke Dewan Rakyat bukan sebagai anggota sebuah parti politik (iaitu, calon bebas), dia menyertai parti politik sebagai ahli.

Fasal 2 Perkara 49A menyatakan tiga pengecualian di mana keahlian seseorang ahli parlimen dalam Dewan Rakyat itu tidak terhenti hanya disebabkan oleh:

a) pembubaran atau pembatalan pendaftaran parti politiknya.

b) pelepasan keanggotaan ahli parlimen itu daripada parti politiknya apabila dia dipilih sebagai Yang di-Pertua Dewan.

c) pemecatannya daripada keanggotaan dalam parti politiknya.

– Ini menjelaskan bahawa kehilangan kelayakan tidak terpakai melainkan jika seseorang ahli secara sukarela melepaskan keanggotaannya atau berhenti menjadi ahli parti politik tersebut. Sekiranya seorang ahli dipecat daripada parti politiknya, dia tidak mengosongkan kerusinya.
mykmu.net

Ramai ahli UMNO nyata minat sertai Pas

satuberita my
By Admin
-December 18, 2022

PAS Negeri Sembilan menjangkakan lebih ramai ahli UMNO di negeri itu akan menyertai parti tersebut pada masa hadapan.

Pesuruhjayanya, Rafiei Mustapha berkata, ini terbukti apabila Pas menerima kemasukan lebih daripada 3,000 ahli baharu di seluruh negeri dalam masa dua bulan.

Selain itu, katanya lagi, beberapa kepimpinan UMNO peringkat cawangan di Kuala Pilah turut menyatakan hasrat untuk bersama Pas.

“Buat masa ini saya tidak mahu dedahkan siapa. Tapi itu menunjukkan ahli UMNO ada hasrat sertai Pas disebabkan situasi yang berlaku kepada UMNO sekarang,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.

Rafiei bagaimanapun menafikan Pas mahu mengambil kesempatan di atas permasalahan yang berlaku di dalam UMNO.

Sebaliknya kata beliau, parti itu sentiasa mengalu-alukan sesiapa saja yang berhasrat menyertai Pas.

Dalam perkembangan lain, sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri(PRN), pihaknya bercadang mengadakan program jelajah di setiap daerah dalam usaha menarik lebih ramai kemasukan ahli baharu.

PM akan bentang bajet mini RM55.96 bilion untuk belanja kerajaan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Dec 18, 2022 9:43 PM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijangka memperuntukkan RM55.96 bilion untuk "belanjawan mini" sementara Putrajaya pada ketika pentadbirannya menyusun bajet baru bagi 2023.

Anwar yang juga menteri kewangan sebelum ini berkata belanjawan mini itu akan digunakan terutamanya untuk membayar emolumen penjawat awam bagi memastikan kerajaan terus beroperasi.

Belanjawan mini berada dalam turutan perkara kesembilan pada kertas aturan Dewan Rakyat untuk prosiding esok, menunjukkan kemungkinan besar ia akan dibentangkan di parlimen pada Selasa.

Berdasarkan kertas aturan itu, belanjawan mini akan dibiayai daripada kumpulan wang pembangunan negara mengikut Seksyen 4 Akta Kumpulan Wang Pembangunan.

Kertas aturan mesyuarat Dewan Rakyat tidak menyatakan subseksyen mana yang akan digunakan, tetapi ia berkemungkinan Seksyen 4(2)(a) yang membenarkan belanjawan tambahan untuk perbelanjaan tidak dirancang dibentangkan.

Belanjawan 2023 telah dibentangkan oleh kerajaan pada Oktober - dengan peruntukan RM90.76 bilion untuk emolumen.

Bagaimanapun, parlimen telah dibubarkan sebelum Belanjawan 2023 dapat diluluskan.

Bajet baru hanya dijangka tahun depan - justeru keperluan pembiayaan sementara ini untuk memastikan kelancaran pentadbiran di Putrajaya.

Sementara itu, untuk mengimbangi aliran keluar Dana Pembangunan, Anwar juga dijadualkan memindahkan RM35.05 bilion daripada dana yang diperoleh oleh terbitan sukuk kerajaan dan bil perbendaharaan ke dalam kumpulan wang itu.

Ini termasuk RM3.21 bilion baki hasil daripada Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB).

Sebanyak RM31.83 bilion lagi yang disalurkan ke dalam Dana Pembangunan akan datang daripada baki hasil daripada Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII).

Secara berasingan, Anwar akan memindahkan RM16.2 bilion daripada hasil MGII ke dalam dana Covid-19.

Parlimen akan bersidang buat pertama kali selepas pilihan raya umum ke-15 esok, bermula dengan pemilihan speaker Dewan Rakyat baru dan majlis ahli parlimen mengangkat sumpah.

Ahli parlimen kemudiannya akan memilih timbalan speaker, sebelum meneruskan undi percaya terhadap Anwar.

Usul undi percaya itu akan dibentangkan oleh salah seorang daripada dua timbalan perdana menteri.

Tiada langkah Tropicana, PN sedia jadi pembangkang sepenggal

ismaweb.net
Athirah Huda Zalhe

PM, Kabinet sudah angkat sumpah, perlu bekerja demi rakyat


BANGI, 23 Jamadilawal 1444H, Ahad – Perikatan Nasional (PN) menerima hakikat dan bersedia menjadi pembangkang untuk tempoh sepenggal di Dewan Rakyat.

Justeru, dakwaan kononnya wujud langkah Tropicana bagi menjatuhkan kerajaan campuran yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan berlaku.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, parti itu akan terus menjadi semak dan imbang yang terbaik kepada kerajaan hari ini.

“Tak ada. (langkah Tropicana). Saya tak nak kata ia tak mungkin berlaku.

“Saya bukan manusia sempurna yang boleh melihat masa depan,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Sebelum ini, khabar angin mengenai Langkah Tropicana timbul kerana dikatakan ia cubaan untuk menukar keputusan sedia ada pada 19 Disember.

Ini kerana, sidang Dewan Rakyat esok akan membentangkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri bagi membuktikan keabsahan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat terhadap Anwar, sekali gus memperkukuh kestabilan Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Agenda itu susulan daripada kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini meminta Anwar membuktikan sama ada beliau mempunyai sokongan majoriti.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, Anwar dan barisan Kabinet sudah mengangkat sumpah serta harus menjalankan kerja demi kepentingan rakyat.

“Sekiranya semua berjalan dengan baik rakyat boleh memberi sokongan dan hidup dengan senang, tiada masalah, kerajaan patut diberikan peluang,” katanya.

Beliau menegaskan PN akan terus memantau setiap perjalanan yang dibuat kerajaan.

“Kita nampak sekarang ini terlalu banyak sangat nak usik penjawat-penjawat awam, tapi kalau lebih kepada temolok mereka, kita akan persoalkan.

“Rakyat hari ini bukan calang-calang dan kita akan terus bersuara jika ada yang tidak kena,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Lantikan semula Pengerusi FELCRA: Anwar perlu kekalkan prinsip

bharian.com.my
Oleh Noor Atiqah Sulaiman 
nooratiqah.sulaiman@bh.com.my
- Disember 18, 2022 @ 4:57pm
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap kekal dengan prinsipnya untuk tidak melantik orang politik dalam syarikat milik kerajaan.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, berkata Anwar perlu menggunakan peluang sebagai ketua kerajaan sebaiknya dan menentang isu yang melanggar prinsipnya.

"Pasti ada pelbagai onak dan duri yang perlu beliau lalui namun rakyat tetap mahu beliau meneruskan reformasi yang dijanjikan ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) serta ketika mengetuai barisan pembangkang.

"Sebagai ketua, kuasa di tangan beliau dan ia perlu digunakan sebaiknya," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuat pelantikan semula Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Pengerusi FELCRA.

Ahmad Zahid yang memaklumkan mengenai perkara itu ketika Majlis Sambutan 40 Tahun serta Mesyuarat Agung Perwakilan Kali ke-40 koperasi berkenaan semalam berkata, pelantikan semula itu dibuat selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Berhad.

Katanya, biarpun Kabinet memutuskan supaya semua jawatan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditamatkan, atas kehendak ahli koperasi itu, pertimbangan bagi lantikan semula itu diberikan.

Malah, Ahmad Zahid juga mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Ramlan Harun untuk mengeluarkan surat pelantikan semula secepat mungkin, tertakluk kepada persetujuan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

"Menteri sudah bersetuju atas arahan Timbalan Perdana Menteri. Tidak mustahilah Datuk KSU segera menyempurnakan lantikan semula itu," kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Ahli Parlimen bebas mengundi kecuali berkait keabsahan kerajaan, kata Rafizi mengenai MoU

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-December 18, 2022 1:10 PM
Rafizi Ramli, menyifatkan MoU Perjanjian Persefahaman Kerjasama sebagai ‘lebih demokratik’ berbanding pemerintahan sebelum itu, termasuk pentadbiran PN.

PETALING JAYA: Semua Ahli Parlimen dari parti menyokong kerajaan perpaduan bebas mengundi berdasarkan pandangan masing-masing, kecuali dalam perkara berkaitan keabsahan kerajaan, tegas Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Beliau yang juga menteri ekonomi, berkata antara undian berkait keabsahan kerajaan termasuk usul undi percaya terhadap perdana menteri dan undian perbekalan.

“Sebenarnya 148 Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan perpaduan Malaysia ini adalah bebas untuk mengundi mengikut kepakaran dan pandangan sendiri.

“Kecuali dalam perkara berkaitan keabsahan kerajaan seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Malaysia dan Akta Lompat-Parti. Itu memang undang-undang pun. Dan itu tidak tertakluk dalam fasa empat dalam perjanjian ini,” katanya menerusi rakaman video di Tiktok.

Tambahnya, perjanjian dimeterai itu jauh lebih demokratik berbanding pemerintahan sebelum itu, termasuk ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.

“Ketika Muhyiddin pimpin dahulu, apabila nampak dia sudah hilang majoriti dia menggunakan kuasa darurat untuk memerintah tanpa cuba untuk mengesahkan sokongan majoriti di Parlimen pun.

“Agak lawak satu reaksinya daripada pertikaian PN kononnya perjanjian yang dimeterai suatu langkah ke arah kewujudan ‘diktator’ di bawah pemerintahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” katanya.

Semalam, bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (parlimen dan undang-undang), Mas Ermieyati Samsudin, mengecam memorandum persefahaman (MoU) Perjanjian Persefahaman Kerjasama menyokong kerajaan perpaduan diterajui Anwar.

Beliau menyifatkannya sebagai satu permulaan kepada pemerintahan ‘ala diktator’.

Tambahnya, Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan mutlak kepada mana-mana Ahli Parlimen yang telah dipilih untuk mengundi sebagaimana dirasakan betul demi kepentingan pengundi.

Selain Anwar, MoU semalam itu turut ditandatangani Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor dan Presiden Warisan Shafie Apdal. Ia juga ditandatangani oleh setiausaha agung parti masing-masing.

‘Bersatu sudah ganti UMNO’

agendaily.com
18/12/2022
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Dengan jumlah 31 kerusi yang dimenangi Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November 2022 lalu, memperlihatkan bahawa parti itu kini lebih besar daripada UMNO yang hanya memperoleh 26 kerusi, sekali gus menunjukkan ia mewakili suara bangsa Melayu.

Oleh itu, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berpendapat parti itu mempunyai hak untuk bercakap berkenaan agenda Bumiputera, integriti, kerajaan bersih dan kemajuan orang Melayu-Islam, berbanding UMNO yang kini telah hilang legitimasi.

“Parti yang ada hak untuk bercakap tentang agenda Bumiputera, dipercayai oleh rakyat bagi membawa agenda integriti, kerajaan bersih, kemajuan Bumiputera orang Melayu-Islam adalah Bersatu.

“UMNO telah hilang legitimasi. Ditambah lagi bersekongkol dengan Pakatan Harapan (PH), dengan DAP sebuah parti yang kita tahu amat berbeza daripada apa yang dipegang oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Saya tak tahu mana orang UMNO nak letak muka, terutama di sebelah Pulau Pinang.

“Bagi saya kalau sekiranya ada lagi mereka yang bersemangat untuk mempertahankan agenda Bumiputera, integriti, politik baru untuk orang Melayu, maka sebenarnya tempat untuk mereka dalam Bersatu, bukan dalam UMNO lagi,” katanya dalam wawancara eksklusif dengan Sinar.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor mengulangi pendapat bahawa hakikatnya sekarang ini Bersatu adalah lebih besar daripada UMNO dan BN secara keseluruhannya.

Menjawab soalan beliau berkata: “Saya rasa kita telah menggantikan UMNO pada hari ini di mata orang Melayu.”

Mengulas kejayaan Perikatan Nasional dalam PRU-15 lalu, Wan Saiful berkata semua pihak tidak boleh menafikan keinginan rakyat kepada sebuah kerajaan prihatin, bersih dan berintegriti.

“Sebab itu bagi saya, pandangan yang mengatakan bahawa kita menyaksikan gelombang hijau dan gelombang politik Islam adalah pendapat yang dicipta oleh musuh Perikatan Nasional untuk menakutkan rakyat seolah-olah gabungan ini ada satu kelompok sahaja menyokongnya.

“Tidak logik kalau kita nak kata bahawa hanya orang Islam sahaja menyokong Perikatan. Di Tasek Gelugor sendiri, pengundi Cina dan India mengundi Perikatan Nasional.

“Jadi, kalau nak kata ini gelombang Islam atau gelombang Melayu, bagaimana kita nak rasionalkan sokongan yang kita dapat daripada pengundi bukan Melayu dan bukan Islam.

“Bagi saya, ini adalah satu gelombang masyarakat yang mahukan integriti, pembaharuan, kerajaan yang bersih dan menolak amalan salah guna kuasa,” katanya.

Johari kosongkan kerusi DUN Gurun, mahu jadi Speaker Parlimen?

agendaily.com
81/12/2022
Sidang Dewan Rakyat.

Datuk Johari Abdul mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Johari yang juga Ketua Pembangkang itu membuat keputusan mengosongkan kerusi Gurun tersebut walaupun penggal DUN masih belum berakhir dan spekulasi kuat mengatakan beliau bakal dilantik sebagai Speaker Parlimen pada 19 Disember nanti.

Menerusi satu klip video berdurasi kira-kira dua minit yang diterima Utusan Malaysia pada pukul 2.44 pagi tadi, Johari memaklumkan keputusannya itu telah dimaklumkan kepada Speaker DUN, Datuk Juhari Bulat.

Katanya, pemakluman tersebut telah dibuat menerima sepucuk surat yang disahkan diterima Juhari pada 13 Disember lalu.

“Dalam surat itu saya memaklumkan kepada Speaker bahawa saya mengosongkan kerusi DUN Gurun yang diwakili berkuatkuasa serta-merta.

“Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Speaker yang telah memberi ruang kepada saya untuk mengambil bahagian secara aktif dalam DUN Kedah,” katanya menerusi video berkenaan

Bagaimanapun Johari yang juga bekas Ahli Parlimen Sungai Petani tidak langsung memaklumkan mengenai punca keputusan itu diambil.

Sebelum ini, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah mengesahkan yang beliau menjadi pilihan PH bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Johari turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Gurun dan pengundinya di kawasan DUN tersebut.

“Anda telah memberikan kerjasama luar biasa dan kepercayaan kepada saya dalam menjalankan tugas sebagai ADUN Gurun.

“Insya-Allah kita akan berjumpa lagi dan saya yakin hubungan baik ini akan berkekalan dalam memakmurkan serta membangunkan Kedah,” katanya lagi.

UMNO kini penuh kebatilan, ketua Pemuda, 50 akar umbi sertai PAS

agendaily.com
18/12/2022
Zool Amali Hussin mewakili 50 ahli UMNO bahagian Seremban menyerahkan borang menyertai PAS kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha di Kampung Rawa, Lenggeng, semalam (17 Disember 2022). - Gambar FB

Berasa ditipu hidup-hidup menyebabkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban Zool Amali Hussin meninggalkan parti itu dan menyertai PAS bersama 50 ahli jawatankuasanya serta akar umbi kawasan Lenggeng.

Melihat UMNO kini sudah lari daripada perjuangan sebenar beliau mengumumkan akan berjuang bersama PAS sambil menjangkakan lebih ramai ahli parti itu yang akan mengikut jejak langkah beliau selepas ini.

Menurut Zool Amali, 40, bukan mudah untuknya membuat keputusan itu tetapi beliau perlu berhijrah selain sudah hilang kepercayaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Sebenarnya orang UMNO telah ditipu. Sampai bila kita nak diperkudakan oleh kepimpinan di atas semata-mata untuk kepentingan sendiri.

“Bagi saya dah tak berguna lagi kerana telah bersuara di peringkat cawangan dan telah dibawa ke bahagian sebelum diangkat dalam PAU tetapi akhirnya yang membuat keputusan adalah Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Jadi di mana suara akar umbi ini? Cukuplah kita ditipu hidup-hidup,” katanya selepas majlis penyerahan borang keahlian kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha di Kampung Rawa, Lenggeng, semalam (17 Disember 2022).

Beliau turut menyerahkan 50 borang kemasukan ahli UMNO dari kawasan Lenggeng ke dalam PAS.

Katanya UMNO secara dasarnya telah mencabuli hak ahli-ahlinya dan ramai sedih serta kecewa dengan keputusan pemimpinnya membawa parti itu menyertai Pakatan Harapan (PH) tanpa menghormati keputusan yang dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

Biarpun ada yang memintanya menunggu sehingga PAU 2022 tahun hadapan untuk bersuara menyatakan kekecewaan kepada parti, beliau bagaimanapun enggan menunggu lebih lama untuk meninggalkan UMNO.

Turut menyertai PAS termasuk penyanyi terkenal era 80-an, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Dayangku Intan.

Zool Amali, berkata keputusannya menyertai parti itu sudah dibincangkan dalam kalangan ahli jawatankuasa Pemuda UMNO bahagian serta ahli di peringkat cawangan.

“Saya rasa sudah tidak sesuai lagi untuk berada dalam parti yang penuh dengan kebatilan ini, lari daripada prinsip asas perjuangan parti dan tindakan pemimpin UMNO yang cuba mempermainkan suara ahli akar umbi.

“Kami hilang kepercayaan terhadap Presiden UMNO kerana segala tindakan yang beliau buat lari daripada keputusan yang dibuat dalam PAU.

“Ahli akar umbi rasa sedih dan kecewa dengan tindakan dilakukan kepemimpinan tertinggi parti. Jadi sampai bila ahli bawah ini hendak diperkudakan sedemikian rupa,” katanya.

Zool Amali yang sinomin dengan panggilan Jebat berkata, tindakannya menyertai PAS bukan hendak mengejar apa-apa jawatan, sebaliknya dibuat dengan ikhlas kerana berasakan UMNO sudah jauh daripada perjuangan asal.

“Tiada mana-mana pihak yang memaksa saya masuk PAS tetapi dengan kerelaan sendiri. Saya tak kisah hilang jawatan kerana berasakan UMNO tidak lagi sesuai,” katanya.

Sementara itu, Dayangku Intan yang keluar PKR pada 2020 berkata, beliau mahu meneruskan perjuangan dalam PAS kerana berpendapat parti itu lebih memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat.

Dalam pada itu, Rafiei berpandangan, kehadiran Zool Amali akan dapat menguatkan lagi PAS di negeri ini khususnya di kawasan Seremban terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Apabila ada kemasukan Zool Amali dan rakan-rakan lain untuk bersama dengan PAS, pastinya akan memberi kekuatan kepada parti dalam usaha untuk memenangkan PAS pada PRN nanti, katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-