Showing posts with label Ahli Parlimen UMNO. Show all posts
Showing posts with label Ahli Parlimen UMNO. Show all posts

Sunday, July 25, 2021

Tentukan nak duduk sebelah mana, kata Zaid kepada Ahli Parlimen Umno

freemalaysiatoday.com
Nicholas Chung
-July 25, 2021 11:00 AM

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim menyifatkan ia tidak masuk akal jika Umno mendakwa tidak lagi menyokong perdana menteri tetapi masih bersama kerajaan.

PETALING JAYA: Zaid Ibrahim mencabar Ahli Parlimen Umno memutuskan sama ada mereka akan terus menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan duduk di barisan kerajaan dalam sidang khas Parlimen esok.

Bekas menteri undang-undang itu menyifatkan ia tidak masuk akal jika Umno mendakwa tidak lagi menyokong perdana menteri tetapi masih bersama kerajaan.

Beliau turut mendesak semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang supaya berhenti memikirkan soal kepentingan politik masing-masing tetapi nyatakan pendirian sama ada ingin menyokong kerajaan atau pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim.

“Sudah tentu, ramai Ahli Parlimen yang mengkritik perdana menteri dan kerajaan tetapi mereka tidak semestinya bersama pembangkang. Dalam sistem kita, tidak menyokong perdana menteri bermaksud tidak menyokong kerajaan.

“Sebaliknya, disebabkan mereka duduk di kerusi barisan kerajaan, kita boleh katakan mereka sebahagian daripada kerajaan, walaupun menyerang perdana menteri,” katanya.

“Rakyat hanya ingin tahu perkara sebenar, jangan ada lagi lakonan untuk mereka. Mereka juga tidak perlu akuan bersumpah (SD) atau hadapi pendirian berubah-ubah yang hanya lebih mengelirukan,” katanya kepada FMT.

Zaid berkata rakyat mahu tahu siapa Ahli Parlimen yang memiliki “ketertiban dan keberanian” untuk melakukan perubahan terhadap kerajaan dan menunjukkan pendirian sebenar mereka.

Beliau juga menggesa Muhyiddin berpegang kepada kata-katanya yang diucapkan ketika pelancaran mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada 2020 apabila dia mahukan demokrasi berparlimen untuk Malaysia.

“Jika begitu, benarkan supaya usul pemimpin pembangkang dapat dibahaskan dan diundi oleh Ahli Parlimen. Jika usul itu gagal, ia membuktikan anda mempunyai majoriti dan boleh teruskan memerintah.

“Dengan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalan anda, tidak mungkin pembangkang dapat mengumpulkan cukup kerusi di Parlimen untuk mengundi anda keluar. Mari jadikan sidang Parlimen minggu depan sebagai persidangan yang penuh bermakna.”

Zaid turut mempersoalkan mengapa Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menolak usul Anwar untuk membahaskan ordinan darurat dan adakah ia disebabkan kebimbangan sama ada Muhyiddin kehilangan sokongan besar Ahli Parlimen.

“Saya ingin percaya bahawa Peguam Negara betul ketika berkata tidak ada fakta menunjukkan perdana menteri kehilangan sokongan majoriti. Saya juga ingin percaya kenyataan Zuraida Kamaruddin bahawa perdana menteri mempunyai sokongan lebih daripada mencukupi untuk menang undi tidak percaya.

“Tetapi tingkah laku speaker menyatakan sebaliknya. Mengapa timbulkan kesilapan teknikal usul yang diberikan oleh pemimpin pembangkang hingga boleh menolak permintaan supaya usul ordinan darurat itu dapat dibahas?

“Mengapa tidak perbetulkan kesilapan itu dan membenarkan usul dibentang dalam Dewan dan membuat pengundian?

“Ini adalah masanya untuk kembali kepada kerajaan yang berfungsi sebaiknya dan hilangkan rasa curiga sama ada perdana menteri mempunyai sokongan majoriti,” katanya.

Pada 12 Julai, Anwar menghantar satu usul untuk dibahaskan dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang dan bukannya menumpukan terhadap pembentangan berkaitan urusan kerajaan.

Namun semalam Azhar berkata beliau menolak usul presiden PKR itu kerana ia dihantar terlalu awal apabila difailkan tiga hari sebelum notis sidang khas Parlimen dikeluarkan.

“Aturan Mesyuarat 11(3) secara jelas menyatakan urusan sesi sidang khas harus diputuskan oleh perdana menteri. Dalam perkara ini, usul anda tidak diambil kira di bawah perkara sidang khas yang mana ia telah diputuskan,” kata Azhar kepada Anwar dalam jawapan bertulis.

Saturday, December 15, 2018

Lompat parti, Umno semakin goyah?

Published on December 15, 2018
 in Politik by webadmin


SHAH ALAM – Bilangan Ahli Parlimen Umno yang keluar meninggalkan parti itu semakin bertambah dan timbul persoalan jika situasi ini berterusan adakah Umno akan terbubar.

Penganalisis Politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, sebenarnya masih terlalu awal untuk mengatakan Umno akan terbubar.

Menurutnya, Umno sebuah parti yang matang dan perlu diakui bahawa parti orang Melayu ini masih mempunyai pemimpin yang berwibawa serta ahli yang setia.

“Mereka ini lah yang akan terus berjuang dengan Umno, tidak akan membiarkan sewenang-wenangnya Umno musnah atau terbubar begitu sahaja.

“Namun tidak dinafikan dengan situasi sekarang ini, Umno memang terjejas, lemah dan goyah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Mohd Azizuddin berkata, Umno perlu perkukuhkan semula pasukannya, nyatakan dengan jelas hala tuju sebenar mereka kepada ahli dan akar umbi.

“Kepimpinan Umno sekarang ini juga jelas sedang menghadapi banyak masalah, dan itu sedikit sebanyak mengganggu fokus mereka terhadap usaha memulihkan Umno.

“Terutamanya presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang mana beliau turut menerima tekanan daripada ahli agar berundur kerana dikatakan gagal menyatukan ahli Umno dalam satu pasukan selain menghadapi pertuduhan mahkamah,” katanya.

Mohd Azizuddin berkata, jika pemimpin Umno benar-benar memainkan peranan mereka hari ini, Umno mampu bangkit.

“Tapi ia akan mengambil masa yang agak panjang ditambah jika semakin ramai yang keluar (parti), masalah Umno akan semakin besar dan saya tidak tolak kemungkinan ada lagi Ahli Parlimen Umno yang akan mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Tanah Merah dan juga rakan-rakan mereka di Sabah.

“Itu realiti politik, jika mereka kehilangan kuasa, maka banyak masalah akan dihadapi,” katanya.

Mohd Azizuddin memberitahu, Umno masih ada peluang untuk kembali menjadi kerajaan lima tahun akan datang.

“Untuk memastikan itu berlaku, mereka perlu ada perancangan tersusun dan strategi yang tepat.

“Situasi seperti itu (parti yang kalah bangkit kembali menjadi kerajaan) juga pernah berlaku pada negara-negara yang mengamalkan sistem yang hampir sama dengan Malaysia antaranya Australia, dan New Zealand, Jepun dan India.

“Malah, sebenarnya situasi itu juga pernah berlaku di negara kita seperti di Kedah, dahulu diperintah oleh BN, kemudian Pas ambil alih, BN ambil alih lagi dan sekarang diperintah oleh PH, begitu juga dengan Perak,” katanya.

Mohd Azizuddin menambah, dalam masa yang sama untuk Umno kembali menjadi kerajaan, parti pemerintah sekarang ini perlu dilihat oleh rakyat sebagai kerajaan yang gagal.

“Contoh, mereka gagal dan tidak mampu mentadbir negara dengan baik, berlaku krisis dan pergolakan sesama parti komponen dan sebagainya.

“Dalam PRU rakyat akan memilih dan menilai, rakyat sekali lagi akan menggunakan kuasa mereka untuk mengangkat mana parti yang mereka yakin mampu mentadbir negara dengan baik,” katanya lagi.

Source: SH Politik

Monday, October 29, 2018

A. Kadir Jasin beri gambaran impian Anwar berakhir?


Adakah dakwaan kononnya 40 lagi Ahli Parlimen UMNO bakal menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan isyarat berakhirnya impian Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri?

Sekiranya mengikut pandangan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, begitulah jangkaannya.

Ahli Parlimen Ketereh itu menerusi hantaran dalam akaun Twitter beliau percaya kenyataan dibuat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin itu memberi gambaran karier politik Anwar menuju pengakhirannya.

“Kenyataan terbaru sahabat saya DAKJ (A. Kadir) adalah bertujuan memberi isyarat kepada DSAI (Anwar) bahawa dengan ini, anggaplah `Game Over’ (tamat permainan) untuk Anwar,” kata beliau.

Semalam, A. Kadir memberitahu media bahawa kira-kira 40 Ahli Parlimen UMNO akan mengikut jejak langkah Datuk Seri Mustapa Mohamed dengan keluar parti dan menyertai Bersatu.

Annuar dalam hantaran beliau di laman sosial itu juga turut mengusik Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sama ada `kegembiraan’ Timbalan Presiden PKR itu melihat penyertaan Mustapa ke dalam Bersatu adalah isyarat akan mengikut jejak langkah bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu.

Lebih-lebih lagi, kata Annuar, sekiranya Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR kepada Rafizi Ramli.

“MM (Mustapa) masuk Bersatu, AA (Azmin) pula yang gembira, pelikkan? Apakah Azmin juga merancang mahu sertai Bersatu kalau tewas kepada RR (Rafizi)? Menarik!” sindir beliau.

 – UTUSAN ONLINE

Saturday, October 27, 2018

40 Ahli Parlimen UMNO timbang lompat parti

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk A Kadir Jasin. - Arkib NSTP

JOHOR BAHRU: Seramai 40 Ahli Parlimen UMNO dipercayai akan meninggalkan parti itu bagi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak lama lagi.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk A Kadir Jasin, berkata pihaknya tidak menafikan ada antara mereka mempunyai isu atau terdedah untuk disiasat.

Beliau berkata, hasrat untuk menyertai BERSATU tidak seharusnya menjadi langkah untuk mereka menyelamatkan diri kerana semua pihak perlu mematuhi undang-undang.

“Posisi mereka dalam UMNO yang berpotensi menyertai BERSATU bukanlah sama seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed yang memegang kedudukan penting dalam parti dan kerajaan.

“Sesiapa saja yang ingin menyertai BERSATU terikat kepada syarat dan tiada keistimewaan diberikan.

“BERSATU juga tidak menjanjikan jawatan khas kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perwakilan BERSATU Bahagian Tebrau di Bricks Cafe Kampung Maju Jaya, Skudai, di sini, hari ini.

Kadir yang juga Penasihat Media dan Komunikasi Pejabat Perdana Menteri, berkata, semua 40 Ahli Parlimen itu kini membuat pertimbangan dengan teliti untuk menyertai BERSATU.

“Ahli Parlimen UMNO masih berfikir lagi, apa akan berlaku selepas itu (selepas sertai BERSATU).

“Seperti biasa mereka perlu keluar parti dan menjadi Ahli Parlimen Bebas sebelum menyertai BERSATU,” katanya.

Pada masa sama, Kadir berkata, pihaknya mengingatkan semua ahli BERSATU supaya tidak dijangkiti penyakit sama seperti UMNO.

“Mereka perlu berjuang dengan ikhlas dan berdedikasi tanpa memiliki tabiat seperti ahli parti itu (UMNO).

“Penyakit berkenaan menjejaskan UMNO sebelum ini dan ia juga boleh menjejaskan BERSATU sekiranya diamalkan.

“Semua ahli BERSATU adalah sama rata dan bertugas secara ikhlas adalah penting,” katanya.

Monday, July 16, 2018

KJ, Anifah perlu jawab

JANATUL FIRDAUS YAACOB
16 JULAI 2018

Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR - Bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mendesak Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Datuk Seri Anifah Aman menjelaskan tindakan mereka kekal di dalam Dewan Rakyat pada kepada parti.

Najib berkata, tindakan KJ dan Anifah yang tidak selari dengan pimpinan Umno lain harus diberikan penjelasan.

"Tindakan KJ dan Anifah yang enggan keluar dewan bersama Ahli Parlimen Umno yang lain akan diputuskan oleh oleh parti.

[ ARTIKLE BERKAITAN: Khairy, Mas Ermieyati, Anifah tak berganjak ]

"Biar Umno yang putuskan tindakan terhadap mereka berdua, walau apa pun keputusannya KJ dan Anifah perlu jelaskan kepada parti sebab mengapa mereka bertindak sedemikian," katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen.

Hari ini, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman menjadi dua ahli parlimen pembangkang yang kekal di dalam Dewan Rakyat apabila kesemua Ahli Parlimen BN yang lain keluar dewan bersama Ahli Parlimen Pas sebagai tanda protes proses pelantikan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Mereka berdua tidak mengendahkan desakan pemimpin Umno lain yang keluar Dewan Rakyat.

Friday, January 22, 2016

Tukar Mukhriz, Najib minta lebih masa

Najib dikatakan ketika mengakhiri ucapannya kata sumber memberi nasihat kepada kepimpinan parti supaya tidak mementingkan diri sendiri. Foto fail TRP

KUALA LUMPUR, 22 Januari:
Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak meminta lebih masa bagi menyelesaikan krisis politik kepimpinan Umno di Kedah, kata sumber.

Menurut sumber, perkara itu dinyatakan Najib dalam pertemuan dengan Ketua-ketua Bahagian, Ketua-ketua sayap, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli Parlimen Umno negeri itu di PWTC pada Jumaat.

“PM faham dan terima desakan yang dibuat oleh Umno Kedah tetapi presiden minta masa untuk buat keputusan.

“Kata PM, beliau kena teliti dulu prosedur-prosedur yang ada dan menyemak undang-undang,” kata sumber sambil tambah Najib berjanji akan buat keputusan dalam masa terdekat.

Politik Kedah bergolak apabila Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah baru-baru ini mengadakan sidang media menolak kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar.

Ahmad Bashah ketika mengadakan sidang media sebelum ini mendesak Najib melakukan rombakan terhadap kepimpinan parti di Kedah.

Menurut sumber, Ahmad Bashah memaklumkan kepada Najib bahawa keputusan untuk menukar Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah adalah keputusan sebulat suara perhubungan.

Bagaimanapun, Najib ketika mengakhiri ucapannya kata sumber memberi nasihat kepada kepimpinan parti supaya tidak mementingkan diri sendiri.

“PM kata, beliau mahu pilihan raya dan semua orang tidak boleh fikir tentang diri mereka seorang sahaja,” kata sumber.

Najib hadir di Dewan Tun Hussien Onn pada jam 4.45 petang untuk berjumpa dengan kepimpinan Umno negeri Kedah dan beredar pada jam 5.20 petang.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2016/01/22/tukar-mukhriz-najib-minta-lebih-masa/#ixzz3xz6xfqJX

Saturday, August 15, 2015

Ku LI masih 'sokong' Najib

Ahli Parlimen Umno paling lama berkhidmat ketika ini enggan berterus terang apabila didesak untuk menyatakan pendiriannya sama ada masih menyokong Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri atau sebaliknya.

Pertanyaan itu dibuat ekoran pertemuan Tengku Razaleigh Hamzah dengan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa hari lalu.

Ketika ditanya beberapa kali, beliau akhirnya menjawab "ya".

Pada kali pertama soalan itu ditanyakan, beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Ku Li berkata, sokongan diberikan kepada sesiapa saja yang melakukan perkara perkara sepatutnya untuk rakyat.

Ditanya kali kedua, Tengku Razaleigh menjawab: "Saya masih bersama backbenchers (penyokong) BN. Itu apa maksudnya?"

Kali ketiga, beliau mengesahkan tidak bersama dengan kumpulan pembangkang dan memusuhi Najib.

"Ya, saya tidak dalam barisan pembangkang, tapi saya harap kita semua lakukan semua yang betul, cakap yang benar, terangkan pada rakyat yang sebenarnya supaya rakyat tidak keliru," katanya.

[Baca berita asal]

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-