Showing posts with label Asyraf Wajdi. Show all posts
Showing posts with label Asyraf Wajdi. Show all posts

Saturday, August 5, 2023

Takut hilang sokongan, Asyraf kata UMNO tak pecat ahli sertai MN, PAS

agendaily.com
05/08/2023
Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

UMNO tidak akan memecat mana-mana ahlinya yang disenaraikan bersama Muafakat Nasional (MN) dan PAS.

Setiausaha Agungnya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata ini kerana ada antara mereka menafikan terlibat.

“Semalam kononnya disenaraikan ahli-ahli UMNO yang keluar parti. Hari ini seorang demi seorang buat penafian dan tidak tahu menahu nama mereka dimasukkan dalam senarai.

“Sebab itulah selaku Setiausaha Agong UMNO, saya telah mengarahkan ibu pejabat untuk tidak sewenangnya mengeluarkan nama mereka yang tersenarai dalam kenyataan media semalam daripada senarai keahlian UMNO sehinggalah disiasat dan diteliti agar tidak menzalimi mana-mana pihak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Malam tadi, kepimpinan jawatankuasa UMNO Bahagian Ketereh mengumumkan peletakan jawatan beramai-ramai dan keluar daripada UMNO berkuatkuasa serta merta.

Mereka juga menyatakan sokongan kepada PAS dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan.

Pengerusi MN, Tan Sri Annuar Musa berkata kepimpinan itu terdiri daripada Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Ketereh, Kamaruddin Said bersama Ketua Wanita UMNO Bahagian Ketereh, Sabariah Hamzah dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian, Afiq Amani Annuar.

Menurutnya, 18 lagi kepimpinan melibatkan setiausaha, ahli jawatankuasa (AJK) Wanita, ketua penerangan, AJK Pemuda dan pelbagai peringkat UMNO Bahagian Ketereh turut berbuat tindakan sama hari ini.

Dalam kenyataan sama, Asyraf berkata sudah menjadi lumrah ‘politik cara lama’ setiap kali menjelang pilihan raya maka akan ada pengisytiharan keluar parti atau masuk parti sebagai salah satu kaedah perang psikologi.

Wednesday, March 22, 2023

Kalah tiga pilihan raya, Asyraf dilantik jadi Setiausaha Agung UMNO baharu

agendaily.com
2023/03

Ketua Pemuda, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki disahkan lantikannya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Pengerusi Mara baru-baru ini.

Bekas Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO yang baharu, menggantikan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Untuk rekod, Asyraf kalah hatrik dalam pilihan raya lalu dan terbaharu kalah di Parlimen Gerik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), bagaimanapun baru-baru ini dibawah kerajaan campuran beliau dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Lantikan itu diumumkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO 2023-2026 yang pertama, di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Pada sidang media itu, Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan pelantikan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Ketua Penerangan UMNO menggantikan Isham Jalil, manakala Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kekal sebagai Bendahari Agung UMNO.

“Pelantikan mereka dipersetujui dalam mesyuarat yang turut melantik 13 Ahli MT baharu serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Antara yang dilantik sebagai MT ialah Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh, Datuk Ahmad Ismail, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah.

Turut dilantik sebagai MT ialah Datuk Hasmuni Hassan, Datuk Mohd Hasnol Ayub, Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Mohd Ariff Abdul Majid, Datuk Seri Jailani Johari, Datuk Norliza Abdul Rahim, Mohd Hairi Mas Shah dan Siti Sokhleha Nordin.

Mengenai barisan senarai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Ahmad Zahid mengumumkan pelantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani bagi Wilayah Persekutuan, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (Selangor), Datuk Rozabil Abd Rahman (Perlis), Datuk Seri Mahdzir Khalid (Kedah), Datuk Seri Saarani Mohamad (Perak) dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (Pahang).

“Dengan pelantikan barisan baharu ini, kami berazam untuk menterjemahkan lima hala tuju yang telah saya gariskan, ketika membentangkan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu,” katanya.

Ahmad Zahid berkata menjadi keutamaan parti, untuk bersama menghadapi enam Pilihan Raya Negeri, selain memperkasakan perpaduan dan penyatuan dalam saf kepimpinan UMNO yang baharu di semua peringkat.

“Kita berazam untuk mengubah jentera pilihan raya ke arah pendigitalan dan perkara ini akan diperincikan dan diumumkan nanti. Paling penting pimpinan sekarang ini mendukung Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Sementara itu, UMNO menerusi satu kenyataan menzahirkan kebimbangan sentimen permainan kaum dan agama yang terus menular, dan menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas bagi membendung fenomena yang boleh merosakkan keharmonian negara.

“UMNO beriltizam untuk membantu kerajaan melalui wakil-wakil parti dalam Kerajaan untuk menangani isu peningkatan kos sara hidup yang dihadapi rakyat,” menurut kenyataan itu.

Saturday, December 17, 2022

Asyraf Wajdi bela ‘MoU kuku besi’, semakin serasi dengan PH, DAP

agendaily.com
17/12/2022
Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajdi Dusuki yang dulunya kuat menentang DAP kini semakin serasi dan mesra dengan parti yang menentang pemerintahan Islam di Malaysia.

Ketua Pemuda UMNO yang kalah tiga kali dalam pilihan raya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki semakin serasi dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP apabila turut menunjukkan sokongan kepada perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan PH dan parti-parti gabungan lain.

Ketika ramai yang berpendapat MoU itu merupakan langkah pertama kewujudan pemerintahan diktator dan kuku besi, Asyraf Wajdi membela perjanjian itu dengan memberi alasan ianya bertujuan memastikan negara stabil bagi tempoh lima tahun akan datang.

Tidak seperti ketika negara ditadbir Perikatan Nasional dan dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, Pemuda UMNO diketuainya sering membuat onar hingga politik negara tidak stabil.

Ini termasuk membuat laporan polis berhubung keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tahun lalu, selain menggesa Ahli Parlimen Pagoh itu meletak jawatan.

Bagaimanapun, setelah UMNO ‘berkahwin’ dengan PH, Asyraf Wajdi, yang berlatarbelakangkan pendidikan Islam, semakin kuat bersuara membela kerajaan yang turut disertai DAP – sebuah parti politik yang terang-terang menolak Islam.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pemuda UMNO itu berkata MoU antara parti-parti adalah untuk memastikan tiada lagi ‘Scheme of Thing’ untuk jual beli ahli-ahli Parlimen hingga kerajaan bertukar ganti berkali-kali.

Beliau yang kalah di kerusi Parlimen Gerik kepada calon Perikatan Nasional dan pendatang baharu dunia politik daripada Bersatu, Fathul Huzir Ayob, berkata permuafakatan antara parti-parti adalah untuk memastikan tumpuan diberikan sepenuhnya untuk memacu kembali ekonomi dan mensejahterakan rakyat.

“Perjanjian permuafakatan antara parti-parti adalah untuk memastikan setiap pihak dalam Kerajaan sentiasa menghormati dasar, polisi dan orientasi setiap parti yang bergabung dan tidak sesekali menyentuh hal-hal sensitif yang merosakkan keharmonian persepakatan.

“Justeru, cukup-cukuplah berpolitik dan berpolemik. Fokus ke hadapan untuk sama-sama majukan negara dan menyelesaikan pelbagai masalah yang melanda rakyat. 5 tahun lagi kembali bertarung di medan Piliharaya Umum,” katanya.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai PH menandatangani MoU dengan Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan WARISAN, di mana ia turut memasukkan klausa kontroversi mengatakan mana-mana ahli Parlimen yang tidak menyokong usul kerajaan akan dianggap hilang kelayakan dan kerusi mereka akan dikosongkan bagi memberi laluan pilihan raya kecil.

Jika tidak menyokong usul kerajaan di Dewan Rakyat, ahli Parlimen terbabit dianggap meletak jawatan atau berhenti daripada menjadi ahli Parlimen, manakala kerusi mereka perlu dikosongkan seperti dalam kerangka maksud Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.

‘Perjanjian kuku besi’ yang dimeterai menjelang usul undi percaya terhadap Anwar minggu depan, turut menyatakan setiap parti bertanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap ahli Parlimen masing-masing yang mengundi bercanggah dengan keputusan parti.

Monday, November 28, 2022

Ayraf Wajdi kini sokong kerajaan PH-BN selepas kalah tiga kali

agendaily.com
28/11/2022
Datuk Asyraf Wajdi Dusuki kini menjadi penyokong DAP dan Pakatan Harapan.

Pembentukan kerajaan yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) dengan DAP bersama-sama Barisan Nasional (BN) disokong sepenuhnya Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Ketua Pemuda UMNO yang kalah tiga kali dalam pilihan raya tersebut berkata kerajaan sekarang sudah menjadi sebuah ‘grand coalition’ walaupun tanpa Perikatan Nasional (PN) dan ia boleh menjadi stabil kini.

“Dengan permuafakatan yang membentuk kerajaan yang kukuh dengan mencapai majoriti 2/3 (dua pertiga) ini, diharapkan sebuah pentadbiran negara yang stabil dapat beroperasi demi mewujudkan keyakinan pelabur sekaligus mencapai kemakmuran yang didambakan rakyat,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Asyraf juga berkata PN boleh menjadi pembangkang yang berkesan apabila tidak menyertai kerajaan yang terdiri daripada DAP dan PKR didalamnya itu dengan UMNO sedia menerima seteru mereka sebagai rakan pula semula.

“Pembangkang juga dapat berperanan dengan lebih efektif sebagai agen semak dan imbang yang baik untuk perjalanan sistem demokrasi yang mampu memanfaafkan dan mensejahterakan rakyat,” katanya lagi.

Kerajaan bentuk baru kini membabitkan gabungan PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Warisan (Warisan), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Bebas.

Untuk rekod, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertindak melanggar ketetapan semasa Perhimpunan Agung UMNO lalu yang berpendirian ‘No Anwar dan No DAP’, namun selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mengambil keputusan untuk menyokong pembentukan kerajaan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zahid juga berperanan dalam membawa naik cikgunya itu sebagai Perdana Menteri (PM) Ke-10 walaupun diragui sokongan majoritinya.

Sidang Parlimen yang dijadual bermula 19 November ini, turut memberi tumpuan adalah untuk menyambung urusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 atau Bajet 2023 dan juga usul undi percaya.

Sunday, October 30, 2022

Ketua Pemuda UMNO bangga pengasas Hindraf sokong BN pula

agendaily.com
30/10/2022
Datuk Asyraf Wajdi Dusuki bangga dengan sokongan bekas pengasas Hindraf.

Selepas dikecam teruk susulan tular rakaman video Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memeluk pengasas Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), P Waytha Moorthy baru-baru ini, kini Datuk Asyraf Wajdi Dusuki tampil mempertahankan Presiden UMNO tersebut.

Ketua Pemuda UMNO itu nampaknya bangga apabila pengasas Hindraf itu menyokong Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu walaupun sebelum ini paling lantang mengecam Waytha.

“Sokongan Waytha Moorthy kepada BN hari ini adalah kerana beliau yakin BN boleh menjaga kebajikan kaum India.

“Tapi sebenarnya tanpa Hindraf sekalipun, UMNO dan BN selama ini sentiasa memberikan tumpuan kepada kebajikan kaum itu,” katanya dalam satu kenyataan dimuat naik melalui akaun media sosialnya malam tadi.

Justeru, beliau berkata, adalah aneh apabila UMNO dituduh mengiktiraf Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hanya kerana Waytha Moorthy sudah menyokong BN.

Asyraf Wajdi berkata, UMNO pula tetap konsisten dengan pendirian teguh bagi mempertahankan soal kedudukan Raja-Raja Melayu, Hak Keistimewaan Bumiputera serta Kesucian Agama Islam seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan.

Untuk rekod, Pemuda UMNO sebelum ini paling lantang mengkritik Waytha semasa menjadi menteri dibawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) lalu.

Malah, puluhan laporan polis dibuat oleh Pemuda UMNO terhadap Waytha sebelum ini atas dakwaan cuba menggugat kesucian Islam dan menghina orang Melayu.

Monday, August 22, 2022

Pemuda Umno nafi PM didesak campur tangan kes mahkamah

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 22, 2022 9:29 PM
Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menafikan sebarang perbincangan mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, mencampuri urusan mahkamah.

Dalam catatan Facebook hari ini, Asyraf berkata dia turut menghadiri mesyuarat berkenaan yang dihadiri ketua-ketua bahagian Umno, namun tiada agenda seumpanya dibangkitkan.

"Tiada langsung agenda perbincangan mendesak perdana menteri mencampuri urusan mahkamah apatah lagi seolah-olah wujud pertentangan di kalangan kepimpinan bahagian mengenainya.

"Apakah logik untuk mendesak perdana menteri campur tangan kes SRC yang sudah sampai ke peringkat Mahkamah Persekutuan?" kata Asyraf.

Asyraf mengulas laporan Astro Awani yang memetik sumber mendakwa sebahagian besar ketua bahagian Umno yang hadir mesyuarat itu menolak cadangan agar perdana menteri mencampuri kes SRC.

Dalam ruangan komen pada hantaran itu, Asyraf berkata dia akan mengemukakan cadangan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Astro Awani.

"Ya, saya akan bawa cadangan dalam mesyuarat pengurusan parti akan datang untuk mencadangkan agar memulakan saman ke atas Awani yang melaporkan berita palsu tanpa asas yang menimbulkan prasangka negatif dan buruk kepada Umno," kata Asyraf.

Asyraf mendedahkan pertemuan itu kebanyakannya membincangkan isu berkaitan pilihan raya umum akan datang.

"Apa yang boleh saya kongsikan secara umum, perbincangan tadi lebih kepada isu-isu mengenai PRU-15," katanya.

Terdahulu, ketua-ketua bahagian Umno di seluruh negara diminta menghadiri pertemuan khas di ibu pejabat parti itu di WTC KL.

Sejumlah pemimpin atasan Umno turut dilihat hadir, termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi; timbalannya, Mohamad Hasan, dan naib presiden Mohamed Khaled Nordin.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakon yang juga memegang jawatan naib presiden Umno tidak kelihatan.

Perkembangan itu hadir di tengah khabar angin berhubung pilihan raya selain prosiding akhir kes SRC International melibatkan Pengerusi Lembaga Penasihat BN Najib Razak di Mahkamah Persekutuan.

Wednesday, August 17, 2022

Asyraf kritik keputusan dalam kes Najib, boleh dituduh hina mahkamah

agendaily.com
17/08/2022
Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mempertikai keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes rasuah SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta semalam.

Kenyataan Ketua Pemuda UMNO itu boleh dituduh sebagai satu penghinaan terhadap institusi mahkamah kerana cuba mempertikaikan keputusan Hakim, malah kenyataannya itu boleh mengakibatkan satu kes menghina mahkamah dibuka susulan kenyataannya tersebut.

Asyraf berkata Mahkamah Persekutuan sepatutnya membenarkan permohonan bukti baharu dikemukakan Najib dalam perbicaraan kes SRC International.

“Tidakkah mahkamah mahu tahu apakah bukti itu? Tidakkah kita semua juga mahu tahu apa yang sebenar-benarnya berlaku?

“Dan pada akhirnya jika bukti-bukti ini mahu ditolak juga, maka tolaklah atas sebab kelemahan bukti ini sendiri. Bukannya atas sebab teknikal yang sebenarnya boleh ditimbang atas budi bicara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, dia sebenarnya merasa amat bimbang dengan persepsi rakyat terhadap institusi keadilan.

“Tuntutan Pemuda UMNO sebelum ini bagi mewujudkan tribunal khas bagi menyiasat konflik kepentingan Hakim Nazlan (Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali) juga bagaikan dipandang sepi pihak berkenaan. Sedangkan kebebasan hakim itu adalah asas kepada wujudnya keadilan,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO itu berkata dia bersetuju dengan ketua hakim negara yang berkata “justice delayed is justice denied” tetapi juga menyebut, “justice rushed is justice crushed” sambil mengingatkan bahawa Islam meletakkan keadilan pada tempat yang tertinggi, baik kepada hak mangsa atau hak tertuduh itu sendiri.

Justeru, katanya, setiap orang seharusnya diberikan hak seluas-luasnya untuk membela diri.

“Kita sudah tentu tidak mahu persepsi buruk rakyat terhadap sistem kehakiman seperti dekad 80an dan 90an berulang.

“Saya percaya akan ada hikmah yang Allah akan datangkan. Buat Najib, sekiranya ini adalah ujian maka percayalah Dia tidak pernah menguji hambaNya melainkan sesuai dengan kemampuan mereka.

“Apa juga yang berlaku, rakyat pasti tidak akan lupa siapa yang telah membawa negara ini ke satu aras yang tidak pernah tercapai sebelumnya.

“Kami tidak akan lupa!” katanya lagi.

Terdahulu semalam, panel lima hakim mahkamah tertinggi yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan yang dikaitkan dengan kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.

Panel hakim juga sebulat suara menolak permohonan Najib untuk meminta penangguhan perbicaraan rayuan utama dan akhir kes SRC International selama beberapa bulan.

Tengku Maimun memutuskan bahawa pihak berkenaan mengetahui tarikh perbicaraan yang ditetapkan dari 15 hingga 26 Ogos dan sepatutnya mengambil segala usaha untuk bersiap sedia.

Tuesday, March 2, 2021

Maszlee tuntut Asyraf padam kenyataan di media sosial dan minta maaf atas ‘fitnah’

FMT Reporters
-March 2, 2021 12:07 PM

Bekas menteri pendidikan itu berkata, proses tindakan undang-undang ini adalah untuk memastikan budaya fitnah jahat berbaur perkauman begini tidak berulang lagi.

PETALING JAYA: Padam serta-merta hantaran di media sosial berhubung dakwaan fakta buku teks sejarah Tingkatan 4 ada unsur fakta dimanipulasikan, dan minta maaf atas ‘fitnah’.

Demikian tuntutan bekas menteri pendidikan Maszlee Malik terhadap Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki melalui surat tuntutan yang dihantar pihaknya.

Beliau berkata sekiranya tuntutan-tuntutan itu tidak dilayan dalam tempoh yang ditetapkan, tindakan undang-undang selanjutnya akan diambil oleh peguam beliau.

Tuntutan lain dalam surat tersebut adalah supaya Asyraf memastikan bahawa mana-mana profil atau halaman Facebook dan media sosial lain yang menyiarkan hantaran tersebut menarik semula dan memadamnya serta-merta.

Maszlee juga menuntut Asyraf membayar sejumlah wang yang terlebih dahulu dipersetujui beliau sebagai pampasan kerana hantaran tersebut jelas memfitnah beliau.

Berkenaan permohonan maaf daripada Asyraf, Maszlee menuntut ketua pemuda Umno itu menerbitkan kenyataan bertulis yang dipersetujui bersama di Facebook dan akhbar tempatan.

“Ini semua ialah proses tindakan undang-undang yang telah saya mulakan untuk memastikan budaya fitnah jahat berbaur perkauman begini tidak berulang lagi.

“Sebagai pengajaran bersama, saya percaya rakyat Malaysia amat muak dan benci dengan budaya fitnah jahat berbaur perkauman yang sengaja ditimbulkan dan boleh menggugat hubungan sesama kaum di Malaysia,” kata beliau.

Maszlee sebelum ini menggesa Asyraf menarik balik kenyataan berhubung dakwaan fakta buku teks sejarah Tingkatan 4 ada unsur fakta dimanipulasikan.

Beliau menambah, sekiranya tiada permohonan maaf atau penarikan kenyataan dibuat Asyraf, beliau akan memfailkan kes saman fitnah.

Pada 27 Feb, Asyraf berkata, beliau tidak memetik nama sesiapa, termasuk Maszlee, ketika membuat kenyataan mendesak Kementerian Pendidikan menarik balik buku teks sejarah Tingkatan 4 yang didakwa mengandungi fakta yang dimanipulasikan dengan mengagungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

Saturday, February 27, 2021

Semak kenyataan, saya tak petik nama Mazlee, kata Asyraf

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
-February 27, 2021 7:00 AM

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata, proses penulisan dan percetakan buku teks Sejarah Tingkatan 4 tidak berlaku pada zaman pentadbiran BN kerana Parlimen sudah dibubarkan ketika itu.

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau tidak memetik nama sesiapa, termasuk Maszlee Malik, ketika membuat kenyataan mendesak Kementerian Pendidikan (KPM) menarik balik buku teks sejarah Tingkatan 4 yang didakwa mengandungi fakta yang dimanipulasikan dengan mengagungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

“Cuba semak balik kenyataan saya, satu patah perkataan pun saya tidak sebut nama dia (Maszlee). Saya hanya beritahu soal kandungan buku teks sejarah Tingkatan 4 ini perlu ditarik balik dan dipinda.

“Penulisan kandungan buku teks ini dimanipulasi dan ia berlaku pada zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH),”katanya dalam forum bertajuk “Buku teks sejarah dimanipulasi, komunis pula diagungkan?”, yang disiarkan secara langsung di Facebooknya.

Asyraf berkata demikian ketika mengulas tuntutan permohonan maaf yang dibuat oleh Maszlee.

Mempertahankan hujahnya bahawa buku sejarah tersebut dicetak ketika pentadbiran PH, Asyraf berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, selepas Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) diluluskannya pada 24 Apr 2018, ia perlu mendapat kelulusan Kabinet sebelum proses pencetakan dan pada waktu itu kerajaan telah membubarkan Parlimen dan Jemaah Menteri Barisan Nasional (BN) sudah terbubar.

“Antara perkara menjadi pertikaian, kita (Pemuda Umno) melihat ia berlaku di bawah kerajaan PH, tetapi Kementerian Pendidikan kata pada 24 Apr 2018 DSKP meluluskannya (zaman BN) maknanya sebelum kerajaan PH.

“Tetapi kita kena ingat bahawa Parlimen dibubar pada 7 April 2018. Persoalannya kalau sudah diluluskan di DSKP, saya difahamkan biasanya Kabinet perlu meluluskannya dahulu sebelum penulisan buku teks bermula dan akhirnya dicetak.

“…dan kena ingat juga bahawa percetakan buku teks Sejarah Tingkatan 4 ini dibuat pada tahun 2019, jadi antara Apr 2018 hingga 2019 proses penulisan buku itu berlaku bukan pada zaman BN kerana Parlimen sudah dibubar,” katanya.

Hadir sama dalam forum itu ialah pakar sejarah dan penulis buku teks Sejarah KBSM Ramlah Adam serta timbalan pengerusi Sekretariat Gabungan NGO tolak buku teks Sejarah Tingkatan Empat (BST4), Yazid Othman.

Terdahulu Maszlee, yang merupakan bekas menteri pendidikan berkata, beliau sudah mengarahkan peguamnya menghantar surat tuntutan kepada Asyraf supaya memohon maaf secara terbuka dan membayar pampasan kerana fitnah berhubung isu itu yang dibangkitkannya sebelum ini.

Asyraf sebelum ini menggesa KPM menarik balik buku teks Sejarah Tingkatan 4 kerana mendakwa terdapat unsur ia dimanipulasikan dengan mengagungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

Beliau juga mendakwa kerajaan sebelum ini secara “secara halus dan dan tersirat” mengangkat anggota komunis dan MPAJA (Malayan People Anti Japanese Army) sebagai perwira dan pejuang kemerdekaan yang wajar diberi pengiktirafan.

KPM bagaimanapun mempertahankan ketepatan fakta buku teks itu susulan dakwaan tersebut.

Ia berkata, buku teks Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) sejarah Tingkatan 4 mematuhi semua proses penerbitan bagi menjamin kualiti buku, termasuk ketepatan fakta.

“Pada 24 Apr 2018, DSKP KSSM Sejarah Tingkatan 4 telah diteliti, disemak dan diperakui sah oleh panel pakar rujuk kurikulum sejarah dan buku teks sejarah KPM,” katanya.

Wednesday, February 10, 2021

Zahid lemah, Asyraf Wajdi ‘pak turut’

puteradaily.com

February 9, 2021 11:14 pm


UMNO makin nazak gara2 kepimpinan Zahid yg lemah. Karier politik Zahid makin tenat sejak dia terlibat dgn kes mahkamah, tapi sebab tak nak jatuh sorang, dia heret sekali dgn parti UMNO. Dia jadikan UMNO sebagai platform utk dia selamatkan diri.

 Zahid ambik kesempatan dgn jawatannya sebagai presiden parti utk membuat keputusan sendiri tanpa persetujuan semua pihak tapi mengaku kat media itu kehendak akar umbi. Akibatnya, UMNO skrg makin kacau-bilau ibarat diserang puting beliung. Imej UMNO semakin sukar dipulihkan gara2 Zahid menggunakan UMNO utk melepaskan diri dari hukuman.

Sekarang ada sorang lagi yg berpotensi nak mewarisi corak kepimpinan mcm si Zahid ni. Bila bercakap bukan main tegas padahal dia lah org pertama yg menyorok bila part nak menegakkan kebenaran.

Berani kat FB je blh la. Sapa lagi kalau bukan Asyraf Wajdi! Nama je Ketua Pemuda UMNO tapi bukan main pengecut nak bersuara bagi pihak anak muda UMNO. Asyraf ni nama je ‘KETUA’ tapi hakikatnya dia ‘pak turut’ Zahid je. Pasal tu la dia senyap je bila ada Pemuda UMNO bersuara supaya Zahid letak jawatan. Buat malu je anak buah lagi berani dan ada rasa tanggungjawab nak pulihkan nama UMNO. Dua2 ni la punca UMNO makin berpecah-belah.

Ada 1 cara je nak selamatkan UMNO drpd karam. Bersihkan UMNO!

Mcm mn nak buat? Clearkan semua pemimpin2 yg kaki korup dan perangai lalang. Dorang semua tu bukan bawak faedah kat parti pun, menambahkan beban lagi ada la. Ramai je lagi calon pemimpin lain yg lebih berkredibiliti dan berprinsip. Pada aku, ada dua nama yg mungkin berkebolehan dan perlu diberikan peluang utk dorang memimpin UMNO. Tok Mat Hasan blh jadi Presiden UMNO dan Shahril Hamdan pengganti dgn si Asyraf Wajdi yg pengecut tu. Baru cun! Dua2 pun ada track record bersih.


Kalau korang tinjau2 kat media sosial pun, netizen ramai je berharap Tok Mat Hasan dpt memimpin UMNO. Rakyat dah menyampah sgt dgn pemimpin2 kluster mahkamah ni. Semua syok sendiri perasan layak jadi pemimpin.

 Percayalah, walaupun rakyat dah muak dgn drama pemimpin2 UMNO, dlm masa yg sama dorang masih berharap yg UMNO dpt dipulihkan dgn melantik ketua yg bersih dan bertanggungjawab. Rakyat rindukan parti UMNO yg dulu sentiasa bersedia berkhidmat utk rakyat.

 | ukg

Saturday, April 6, 2019

Hibah 1.25%: 6 persoalan rakyat perlu tahu

DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
05 APRIL 2019


SELURUH rakyat Malaysia pastinya gempar dengan pengisytiharan Hibah Tabung Haji sebanyak 1.25% yang dibuat YB Dr Mujahid Yusof Rawa iaitu kadar terendah dalam sejarah Tabung Haji (TH)!

Seperti dijangkakan YB Menteri menggunakan naratif menyalahkan Kerajaan dan pengurusan terdahulu yang kononnya melakukan manipulasi akaun dan salah guna kuasa hingga selama 5 tahun berturut-turut mengisytiharkan hibah yang tinggi kepada pendeposit.

Sebelum pihak menteri dan pengurusan baharu TH meneruskan permainan menyalah (blame game), lebih baik mereka bersikap telus kepada rakyat untuk menjelaskan beberapa persoalan penting yang membawa kepada pengisytiharan hibah yang terendah ini:-

1. Mengapakah TH hanya mengagihkan RM913 juta sahaja kepada pendeposit sedangkan mereka mengumumkan keuntungan boleh agih bagi tahun kewangan 2018 sebanyak RM2 bilion?

2. Ke manakah baki keuntungan RM5.8 bilion hasil penjualan aset-aset berharga TH kepada Syarikat SPV Urusharta Jemaah Sdn Bhd? Sebagaimana laporan YB Menteri sebelum ini jumlah aset bernilai RM10 bilion telah berjaya dijual pada nilai RM19.9 bilion. Sekiranya keuntungan ini digunakan untuk menutup defisit RM4.1 bilion aset pada tahun 2017, maka ianya masih berbaki RM5.8 bilion. Namun begitu, TH hanya mengisytiharkan RM2 bilion sahaja keuntungan boleh agih. Ke mana perginya RM3.8 bilion baki keuntungan hasil jualan aset-aset TH?

3. Apakah jaminan bahawa aset-aset yang dijual oleh TH kepada Syarikat Urusharta Jamaah Sdn Bhd mampu ditebus pada nilai yang sepatutnya. Apakah yang terjadi sekiranya nilai aset-aset ini kurang dari nilai sukuk yang dipegang oleh TH? Sudah tentu TH terpaksa merekodkan kerugian. Oleh yang demikian, 'Jaminan Kerajaan' amat penting, tetapi sebagaimana yang dilaporkan, Kementerian Kewangan bertegas bahawa tiada 'Jaminan Kerajaan' diberikan. Bagaimana kepentingan TH dapat dijaga?

4. Sekiranya benar berlakunya penyelewengan, penipuan, manipulasi akaun oleh pengurusan terdahulu, mengapakah sehingga hari ini tiada pendakwaan dibuat ke atas mereka? Sebaliknya Menteri lebih gemar mencetuskan sentimen dan menghukum mereka di mahkamah persepsi. Apakah ini satu cara menutup kelemahan pentadbiran Kerajaan PH yang hakikatnya juga bertanggungjawab menakut-nakutkan pelabur dengan naratif hutang negara tinggi dan bakal bankrap, dasar luar negara yang tidak konsisten dan mengelirukan hingga mengakibatkan saham-saham perladangan kelapa sawit dan getah milik TH menjunam jatuh selepas pertukaran Kerajaan pada Mei 2018.

5. Benarkah aktiviti pelaburan TH telah digantung sejak tahun lalu hingga hari ini sehinggakan Jawatankuasa Pelaburan tidak bersidang dan TH tidak mampu menjana apa-apa hasil pelaburan sebagaimana kebiasaannya kecuali menjual aset-aset seperti hartanah bernilai TH kepada SPV? (Antara hartanah bernilai yang dijual termasuklah Tanah TRX yang dibeli pada harga RM196 juta dan dijual pada harga RM400 juta; Platinum Park dijual pada harga RM737 juta sedangkan harga belian RM485 juta; ini tidak termasuk hotel-hotel TH yang turut dijual di TH Bayan Lepas, TH Kuching, TH Hotel Kelana Jaya, TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Alor Setar, TH Hotel Terengganu)

6. YB Amanah-PH Hasanuddin Yunus mendakwa berdasarkan cariannya bahawa TH Indoplantation di Riau rugi RM408 juta sedangkan dalam rekod TH mencatatkan keuntungan berjumlah RM873 juta. Mana satu yang betul? Pengurusan TH perlu jujur mengenainya.

Mohon YB Menteri Dr Mujahid menjelaskan dengan telus dan tulus persoalan-persoalan di atas yang rakyat berhak tahu terutamanya 9.3 juta orang pendeposit di kalangan orang Islam. Sudah-sudahlah bermain sentimen menyalah kerana tidak selamanya rakyat boleh diperbodohkan dengan sentimen fitnah dan tohmah!

DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia

HARAKAHDAILY
   5/4/2019

Sunday, October 15, 2017

Baru gesa BN S'wak tolak komitmen jadikan M'sia negara Islam

Berita Terkini
Ketua PKR Sarawak Baru Bian menggesa BN negeri menolak kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki bahawa kerajaan BN komited untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam.

Asyraf dilaporkan oleh portal berita Free Malaysia Today menyatakan pembangunan Islam yang diperkasakan dari semasa ke semasa menjadi petunjuk jelas kepada perkara itu.

"Ini adalah kenyataan jelas mengenai pendirian kerajaan persekutuan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam," kata Baru yang juga ADUN Ba Ke'lalan.

Baru berkata BN Sarawak harus menolak kenyataan Aysraf kerana rakyat negeri itu akan berfikir bahawa kerajaan negeri terlibat dalam usaha kerajaan persekutuan menjadikan Malaysia negara Islam.

Baru berkata kenyataan timbalan menteri itu juga adalah satu pelanggaran yang jelas terhadap Perjanjian Malaysia 1963.

"Ia seolah-olah tidak peduli mengenai pelanggaran ini dan lebih banyak lagi bukti mengenai isu-isu yang amat penting bagi Sarawak, BN Persekutuan tidak peduli terhadap hak rakyat negeri," kata peguam hak asasi manusia itu.

Baru berkata, BN Sarawak harus mencontohi Sultan Johor apabila baru-baru ini memberikan reaksi terhadap isu pengasingan dobi di Muar.

"BN Sarawak mesti menolak kenyataan Asyraf Wajdi dan menuntut BN persekutuan menafikannya," tambah Baru.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/398373#UeLRFuVXLMJYZSWB.99

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-