Showing posts with label Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. Show all posts
Showing posts with label Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. Show all posts

Monday, November 12, 2018

Setuju tidak lagi salahkan BN, tapi tidak boleh halang pimpinan beri pandangan, kata Anwar

Mohamad Fadli
-November 12, 2018 12:29 PM

Anwar berkata, beliau menyokong saranan Daim kerana percaya rakyat ingin tahu apakah perancangan PH untuk masa akan datang.

KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan Tun Daim Zainuddin yang meminta pemimpin Pakatan Harapan (PH) berhenti menyalahkan kerajaan lalu, tetapi berkata, mereka juga tidak boleh dihalang daripada mengeluarkan pandangan.

Beliau berkata, terdapat pandangan yang mempunyai asas dan bukti kukuh berhubung kesalahan kerajaan terdahulu sehingga menyebabkan hutang negara meningkat.

“Saya berpandangan berdasarkan keputusan dasar kenyataan (Daim) itu betul, tetapi terdapat kes yang kuat yang membuktikan kesalahan kerajaan (Barisan Nasional) yang lalu.

“Saya memahami ada pemimpin dan menteri yang memikirkan masalah dan perkara yang ditimbulkan masa lalu,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen.

Minggu lalu, Daim berkata, kerajaan perlu menumpukan kepada usaha menunaikan janji kepada rakyat yang mengundi mereka semasa pilihan raya umum ke-14 dan melupakan perkara yang berlaku pada masa lalu.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) itu berkata, apa yang berlaku sebelum ini adalah sejarah, dan kerajaan baru perlu berhenti menuding jari dan menyalahkan kerajaan terdahulu yang mentadbir negara ini selama 61 tahun.

Anwar berkata, beliau menyokong saranan Daim kerana percaya rakyat ingin tahu apakah perancangan PH untuk masa akan datang.

“Apakah rancangan untuk masa sekarang dan masa depan. Tetapi itu sepatutnya tidak menghalang kita daripada menyatakan pandangan kita atau keluar dengan bukti baru mengenai pemerintah sebelum ini,” katanya.

Berkait isu yang sama, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan PH tidak akan maju ke hadapan sekiranya terus menyalahkan kerajaan BN, sekali gus mengalu-alukan kenyataan Daim berhubung perkara itu.

“Ini menunjukkan Tun Daim prihatin mengenai prestasi semasa kerajaan PH,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Menyifatkan kenyataan Daim sebagai adil, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, walau apapun yang berlaku, akhirnya kerajaan mesti menjalankan tugas mereka.

Sementara itu, berhubung pemilihan kepimpinan PKR baru tamat semalam, Anwar menyarankan semua pihak supaya menunggu Jawatankuasa Pusat Pemilihan (JPP) PKR 2018 mengumumkan keputusan rasminya.

“Dia ada hak kerana dia tahu bahawa yang akan umum adalah JPP dan kita patut hormat proses itu,” katanya, mengulas pengumuman Datuk Seri Azmin Ali yang mendakwa menang jawatan timbalan presiden PKR mengalahkan pencabar tunggal beliau, Rafizi Ramli.

Anwar juga menyarankan masalah pemilihan PKR di bahagian Julau Sarawak diputuskan oleh JPP.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau tiada hak untuk membuat keputusan tentang perkara tersebut.

“Serahkan kepada JPP. Masalahnya media nak minta saya putus, tak boleh.

“Ada yang minta saya beri pendirian. Tak boleh. Itu penting. Saya hanya menuntut pemilihan yang bersih, jangan ada pertelagahan. Apa-apa pun keputusan, kita terima dengan baik dan kita bersatu semula,” katanya.

Azmin menerusi hantaran di Twitternya semalam, mengucapkan terima kasih kepada semua ahli PKR.

“Alhamdulillah dan syukur. Terima kasih kepada semua ahli PKR yang bersama membingkai muafakat untuk meneruskan agenda reformasi tulen,” katanya.

Mengikut keputusan tidak rasmi, Azmin menewaskan Rafizi dengan majoriti 3,956 undi. Beliau secara keseluruhan mendapat 70,550 undi, sementara Rafizi memperoleh 66,594 undi

Saturday, September 29, 2018

Anwar hanya angkat bahu ketika ditanya rancangan Saiful


PRK PD | Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mengangkat bahu apabila wartawan meminta beliau memberi komen mengenai hasrat Mohd Saiful Bukhari Azlan untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.

Anwar menghadiri majlis pelancaran bilik gerakan PKR di PD Waterfront di Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini ketika Saiful dilapor akan bertanding di kerusi berkenaan.

Pada majlis yang sama, setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail memberitahu penyokong parti itu bahawa pihaknya akan menangkis apa sahaja tuduhan yang akan dibuat Saiful.

"Dia baling tahi, kita sambut dengan bunga," Saifuddin memberitahu kira-kira 200 orang yang hadir.

Menurut beberapa laporan berita Saiful berkata keputusannya untuk menjadi calon tidak ada kaitan dengan isu peribadi atau politik kepartian.

"Saya hanya mahu mewakili rakyat dan meraikan demokrasi," kata Saiful seperti dilapor Free Malaysia Today.

Saiful, 33, pernah menjadi kakitangan di pejabat Anwar.

Pada tahun 2008, beliau membuat laporan polis dan mendakwa diliwat bekas majikannya itu.

Tuduhan berkenaan menyebabkan Anwar dipenjarakan pada tahun 2015.

Anwar mendapat pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei tahun ini selepas BN tewas pada pilihan raya umum ke-14.

Thursday, September 27, 2018

Tiada tempat untuk LGBT di Malaysia, tegas Anwar

Bernama
-September 27, 2018 8:01 AM

Anwar berkata, baik dalam kalangan orang Islam, Kristian, Hindu dan Buddha, semua berpakat dalam pendirian yang sama. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan tiada tempat untuk gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Malaysia.

Beliau berkata ada prinsip tertentu dalam negara ini yang harus dihormati oleh semua rakyat walaupun berbeza bangsa dan agama.

“Baik dalam kalangan orang Islam, Kristian, Hindu dan Buddha semua berpakat dalam pendirian yang sama,” katanya ketika berucap pada Amanat Perdana Agenda Malaysia Baharu di Bandar Baharu Tunjong di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar dan pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir.

Dalam pada itu, Anwar turut menasihati perwakilan yang akan mengundi sempena pemilihan parti yang sedang berlangsung secara berperingkat ketika ini supaya memilih calon yang terbaik dan mengelak daripada melakukan perbuatan rasuah.

“Sebab itu saya sangat keras bila saya perhatikan kepimpinan kita agak lupa dan cuai. Masa pemilihan ada projek… kalau nak sokong kena berkait dengan wang dan sebagainya,” katanya.

Monday, September 17, 2018

PM KE-8: MAHATHIR TANDATANGAN PERJANJIAN – ANWAR

By watan 
on September 17, 2018

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Tun Dr Mahathir Mohamad sudah menandatangi perjanjian untuk menobatkan beliau sebagai Perdana Menteri kelapan.

Beliau berkata, banyak pihak mempersoalkan kebenaran sejauh mana Perdana Menteri akan mengotakan janji yang ditemeterai sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PM).

Anwar berkata, Pakatan Harapan (PH) bersetuju melantik Mahathir sebagai Perdana Menteri kerana beliau menerima agenda perubahan dan menandatangani dokumen mempertahankan kebebasan demokrasi serta badan kehakiman, menolak rasuah dan penyelewengan serta perkauman sempit.

“Beliau menandatangani (perjanjian) termasuk usaha membebaskan saya (dari penjara) dan memberi ruang kepada saya balik dalam kerajaan serta mengganti beliau sebagai Perdana Menteri.

“Orang lebih banyak ceritakan soal itu (saya menjadi Perdana Menteri), tetapi mereka lupa kita setuju kerana agenda reformasi itu dipersetujui dan ketika kita percaya Dr Mahathir akan melaksanakan janji,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Kiambang Bertaut dan Pidato Malaysia Baharu: Mengisi Harapan Rakyat di Putrajaya, Ahad malam.

Anwar juga turut menepis cakap-cakap beliau kini sudah tidak relevan lagi untuk memimpin.

“Walaupun ada teman mengatakan saya kian tua dan tidak relevan kerana saya terlalu sinis serta tidak mempercayai pimpinan muda, (tetapi) saya adalah pemimpin paling banyak memberi ruang kepada pemimpin muda, paling keras mengingatkan mereka jangan pijak rakyat yang pernah mengangkat dan mendokong kita,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agenda reformasi tidak boleh hanya diserahkan kepada golongan elit politik saja, tetapi harus membabitkan rakyat supaya dapat dilaksanakan.

Wartawan Watan-Online

Friday, August 31, 2018

Anwar 'comeback' Oktober nanti

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
31 OGOS 2018

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) bersalaman bersama Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa hadir pada sambutan Hari Kebangsaan ke-61 di Dataran Putrajaya hari ini. Sempena sambutan kali ini, kontinjen perarakan melibatkan 12,714 orang, 25 ekor anjing, 60 ekor kuda, 251 aset darat dan 54 aset udara milik Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta agensi lain. Kontinjen itu akan berarak di sepanjang Persiaran Perdana yang sejauh 3.2 kilometer seawal 8 pagi.  Foto - Bernama

KUALA LUMPUR - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan bakal ‘comeback’ sebagai Ahli Parlimen, Oktober ini.

Memetik laporan Berita Harian, Anwar akui masih belum memutuskan kerusi mana yang bakal ditandingi dalam pilihan raya kecil (PRK).

“Saya sudah jelaskan perkara ini secara peribadi dan umum yang saya akan kembali ke Parlimen, insya-ALLAH jika menang (PRK) sebelum hujung tahun...mungkin Oktober,” katanya.

Langkah itu dilihat sebagai persediaan untuk Anwar menjadi Perdana Menteri Kelapan susulan perjanjian PH yang dipersetujui Januari lalu menetapkan Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Ketujuh dan Anwar sebagai Perdana Menteri Kelapan.

Beberapa pemimpin PKR sebelum ini turut menyatakan kesediaan menawarkan kerusi mereka kepada Anwar.

Menurut Anwar, beliau sedang menimbangkan beberapa kawasan termasuk tawaran yang serius oleh beberapa pihak kepadanya.

“Saya ada pertimbangkan satu kerusi ini, beliau menawarkan kepada saya tetapi apabila dilihat prestasi, beliau seorang ahli Parlimen yang sangat baik... saya rasa rugi pula, jadi semuanya sedang dipertimbangkan,” katanya.

Katanya, beliau memerlukan keselesaan di kawasan seperti Permatang Pauh yang sudah seperti adik beradik.

“Ini soal untuk kita memberikan perkhidmatan kepada rakyat. Kita perlukan keselesaan itu, seperti di Permatang Pauh kita rasa macam adik beradik, boleh melawak begitu dan begini dan saya sangat yakin dengan mereka begitu juga mereka (pengundi).

“Hendak mencapai tahap sebegitu tidak mudah kerana ia mengambil masa,” katanya.

Namun kerusi yang ditandingi bukan Parlimen Pandan susulan penafian yang dibuat isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga wakil rakyat kawasan tersebut.

[ARTIKEL BERKAITAN : Anwar akan tanding kerusi Parlimen]

Saturday, August 18, 2018

Biarlah Tun M jadi PM - Anwar

Anwar (kiri) dan Dr Mahathir. Foto Bernama

PETALING JAYA: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sekiranya beliau dilantik menjadi Ahli Parlimen beliau bakal memfokuskan urusan Parlimen bukan menguruskan negara.

Menurutnya, biarlah Perdana Menteri masih Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menguruskan hal ehwal negara.

"Saya pun sudah memberitahu Dr Mahathir bahawa saya akan melihat urusan Parlimen, biarlah saya melihat pembaharuan Parlimen dan Dr Mahathir terus menguruskan negara.

"Saya tidak akan membenarkan apa juga percubaan untuk memutuskan hubungan kami," katanya kepada pemberita.

Anwar berkata, mereka berdua sudah cukup matang untuk berjuang dalam pertempuran ini.

Beliau turut menafikan, desas-desus kononnya menggunakan nama Rafizi Ramli sebagai alat untuk menjadi Perdana Menteri.

"Rafizi mempunyai intelektual politik sendiri dan saya fikir beliau tidak akan menjadi murah untuk menimbulkan apa juga perkara yang menjejaskan keperibadiannya.

"Saya tidak mahu menggunakan individu-individu yang bertanding, mereka mesti mematuhi etika, tidak ada fitnah untuk membeli fitnah kerana bertentangan dengan peraturan," katanya yang mengakui Rafizi merupakan rakan sekerjanya.

Mengulas mengenai adakan menerima tawaran daripada mana-mana wakil Ahli Parlimen untuk memberi tempat untuknya, beliau mengakui pelbagai individu (Ahli Parlimen) pelbagai parti dan negeri sudah berjumpanya.

Namun katanya, perkara itu belum masanya lagi dan beliau masih memberi keyakinan kepada Dr Mahathir mengurus negara. 

- Sinar Harian

Sunday, August 12, 2018

Annuar akui Malaysia lebih perlukan Anwar sekarang

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
12 OGOS 2018


SHAH ALAM - Negara hari ini memerlukan ketokohan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, idealisme perjuangan Anwar tetap segar seperti zaman 80-an lalu.

"(Intipati) wawancara Anwar cukup menarik. Idealisme perjuangan tetap segar, sama saperti di tahun 80-an dan 90-an.

"Malah pendiriannya cukup kejap dalam isu Islam, Melayu,Raja-raja dan ummah.

"Negara lebih memerlukan beliau kini," katanya menerusi di Facebooknya, hari ini.

Menurut Annuar, idealisme Anwar pernah terhalang ketika pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad suatu ketika dulu.

"Malangnya idealisme ini terhalang apabila beliau mula mencabar atau di rasakan mencabar Tun Mahathir.

"Hal sama di lalui Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan Datuk Seri Najib Razak.

"Kita mendoakan kali ini beliau lebih arif. Pisang jangan berbuah dua kali," katanya.

Dalam pada itu, beliau sempat melahirkan kebimbangan terhadap suasana negara hari ini.

"Islam, Melayu, Raja-raja, bahasa banyak dikompromikan kerana pimpinan datang daripada parti yang terlalu lemah dan kedudukannya terlalu bergantung kepada sokongan orang lain.

"Kita terpaksa membayar dgn harga yg mahal jika ini berterusan. 'Please save Malaysia'," katanya.

Sunday, August 5, 2018

Anwar hantar borang pencalonan tanding presiden PKR

Mohamad Fadli | August 5, 2018
Setiausaha jawatankuasa pemilihan, Ismail Yusof mengesahkan menerima borang pencalonan Anwar untuk bertanding jawatan presiden parti itu pada 11.15 pagi.
Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Zin (kiri) menyerahkan borang pencalonan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding jawatan presiden parti itu.

PETALING JAYA: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim disahkan bertanding merebut jawatan presiden PKR setelah borang pencalonannya diterima oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) pagi tadi.

Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha JPP, Ismail Yusof yang berkata borang pencalonan Anwar untuk bertanding jawatan presiden parti itu diterima pada 11.15 pagi.

“Kita sahkan JPP terima borang pencalonan Anwar. Setakat ini hanya ada satu calon presiden,” katanya di ibu pejabat PKR, hari ini.

Borang pencalonan Anwar itu dihantar oleh Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Zin yang hadir sebagai penyokong beliau.

Manakala pencadang Anwar pula ialah penyandang presiden PKR dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

15 Julai lalu, Anwar secara rasmi menamatkan spekulasi apabila mengumumkan akan bertanding merebut jawatan presiden PKR dalam pemilihan parti itu bulan depan.

Anwar berkata keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan PKR.

PKR dijangka mengadakan pemilihan pepimpinan parti bermula Ogos hingga September depan.

Jawatan presiden PKR sekarang dipegang Wan Azizah. Anwar sementara itu dinamakan ketua umum, jawatan yang tidak wujud dalam perlembagaan parti itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik, Najwan Hilimi mengesahkan menghantar borang untuk jawatan ketua Pemuda PKR.

Kedua-dua menghantar borang pencalonan masing-masing pada 10.30 pagi.

Setakat 12.30 tengahari tadi setiausaha JPP turut mengesahkan menerima borang pencalonan Rafizi Ramli untuk jawatan timbalan presiden PKR; 2 calon untuk jawatan naib presiden, iaitu William Leong dan Michael Tamil; satu pencalonan untuk jawatan ketua Wanita PKR, iaitu Fuziah Salleh; 2 pencalonan untuk timbalan ketua Wanita, iaitu Daroyah Alwi dan Rodziah Ismail.

Untuk jawatan timbalan ketua AMK, 2 pencalonan diterima iaitu Naqiuddin Nazri dan Raymond Ahmal; dan 3 calon untuk jawatan naib ketua AMK, iaitu Thibari Subramaniam, Chua Wei Keat dan Ahmad Syukri Che Abdul Razak.

Sunday, July 15, 2018

Anwar umum tanding presiden PKR

Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya mengumumkan beliau akan bertanding bagi jawatan presiden bagi pemilihan PKR akan datang.

Ketua umum PKR itu berkata keputusan dicapai selepas perbincangan dengan presiden yang juga isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, timbalan presiden Datuk Seri Mohamad Azmin Ali serta kepimpinan lain.

"Dengan penuh kesedaran atas prinsip iltizam bil jamaah, saya menawar diri untuk bertanding jawatan presiden.

"InsyaAllah jika mandat diperolehi daripada akar umbi seluruh negara, saya akan mengemudi parti selaku presiden selepas selesai Kongres Nasional pada November ini," katanya lagi dalam kenyataan hari ini.

[Berita penuh menyusul]

Saturday, September 2, 2017

Semoga Anwar berjaya pujuk Pas, kata MP Amanah

02 September 2017 | MALAYSIA DATELINE


Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin sedikitpun tidak meragui hasrat Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR untuk menjalinkan kerjasama dengan Pas.

Beliau berpandangan, dengan kenyataan Anwar mengenai hubungan PKR dan parti suci yang dipercayai merujuk kepada Pas itu, ia mungkin dilihat akan berjaya.

"Personally I am wiling to give DSAI or PKR any benefit of doubt dalam menyatakan pendirian beliau atau PKR tentang parti suci meskipun saya tidak pernah optimis ia mungkin berhasil...anyway, kita sama sama tunggulah..apa pun, don't under estimate skill DSAI. Good luck DSAI," ujar Hanipa dalam status yang dimuat naik di facebooknya petang ini.

Hanipa mengulas mengenai kenyataan Anwar hari ini antara lain tidak keberatan jika partinya ingin mengendalikan Kongres Khas sebagaimana di cadangkan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Anwar memohon pertimbangan dan kerjasama rakan-rakan untuk memberikan sedikit ruang kepada presiden dan pimpinan untuk memberi penjelasan dan menentukan dasar dan arah selanjutnya selaras dengan pendirian PKR dan muafakat Pakatan Harapan.

Mengulas lanjut kenyataan Anwar itu, Hanipa berkata, apa yang beliau fahami kenyataan Anwar mengenai hubungan dengan Pas itu, ujarnya, AMANAH sentiasa menghormati dan tidak pernah meragui kejuruan Anwar selama ini dalam mengetuai pakatan pembangkang.

"Saya dan kawan-kawan dalam AMANAH sentiasa respect dengan DSAI dan tidak pernah ragu dengan 'his innocence' hatta ketika kami di dalam parti suci dulu sehingga we paid heavy price and sanggup digelar dengan pelbagai gelaran oleh puak-puak suci daripada parti suci.

"Sama ada dalam Parlimen, luar parlimen, dalam parti atau luar parti saya dan kawan-kawan sentiasa pertahan DSAI dan PKR meskipun puak-puak suci tertentu dalam parti suci, saya berterus terang, tidak pernah senang dengan DSAI atau PKR. Bila DSAI dibebaskan oleh mahkamah tinggi kami turun ke court bagi sokongan padu kepada DSAI tapi puak-puak suci tidak mahu turun dan kami arif kenapa mereka tidak mahu turun," ujarnya.

Justeru Hanipa berkata apa yang berlaku terhadap Anwar dan PKR hari ini Amanah ujarnya, sentiasa menghormati mereka.

"Sebab itu sebagai contoh kecil kami pertahan habis-habisan Kak Wan (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) sebagai calon Permatang Pauh, calon pertama MB Selangor, calon ketua pembangkang walau pun ada rakaman video ucapan yang menghina KaK Wan,isu kekalkan kerusi PKR di Kota Damansara meskipun kami tahu wujudnya penyeludupan baiah daripada pintu belakang oleh orang tertentu dengan kerjasama yang amat tidak beradab daripada pemimpin tertinggi parti suci itu," terangnya.

Menurut Hanipa lagi jika mahu disenaraikan apa yang Pas lakukan terhadap PKR dan Anwar ujarnya, pasti ramai yang akan berasa pelik kerana Anwar masih menunjukkan sikap yang baik terhadap Pas.

"Saya tidak pelik sebab setakat yang saya tahu dan kenal DSAI beliau amat pemaaf orangnya patutnya sikap pemaaf akhlak agung Nabi junjungan ada pada orang yang dipanggil ulama tetapi...

"Setakat ni kita nampak hanya DSAI yang dilihat sanggup 'lupakan karenah parti suci demi melihat satu visi yang lebih jauh..tak mahu melihat front pembangkang tidak united lawan BN.

"Tapi bagi setengah orang pula mereka mungkin nampak lain. Despite sikap gentlemen DSAI kepada parti suci tapi karenah parti suci tidak nampak ada perubahan.Makin teruk ada lah..in my view lah," tulisnya.

Friday, May 19, 2017

Anwar mahu Azmin terus bincang nasib exco PAS Selangor

Hafiz Yatim
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Menteri Besar Selangor Azmin Ali, untuk meneruskan perbincangan sebelum membuat keputusan muktamad mengenai nasib tiga exco PAS yang masih bersama kerajaan negeri.

Beliau berkata adalah penting bagi Azmin untuk membincangkan perkara itu walaupun PAS membuat keputusan untuk memutuskan tahaluf siyasi atau hubungan politik dengan PKR.

"Kita perlu berbincang dan saya telah meminta Azmin untuk meneliti perkara itu.

“Saya rasa perbincangan sedang diadakan petang ini," katanya kepada pemberita di mahkamah.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kedudukan tiga exco Selangor berikutan keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang meluluskan keputusan Muktamar parti itu pada April lalu untuk memutuskan hubungan dengan PKR.

PAS sebelum ini menamatkan hubungannya dengan DAP dan baru-baru ini berkata, parti itu tidak akan bekerjasama dengan BERSATU.

[Baca berita penuh]

Thursday, December 15, 2016

Anwar masih ada dua pilihan

WARTAWAN SINAR HARIAN
15 DISEMBER 2016
Anwar Ibrahim
SHAH ALAM - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai dua pilihan lain berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak semakan berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya.

Satu, mengemukakan permohonan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V atau kedua, permohonan untuk membatalkan kehilangan kelayakan berdasarkan Perkara 48 (3) Perlembagaan Persekutuan sekiranya permohonan pengampunan itu ditolak.

Pengamal undang-undang, Syahredzan Johan berkata, walaupun sebelum ini keluarga Anwar memfailkan permohonan itu dan ia ditolak oleh Lembaga Pengampunan Diraja, tiada mana-mana peruntukan undang-undang mengatakan permohonan itu tidak boleh dibuat berulang kali.

“Anwar boleh mencubanya di hadapan Yang di-Pertuan Agong yang baharu, dengan memfailkan permohonan itu sendiri,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, apabila permohonan itu dikemukakan, ia tidak bermaksud keputusan dan sabitan yang dibuat oleh mahkamah sebelum ini diketepikan.

“Dengan permohonan ini, sabitan terhadapnya masih ada cuma tidak perlu menjalani hukuman penjara lima tahun sebagaimana diputuskan oleh mahkamah,” katanya.

Syahredzan berkata, opsyen kedua juga boleh digunakan bagi membolehkan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bertanding pada PRU14.

“Apa yang boleh dilakukan, selesai menjalani hukuman penjara, beliau boleh mengemukakan permohonan membatalkan kelayakan kerana individu yang disabitkan kesalahan akan hilang kelayakan bertanding selama tempoh lima tahun.

“Sekiranya gagal, beliau perlu menunggu PRU 15 untuk bertanding,” katanya.

Pada 16 Mac tahun lalu, Yang di-Pertuan Agong sebelum ini pada mesyuarat Lembaga Pengampunan telah menolak petisyen pengampunan diraja yang difailkan oleh keluarga Anwar.

Oleh yang demikian, Anwar hilang kelayakan sebagai ahli parlimen berdasarkan Perkara 48(4)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Wednesday, December 14, 2016

'Nasib Anwar akan diputuskan hari ini'

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
14 DISEMBER 2016
Anwar Ibrahim - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini akan memutuskan nasib Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung semakan hukuman sabitan kes Liwat II beliau.

Langkah ini, merupakan tindakan terakhir Anwar untuk membatalkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 lepas, berhubung sabitan hukuman penjara lima tahun ke atas beliau.

Jika berjaya, Anwar akan dibebaskan. Jika tidak, maka satu-satunya jalan yang ada ialah melalui pengampunan di Raja.

Ikuti lintas langsung Sinar Online berkenaan perkembangan isu ini hari ini.

7.30AM - Keadaan semasa di luar bangunan Istana Kehakiman, Putrajaya pagi ini.

8.10AM - Para penyokong Anwar sedang menikmati sarapan pagi.

9:00AM - Himpunan Soladariti menuju kebebasan Anwar bermula dengan ceramah pimpinan PKR.


9.10 AM - Naib Presiden PKR, Tian Chua memberikan ucapan beliau di Himpunan Solidariti Menuju Kebebasan Anwar Ibrahim.

9:35AM - Kehadiran penyokong Anwar semakin ramai.

10.00 AM - Datuk Seri Anwar Ibrahim baru tiba di Mahkamah Perseketuan.

Wednesday, October 5, 2016

Anwar setuju HARAPAN, BERSATU runding dengan PAS

Zulaikha Zulkifli
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau setuju supaya rundingan dilakukan antara Pakatan Harapan (HARAPAN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS bagi mengukuhkan pembangkang di negara ini.

Malah, beliau turut berkata, perbincangan bersama Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari ini juga menjurus kepada peningkatan usaha kerjasama antara BERSATU dan HARAPAN.

"Ya, ya kita setuju ada rundingan dengan PAS.

"Saya alu-alukan kehadiran dia (Muhyiddin) dan kita akan tingkatkan kerjasama dan kita minta PKR dan Pakatan Harapan berbincang dengan dia untuk adakan kerjasama.

"Kita bincang usaha tingkatkan kerjasama bersama Pakatan Harapan dan BERSATU dan supaya dapat berunding dengan semua parti-parti pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri perbicaraan kes fitnahnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Selain itu, ketika ditanya sama ada PAS akan dimasukkan dalam 'pakatan pembangkang baru' berkenaan, Anwar berkata rundingan perlu dilakukan terlebih dahulu.

"Runding dulu kemudian kita tengok persetujuan bersama," katanya lagi.

Tuesday, May 10, 2016

'Tak benar Anwar dalam kritikal'

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berada dalam keadaan kritikal meskipun dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur semalam, kata gerakan Bebas Anwar.

Ia berkata Anwar dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur kira-kira jam 3 petang semalam akibat tekanan darah tinggi ekoran Penjara Sungai Buloh tidak memiliki kemudahan rawatan mencukupi.

"Beliau kini diberi ubat yang baru dalam usaha menstabilkan tekanan darahnya kerana ubat yang digunakan sebelum ini tidak berapa efektif," katanya.

Khabar angin tersebar bahawa Anwar berada dalam keadaan kritikal selepas peguamnya yang juga ahli parlimen PKR, Sivarasa Rasiah semalam memaklumkan beliau dikejar ke hospital.

Isteri Anwar yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melawat suaminya itu di Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Bebas Anwar berkata tekanan darah yang tidak stabil berlarutan sejak tahun lepas.

"Walaupun dalam kesakitan, Anwar tetap bersenyum dan kelihatan tabah ketika dijumpa di mahkamah.

"Juga sering dipesan oleh Anwar adalah untuk penyokong utamakan hal negara dan terus bersatu dalam usaha tumbangkan Umno. Beliau kata soal kesihatannya "perkara remeh temeh" jika nak dibandingkan keperitan dan kesusahan rakyat," katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-