Showing posts with label Najib Abdul Razak. Show all posts
Showing posts with label Najib Abdul Razak. Show all posts

Wednesday, August 24, 2022

Penyokong Najib serah memo mohon pengampunan Agong

malaysiakini.com
B Nantha Kumar
Diterbitkan: Aug 24, 2022 

Hampir 300 penyokong tegar Najib Abdul Razak berkumpul di hadapan Istana Negara di Kuala lumpur hari ini memohon Yang di Pertuan Agong supaya memberikan pengampunan di-raja kepada bekas perdana menteri itu.

Ia susulan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskannya bersalah dalam kes rasuah RM42 juta melibatkan dana SRC International.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan perlu membayar denda RM210 juta bermula semalam setelah dihantar ke Penjara Kajang.
Majlis penyerahan memorandum itu dianjurkan oleh kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia.

Presidennya, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata memorandum hari ini selain memohon pengampunan diraja mempunyai beberapa permintaan lain.

"Permohonan pertama adalah pengampunan diraja serta merta kepada Najib.

"Keduanya kami mohon Peguam Negara Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dan Pengarah Pesuruhjaya Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) untuk menghadap baginda menyemai bukti kes konflik berkepentingan membabitkan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali," katanya.

Menurutnya, dia adalah pengadu (whistle blower) berhubung Nazlan kepada sebuah portal yang mendakwa terdapat konflik kepentingan dalam kes Najib.

"Saya nak tahu apa hasil siasatan SPRM, yang mana SPRM pada 21 Mei keluarkan kenyataan bahawa kertas siasatan diserahkan kepada peguam negara berkaitan kes hakim Mohd Nazlan.

"Tapi, peguam negara baru baru ini berkata hasil siasatan SPRM itu tidak sampai kepada tangan beliau. Adakah konflik kepentingan ini wujud ataupun tidak. Itu yang kami ingin tahu dan perkara ini. Saya rasa tidak perlukan campur tangan politik dalam kes ini.

"Ketua pengarah SPRM dan peguam negara harus menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memberi penjelasan. Jika tidak rakyat akan keliru. Ini satu penganiayaan yang dilakukan terhadap Najib," katanya.

Untuk rekod, pada 21 April lepas, Mohd Nazlan membuat laporan polis berhubung artikel yang disiarkan oleh sebuah portal berita bertajuk ‘Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account’ yang mendakwa bahawa beliau telah disiasat berkaitan wang yang dipindahkan ke akaun banknya.

Mohd Nazlan telah menafikan dakwaan itu serta niat jahat untuk menjejaskan kredibilitinya sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan mengganggu sistem keadilan selain institusi kehakiman melalui artikel tersebut.

Sementara itu, Syed Muhammad turut mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya menyegerakan proses pengampunan diraja.

"Pengampunan diraja terhadap Najib perlu dilakukan oleh kerajaan Malaysia iaitu PM harus memberi satu surat kepada baginda untuk pengampunan Najib.

"Pergerakan itu harus dilakukan daripada perdana menteri dan jangan letakkan batu di atas Yang di-Pertuan Agong. Kemungkinan besar pada Hari Merdeka ini mungkin kami memohon baginda untuk mengampuni segala kesalahan Najib.

Dia juga mendesak Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk menarik sokongan kepada kerajaan pusat hari ini.

"Saya mohon presiden Umno tarik sokongan kepada kerajaan campuran semasa supaya ada pembubaran parlimen.

"Kami percaya kepada PM sehingga hari ini tapi jika ia (pengampunan diraja) tak berlaku, saya anggap kerajaan ini kerajaan zalim.

"Jika ini adalah kerajaan Muhyiddin tidak mengapa, tapi ini kerajaan BN, dan orang yang kamu aniaya pemimpin BN yang banyak berjasa kepada negara. Saya rasa kalau beliau (Najib) tak ada Umno akan hancur," katanya.

Terdahulu, Syed berkata bahawa mereka tidak akan bersurai selagi Ismail Sabri dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi datang ke Istana Negara pada kadar segera.

"Kami nak Ismail Sabri dan Zahid datang ke sini sekarang. Kami tidak akan berganjak walaupun seinci sehingga mereka ke sini," katanya.

Namun, bagaimanapun, mereka akhirnya bersetuju bersurai secara aman selepas pihak polis mengarahkan sedemikian.

Tuesday, April 6, 2021

LHDN serah notis kebankrapan pada Najib

malaysiakini.com
Hariz Mohd
Diterbitkan 6 Apr 2021, 6:16 pm

Bekas perdana menteri, Najib Abdul Razak menerima notis kebankrapan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) semalam, menurut sumber yang rapat dengan ahli politik itu.

Notis berkenaan berhubung cukai sebanyak RM1.7 bilion yang dikehendaki oleh LHDN daripada Najib.

Malaysiakini difahamkan pegawai LHDN datang ke kediaman Najib semalam dan menyampaikan notis itu kepadanya secara peribadi.

"Kes ini telah ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Kuala Lumpur pada 5 Mei ini," kata sumber itu.

[Berita penuh menyusul]

Friday, February 7, 2020

Lokman Adam dipecat dari Umno

Diterbitkan Hari ini 9:25 malam

BERITA

Lokman Adam, yang merupakan penyokong tegar Najib Abdul Razak, telah dipecat daripada Umno oleh majlis tertinggi parti hari ini.

Perkara itu disahkan oleh dua peserta mesyuarat yang diadakan pada petang tadi.

Pemecatan Lokman dipercayai berkaitan dengan pendedahan rakaman audio yang didakwa menggambarkan percubaan Zahid untuk meyakinkan pemimpin parti bekerjasama dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu kenyataan, Lokman mendakwa bahawa dia telah dipecat semasa mesyuarat hari ini melalui "proses mengundi angkat tangan".

Lokman sebelum ini merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno yang dipilih dan tidak hadir pada mesyuarat hari ini dengan menyatakan hilang keyakinan terhadap presiden parti.

Beliau berkata beliau akan meneruskan misinya untuk menentang Pakatan Harapan dan "tali barut" di dalam Umno melalui sebuah NGO laskar siber.

"Apabila Najib kembali menjadi presiden Umno, saya akan memohon semula menjadi ahli Umno.

"Apa yang penting, rancangan Zahid untuk memaksa 3.7 juta ahli Umno untuk mengangkat Mahathir menjadi pengerusi Pakatan Nasional telah gagal," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Sementara itu, Ahli Majis Tertinggi Umno Mohd Puad Zakarshi menyifatkan pemecatan Umno sebagai "kurang bijaksana".

Menurutnya, Lokman hari ini dipecat sebagai ahli Umno atas syor Biro Politik dan bukan atas syor Lembaga Disiplin.

"Apa fungsi Lembaga Disiplin?" soal Puad dalam kenyataan di Facebooknya.

Puad turut mempersoalkan kenapa bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussien tidak dikenakan tindakan sama.

"Tidakkah perbuatan beliau mengadakan pertemuan beberapa kali dengan Mahathir tanpa memaklumkan majlis tertinggi dan presiden Umno adalah melanggar disiplin parti.

"Ia juga tidak menghormati institusi presiden. Bukan kerana mahu mempertahankan Lokman tetapi tindakan mestilah adil dan jangan selektif.

"Apa pun saya telah menyuarakan pendirian saya ini dalam majlis tertinggi. Tapi gagal," katanya.

Monday, December 16, 2019

Pendedahan mengejutkan dari Azilah - ‘Najib arah saya bunuh Altantuya'

Diterbitkan Hari ini 1:45 tengahari 

BERITA

EKSKLUSIF | Azilah Hadri, yang disabitkan bersalah membunuh wanita warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu, membuat dakwaan mengejutkan dari Penjara Kajang.

Banduan yang sedang menunggu hukuman gantung itu mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada bekas perdana menteri Najib Abdul Razak (ketika kejadian merupakan timbalan perdana menteri atau TPM) dan rakan rapatnya Abdul Razak Baginda.

Baca: Ini semata-mata rekaan, kata Najib

Dalam pengakuan julung-julung kalinya itu, Azilah mendakwa dia dan pegawai polis Sirul Azhar Umar hanya mengikuti arahan “shoot to kill” (tembak mati) sebagai anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis.

Perincian itu dimasukkan dalam permohonan yang difailkan Azilah kepada Mahkamah Persekutuan bagi menyemak semula keputusan bersalah dan hukuman mati terhadapnya.

Dia juga memohon perbicaraan semula bagi mengemukakan bukti penuh berkaitan operasi sulit itu di mahkamah terbuka supaya “keadilan dapat ditegakkan”.

[Baca SD penuh Azilah di sini]

Pengurusan kes ditetapkan pada esok hari.

Azilah mendakwa terdapat keterangan tidak dikemukakan semasa prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Dalam akuan berkanun (SD) bagi menyokong permohonannya, Azilah mendakwa Najib mengarahkannya “tangkap dan hapuskan” Altantuya, yang menurutnya, diberitahu sebagai “perisik asing” dan “berbahaya kepada keselamatan negara”.

“Saya bertanya kepada TPM apa yang dimaksudkan dengan tangkap dan hapuskan perisik asing tersebut dan TPM menjawab, ‘Shoot to kill,’ sambil menunjukkan isyarat memotong leher,” SD itu dipetik.

“Apabila ditanya berkenaan maksud musnahkan mayat perisik asing tersebut, TPM menjawab, ‘Lupuskan mayat perisik asing hilangkan kesan.’”

Baca: Imbas kembali kes Altantuya: SD dan keterangan mahkamah

Azilah juga mendakwa Najib memberitahu supaya “berhati-hati dengan perempuan perisik asing tersebut kerana beliau pandai berkata-kata dan penuh tipu helah — salah satunya adalah bahawa beliau sedang mengandung.”

Azilah juga menjelaskan kenapa beliau baru membuat permohonan menyemak semula kes itu.

Dalam afidavitnya, Azilah berkata, pada awal 2018, dia telah merancang untuk membuat SD itu tetapi menangguhkannya kerana bimbang disalah guna menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.

“Saya menegaskan di sini bahawa tujuan saya mengemukakan keterangan-keterangan dan fakta-fakta material di atas adalah bukan hanya kerana saya telah dianiaya oleh pihak-pihak berkepentingan tetapi juga bertujuan untuk saya zahirkan perkara sebenar yang telah terjadi di dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu,” katanya.

“Saya juga berharap agar sahabat-sahabat saya di UTK secara khususnya dan PDRM secara amnya berhati-hati dalam menjalankan arahan-arahan yang diberikan supaya kes penganiayaan seperti yang dihadapi saya ini tidak berulang lagi,” katanya.

Jumpa Altantuya di London'

Azilah berkata, dia ada berjumpa Najib di Pekan pada 17 Oktober 2006.

Dakwanya, Najib mengarahkan dia membunuh “perisik asing.”

Dakwanya lagi, perkara itu diulangi Razak Baginda di pejabatnya pada keesokan harinya.

Berdasarkan SD itu, Azilah mendakwa Razak Baginda juga bertanya sama ada dia ingat wanita yang dia dan TPM jumpa di sebuah lobi kondominium di London.

“...saya beritahu bahawa saya tak berapa ingat tentang perempuan tersebut tetapi tugas eskot (mengiring) TPM dan Razak Baginda dari hotel penginapan ke kondominium tersebut saya ingat. Razak Baginda beritahu perempuan itulah perisik asing yang dimaksudkan,” katanya.

Azilah mendakwa selepas dia nampak wanita itu di luar kediaman Razak Baginda di Bukit Damansara kemudiannya, dia ingat pernah bertemuanya bersama Razak dan Najib di kondominium itu.

Najib sebelum ini berulang kali menafikan pernah bertemu dengan Altantuya. Beliau malah bersumpah menafikannya dalam masjid.

Sementara itu, Azilah berkata dia diarahkan, dimaklumkan dan percaya arahan untuk operasi sulit itu datang terus daripada TPM dan melalui aide-de-camp beliau ketika itu, DSP Musa Safri.

Dalam afidavitnya, dia menyebut tiada motif atau sebab untuk membunuh Alatantunya tetapi Najib dan Musa, dakwanya, berkata operasi itu berkaitan keselamatan negara.

“Selepas operasi sulit tersebut dilaksanakan, saya diarahkan untuk memberikan kerjasama di dalam siasatan pihak polis dan saya juga diberikan jaminan oleh DSP Musa bahawa sebarang perkara berbangkit akan dibantu oleh TPM selagi saya tidak libatkan nama baik TPM.”

Dalam afidavitnya, dia juga berkata:

“Pada setiap masa material, saya percaya bahawa saya bertanggungjawab menyimpan segala rahsia berkenaan operasi sulit tersebut dan saya yakin bahawa saya akan dibantu oleh TPM sama ada dengan cara bahawa saya tidak akan dituduh di Mahkamah dan/atau bahawa sebarang isu berbangkit di dalam operasi sulit ini akan diselesaikan.”

‘Maaf, tapi saya tiada pilihan’

Semasa siasatan polis, Azilah berkata pasukan siasatan menyedari “penglibatan” TPM tetapi menafikan maklumat itu datang daripadanya. Katanya, dia mengesyaki maklumat berkenaan diperoleh daripada Sirul.

Antara lain, Azilah dalam afidavitnya mendakwa:

Dia menerima arahan lisan, tidak secara bertulis, daripada TPM dan Musa.

Dia setuju menjalankan operasi itu atas kepercayaan penuh ia melibatkan keselamatan negara.

Dia percaya BN mempunyai kedudukan kukuh dalam kerajaan dan sebarang cubaan untuk mengingkari arahan TPM atau memburukkan namanya dalam kes itu akan menjadi sia-sia dan boleh mendatangkan kesan negatif terhadapnya.

Dia bimbang keselamatan diri dan keluarganya dan bimbang perintah hukuman mati terhadapnya dilaksanakan segera.

Katanya, selepas Mahkamah persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dia menelefon Musa tetapi diminta bersabar.

“Saya beritahu DSP Musa, ‘Kalau macam ini baik saya bongkar dan beritahu semua.’”

Azilah juga berkata dia melambatkan pemfailan pengampunan kepada Sultan Selangor agar proses pelaksanaan hukuman gantung dapat ditangguhkan.

Bekas polis itu juga memohon maaf atas penglibatannya dalam operasi itu yang “meragut nyawa seorang manusia yang tidak bersalah”.

“Saya dengan rendah diri memohon maaf kepada keluarga Altantuya Shaariibuu di atas apa yang telah terjadi di mana saya tiada pilihan pada waktu tersebut melainkan untuk mematuhi arahan yang diberikan kepada saya dalam menjalankan tugas,” katanya.

[Baca berita asal]

Wednesday, April 3, 2019

Najib sudah dalam kandang tertuduh

Wartawan Malaysiakini 
Diterbitkan Hari ini 1:29 tengahari


LAPORAN LANGSUNG | Pendengaran jenayah terhadap bekas perdana menteri Najib Abdul Razak dalam kes berkaitan SRC International Sdn Bhd dijadual bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada jam 2 petang ini.

Najib berdepan perbicaraan untuk tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dana RM42 juta SRC.

SRC ialah bekas anak syarikat syarikat pelaburan negara sarat hutang 1MDB.

Ahli politik 65 tahun itu sebelum itu turut menjadi menteri kewangan dan penasihat emeritus SRC.

Beliau turut berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM42 kita.

Kes itu akan dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Perbicaraan dijadual berlangsung awal petang ini dengan Peguan Negara Tommy Thomas dijangka menyampaikan kenyataan pembukaan.

Najib akan diwakili pasukan pembelaan diketuai peguam jenayah terkemuka Muhammad Shafee Abdullah.

Malaysiakini membawakan laporan langsung dari kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta.

LANGSUNG

2.07pm: Najib memasuki kandang tertuduh.

Tommy Thomas dan Muhammad Shafee Abdullah masing-masing telah mengambil tempat.

2.00pm: Penyokong kuat Najib, Lokman Noor turut hadir memberi sokongan pada Najib,

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu memberitahu pemberita bahawa pertuduhan terhadap Najib sebagai “pertuduhan terpilih”.

1.55pm: Ditemanani anaknya Ashman dan beberapa pembantu, Najib melangkah masuk ke dalam mahkamah.
Beliau berpakaian rasmi dengan dasi dan tali leher gelap dan kelihatan tenang.

1.45pm: Luar mahkamah: Peguam negara masuk ke bilik mahkamah nombor tiga.

Tommy Thomas mengetuai pasukan 12 pendakwa raya.

Mereka ialah Sulaiman Abdullah, V Sithambaram, Manoj Kurup, Ishak Mohd Yusoff, Donald Joseph Franklin, Suhaimi Ibrahim, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Budiman Lutfi Mohamed, Mohd Ashraf Adrin Kamaril dan Muhammad Izzat Fauzan.

Di sebelah Najib, terdapat peguam baru dalam pasukan itu, iaitu bekas peguam cara negara Yusof Zainal Abiden.

Anggota lain pasukan pembelaan ialah: Harvinderjit Singh, Kamarul Hisham Kamaruddin, Farhan Read, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Rahmat Hazlan, Muhammad Farhan Shafee, Tiara Katrina Fuad, Nur Syahirah Hanapiah, dan Zahria Elena Redza.

Petugas media juga telah bersedia.
Perbicaraan ini menarik perhatian media dalam dan luar negeri.

1.25pm: Luar mahkamah – Sekumpulan penyokong Najib sudah berkumpul di luar mahkamah.
Antara penyokong Najib yang hadir.

Wednesday, November 21, 2018

Najib: Ya, kita kaji Icerd dua kali tetapi mendapati ia tidak sesuai

Diterbitkan 21 Nov 2018, 11:26 pagi |


Bekas Perdana Menteri Najib Abdul Razak berkata kerajaan BN terdahulu di bawah pimpinannya telah dua kali mengkaji kemungkinan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Bagaimanapun, Najib berkata Jawatankuasa Teknikal Icerd, yang ditubuhkan pada 2011 di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di Jabatan Perdana Menteri, mendapati Icerd tidak sesuai dengan kontrak sosial Malaysia.

Beliau berkata kajian kedua Icerd dilakukan pada tahun 2015.

"Hasil dari kajian-kajian itu, kerajaan BN berpendirian untuk tidak meneruskannya kerana ia bertentangan dengan perlembagaan negara dan kontrak sosial yang dicapai semasa pertubuhan negara.

"Kita berpendapat ianya masih belum sampai masa dan masih lagi tidak sesuai untuk negara meratifikasi Icerd.

'Justeru, kerajaan BN tidak pernah memutuskan ataupun mengumumkan bahawa kita akan menandatangani Icerd," kata Najib dalam laman Facebook malam tadi.

Perdana Menteri berkata bentuk kerajaan BN berasa ia masih boleh memastikan keadilan dan keseimbangan dalam perkongsian kekayaan negara dan memastikan usaha itu bersifat inklusif untuk semua.

Beliau berpendapat buat masa ini, adalah lebih baik dan lebih afdal untuk kerajaan PH memberi tumpuan kepada ekonomi yang semakin menurun serta tenat daripada meneruskan usaha untuk ratifikasi Icerd.

Beliau seterusnya mengatakan bahawa kerajaan Pakatan Harapan harus menghentikan percubaannya untuk mengesahkan Icerd kerana banyak orang menentangnya.

"Saya rasa pada masa ini, lebih baik bagi kerajaan untuk memberi tumpuan kepada ekonomi daripada meneruskan usahanya untuk mengesahkan Icerd."

Beliau juga mengingatkan bahawa ekonomi yang tidak baik akan menyumbang kepada keresahan dan kemarahan masyarakat dan bakal mencetuskan 'kejadian yang tidak diingini'.

Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan aussi, menjawab selepas coretan kononnya diambil dari laporan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi pada 2015, yang merujuk kepada Jawatankuasa Teknikal Icerd, tular di media sosial.

Blog Milosuam, yang turut berkongsi screenshot dari laporan yang dikatakan itu, mempersoalkan tindakan Presiden Umno sekarang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam menyeru protes terhadap Icerd apabila kerajaan terdahulu, di mana dia juga seorang menteri, telah memulakan perbincangan mengenainya.

Zahid baru-baru ini mengesahkan bahawa Umno dan PAS akan mengadakan perhimpunan bersana pada 8 Disember untuk membantah pengesahan Icerd.

Banyak kumpulan Islam dan parti politik menentang sebarang langkah untuk mengesahkan Icerd, selepas ia diumumkan bahawa kerajaan baru sedang mengkaji ratifikasinya. Mereka bimbang tindakan itu akan menjejaskan hak Orang Melayu di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

[Baca berita penuh]

Thursday, May 10, 2018

Dr M dijadual angkat sumpah 9.30 malam ini


Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh negara pada malam ini, menurut laporan Bernama.

Terdahulu, pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Menurut New Straits Times, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Panglima ATM Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor juga akan mengadap Agong bagi membincangkan proses peralihan kuasa.

Mahathir dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Ali tiba di Istana Negara petang tadi dengan kereta limusin Proton Perdana berwarna hitam metalik dengan nombor plat "Proton 2020".

Ia melambangkan visi Mahathir - ketika menjadi perdana menteri untuk kali pertama - untuk menjadikan Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Namun selepas "berpatah arang" dengan Datuk Seri Najib Abdul Razak, presiden Umno itu membentangkan visinya sendiri iaitu Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Selain isterinya, Mahathir juga ditemani pemimpin parti HARAPAN iaitu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH Mohamad Sabu.

Wednesday, May 2, 2018

Anwar gay? Saya tak pernah periksa, kata Dr M


Perbalahan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas anak didiknya Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menjadi perbualan di seluruh dunia dua dekad lalu.

Sekarang, selepas dua dekad perkara itu berlalu ia masih menjadi tajuk utama media antarabangsa.

Dalam temu bual dengan The Guardian, bekas perdana menteri itu ditanya tentang pendapatnya mengenai orientasi seks Anwar.

Ditanya sama ada beliau masih percaya Anwar seorang gay, Mahathir menjawab: "Itulah apa yang dikatakan polis kepada saya."

"Saya tak periksa dia, tetapi saya bergantung kepada polis dan saya perlu menerima bukti mereka," katanya.

Mengenai sama ada Anwar layak dipenjarakan, pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berkata beliau jelas mengenai perkara itu.

"Saya seorang muslim, kita tidak menerimanya. Anda boleh menjadi liberal dan menerima perkahwinan sejenis dan seumpamanya, tapi itu urusan kamu. Kami adalah orang yang kolot," katanya.
Anwar dipecat oleh Mahathir dari jawatan timbalan perdana menteri 1998 kerana didakwa memiliki masalah moral.

Beliau kemudian dipenjarakan atas tuduhan salahguna kuasa tetapi dibebaskan atas tuduhan meliwat bekas pemandu peribadinya pada 2004.

Selepas dibebaskan beberapa tahun kemudian, Anwar kembali semula ke arena politik ketika pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pada 2008, beliau sekali lagi menghadapi tuduhan sama, apabila didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan - beberapa bulan selepas pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-12.

Dalam kes kedua itu, Anwar didapati bersalah dan menjalani hukuman penjara selama lima tahun.

Beliau dijangka dibebaskan pada 8 Jun tahun ini.

Bekas ketua pembangkang itu bagaimanapun menegaskan tuduhan terhadapnya sejak 1998 bermotifkan politik.

Penyokong dan organisasi hak asasi manusia di seluruh dunia menggambarkan Anwar sebagai seorang tahanan hati nurani.

Dua tahun lepas, Mahathir dan Anwar berdamai selepas berpendapat mereka perlu bergabung untuk menyelamatkan negara daripada pentadbiran Perdana Menteri sementara Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Anwar menyifatkan pemenjaraannya ketika era Mahathir sebagai luka kecil dan masa depan negara lebih penting berbanding dirinya sendiri.

Dalam sebuah ceramah baru-baru ini, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menyentuh pengalaman pernah ditempuhi suaminya itu pada tahun 1998.


Tanpa menyebut nama Mahathir, Wan Azizah mengimbas kembali kejadian polis menyerbu kediaman mereka di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, dan bagaimana beliau pergi ke ibu pejabat polis bagi merayu pihak berkuasa agar tidak mencederakan suaminya.

Wan Azizah turut mengimbas insiden Anwar diserang Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor ketika itu dan menyamakan mata lebam suaminya dengan simbol PKR.

Logo itu kini digunakan oleh semua calon HARAPAN, termasuk Mahathir sendiri yang kini mengetuai pembangkang dan bertanding di kerusi Parlimen Langkawi.

Saturday, April 14, 2018

Pengakuan mengejutkan dari Strategis DAP

PENGAKUAN MENGEJUTKAN DARI STRATEGIS DAP: TUN DR MAHATHIR GAGAL BAWA TSUNAMI MELAYU, PAKATAN HARAPAN AKAN KALAH DAN DAP AKAN TINGGALKAN PAKATAN HARAPAN

 Posted By Admin
Apr 14, 2018

Dr Wong Chin Huat adalah strategis terkemuka DAP yang mengetuai Program Kajian Politik di Penang Institute, sebuah badan pemikir besar yang didanai oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang dan yang dipengerusikan sendiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Kepakaran Dr Wong Chin Huat adalah dalam bidang pilihan raya di mana tesis PhD beliau yang diserahkan kepada University of Essex pada Ogos 2011 adalah bertajuk “The Implications of the Electoral System for Party Competition in West Malaysia, 1982-2004”.

Di dalam tesis PhD beliau ini, Dr Wong Chin Huat di antara lainnya menyatakan bahawa kemungkinan untuk pembangkang berkuasa di peringkat Pusat adalah hampir tiada (next to zero) kerana faktor “excessive gerrymandering and mal-apportionment of constituencies”.

Semalam Dr Wong Chin Huat mengakui bahawa beliau meragui adanya tsunami Melayu (doubtful of a Malay tsunami) dan menyebut tidak ada apa-apa bukti meyakinkan mengenai adanya tsunami Melayu (there hasn’t been any conclusive evidence of a Malay tsunami).

Kata Dr Wong Chin Huat, dengan persempadanan semula yang meningkatkan bilangan kerusi majoriti Melayu dan bilangan pengundi Melayu dalam kawasan campuran, hanya pengundi bukan Melayu sahaja yang boleh mengekalkan kedudukan Pakatan Harapan.

Kata Dr Wong Chin Huat lagi, berdasarkan hasil persempadanan semula dan ketidakpastian tsunami Melayu ini, jangkaan selamat boleh dibuat bahawa Pakatan Harapan tidak mempunyai peluang langsung untuk menang tanpa 85 peratus pengundi keluar mengundi.

Lebih menarik lagi ialah jangkaan Dr Wong Chin Huat bahawa, selepas kalah, parti-parti di dalam Pakatan Harapan akan menyalahkan satu sama lain atas kehilangan PAS dengan PKR, PPBM dan AMANAH akan menjadi lebih pro-Melayu dan lebih menyokong agenda PAS.

Paling menarik sekali ialah jangkaan Dr Wong Chin Huat bahawa tindakan DAP meninggalkan Gagasan Rakyat pada tahun 1995, meninggalkan Barisan Alternatif pada tahun 2001 dan meninggalkan Pakatan Rakyat pada tahun 2015 akan berulang lagi selepas ini.

Kata Dr Wong Chin Huat, sama seperti alasan yang ia gunakan sewaktu meninggalkan Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, “DAP mungkin akan terpaksa meninggalkan pakatan pembangkang bagi menjaga tapak sekular dan bukan Islamnya”.

Sesatunya perkara yang menggembirakan Dr Wong Chin Huat ialah kerana tindakan SPR memilih hari pengundian pada hari bekerja, iaitu Hari Rabu, yang kononnya merupakan pengakuan tersirat Datuk Seri Najib Abdul Razak mengenai adanya tsunami Melayu.

Sungguh melucukan bila saintis politik seperti Dr Wong Chin Huat boleh menyatakan beliau menolak dapatan kaji selidik yang dibuat oleh semua pusat kaji selidik mengenai tiadanya tsunami Melayu semata-mata kerana pemilihan Hari Rabu sebagai hari pengundian.

Logik yang Dr Wong Chin Huat gunakan ialah bila Hari Rabu dipilih sebagai hari pengundian maka Datuk Seri Najib Abdul Razak mahu menghalang pengundi Melayu dari keluar mengundi menyebabkan kebimbangan mengenai tsunami Melayu akan hilang.

Logik ini, bagi saya, adalah logik yang cukup bodoh sekali, apatah lagi bila selepas tulisan Dr Wong Chin Huat ini dikeluarkan kerajaan telah mengumumkan hari pengundian adalah hari cuti bagi memudahkan semua pengundi, termasuk pengundi Melayu, keluar mengundi.

Inilah rahmat dari pemilihan Hari Rabu sebagai hari pengundian, ia secara tiba-tiba membuatkan strategis terkemuka DAP sendiri mengakui Tun Dr Mahathir gagal bawa tsunami Melayu, Pakatan Harapan akan kalah dan DAP akan tinggalkan Pakatan Harapan.

Saturday, October 28, 2017

Bajet 2018: Apa pula kata pembangkang

Berita Terkini


Bajet 2018 | Belanjawan 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak di Parlimen hari ini menyaksikan pertambahan peruntukan kepada RM280.25 bilion berbanding RM260.8 bilion pada belanjawan sebelumnya.

RM234.25 bilion daripada jumlah itu diperuntukkan bagi perbelanjaan pengurusan, sementara RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, selain simpanan luar jangka RM2 bilion.

Berikut kami kumpulkan beberapa reaksi dari pemimpin parti pembangkang:

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail:

“Kita perlu hapuskan rasuah dan pembaziran dalam negara kita, itu yang paling mustahak. Anda boleh berikan pelbagai hadiah, namun masalah utama negara dalam pentadbiran ekonomi perlu diselesaikan.

Ditanya gambaran kesuluruhan tentang Belanjawan 2018, Wan Azizah berkata: “Showmanship (persembahan)”.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng:
“Najib akan musnahkan harapan kami (Pakatan Harapan) jika beliau mengumumkan memansuhkan GST dalam Bajet 2018. Jika beliau hapuskan GST, BN pasti menang pilihan raya umum akan datang dengan majoriti mutlak.

“Saya gembira dengan pemansuhan beberapa tol di beberapa negeri. Tapi saya kecewa beliau tidak mansuhkan tol di Jambatan Pulau Pinang yang merupakan antara tol terawal.

“Bagaimanapun, GST masih lagi isu paling penting yang mempengaruhi ekonomi dan kehidupan rakyat Malaysia. Ketika Singapura memperkenalkan GST, kadarnya pada 3 peratus. Kini sudah 7 peratus.

“Sekiranya BN menang dalam pilihan raya umum akan datang, GST akan terus dilaksanakan, dan kami yakin kadarnya akan lebih 6 peratus, mungkin bukan dalam masa terdekat, tapi 3 atau 4 tahun kemudian ia akan dinaikkan.

“Rakyat tahu tentang hal ini. Undi BN, GST lebih tinggi di masa depan.”

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita tahu ia dalam bentuk 'gula-gula' untuk menarik hati rakyat. Saya kurang yakin ia sustainable, mungkin sebahagian besar diberi dalam bentuk one-off bukan untuk sepanjang masa.

"Kita mahu tengok taraf hidup rakyat ditingkatkan bukan untuk satu tempoh tahun depan tapi untuk tahun-tahun mendatang.

“Saya tidak nampak usaha untuk itu. Ia lebih soal menarik hati pengundi. Saya juga melihat masih ada lagi projek-projek mega. Sebahagian disebut angkanya, sebahagian tidak dimaklumkan berapa jumlah terlibat.

“Saya bimbang bagaimana bajet ini untuk dibiayai. Adakah sumber dan aliran wang kerajaan cukup untuk menampung pembayaran.. ini tidak termasuk yang langsung tidak disebut dalam belanjawan itu, bayaran-bayaran faedah yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan disebabkan hutang-hutang yang lepas.

“Bagi saya ia langkah yang tidak bijak. Isu pokok masih lagi kos sara hidup rakyat, kenaikan harga barang dan isu GST. Rakyat masih menanggung beban tinggi.

“Ia juga tidak berapa realistik. Komitmen yang dibuat besar, sedangkan sumber pendapatan (kerajaan) tidak meningkat"

Anggota Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad:

"(Penghapusan) tol bagus, itu memang kita mahukan. Lebuhraya di Kelantan pula sepatutnya dinaik taraf sejak dari dulu.

"Bajet pembangunan dan pengurusan sepatutnya diseimbangkan, atau 60 peratus - 40 peratus, namun Bajet 2018 lebih kepada soal pengurusan."

Anggota Parlimen Kapar G Manivannan

“Ini adalah belanjawan untuk memenangi hati masyarakat India, beliau (Najib) sedar undi kaum India penting memandangkan hampir 60 kerusi Parlimen di mana kaum India akan menjadi penentu.

"Beliau mengungkapkan perkataan nallanamide (masa depan untuk kita) untuk menarik undi kaum India. Pada 2013, beliau guna nambikei, untuk memenangi undi kaum India namun tidak ada apa-apa perubahan ketara.

"Masyarakat India mahu melihat perubahan dasar yang menyebabkan kepayahan yang dilalui mereka hari ini."

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-