Showing posts with label Zahid. Show all posts
Showing posts with label Zahid. Show all posts

Tuesday, March 21, 2023

3 anak Najib Razak antara penerus legasi kepimpinan keluarga dalam UMNO

bharian.com.my
Oleh Rohaniza Idris 
roha@bh.com.my
 Mac 21, 2023 @ 10:18am
3 Anak Najib, Datuk Mohd Nizar (kanan), Datuk Mohd Nazifuddin (kiri) dan Nooryana Najwa.

KUALA LUMPUR: Kesinambungan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak diteruskan apabila tiga anaknya terpilih menjawat jawatan dalam pemilihan UMNO kali ini.

Anak sulungnya, Datuk Mohd Nizar Najib, 45, dipilih sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan, yang dulunya diketuai Najib hampir 40 tahun.

Mohd Nizar memperoleh 771 undi menewaskan Bekas Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Pekan sesi 2013 hingga 2018, Asmayudin Uyub yang memperoleh 89 undi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya dan EXCO Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang itu menggantikan Khairuddin Mahmud yang memegang jawatan itu bagi penggal lalu selepas Khairuddin tidak bertanding pada pemilihan kali ini.

Sementara itu, seorang lagi anak Najib, Datuk Mohd Nazifuddin menang jawatan Ketua UMNO Bahagian Langkawi selepas menewaskan Nor Saidi Nanyan dengan majoriti tipis 12 undi.

Bagaimanapun, beliau gagal dalam cubaan jawatan Timbalan Ketua Pemuda UMNO.

Mengulas mengenai kemenangannya, beliau mengakui sebagai anak beliau berbangga dapat meneruskan kesinambungan kepemimpinan bapanya dalam UMNO.

"Banyak yang ingin saya teruskan atas usaha bapa untuk Langkawi dan saya berterima kasih kepada perwakilan di bahagian ini yang memberi ruang dan peluang terutama saya pemimpin dalam golongan muda," katanya.

Usaha bermula sekarang

Seorang lagi anak Najib, Nooryana Najwa atau lebih dikenali sebagai Yana menang Ketua Puteri UMNO Lembah Pantai dan tersenarai calon menang dalam barisan jawatan EXCO Puteri.

Pemilihan kali ini adalah yang pertama menyaksikan pencalonan Yana selepas bapanya tidak lagi menjadi Presiden parti.

Yana berkata, beliau bangga menjadi sebahagian daripada komuniti yang menghargai semangat perjuangan parti dan meneruskan legasi bapanya.

Katanya, tanggungjawab itu perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen dan usaha perlu dilaksanakan bermula sekarang.

"Insya-Allah Yana tidak akan mengecewakan anda dan Yana akan sentiasa bersama anda. Puteri perlukan segala idea dan bakat adik Puteri," katanya.

Selain anak Najib, beberapa anak bekas pemimpin parti itu turut meneruskan legasi kepimpinan bapa dan ibu mereka.

Turut tersenarai dalam barisan kepemimpinan di bahagian dan Pusat serta sayap parti, anak Presiden UMNO, Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid yang dipilih dalam barisan EXCO Wanita UMNO.

Nurul Hidayah memperoleh undi kedua terbanyak bagi jawatan EXCO Wanita UMNO Pusat dengan memperoleh 330 undi dalam pemilihan

Namun, di Bahagian Bagan Datuk beliau tewas kepada Zainab Samsudin merebut jawatan Ketua Wanita.

Nama lain termasuk anak Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Reena Awliyatul Imani yang memenangi jawatan EXCO Puteri UMNO; anak Menteri Besar Perak, Syahir Shaarani menang Ketua Pemuda Bahagian Gerik, anak bekas Ketua Bahagian UMNO Pasir Salak, Datuk Seri Rahayu Tajuddin dipilih Ketua Wanita bahagian berkenaan.

Percubaan seorang lagi anak Tajuddin, Dr Faizal merebut jawatan Ketua Bahagian Pasir Salak tidak berjaya apabila tewas kepada Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun.

Anak bekas Ketua Bahagian UMNO Ketereh, Afiq Amani Annuar menang jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian.

Sokongan penyokong ibu bapa

Mengulas kemenangan anak pemimpin dan bekas kepemimpinan UMNO pada pemilihan UMNO, Pensyarah Kanan Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil berkata, kemenangan itu sedikit sebanyak atas faktor sokongan penyokong ibu dan bapa mereka.

"Namun, langkah meneruskan legasi kepemimpinan ini bukan satu yang luar biasa. Ia berlaku dalam mana-mana tamadun dan di seluruh dunia.

"Legasi kepemimpinan dan keluarga dalam politik bukan satu yang aneh, di India ada legasi Mahatma Ghani, manakala di Filipina ada keluarga Marcos dan Aquino," katanya.

Friday, March 3, 2023

Nasib ekonomi Melayu era Kerajaan Anwar-Zahid

harakahdaily.net
March 3, 2023
KETIKA era PERIKATAN NASIONAL, pada 2022 kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM77.3 bilion subsidi untuk rakyat kembali hidup selepas era pandemik dan kesan ekonomi global (perang Rusia-Ukraine).

Namun, Kerajaan Anwar-Zahid hanya memperuntukkan RM64 bilion untuk subsidi bagi tahun 2023. Nasib kita orang Malaysia tokoh rakyat yang dahulunya berceramah serata Malaysia mahu membela rakyat, kini telah mengurangkan jumlah subsidi di era pentadbiran mereka. Sedangkan jelas 2023 ini tahun yang sukar.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), ekonomi Malaysia dijangka mula menyederhana berikutan daripada kesan ketidakstabilan ekonomi global yang akan memberikan kesan secara tidak langsung kepada ekonomi Malaysia.

Pada masa yang sama Kerajaan Anwar-Zahid ini juga berpendirian tegas untuk tidak membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) termasuk secara bersasar.

Ini adalah kerja jahat dan menekan. Rakyat di bawah sedang sengsara untuk makan dan melunaskan komitmen bulanan mereka demi meneruskan hidup, alih-alih Anwar-Zahid yang sedang bersenang lenang di kerusi empuk Putrajaya menyekat duit milik rakyat yang sedang hidup dengan penuh kesusahan ini.

Penjawat awam juga jadi mangsa. Sebelum PRU mereka janji untuk naikkan gaji rakyat dengan intervensi kuasa kerajaan namun kini disuruh pula Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk bersabar kerana tidak menaikkan gaji akan kakitangan penjawat awam yang menjadi nadi kepada keberhasilan gerak kerja dasar kerajaan pada hari ini.

Sedangkan kos sara hidup rakyat terus meningkat. Namun Kerajaan Anwar-Zahid ini hanya pejam mata melihat rakyat sengsara.

Ada di antara peneroka FELDA yang hampir tidak terkira hutang mereka kepada FELDA. Namun ‘Abah’ (PM8) hadir melegakan jiwa mereka. Dihapusnya oleh beliau akan hutang-hutang mereka sebanyak RM8.3 bilion melalui kuasa politik yang beliau ada.

Namun, Anwar-Zahid dengan kuasa politik yang mereka dapat melalui ‘Deal of Century Cikgu’ telah menghentikan inisiatif ini.

Inilah nasib kita khususnya orang Melayu di era Anwar-Zahid. Umno hanya dijadikan alas kaki untuk mereka membentuk kerajaan untuk bersenang lenang, bukan untuk membangun ekonomi Melayu.

MUHAMMAD HANIF JAMALUDDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor

 – HARAKAHDAILY 3/3/2023

Tuesday, June 28, 2022

UMNO bukan nak tadbir negara, kata Dr Mahathir

agendaily.com
28/06/2022
Tun Dr Mahathir Mohamad semasa diwawancara dengan Agenda Daily baru-baru ini di pejabatnya, Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Bekas Perdana Menteri (PM) dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad membidas kepemimpinan UMNO yang hanya memainkan isu pertukaran PM berbanding untuk mentadbir negara.

“Itulah kerja mereka…bukan hendak mentadbir negara,” katanya diminta mengulas pendedahan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, semalam.

Dr Mahathir berkata pendedahan itu menunjukkan banyak perkara yang disembunyikan daripada pengetahuan rakyat.

Tanpa memperincikan mana-mana parti politik, beliau berkata pertukaran PM menjadi isu yang dimainkan pihak terbabit bagi menarik sentimen rakyat.

“Nampak banyak perkara berlaku yang disembunyi daripada rakyat. Ada pakatan usaha untuk adakan seorang Perdana Menteri baharu, jadi mereka main isu tukar pendana menteri.

“Itulah kerja mereka…bukan hendak mentadbir negara,” katanya menurut BH.

Terdahulu Dr Mahathir hadir di Jabatan Peguam Negara untuk memberi keterangan berkaitan isu Batu Puteh kepada Pasukan Petugas Khas Batu Puteh, namun tidak berbuat demikian setelah mengetahui bekas Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali masih menjadi pengerusi pasukan itu.

Semalam, Tajuddin yang disingkir daripada Majlis Tertinggi (MT) UMNO mendakwa segala keputusan mesyuarat MT UMNO selama ini bukan kehendak ahli MT, sebaliknya adalah kehendak Zahid sendiri.

Ahli Parlimen Pasir Salak turut mendedahkan Zahid mengetuai bagi menandatangani SD dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO bagi menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai PM.

Tajuddin turut mendakwa Zahid juga tidak berpuas hati dengan kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai PM kerana beliau tidak diberi ruang menggalas jawatan itu.

Mengenai isu Batu Puteh, Dr Mahathir dipetik The Star sebagai berkata beliau tidak akan menghadiri sebarang pertanyaan panel selagi Apandi kekal pengerusi pasukan petugas itu.

“Saya menulis surat kepada AGC untuk mendapatkan penjelasan mengapa Apandi dipilih sebagai pengerusi pasukan petugas ini. Apandi adalah orang yang terlibat dalam kes ini, dia tidak sepatutnya menjadi pengerusi sebaliknya menjadi saksi.

“Tetapi di sini, beliau dilantik sebagai pengerusi yang tidak masuk akal. Terdapat konflik kepentingan. Saya dijemput untuk menghadiri sebarang siasatan di sini hari ini, jadi saya datang. Mereka memberitahu saya pengerusinya masih Apandi.

“Jika mereka berkata demikian dalam jawapan kepada surat saya, saya tidak akan datang hari ini,” katanya.

Wednesday, June 23, 2021

Perpecahan Umno kepada 3 ‘puak’ makin nyata, kata penganalisis

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
-June 23, 2021 3:45 PM

Seorang penganalisis politik berkata Umno mungkin akan berdepan kekalahan sekali lagi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya kepimpinan dalam parti itu tidak diubah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perpecahan dalam Umno kepada tiga “puak” semakin jelas dan tidak lagi dapat dinafikan, kata penganalisis politik.

Ini susulan pendedahan Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz bahawa beliau sendiri yang berusaha mengumpulkan surat akuan bersumpah (SD) Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak yakin dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, malah memberi mandat kepada Hishammuddin Hussein untuk menjadi jurucakap jika dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain berkata, tiga kumpulan yang berpecah itu membabitkan kluster mahkamah, puak penyokong Hishammuddin bersama 16 Ahli Parlimen, dan kelompok yang menyokong penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, lebih popular dipanggil Ku Li.

Tambahnya, gerakan mengumpul SD oleh Nazri juga adalah sebagai satu tekanan terbuka kepada Zahid supaya berundur daripada jawatannya dalam parti.

“Tindakan Nazri itu dianggap wajar kerana yang salah adalah Zahid sendiri yang melakukan tindakan menulis surat menyokong Anwar sebagai perdana menteri tanpa berunding dengan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

“Beliau buat kerja secara berahsia walaupun nafi dirinya terlibat,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, tindakan Zahid menyokong Anwar itu turut dibantah Ku Li yang menyarankan tindakan disiplin diambil terhadapnya.

“Lembaga disiplin tidak sepatutnya amalkan layanan dua darjat seperti dalam filem ‘Musang Berjanggut’ kerana ahli dan MKT Umno tentu marah dengan perbuatan Zahid,” kata Atory.

Gerakan dibuat Nazri itu, tambahnya, juga adalah usaha menafikan percubaan mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Tindakan Nazri ini sebaliknya menyelamatkan hayat politik Muhyiddin Yassin sebagai PM buat sementara waktu sehingga beliau memohon Agong bubarkan Parlimen,” katanya.

Salawati Mat Basir dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula berpendapat, tekanan terbaru ke atas Zahid itu menampakkan dengan ketara beliau tidak lagi relevan menerajui Umno apabila satu persatu isu timbul.

“Sepatutnya Zahid berundur dengan cara baik, sebab beliau tidak lagi relevan untuk pimpin Umno, tapi puak-puak lama masih lagi mempertahankan beliau atas sebab tertentu.

“Kalau tidak diubah kepimpinan dalam Umno, PRU (pilihan raya umum) nanti Umno mungkin akan berdepan sekali lagi kekalahan,” kata Salawati.

Sementara itu, bekas ahli akademik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Azmi Hassan pula berkata, tindakan Nazri mengangkat Hishammuddin agak lemah berbanding usaha Zahid menyokong Anwar kerana Hishammuddin tidak mempunyai sokongan padu dalam parti.

Beliau turut mengakui, berlaku perpecahan dalam Umno untuk menentang Zahid.

“Tapi bagi saya, salah satunya kemungkinan kenapa berlaku perpecahan adalah kerana kepimpinan Zahid sendiri dikatakan agak goyah.

“Keprihatinan atau ketegasan Zahid itu ditagih sebenarnya, sebab itu ramai yang berani menongkah secara terang-terangan untuk melawan beliau,” katanya.

Azmi melihat tindakan Zahid memilih bekerjasama dengan Anwar adalah lebih kepada strategi politik kerana Presiden PKR itu lebih popular berbanding pemimpin lain.

“Cuma (apabila) ia dilakukan di sebalik tabir, masalahnya kerana mereka tahu sensitiviti ahli Umno. Penyokong Umno kuat menolak Anwar, ini menyebabkan usaha kerjasama itu tidak boleh dilakukan secara terbuka.

“Bagaimanapun, sama ada strategi Zahid-Anwar ini berjaya atau tidak, bergantung kepada bagaimana mereka melalui rintangan ini,” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Azizuddin Mohd Sani tidak melihat ahli Umno begitu mudah menghukum Zahid walaupun pelbagai tekanan diberikan.

“Saya tidak nampak ahli-ahli Umno nak hukum Presiden, status quo kekal,” katanya.

Sebelum ini, Nazri mendakwa 25 Ahli Parlimen BN tidak yakin dengan ketelusan Zahid untuk menjadi wakil mereka menghadap Agong.

Ini kerana mereka kecewa dengan tindakan Zahid yang dikatakan mengemukakan surat sokongan Ahli Parlimen Umno kepada Anwar sebagai perdana menteri baharu sewaktu menghadap Agong pada September tahun lalu, katanya, menurut Sinar Harian.

Nazri berkata, tindakan Zahid sebelum ini menimbulkan curiga mereka dan khuatir beliau (Zahid) akan mengulanginya.

“Berikutan itu kami bersetuju memberi mandat kepada Hishammuddin untuk menjadi jurucakap Ahli Parlimen BN bagi memberi penegasan sebenar bahawa kami tidak pernah dan tidak akan menyokong Anwar sebagai perdana menteri,” tambahnya.

Nazri menafikan SD itu bertujuan untuk menjatuhkan Muhyiddin Yassin atau menukar kerajaan.

Wednesday, March 17, 2021

Ada gerakan sulit dalam UMNO cuba batal keputusan putus hubungan dengan Bersatu?

perakinsights.com
March 17, 2021 

Seorang pemimpin Umno cuba mengubah keputusan parti itu untuk tidak bekerjasama dengan PPBM pada pilihan raya akan datang, FMT difahamkan.

Menurut sumber, beberapa pemimpin bahagian sudah didekati sementara yang lain tahu akan langkah itu.

Ada yang diminta menandatangani dokumen yang meminta kepemimpinan parti mempertimbangkan semula keputusan tersebut.

Ahli Parlimen itu, yang identitinya masih dirahsiakan FMT sementara menanti komen beliau, dikatakan meminta banyak pemimpin bahagian untuk mendesak Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk berunding semula hubungan dengan PPBM.

“Hujah beliau ialah Umno akan kalah jika tidak berganding bahu dengan PPBM,” kata sumber itu.

Pemimpin parti itu dipercayai akan membangkitkan perkara itu pada perhimpunan agung Umno yang akan diadakan akhir bulan ini.

“Tetapi, usaha beliau ini tidak mendapat sambutan daripada ketua bahagian. Mereka melihat usaha pemimpin itu hanya memenuhi agenda musuh memecah belahkan Umno dari dalam.”

Awal bulan ini, Zahid dilaporkan mengirim sepucuk surat kepada Perdana Menteri dan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin yang memaklumkan bahawa Umno tidak akan bekerjasama dengan PPBM pada PRU15.

Umno juga berkata parti itu hanya akan bekerjasama dengan kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan.

Semasa pemilihan bahagian parti tahun lalu, 147 daripada 191 bahagian Umno meminta parti itu menarik balik kerjasama dengan PPBM. 

– FMT

Wednesday, January 20, 2021

Dua hari lepas mesyuarat tanpa pelitup, hari ini dah sah kena Covid-19

malaysiadateline.com
Oleh ARIF ATAN
January 20, 2021 12:58 pm


Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hari ini disahkan positif Covid-19.

Pengarah Pilihan Raya Umno itu dikesan menghadiri mesyuarat dua hari lalu bersama dengan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir ialah Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi empat tuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Tiga gambar yang tular di media sosial itu dirakam sendiri oleh Tajuddin dengan dua daripadanya aksi swafoto wakil rakyat berkenaan bersama Zahid dan Najib.

Satu gambar lagi memaparkan 10 individu lain dalam pertemuan yang kesemuanya tidak memakai pelitup muka.

Semalam Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz disahkan positif Covid-19.

Tajuddin yang juga Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd dan Nazri duduk bersebelahan dalam satu sidang media pada 12 Januari lalu.

Menerusi Facebook rasmi Tajuddin, pengelola media sosial itu memaklumkan pemimpin Umno berkenaan melakukan ujian saringan semalam.

Sehubungan itu, kata Facebook itu, mereka yang mempunyai kontak rapat dengan Tajuddin eloklah melakukan ujian saringan Covid-19.

“Datuk Seri Haji Tajuddin memohon maaf di atas sebarang kesulitan dan berterima kasih kpd semua pihak yang mendoakan beliau,” menurut catatan itu lagi.

Difahamkan, Tajuddin yang tidak menunjukkan sebarang simptom pada masa ini masih berada di rumahnya di Bukit Damansara.

Namun, anak kepada Tajuddin memberitahu, ayahnya menjalani saringan semalam selepas Nazri disahkan positif.

Dalam tempoh empat bulan sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu, sekurang-kurangnya 29 ahli politik pelbagai parti dijangkiti Covid-19.

LANJUT MENYUSUL

Friday, February 7, 2020

Lokman Adam dipecat dari Umno

Diterbitkan Hari ini 9:25 malam

BERITA

Lokman Adam, yang merupakan penyokong tegar Najib Abdul Razak, telah dipecat daripada Umno oleh majlis tertinggi parti hari ini.

Perkara itu disahkan oleh dua peserta mesyuarat yang diadakan pada petang tadi.

Pemecatan Lokman dipercayai berkaitan dengan pendedahan rakaman audio yang didakwa menggambarkan percubaan Zahid untuk meyakinkan pemimpin parti bekerjasama dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu kenyataan, Lokman mendakwa bahawa dia telah dipecat semasa mesyuarat hari ini melalui "proses mengundi angkat tangan".

Lokman sebelum ini merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno yang dipilih dan tidak hadir pada mesyuarat hari ini dengan menyatakan hilang keyakinan terhadap presiden parti.

Beliau berkata beliau akan meneruskan misinya untuk menentang Pakatan Harapan dan "tali barut" di dalam Umno melalui sebuah NGO laskar siber.

"Apabila Najib kembali menjadi presiden Umno, saya akan memohon semula menjadi ahli Umno.

"Apa yang penting, rancangan Zahid untuk memaksa 3.7 juta ahli Umno untuk mengangkat Mahathir menjadi pengerusi Pakatan Nasional telah gagal," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Sementara itu, Ahli Majis Tertinggi Umno Mohd Puad Zakarshi menyifatkan pemecatan Umno sebagai "kurang bijaksana".

Menurutnya, Lokman hari ini dipecat sebagai ahli Umno atas syor Biro Politik dan bukan atas syor Lembaga Disiplin.

"Apa fungsi Lembaga Disiplin?" soal Puad dalam kenyataan di Facebooknya.

Puad turut mempersoalkan kenapa bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussien tidak dikenakan tindakan sama.

"Tidakkah perbuatan beliau mengadakan pertemuan beberapa kali dengan Mahathir tanpa memaklumkan majlis tertinggi dan presiden Umno adalah melanggar disiplin parti.

"Ia juga tidak menghormati institusi presiden. Bukan kerana mahu mempertahankan Lokman tetapi tindakan mestilah adil dan jangan selektif.

"Apa pun saya telah menyuarakan pendirian saya ini dalam majlis tertinggi. Tapi gagal," katanya.

Monday, April 27, 2015

Shahrizat, Ketua Wanita UMNO, "errr......"

Oleh Zuraida Kamaruddin
Sekali lagi kita didatangi badut sarkas dibintangi menteri UMNO dan pemimpin pemimpin yang hanya pandai berjenaka lucah. Adakah pengundi Permatang Pauh mahukan wakil yang hanya boleh berfikiran "kotor" sepanjang masa dan membawa fikiran budaya kuning selepas dilemparkan dengan kata-kata yang tidak senonoh?

Kami menjangkakan sedikit profesionalisma daripada pemimpin yang telah berkuasa selama lebih setengah abad. Sebagai contoh Dato Seri Wan Azizah, seorang wanita yang dihormati dan sangat berbeza sekali perwatakannya dengan pemimpin UMNO yang hanya tahu bagaimana untuk membuat jenaka murahan merujuk kepada isu "err... errr" yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang wanita.

Pemimpin UMNO terutamanya Shahrizat dan Zahid kelihatan sangat terencat akal yang membuatkan mereka ditertawakan dengan kenyataan demi kenyataan tidak bijak mereka.

Dengan tertonjolnya kasih sayang dan kekaguman Shahrizat kepada Zahid menimbulkan rasa jijik jika mereka mempunyai perasaan antara satu sama lain yang sepatutnya tidak perlu dizahirkan. Orang ramai tidak mahu tahu bagaimana Sharizat tahu sejauh mana keras atau lembutnya Zahid.
Jika Sharizat sebegitu hebat dan sempurnya pertuturannya, kenapa tidak dipilih untuk menjadi calon di Permatang Pauh dan bukannya Suhaimi? Dengan hampir 52% pengundi di Permatang Pauh adalah wanita, UMNO sepatutnya meletakkan seorang wanita dan siapa lagi yang lebih layak tidak lain tidak bukan Ketua Wanita UMNO Shahrizat Abdul Jalil?

Malaysia tidak seharusnya terpedaya dengan tingkah laku UMNO yang sudah lapuk dek hujan dan terus memberi sokongan kepada calon KEADILAN, Kak Wan.

YB ZURAIDA KAMARUDDIN

Ahli Parlimen Ampang

Ketua Wanita Keadilan

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=270262:shahrizat-ketua-wanita-umno-err&Itemid=2#ixzz3YSzqt5ip
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-