Showing posts with label kerjasama politik. Show all posts
Showing posts with label kerjasama politik. Show all posts

Monday, March 21, 2022

Anwar, Muhyiddin dan Tun M akan bincang kerjasama politik?

inforakyat.net

21/3/2022

Anwar, Muhyiddin dan Tun M akan bincang kerjasama politik? Sudah sampai masanya Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad berbincang untuk bergabung dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bendahari Kelab Veteran Bersatu Malaysia (KVBM), Saifulanuar Yahya berkata, semua pihak perlu melupakan persengketaan dan ego masing-masing sebaliknya merangka strategi bersama-sama untuk PRU15.

“Kekalahan PN dan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebenarnya adalah satu hikmah, ini melihatkan di mana kelemahan PN dan PH. Kelemahan ini boleh dibaiki dalam PRU15.

“Kita boleh gunakan formula kerjasama politik yang sama dalam PRU14 dan ini sudah terbukti berjaya, bagi pemilihan logo parti atau logo gabungan mana akan digunakan, itu boleh dibincangkan nanti.

“Kita harus belajar daripada kesilapan PRN Johor. Analisis mendapati pengundi yang menyokong Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor hanya 35 peratus manakala 65 peratus lagi menyokong PN dan PH,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Seri Malaysia, Larkin di sini pada Ahad.
Turut hadir Setiausaha KVBM, Datuk Jemale Paiman, Ketua Penerangannya, Haron Ariffin serta dua Ahli Jawatankuasanya Norzri Mokhtar serta Lokman Abu

Pada Sabtu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menggesa PH, PN dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengadakan kerjasama strategik bagi mewujudkan satu blok pembangkang yang kuat dan seterusnya mampu menumbangkan BN pada PRU15.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum itu menjangkakan akan wujud pakatan antara parti-parti politik bagi menentang BN dalam PRU15 kerana perpecahan hanya memberi kelebihan kepada BN.

Mengulas lanjut, Saifulanuar berkata, melalui perbincangan itu nanti dicadangkan PN dan PH masing-masing bertanding di 111 kerusi Parlimen serta memastikan tidak akan berlaku pertembungan kerusi sesama mereka.

Katanya, bagi parti pembangkang lain contohnya Pejuang, Muda atau Parti Warisan (Warisan), mereka boleh memilih untuk menyertai PN atau PH dan semuanya perlu mengutamakan semangat setiakawan dan mempunyai matlamat yang sama iaitu menang PRU15.

“PN dan PH boleh tanding di semua 222 kerusi Parlimen, kita bahagi dua, PN tanding 111 kerusi Parlimen, PH juga tanding 111 kerusi Parlimen, kita bahagikanlah supaya tidak ada satu kerusi pun yang bertembung,” katanya.

Beliau akui akan ada parti-parti komponen dalam PN atau PH mempunyai perbezaan pandangan yang menyukarkan rundingan termasuk beberapa pemimpin gabungan politik tersebut sudah pun mengeluarkan kenyataan membantah rancangan itu baru-baru ini.

Namun katanya, itu semua hanya pandangan peribadi pemimpin berkenaan serta tidak mewakili parti, apabila keputusan sudah dipersetujui kepimpinan tertinggi nanti semua pihak perlu akur untuk kepentingan semua.

Sementara itu, Jemale berkata, perancangan untuk PN, PH dan parti pembangkang lain bergabung tidak mustahil dilaksanakan malah sudah terbukti pada PRU14 sehingga berjaya menjatuhkan BN yang memerintah lebih 60 tahun.

Tambahnya, amat penting hanya dua gabungan politik bertanding dalam PRU15 kerana PRN Johor membuktikan PN dan PH gagal sedangkan BN sebenarnya tidak kuat serta masih lagi ditolak rakyat.

Tuesday, July 9, 2019

PAS Istiqamah Bersama UMNO



KUALA LUMPUR – Pas masih konsisten menjalinkan kerjasama politik dengan UMNO.

Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti Islam itu turut mengalu-alukan sebarang bentuk muafakat politik termasuk pelawaan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai partinya.

“Bagi kita penyatuan sebenar masih bersama Pas dan UMNO.

“Kita (Pas) dalam muafakat, mengalu-alukan semua muafakat parti politik, tetapi kita memang konsisten dengan UMNO, dalam konsep penyatuan harus ingat, UMNO masih menjadi ‘core’ kepada parti politi Melayu Islam di Malaysia,” katanya semasa ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Tuan Ibrahim turut mengingatkan parti Melayu lain termasuk Bersatu agar tidak menafikan kekuatan UMNO dan Pas.

“Gabungan dua parti ini (Pas-UMNO) ada asas, parti-parti lain harus lihat kepada kekuatan yang ada pada UMNO dan Pas,” katanya.

Dr Mahathir sebelum ini mempelawa semua parti politik Melayu tempatan untuk menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik kaum itu.

Perdana Menteri berkata, perkara itu penting kerana ketika ini parti politik masyarakat Melayu terbahagi kepada enam.

SINAR HARIAN

Saturday, June 29, 2019

Kerjasama UMNO, Pas Jadi Keperluan



PADANG BESAR –  Kerjasama politik UMNO dan Pas sememangnya menjadi keperluan berlandaskan keadaan politik semasa yang menyaksikan orang Melayu dilihat terancam di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin berkata, kerjasama tersebut juga bagi memberi tentangan kepada kerajaan PH yang sering melakukan perkara kurang disenangi oleh rakyat khususnya orang Melayu dan Islam.

“Kerjasama ini (UMNO Pas) bagi mengimbangi PH agar tidak terus melakukan perkara yang tidak disenangi oleh rakyat,” katanya diketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Padang Besar di Dewam Seri Melati, Beseri di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man; Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan timbalannya, Azizan Sulaiman.

Sementara itu, Mohamed Khalid memberitahu, UMNO dan Pas akan mengadakan pertemuan bagi membincangkan mengenai piagam kerjasama antara kedua parti itu pada pertengahan bulan depan.

Katanya, pertemuan tersebut nanti bakal memuktamadkan piagam berkenaan.

“Selepas itu, kita akan mencari tarikh sesuai untuk majlis pelancaran piagam berkenaan. Pada masa ini, semua berjalan lancar,” katanya.

- UTUSAN ONLINE

Sunday, June 23, 2019

Empat asas kerjasama politik PAS-UMNO

Oleh Muhamad Fairoz Azizan
muhamadfairoz@bh.com.my

TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Tahunan PAS Ke-65 di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, hari ini. 
- Foto Farizul Hafiz Awang

KUANTAN:   PAS menggariskan empat asas ke arah menggerakkan kerjasama politik dengan UMNO.

Teratas dalam senarai ialah segala dasar kerjasama PAS dan UMNO hanya boleh diputuskan oleh jawatankuasa induk dengan restu Majlis Syura Ulama (MSU) serta pucuk pimpinan PAS Pusat.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ia termasuk isu membabitkan pembahagian kerusi dan calon pilihan raya.

Katanya, perkara kedua ialah kebenaran kepada PAS negeri, kawasan dan cawangan mengadakan program bersama UMNO yang tidak membabitkan dasar mana-mana parti.

“Perkara tiga ialah memelihara urusan dalaman sebagai hak setiap parti, termasuk tidak membenarkan ahli PAS menyertai program dalaman UMNO dan begitu juga sebaliknya demi mengelak timbul salah faham.

“Terakhir, barisan pimpinan dan ahli PAS boleh menghadiri program UMNO dan rakan kerjasama lain jika membabitkan pengisian sebagai penceramah, ahli panel atau pembentang kertas kerja apabila diminta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Tahunan PAS Ke-65 di Stadium Tertutup SUKPA, di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, garis panduan itu sudah dibincang pada peringkat MSU dan jawatankuasa induk kedua-dua parti.

Katanya, beberapa penyelarasan dan persetujuan turut dicapai sebelum ini seperti memberi laluan bertanding pada pilihan raya kecil (PRK), selain kerjasama pada peringkat Parlimen.

“Bila Ahli Parlimen PAS diarah keluar Dewan, wakil rakyat UMNO turut mengikut atas nama solidariti dan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Friday, March 29, 2019

MIC, PAS sah jalin kerjasama

admin
28/03/2019

Hadi Awang optimis kerjasama bawa perubahan dalam politik

KUALA LUMPUR, 21 Rejab 1440H, Khamis – MIC menjadi parti komponen kedua dalam Barisan Nasional (BN) selepas UMNO menjalinkan kerjasama politik dengan PAS.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, keputusan itu sekali gus akan memperkukuhkan blok pembangkang khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, 13 April ini.

“Kami yakin terhadap kepimpinan PAS dan kerjasama ini berada di landasan yang betul,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat hampir dua jam dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan barisan kepemimpinan tertinggi kedua-dua parti di Ibu Pejabat MIC di sini, hari ini.

Sementara itu, Abdul Hadi optimis kerjasama itu akan membawa perubahan baharu dalam politik PAS selain sebagai persedian PRK Rantau yang bermula selepas penamaan calon pada Sabtu ini.

“PAS amat menyanjungi MIC sejak dahulu lagi. Kita percaya kerjasama ini membuka tekad baharu dalam menghadapi cabaran politik masa hadapan,” katanya.

Hadir sama Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. 

– Bernama

Tuesday, November 17, 2015

Dr Asri Sokong Kerjasama PAS-UMNO

KUALA LUMPUR 16 Nov - Pas disaran membentuk kerjasama politik dengan UMNO memandangkan kedua-dua parti itu sudah ada keserasian dari segi watak dan idealisme.

Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin berkata, ia demi kebaikan rakyat dan negara susulan kegagalan parti Islam itu melakukan kerjasama dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Pembangkang.

“Pas telah cuba bergabung dengan pakatan pembangkang berulang kali tapi nyata gagal. Gagal disebabkan sifat parti dan idealisme yang dipegang. Pas patut mencuba dengan UMNO secara lebih serius. Mana tahu, mungkin di sana ada kebaikan untuk umat dan negara.

“Jika Pas dan UMNO dapat menjadi sahabat baik yang berpesan-pesan kepada kebaikan dan kebenaran, serta mencegah kemungkaran, mungkin banyak manfaatnya,” katanya menerusi status Facebook pada Isnin.

Malah, menurut Dr Asri ia juga akan memakbulkan hasrat Abdul Hadi yang pernah mengakui mahu menwujudkan satu hubungan yang matang di antara kedua-dua parti itu.

“Pas dan UMNO saudara seakidah. Jika kita fahami, mereka sebenarnya tidak jauh dari segi watak dan idealisme. Pas yang dulu mungkin jauh dari UMNO. Pas hari ini hampir menyamai UMNO dari segala segi melainkan perbezaan nama, kopiah dan songkok sahaja. Itupun bukan soal pokok,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-