Wednesday, January 16, 2019

Tabung Haji lapor polis: Hibah langgar undang-undang

Diterbitkan Hari ini 6:10 petang


Lembaga Tabung Haji membuat laporan polis mengenai penyata kewangannya pada tahun 2017 dan bagaimana representasi yang dibuat beberapa eksekutif membawa kepada pengisytiharan bayaran hibah yang melanggar Akta Tabung Haji 1995.

"Dalam laporan polis itu, Tabung Haji mengenal pasti dua kertas kerja eksekutif yang dibentangkan kepada Lembaga Pengarah Tabung Haji dalam dua mesyuaratnya pada 6 Februari dan 9 Februari 2018.

"Kertas kerja eksekutif itu disediakan ketua pegawai kewangan Rozaida Omar dan disokong oleh pengarah urusan kumpulan dan ketua eksekutif Johan Abdullah.

"Kertas kerja eksekutif iti mengandungi kenyataan dan representasi yang membawa kepada angka yang salah telah digambarkan di dalam penyata kewangan berkenaan yang diterima oleh lembaga pengarah," kata kenyataan Tabung Haji.

Menurut semakan kedudukan kewangannya pada 2017 oleh PwC, TH didapati membayar hibah menggunakan simpanan pendeposit.

Bagaimanapun, atas kertas, TH memberikan gambaran bahawa hibah dibayar menggunakan keuntungan syarikat, menurut suatu laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Disember lalu.

Azeez tanda tangan penyata TH 2017

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa pada Disember tahun lalu mendedahkan Tabung Haji terus membayar hibah walaupun defisit sejak 2016.

Menurut Akta Tabung Haji 1995, dana berkenaan tidak boleh membayar dividen jika liabilitinya melebihi aset.

"Berdasarkan penyata kewangan tersebut, lembaga pengarah Tabung Haji membuat cadangan kepada menteri yang bertanggungjawab, yang kemudiannya meluluskan pengisytiharan hibah yang dapat diagihkan bagi tahun kewangan 2017 sebanyak 4.5 peratus dan Hibah Haji sebanyak 1.75 peratus yang bertentangan dengan seksyen 22 Akta Tabung Haji 1995.

"Penyata kewangan Tabung Haji yang telah diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 ditandatangani pada 3 April 2018 oleh pengerusi Abdul Azeez Abdul Rahim dan Johan bagi pihak lembaga Tabung Haji dan Rozaida sebagai pegawai utama yang bertanggungjawab ke atas kewangan pengurusan dan rekod perakaunan Tabung Haji," kata kenyataan lembaga pengarah dana jemaah haji itu lagi.

Tiada arahan larang hiasan babi sempena Tahun Baru Cina

Adam Abu Bakar
-January 16, 2019 3:44 PM

(Gambar AFP)

PETALING JAYA: Tiada larangan ke atas hiasan babi sempena Tahun Baru Cina di Wilayah Persekutuan, kata Menteri Khalid Samad, selepas ketiadaan gambar anjing dan babi dalam sambutan tahun lepas menjadi perbualan internet.

“Adakah lukisan babi juga haram?” katanya kepada FMT.

Tinjauan FMT di sekitar KL mendapati haiwan itu tidak kelihatan dalam hiasan Tahun Baru Cina, yang akan disambut 3 minggu dari sekarang iaitu pada 5 Februari.

Takwim Cina dibahagikan kepada kitaran 12 tahun dan setiap tahun bertemakan 12 haiwan terpilih, bermula dengan tikus dan berakhir dengan babi. Sambutan kali ini menandakan tahun terakhir dalam kitaran itu.

Tahun lalu, langkah sebuah pasaraya menjual baju kemeja T zodiak Cina menjadi perbualan pengguna media sosial kerana ia menggantikan gambar anjing dan babi dengan aksara.

Tidak diketahui kenapa 2 haiwan itu tiada dalam rekaan baju itu, tetapi pihak berkuasa sebelum ini pernah melarang atau mengehadkan produk yang dikaitkan dengan anjing dan babi.

Pada 1995, Malaysia mengharamkan filem komedi “Babe” kerana menonjolkan seekor babi sebagai watak utama, walaupun penerbitan DVD diluluskan beberapa tahun kemudian. Pada 2016, watak seekor babi dikeluarkan daripada poster promosi untuk filem Hong Kong “The Monkey King 2”.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata lambang haiwan dalam takwim Cina tidak perlu dijadikan isu, selaras dengan “fiqh ta’ayush” atau kebersamaan dalam masyarakat majmuk.

Paparan lambang salib: Pas desak Mujahid tidak pertahan agenda sebar kristianisasi

MALAYSIADATELINE

Nasrudin Hassan

Parti Islam Se-Malaysia (Pas) mengingatkan agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa tidak bersikap defensif dalam menangani isu paparan lambang salib di bangunan kediaman Grace Rasidence, Jelutong., Pulau Pinang.

Ketua Penerangannya Nasrudin Hassan berkata,kenyataan menteri agama mengenai isu itu, dilihat lemah untuk mempertahankan kepentingan Islam dan umat Islam di Malaysia, sedangkan ia turut dikecam oleh ramai netizen dan ditegur oleh Mufti Pulau Pinang.

“Kenyataan YB Menteri Agama semalam dilihat tidak tegas dan berdolak dalih. Ia telah mengecewakan hati umat Islam di Malaysia khususnya di Pulau Pinang.

“Pas meneliti kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang dan pihak pemaju Nova Mulia Development Sdn Bhd beberapa hari lalu.

“Kedua-dua kenyataan tersebut cuba memperbodohkan rakyat. Setelah beberapa minggu gambar salib ditularkan, sekarang mereka mendakwa ia adalah abjad Cina yang bermaksud wang atau nasib baik,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Nasrudin mendakwa, pemilik bangunan cuba mencetuskan provokasi dan ketegangan kaum serta agama di Malaysia. Ini kerana lambang salib sebesar itu sengaja dipaparkan, walhal mereka perlu menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini.

“Tambahan pula, pengasas dan pengarah urusan pemaju projek berkenaan ialah seorang yang aktif terlibat dengan Nehemiah Project (Biblical Entrepreneurship) dan giat mempromosikan agenda kristianisasi,”ujarnya lagi.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata beliau belum menerima laporan rasmi berhubung isu paparan lambang salib di Grace Residence, Jelutong, Pulau Pinang.

Menurut beliau sudah berhubung dengan pihak Mufti Pulau Pinang dan kerajaan negeri mengenai perkara itu dan berharap ia akan diterima secepat mungkin.

Dr Mujahid dipetik berkata, isu paparan salib berkenaan perlu diteliti sama ada ia dilakukan dengan niat untuk menimbulkan keresahan dan sensitiviti agama atau hanya sekadar struktur saja.

“Kadang kala kita tengok sesuatu struktur itu nampak macam salib kalau dipandang dari jauh atau sisi atas, malah kalau kita depa tangan ketika berdiri, itu pun boleh dianggap sebagai salib.

“Isunya di sini, adakah ia dilakukan dengan niat atau sebaliknya. Saya difahamkan kalau dipasang lampu (pada bangunan itu), ia bukan tanda salib tetapi perkataan bahasa Mandarin yang membawa makna ‘ong’ (tuah). Saya tidak tahu, itu kata orang… saya belum menerima laporan rasmi,” kata Dr Mujahid.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/paparan-lambang-salib-pas-desak-mujahid-tidak-pertahan-agenda-sebar-kristianisasi/

Azeez bayar ikat jamin RM800,000, abangnya RM500,000

Diterbitkan pada 16 January 2019

Datuk Seri Abdul Azeez Rahim meninggalkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 16 Januari 2018
Foto oleh Shafwan Zaidon

KUALA LUMPUR, 16 Jan — Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta, dibenar diikat jamin RM800,000 dengan seorang penjamin oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Abangnya, Datuk Abdul Latif Abdul Rahim, 61, yang mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Abdul Azeez, 52, dibenar diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Azura Alwi turut memerintahkan dua beradik itu membayar jaminan tersebut hari ini berserta syarat tambahan iaitu pasport mereka perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah juga membenarkan permohonan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan supaya kes yang dihadapi Abdul Latif dibicarakan bersama dengan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Abdul Azeez.

Hakim itu menetapkan 27 Mac untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Terdahulu, Sri Ram menawarkan jaminan masing-masing RM800,000 dan RM500,000 dengan seorang penjamin terhadap Abdul Azeez dan Abdul Latif dan jumlah itu tidak dibantah oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili dua beradik itu.

Ketika pertuduhan kes rasuah dibacakan secara berasingan ke atas dua beradik itu oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura, Abdul Azeez, yang lengkap bersut hitam dan abangnya, yang memakai kemeja biru dengan tenang berkata, “mohon dibicarakan”.

Abdul Azeez, yang merupakan Anggota Majlis Tertinggi UMNO, turut mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan pengubahan wang haram selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di Mahkamah Sesyen berasingan di hadapan Hakim Rozina Ayob sebelum kes itu dipindahkan di hadapan Hakim Azura.

Prosiding itu turut dihadiri bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki dan Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam.

Dua beradik itu tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 8.12 pagi dengan diiringi beberapa pegawai SPRM.

Mereka selesai membayar wang jaminan itu pada pukul 1.15 tengah hari.

 — Bernama

Siapa kata kami mahu kembali kepada Umno? Masih kekal Bebas, kata Ikmal Hisham

Diterbitkan pada 16 January 2019
Oleh Jamny Rosli
Sekumpulan penyokong dan aktivis Wanita Umno berada di tepi logo parti itu ketika berlangsung perhimpunan agung tahunan parti di Kuala Lumpur, September lalu. 
Foto oleh Hari Anggara

KOTA BARU, 16 JanSeorang bekas ahli parlimen Umno yang telah keluar parti Umno bulan lalu menyangkal dakwaan beliau akan kembali ke pangkuan parti itu seperti diura-urakan.

Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata beliau masih lagi ahli parlimen Bebas dan belum memikirkan untuk menyertai parti lain atau membentuk parti baru, lapor Berita Harian.

“Orang beranggapan saya akan menyertai parti Pakatan Harapan (PH). Mana tahu saya menyertai PAS atau mewujudkan parti baharu,” katanya seperti dilaporkan.

Sejak minggu lalu muncul desas-desus Ikmal Hisham dan lima lagi ahli parlimen Umno akan merujuk parti lama mereka setelah gagal menyertai satu parti PH.

Wakil-wakil rakyat itu adalah: Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut) dan Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).

Semalam, menurut Utusan Online, setiausaha agung Umno Tan Sri Annuar Musa mengesahkan ada perbincangan mengenai kemasukan semula mereka tetapi borang rasmi tidak diserahkan.

Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan terdapat spekulasi lima daripada mereka ingin bersama Umno semula setelah ditolak menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Azeez berdepan 12 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram

Faisal Asyraf 
Diterbitkan Hari ini 11:17 tengahari 


Anggota Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM144.6 juta, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau dihadapkan dengan tiga pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Untuk pertuduhan rasuah, Abdul Azeez didakwa menerima RM5.2 juta daripada Pengarah Menuju Asas Sdn Bhd Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, sebagai habuan kerana membantu syarikat itu mendapat projek pembinaan lebuh raya dan penambahbaikan jalan di Perak dan Kedah.

Transaksi dikatakan berlaku antara Disember 2010 hingga April 2018.

Bagi setiap pertuduhan, Abdul Azeez yang juga bekas pengerusi Tabung Haji boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda lima suapan, mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit bersalah.

Untuk pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa menerima wang haram bernilai sehingga RM139.41 juta daripada empat syarikat iaitu Menuju Asas Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd, Pintas Utama Sdn Bhd, dan AVP Engineering (M) Sdn Bhd.

Transaksi dikatakan berlaku antara 10 Mac 2010 hingga 30 Ogos 2018.

Sementara itu, abangnya Abdul Latif Abdul Rahim juga mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap dua pertuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez berkenaan suapan berjumlah sehingga RM4 juta berhubung projek lebuh raya bernilai RM644.48 juta.

Hakim Azura Alwi menetapkan ikat jamin RM800,000 beserta seorang penjamin untuk Abdul Azeez, dan RM500,000 beserta seorang penjamin untuk Abdul Latif.

[Berita lanjut menyusul]

Azeez, abang dibawa keluar dari SPRM, menuju mahkamah

Bernama
Diterbitkan Hari ini 9:02 pagi 


Kenderaan yang membawa Anggota Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya, Datuk Abdul Latif Abdul Rahim dilihat keluar dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 7.38 pagi ini.

Kenderaan Proton Preve dan Toyota Fortuner yang membawa Abdul Azeez dan abangnya secara berasingan, diiringi satu kereta peronda polis dan dua motosikal pengiring.

Abdul Azeez dan abangnya ditahan pada pukul 4.30 petang semalam ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini.

Mereka akan menghadapi pertuduhan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

- Bernama

PRK Cameron Highlands: Wanita 'duit minyak' beri keterangan pada SPRM

Arfa Yunus,
Astro Awani | Januari 16, 2019 00:09 MYT

Wanita itu ketika meninggalkan Bilik Gerakan SPRM malam tadi.
- Astro AWANI

TANAH RATA:  Seorang wanita berbaju Pakatan Harapan yang didakwa memberi wang kepada sukarelawan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada Selasa, dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan.

Menurut sumber, wanita itu memberi kenyataan di Bilik Gerakan SPRM di sini selama hampir tiga jam dari pukul 7 petang Selasa.

Tinjauan Astro AWANI mendapati wanita tersebut keluar daripada Bilik Gerakan SPRM pada pukul 9.50 malam.

Wanita itu enggan memberi kenyataan kepada media dan menutup muka dengan jaketnya.

BACA: Wang itu untuk bayar balik kos petrol - PH

BACA: 'Sukarelawan' ada maksud baru di bawah Malaysia Baharu?

Sebelum ini, tular di media sosial gambar wanita tersebut memberikan wang kepada beberapa orang pemuda dan susulan itu, beberapa pihak membuat laporan polis mendakwa Pakatan Harapan (PH) terlibat dengan politik wang dan rasuah.

Namun, Penolong Ketua Pusat Operasi Jelai PH, Arvind Bharet menjelaskan, wang itu adalah bayaran untuk kos minyak petrol sukarelawan PH.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-