Thursday, June 13, 2019

Azwan Ali muncul cabar Azmin bersumpah nafi terlibat video seks

FMT Reporters
-June 13, 2019 7:16 PM

Selepas setahun Azwan Ali kini muncul kembali menyerang abangnya Azmin Ali.

Azwan yang muncul kali terakhir ketika menentang abangnya dan tiga calon lain pada Pilihan Raya Umum Ke-14 di kerusi DUN Bukit Antarabangsa, dengan menggunakan lambang gajah tidak mahu melepaskan peluang mengulas isu panas ketika ini.

Sebelum ini umum juga sudah mengetahui persengketaan yang melibatkan 2 adik beradik ini yang tidak berkesudahan dan menjadi lebih buruk ketika kematian ibu mereka yang dikenali sebagai Mak Tom.

Azmin ketika itu menggelar Azwan sebagai anak derhaka kerana tidak hadir pada hari pengebumian mak mereka.

Dan kali ini Azwan mengambil kesempatan meminta Azmin bertaubat di 7 masjid bagi membuktikan dirinya tidak bersalah.

Malah Azwan juga mengakui mengenali lelaki yang terlibat dalam video seks sejenis itu.

Dia yang kini berada di London berkata pernah berjumpa dengan Haziq Aziz 2 tahun lepas iaitu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Saya mengenali ‘hamlau’ ini apa maksudnya pergi cari dalam kamus sejak 2 tahun lepas, Haziq ada datang jumpa saya bersama kawan dia setiap hari mengatur perancangan demi perancangan untuk menjatuhkan…dia dakwa mereka berkawan baik so aku tanya kenapa nak jatuhkan dia, kemudian dia jawab dengan ketawa berdekah-dekah.

“Isunya sekarang ‘do I care’ tapi aku pelik why dia menjadi mangsa perangkap terbodoh,” kata Azwan dalam satu temubual bersama www.mhetv.my yang dimuat naik di youtube hari ini.

Bagaimanapun Azwan menegaskan beliau tidak terlibat dalam penularan ataupun rakaman video tersebut dan mahu kedua-duanya bertaubat.

Malah dia menyifatkan apa yang berlaku sebagai kifarah selepas segala fitnah yang dilemparkan terhadapnya sebelum ini.

“Kepada Haziq Aziz yang mengaku…di bulan Syawal ini bertaubatlah… dan kalau boleh malam ni jumpa I, jumpa untuk apa Wallahualam.

“Untuk Azmin watch out, watch out, watch out… ini kifarah tuhan. Jangan nak berangan jadi PM ke-8 tolong jangan edit statement aku.

“Sekarang ini ko ‘terdahak’ kan. Aku cabar ko bersumpah dalam masjid yang dalam video tu bukan kau di 7 masjid. Go around, lepas masjid 7 kau tak kena patah petir dank au selamat sebagai menteri barulah aku sifatkan video itu fake,” katanya mengakhiri rakaman video tersebut.

Sejak 2 hari lepas tersebar beberapa klip video menampilkan 2 lelaki mengadakan hubungan sejenis mencetuskan kontroversi selepas dakwaan Haziq yang ia menampilkan beliau dan Azmin.

Giliran Haziq pula buat laporan polis

News | Diterbitkan Hari ini 5:05 petang


Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz hari ini membuat laporan polis dengan niat untuk menyangkal tuduhan yang dilemparkan terhadapnya yang dibuat oleh "netizens, cybertroopers, (Adun Gombak Setia) Hilman Idham serta yang lain-lain."

Beliau juga memetik kebimbangan terhadap keselamatannya sebagai alasannya.

Menurut gambar laporan polis yang dihantar oleh Haziq di laman Facebook hari ini, laporan dibuat di balai polis Kelana Jaya. Pihak polis ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan laporan itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Haziq semalam mendakwa dirinya memang terlibat dalam aksi seks yang dirakamkan dalam sebuah video bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali. Walau bagaimanapun, Azmin yang juga adalah timbalan presiden PKR menafikan dakwaan itu.

Dalam laporan polisnya, Haziq mengulangi tuduhan dari kenyataan terdahulunya, bahawa Azmin menghantar setiausaha politiknya, Hilman Idham untuk berjumpa dengannya di sebuah restoran di Putrajaya.

Katanya, Hilman memaksanya untuk menafikan bahawa diri dalam video yang tular itu dan memintanya untuk berbohong.

Haziq juga mendakwa dirinya diancam, diugut dan dimanipulasikan.

Hilman ketika ditemui hari ini mengakui berjumpa dengan Haziq di restoran itu, tetapi enggan mendedahkan butirannya. Beliau sekadar berkata perkara itu akan disiasat oleh pihak polis.

Azmin semalam menyifatkan apa yang berlaku sebagai komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Beliau juga berkata Haziq yang juga adalah etiausaha sulit kanan kepada timbalan menteri industri utama, Shamsul Iskandar Md Akin telah diperalatkan dalam penyebaran rakaman video semburit yang dikaitkan dengannya.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad juga menolak video berkenaan yang didakwanya sebagai palsu, dan berkata bahawa mereka di sebaliknya mempunyai motif politik.

Video semburit: Betul-betul undang-undang rimba, kata Lokman

News | Diterbitkan Hari ini 5:55 petang


Polis hari ini merakamkan kenyataan daripada Anggota Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam berhubung kes video semburit membabitkan seorang lelaki yang didakwa mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali yang tersebar sejak awal pagi kelmarin.

“Saya buat laporan polis ke atas orang yang menyebarkan video lucah dan melakukan aksi video lucah.

“Hari ni saya bagi keterangan kepada pegawai Jabatan Jenayah Terkhas Bukit Aman, mereka nak rampas kedua-dua telefon bimbit saya dan geladah rumah saya.

“Betul-betul Law of The Jungle (undang-undang rimba),” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Lokman adalah antara pemimpin terawal untuk mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai video itu dan juga membuat laporan polis.

Aksi pantas Lokman itu mendorong Adun Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri untuk mempersoalkan sama ada pemimpin Umno itu mempunyai peranan dalam video seks tersebut.
“Sebab kita lihat respon paling cepat dari Lokman Adam, dirancang dengan rapi, eh cepat betul (Lokman respon), bila kau tidur sebab benda tu masuk (video tersebar) jam satu pagi (11 Mei),” katanya.

Mengulas kenyataan Azmizam itu, Lokman mengakui yang dia memang tidak dapat tidur semalaman memikirkan hal video tersebut.

"Ya, memang saya tidak tidur selepas (menerima video seks) itu kerana saya terus menulis kenyataan media dan draf laporan SPRM serta laporan polis itu sendiri.

"Bagaimana saya boleh tidur dalam keadaan, lelaki didalam video itu dikatakan mahu diangkat oleh Dr Mahathir menjadi perdana menteri menggantikan beliau," katanya.

Pada awal pagi Selasa lalui, beberapa klip video semburit yang memamparkan dua lelaki melakukan aksi intim dihantar kepada wartawan dan penyokong PKR.
Keesokan harinya, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz tampil dan mendakwa bahawa dia adalah salah seorang daripada dua orang lelaki dalam video itu.

Dia juga menamakan Azmin sebagai temannya dalam video itu.

Azmin walau bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut, dan berkata ia adalah komplot jahat yang bertujuan untuk membunuh kerjaya politiknya.

Kementerian gantung Haziq Aziz selepas isu video seks

Adam Abu Bakar
-June 13, 2019 3:24 PM

Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kementeriannya tidak teragak-agak menamatkan kontrak perkhidmatan Haziq Aziz, jika tiada maklum balas diterima dalam masa 3 hari.

PUTRAJAYA:   Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin mengumumkan setiausaha sulitnya, Muhammad Haziq Aziz digantung tugas serta-merta, selepas mendakwa seorang menteri kanan terbabit dalam hubungan seks sejenis dengannya.

“Beliau diarah menjawab surat tunjuk sebab dalam tempoh 3 hari daripada tarikh 12 Jun,” katanya dalam sidang media di kementeriannya hari ini.

Beliau berkata, kementeriannya tidak teragak-agak menamatkan kontrak perkhidmatan Haziq, jika tiada maklum balas diterima dalam masa 3 hari.

Katanya, pelantikan Haziq sebagai kakitangan kementeriannya dibuat berdasarkan penilaian dalam soal jawab ketika sesi temuduga, kelayakan akademik serta pengalaman kerja yang dilihat sesuai dengan skop tugas ditawarkan.

“Justeru, tindakan beliau ini sangat mengejutkan dan tentunya sama sekali tidak diduga.”

Semalam, Haziq menggemparkan negara dengan rakaman video 30 saat di Facebook yang mengaku beliau terbabit dalam klip video seks sejenis.

Beliau menamakan Azmin Ali sebagai pasangannya dalam klip video seks itu yang didakwa dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di Hotel Four Points di Sandakan, ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen itu baru-baru ini.

Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya komplot jahat untuk mencemarkan reputasi, keperibadiannya dan memusnahkan kerjaya politiknya serta akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Haziq.

Penggantungan Haziq menyusul beberapa jam selepas beliau hari ini mempersoalkan kejujuran kerajaan Pakatan Harapan, ekoran pemimpin kerajaan menuduhnya mempunyai agenda politik dengan pengakuannya semalam.

Haziq berkata, hubungan seks yang didakwa dilakukannya dengan Azmin bukan kejadian pertama dan menuduh Hilman Idham yang merupakan setiausaha politik Azmin dan timbalan ketua Pemuda PKR, memaksanya menarik balik tuduhan ke atas Azmin.

Beliau menyifatkan Azmin sebagai “lelaki sakit” dan menuduhnya merakam video itu untuk dijadikan “koleksi peribadi”.

Hari ini, Shamsul berkata, beliau tidak nampak perwatakan pelik dalam Haziq sepanjang bertugas dengannya di Kementerian Industri Utama.

“Saya ‘blur’. Hal ini kerana di sosial media macam-macam yang diperkatakan, tetapi sebagai orang yang melantik dia, sudah tentu saya bingung kerana tidak ada perwatakan seperti itu sepanjang 6 bulan ini.”

Beliau berkata, Haziq tidak datang ke pejabat sejak Selasa lalu tanpa memberikan sebarang alasan atau memohon cuti.

Katanya, beliau sudah bertanya kepada ahli keluarga Haziq, tetapi mereka juga gagal menghubunginya.

“Saya sendiri teks melalui WhatsApp memintanya datang ke pejabat agar wujud perbincangan, tetapi tidak ada balasan pada Selasa lalu.

“Mereka (ibu bapa) tidak tahu Haziq ada di mana dan sudah tentu mereka sedih dan saya sebagai majikan, saya minta pegawai saya untuk tenangkan keadaan.”

Shamsul berkata, Haziq pernah mengikutnya ke lawatan kementeriannya di Jeddah, Arab Saudi, tetapi tiada apa-apa berlaku antara mereka.

“Semua ‘alright’, tidak ada sebarang masalah di sana.”

Beliau turut menyeru semua pihak bertenang dan bersikap “tabayyun”, iaitu menyiasat untuk mencari kebenaran tanpa menuding jari atau menghukum mana-mana pihak terlebih dahulu.

Katanya, beliau juga menolak sebarang bentuk politik kotor dan memualkan untuk merosakkan imej mana-mana individu.

“Saya mengambil sikap untuk bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa perkara ini ada kaitan dengan pihak-pihak yang mempunyai agenda politik tertentu.

“Permainan politik kotor sebegini tidak perlu ada ataupun diberikan ruang di dalam Malaysia.”

6 helikopter bernilai RM300 juta tidak diterima, kementerian buat laporan SPRM

Nur Hasliza Mohd Salleh
-June 13, 2019 12:30 PM

Helikopter tempur ringan MD530G. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA:  Kementerian Pertahanan hari ini membuat satu laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian helikopter tentera bernilai lebih RM300 juta semasa pentadbiran lepas yang sehingga kini belum dihantar kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sumber yang rapat dengan penyiasatan itu ketika ditemui di luar pintu masuk SPRM memberitahu, laporan tersebut dibuat disebabkan perjanjian rundingan yang dimeterai tidak mengikut prosedur sepatutnya.

Jelas sumber, pembelian menerusi rundingan terus itu mengandungi banyak terma kontrak yang merugikan kementerian sejak peringkat awal lagi.

“Kalau orang baca terma perjanjian, mereka akan tahu ia akan jadi macam ini.

“Antaranya kelulusan yang tidak mempunyai spesifikasi ketenteraan.

“Benda itu satu benda yang wajib dalam urusan ketenteraan,” kata sumber yang enggan dikenali.

Sebelum ini, FMT melaporkan sebanyak 6 buah helikopter tempur ringan MD530G yang dikeluarkan oleh MD Helicopters milik gergasi aeroangkasa Amerika Syarikat (AS), McDonnel Douglas dipesan oleh Kementerian Pertahanan yang dipimpin oleh Hishammuddin Hussein ketika itu.

Helikopter berkenaan, yang lebih dikenali dengan panggilan “Little Birds”, dilaporkan menarik minat pegawai kementerian dalam satu demonstrasi sempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima) 2015.

Bagaimanapun penyiasatan ke atas urus niaga itu mendedahkan maklumat mengejutkan mengenai pembelian tersebut, selain hakikat bahawa ATM tidak menerima helikopter berkenaan.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, syarikat di Malaysia yang menjadi ejen rundingan tersebut sudah pun ditamatkan kontrak sebagai ejen rasmi oleh McDonnel Douglas di AS.

“Dimaklumkan, syarikat itu kepunyaan bekas pegawai kanan kepada Hishamuddin ketika beliau menerajui kementerian,” katanya.

Sehingga kini, sumber itu memaklumkan, kerajaan sudah pun membuat bayaran sebanyak 35% harga pembelian helikopter tersebut bersamaan dengan RM112 juta.

Namun hingga saat ini, tiada helikopter tentera yang dihantar ke negara ini.

“Penghantaran sepatutnya mengikut 2 fasa. Pertama, pada Julai 2017 iaitu 2 buah, dan fasa ke-2 pada Disember 2018 untuk penghantaran baki 4 helikopter.

“Tapi sampai sekarang, sebuah pun tak ada,” katanya.

Hilman akui ada jumpa Haziq

News | Diterbitkan Hari ini 12:48 tengahari


Hilman Idham, setiausaha politik kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali, hari ini mengakui bahawa beliau ada berjumpa dengan Haziq Abdullah Abdul Aziz sebelum Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong itu membuat pengakuan bersumpah bahawa dia memang terlibat dalam aksi seks bersama menteri itu.

"Betul," kata Hilman kepada pemberita di Putrajaya ketika disoal mengenai dakwaan Haziq bahawa mereka berjumpa di sebuah restoran di Marriot Putrajaya, sebelum video pengakuan bersumpah dikeluarkan semalam.

Bagaimanapun, Hilman enggan mengulas apabila ditanya mengenai dakwaan Haziq bahawa beliau memintanya untuk menafikan bahawa Azmin terbabit dalam video tersebut.
“Tak apa, saya dah serahkan semua kepada pihak polis.

“Kita biar polis siasat,” katanya.

Hilman yang juga Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) diminta mengulas dakwaan Haziq di Facebook hari ini yang mendakwa Azmin mengarahkan mereka berjumpa di sebuah restoran di Putrajaya.

“Dia paksa saya untuk menafikan bahawa diri saya dalam video yang tular itu dan meminta saya berbohong untuk dirinya.

“Saya mohon lebih masa untuk merujuk kepada ibu bapa saya dan ini menimbulkan kemarahannya.

“Selepas saya menolaknya, dia membuat ugutan dan berkata 'ini' akan berakhir dalam 48 jam dengan atau tanpa bantuan saya untuk berbohong,” kata Haziq.

Hilman sebelum itu membuat laporan qazaf berkaitan isu penyebaran video lucah itu di Pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Putrajaya dan juga laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Katanya, PKR akan memberi kerjasama sewajarnya kepada polis dan JAWI atas segala siasatan yang dilakukan.

“Insya-Allah saya yakin dan tegaskan pendirian saya bahawa keyakinan kami, ia tuduhan palsu dan fitnah jahat diadakan untuk menjejas reputasi dan keperibadian Azmin.

“Saya tegaskan lagi bahawa fitnah ini merupakan suatu konspirasi jahat untuk menyekat kemaraan Azmin dalam politik,” katanya.

Azmin, semalam menafikan bahawa dirinya terbabit dalam video lucah yang sedang beredar di media sosial dan menyifatkannya sebagai komplot jahat untuk menamatkan kerjaya politiknya.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad juga menolak video berkenaan sebagai palsu, dan mendakwa bahawa mereka di sebaliknya mempunyai motif politik.

Semalam, Haziq yang mendakwa terlibat sama dalam video terbabit tampil membuat pengakuan bersumpah bahawa dia terlibat dalam aksi atas ranjang bersama Azmin yang juga timbalan presiden PKR.

Haziq turut mengulangi tuduhannya hari ini dan mendakwa ini bukan kali pertamamereka bersama.

[Baca berita penuh]

      Sandakan bukan kali pertama - Haziq

      News | Diterbitkan Hari ini 11:57 tengahari 


      Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz mengulangi dakwaannya bahawa dia memang terlibat dalam aksi seks bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.

      Hari ini, dia sekali lagi tampil di laman Facebook dan mendakwa rakaman video yang disebarkan sebelum ini bukan kali pertama mereka bersama.

      “Pertama kali di Grand Continental Kuching, tiga tahun lalu, kemudian di Pullman Kuching semasa Pemilihan Parti (PKR) pada Oktober tahun lalu.

      “Kami sekali lagi melakukannya di Hotel Grand Hyatt KL semasa tugasan kamu selaku Menteri Pengiring kepada Sultan Brunei pada Mac tahun ini dan bulan lalu di Fourpoint Sandakan,” katanya.

      Mengulas lanjut, Haziq berkata kekurangan sokongan yang diterimanya selepas membuat pengakuan semalam menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) dalam melaksanakan agenda reformasi.

      “Saya dituduh mempunyai agenda politik oleh Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad) selepas membuat pengakuan bersumpah,” katanya.

      Haziq turut mendakwa Azmin menghantar setiausaha politiknya, Hilman Idham untuk berjumpa dengannya di sebuah restoran di Putrajaya bagi mententeramkan dirinya yang begitu takut.

      “Dia paksa saya untuk menafikan bahawa diri saya dalam video yang tular itu dan meminta saya berbohong untuk dirinya.

      “Saya mohon lebih masa untuk merujuk kepada ibu bapa saya dan ini menimbulkan kemarahannya.

      “Selepas saya menolaknya, dia membuat ugutan dan berkata ‘ini’ akan berakhir dalam 48 jam dengan atau tanpa bantuan saya untuk berbohong,” katanya.

      Haziq berkata beliau begitu kecewa dengan Azmin yang dipandang tingginya tetapi menyedari timbalan presiden PKR itu adalah “lelaki yang sakit” kerana tergamak merakamkan video aksi seks atas ranjang mereka.

      “Saya sedari kamu lelaki yang sakit kerana hanya kamu yang yang boleh merakamkan video-video itu sebagai koleksi peribadi selepas menjemput saya ke bilik hotel pada semua kejadian,” katanya.

      Haziq berkata dia bimbang lebih banyak video berkenaan akan disebarkan dengan Azmin boleh menafikannya dengan kelebihan sebagai seorang menteri tetapi masa depannya sudah berkahir.

      “Kamu juga mempunyai perdana menteri yang berikrar memberi sokongan penuh sebelum sebarang siasatan rasmi dijalankan.

      “Hanya kebenaran boleh membebaskan saya dan saya amat bimbang dengan keselamatan keluarga dan diri saya.,” katanya.

      Haziq juga berharap orang ramai dapat menilai diri sebenar Azmin yang didakwanya sering memanipulasi dan dikelilingi oleh konco-konconya, terutama Hilman; (Exco Pulau Pinang, Dr) Afif (Baharddin); (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) Zuraida (Kamaruddin).

      Malaysiakini telah menghubungi ketiga-tiga mereka untuk mendapatkan reaksi mereka.

      Semalam, Azmin menafikan bahawa dirinya terbabit dalam video lucah yang sedang beredar di media sosial dan menyifatkannya sebagai komplot jahat untuk menamatkan kerjaya politiknya.

      Mahathir juga menolak video berkenaan sebagai palsu, dan mendakwa bahawa mereka di sebaliknya mempunyai motif politik.

      Jangan Buat Politik Kotor – Dr Mahathir

      JUNE 13, 2019

      SHAH ALAM:   Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin bahawa Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bukanlah individu yang dikaitkan dalam video lucah yang tersebar sejak kelmarin.

      Malah beliau tidak menolak kemungkinan tindakan tersebut bermotifkan politik dengan tujuan untuk menjatuhkan Timbalan Presiden PKR itu.

      Walau bagaimanapun Mahathir tidak mengetahui lanjut perkara tersebut selain menyifatkan penyebaran video itu sebagai sesuatu perkara yang sangat kotor.

      Tambahnya tindakan memanipulasikan gambar sebegitu sepatutnya tidak berlaku di Malaysia.

      “Saya tidak rasa itu adalah benar sebab teknologi sekarang boleh hasilkan apa sahaja gambar kalau pandai. Mungkin satu hari nampak gambar saya pula.

      “Benda ini sengaja dilakukan untuk orang yang ada agenda politik. Benda ini kotorlah,”

      Selain itu beliau turut meluahkan kekesalannya terhadap tindakan pihak-pihak tertentu yang cuba bermain politik kotor.

      “Awak percaya video ini? Takkan bodoh nak buat macam itu. Kalau tidak boleh lawan dengan orang, tidak perlu buat macam itu.

      “Janganlah buat politik kotor, bila kalah dengan lawan, awak nak tunjuk video lucah. Cara ini sangat kotor, kena amalkan politik bersih,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis sejuta kenangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini, malam tadi.

      Dalam pada itu Mahathir turut mempersoalkan tindakan pengakuan Muhammad Haziq Aziz yang didakwa bersama lelaki mirip menteri dalam video yang tular berkenaan.

      “Budak itu yang mengaku ini seolah-olah sengaja buat perkara ini. Biasanya orang seperti itu malu untuk mengaku tetapi dia tidak.

      “Sekarang ini dia mengaku dengan (perbuatannya). Apa tujuan sebenar?” soalnya.

      Selain itu Jelas Mahathir, beliau ada bertemu dengan Mohamed Azmin pada mesyuarat Kabinet semalam secara kebiasaannya.

      “Saya pun ada jumpa dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin tetapi tidak tahu tentang perkara ini. Pagi ini baru tahu,” katanya.

      Terdahulu, Mohamed Azmin turut menafikan tuduhan mengaitkan dirinya terlibat dalam satu rakaman video lucah yang tular di media sosial sejak semalam.

      Mohamed Azmin mendakwa, rakaman video tersebut digunakan sebagai satu komplot untuk menjatuhkan maruah dan memusnahkan karier politiknya.

      Heret dalang, pelaku video seks sejenis ke mahkamah

      Mohd. Asron Mustapha
      13 Jun 2019 10:06 AM


      SHAH ALAM 13 Jun - Srikandi Keadilan Malaysia mahu dalang utama serta pelaku di sebalik penyebaran video seks sejenis yang dikaitkan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali disiasat dan didakwa di mahkamah.
      NURAINIE HAZIQAH SHAFII 
      Ketuanya, Nurainie Haziqah Shafii berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menjalankan siasatan terperinci dan siapa pun dalang serta pelaku di sebalik video seks itu perlu dihadap ke muka pengadilan tanpa kompromi.

      Katanya, penyebaran video tersebut jelas berniat jahat serta bertujuan mahu menjatuhkan kredibiliti dan karier politik Mohamed Azmin, tetapi beliau yakin Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu dapat mendepani tohmahan berkenaan.

      “Kami mohon PDRM menjalankan siasatan yang terperinci berkenaan dakwaan ini. Siapapun pelaku atau dalangnya perlu dibawa ke muka pengadilan tanpa ada kompromi.

      “Politik negara ini perlu dibersihkan dari cara yang jijik dan memualkan ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

      Video aksi seks sejenis yang didakwa Mohamed Azmin mula disebarkan secara terancang pada Isnin lalu dan sebaik Timbalan Presiden PKR tersebut menafikan penglibatannya, video siri kedua, yang jauh lebih jelas pula disebarkan semalam.

      Penyebaran itu dipercayai ada kaitan dengan persaingan politik dalaman PKR dan ramai pemerhati politik percaya ia adalah konspirasi tertinggi pucuk pimpinan parti berkenaan walaupun Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikannya.

      Ini selepas, sudah menjadi rahsia umum yang PKR terbahagi kepada dua kem iaitu antara kumpulan Anwar dan Mohamed Azmin, selain cakap-cakap politik yang Menteri Hal Ehwal Ekonomi merupakan calon bakal Perdana Menteri walaupun perjanjian asal Pakatan Harapan adalah antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Anwar. 

      - UTUSAN ONLINE

      A Rahman Hassan Meninggal Dunia

      JUNE 13, 2019

      KUALA LUMPUR:   Penyanyi era 1960-an, Datuk A Rahman Hassan, 73, meninggal dunia di Hospital Ampang (HA), dekat sini, jam 12.40 tengah malam tadi, akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan lemah jantung.

      Anak saudaranya, Azlee Senario, berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri dan anak-anak.

      “Doktor meminta isteri, anak-anak dan ahli keluarga datang bertemu arwah apabila keadaannya semakin kritikal selepas Maghrib.

      “Arwah hanya bergantung pada alat bantuan pernafasan sejak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak tiga hari lalu.

      “Jenazah akan dibawa ke kediamannya di Taman Sri Ukay, Hulu Klang, selepas urusan bedah siasat selesai,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online, malam tadi.

      Allahyarham yang juga vokalis kumpulan Orkes Nirwana yang popular dengan lagu ‘Tak Mengapa’ akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat di sini, selepas solat Zuhur, hari ini.

      Allahyarham dikejarkan ke hospital selepas pitam di sebuah stesen minyak di Ampang sebelum dihantar ke HA menaiki ambulans, Isnin lalu.

      Pada 1 Jun lalu, A Rahman dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat masalah jantung. Bagaimanapun, arwah dibenarkan pulang dua hari menjelang Aidilfitri.

      Isu video seks: Hilman akan buat laporan qazaf esok

      Haspaizi Zain
      Diterbitkan Hari ini 11:05 malam


      Satu laporan qazaf akan dibuat di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di Putrajaya esok berhubung pengakuan seorang pemuda yang mendakwa melakukan hubungan intim dengan sorang menteri dalam satu video yang tular semalam.

      Hal ini dimaklumkan setiausaha politik kepada menteri hal ehwal ekonomi, Hilman Idham.

      Qazaf atau perbuatan melemparkan tuduhan zina merupakan suatu kesalahan syariah.

      Menurut Hilman pihaknya akan berbuat demikian selepas satu laporan polis berhubung perkara itu dibuat terlebih dahulu.

      "Esok InsyaAllah jam 10 pagi, satu laporan polis akan dibuat terhadap satu pengakuan jenayah oleh seorang pemuda di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

      “Kemudian, satu laporan qazaf juga akan dibuat di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Putrajaya,” katanya selepas majlis solat hajat dan bacaan Yassin di kediaman Menteri Besar Selangor di Shah Alam, malam ini.

      Majlis berkenaan disertai Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Rashid Hasnon serta beberapa pimpinan PKR yang lain.

      Awal pagi tadi, Ketua Angkata Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz membuat pengakuan dirinya merupakan salah seorang individu dalam video seks yang tersebar itu.
      Haziq yang juga setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin turut mendakwa video tersebut dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK).

      Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pada hari ini juga menggesa Mahkamah Syariah Sabah segera bertindak ke atas individu yang membuat pengakuan terlibat dalam rakaman video seks menyasarkan seorang menteri kabinet, yang mula tersebar awal pagi semalam.

      Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut menggesa agar pemimpin dan anggota PAS tidak menyebarkan video tersebut.

      "Sebagai seorang Muslim sikap kita tetap konsisten dengan apa yang syarak pandu, agar tidak membuat tuduhan (qazaf) melainkan kita melihatnya," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

      Bersama Azmin sepanjang PRK Sandakan

      Petang tadi,Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali tampil menafikan beliau terbabit dalam sebuah video lucah yang sedang beredar di media sosial, menyifatkannya sebagai "tuduhan jahat dan kejam."

      Selepas penafian itu, pihak yang tidak dikenali menyebarkan satu lagi klip video skandal seks yang dikaitkan dengan timbalan presiden PKR itu dengan menjemput media melalui kumpulan WhatsApp dinamakan "Azmin Ali Part 2/4,".

      Dalam pada itu, Hilman berkata pengakuan Haziq merupakan satu fitnah terhadap bekas menteri besar Selangor itu.

      Jelas Hilman, sepanjang tempoh kempen PRK di Sandakan dia bersama-sama Azmin.

      "Sepanjang Azmin berada di Sandakan dalam tempoh PRK Sandakan, saya berada bersama-sama beliau.

      "Saya ada sewaktu beliau tiba di lapangan terbang hingga beliau balik semula ke lapangan terbang," katanya.

      Sementara itu, Amirudin menyifatkan penyebaran video berkenaan sebagai fitnah jijik untuk menyekat kemaraan Azmin.

      Amirudin mendakwa beberapa kejayaan Azmin sepanjang memimpin kementeriannya termasuk "menggegarkan" Felda kurang disenangi pihak tertentu.

      "Ada yang tak senang dan rasa selesa dengan perubahan yang mula dilaksanakan dan akan laksanakan.

      "Kita harus ada keyakinan, 20 tahun mengajar kita pelbagai kaedah kejahatan termasuk menggunakan fitnah salah laku seksual sebagai modal politik.

      "Fitnah dan kerja-kerja jijik dan jahat ini dilemparkan untuk menghilangkan fokus kita," katanya.

      ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-