Sunday, August 6, 2023

Jangan percaya DAP akan sokong agenda Islam, Melayu : Tun Faisal

agendaily.com
06/08/2023
Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mengingatkan pengundi agar tidak terus percaya kepada janji DAP untuk menyokong agenda Islam dan Melayu.

Menurutnya, selagi tiada perjanjian bertulis, jangan terpedaya dengan parti itu.

“Begitu terdesaknya PH-BN hari ini selepas melihat besarnya gelombang rakyat dan gelombang Sanusi sehingga DAP pun kata mereka boleh menyokong agenda Islam dan Melayu.

“Jangan tertipu kerana dulu Lee Kuan Yew sanggup pakai songkok untuk raih undi Melayu Singapura. Othman Wok juga dipergunakan untuk mempengaruhi orang Melayu.

“Selagi tiada perjanjian bertulis, jangan sesekali kita terpedaya dengan DAP. Cukuplah rakyat tertipu dengan dua orang Melayu PKR dan Melayu UMNO.

“Seorang Melayu PKR menipu rakyat dengan pelbagai janji dan tuduhan palsu. Seorang lagi Melayu UMNO yang sanggup bersumpah dengan nama Allah untuk menipu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mencabar Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke untuk membuat perjanjian bertulis dan pindaan Perlembagaan DAP mengenai dasar serta ideologi parti itu.

“Jika Anthony Loke tidak berani dan tidak mampu, maka ia hanya satu lagi penipuan PH-BN kerana terdesak untuk meraih undi Melayu,” katanya.

Beliau turut menggariskan beberapa perkara yang perlu dimasukkan dalam perjanjian tersebut termasuklah membatalkan Deklarasi Setapak, agenda Malaysian Malaysia dan yang seumpama dengannya.

“Menggantikan dan memansuhkan segala pernyataan dalam Perlembagaan DAP yang mengatakan Perlembagaan Persekutuan adalah bersifat sekular dan menyatakan sokongan dan pengakuan bahawa Agama Persekutuan adalah Islam.

“Menghentikan segala agenda kesamarataan agama dan mesti mengakui kedudukan Islam di dalam negara ini mengatasi kedudukan mana-mana agama dan kepercayaan.

“Menghentikan segala agenda kesamarataan kaum dan memperakui peruntukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di dalam perlembagaan termasuk tindakan-tindakan kerajaan untuk memastikan ia berkuat kuasa dan terlaksana,” katanya.

Selain itu, beliau turut menuntut DAP menyokong RUU355 dan pelaksanaannya di negeri serta menyokong segala usaha mengukuhkan kuasa dan kedudukan Mahkamah Syariah dan undang-undang Islam

“Menyokong enakmen yang menghalang penyebaran agama lain terhadap umat Islam dan enakmen yang menghalang umat Islam daripada menukar agama dan murtad.

“Menyokong dan meneruskan rayuan terhadap kes Kalimah Allah dan menyokong usaha untuk menghalang Kalimah Allah menggantikan Biblical God,” katanya.

Malah bekas pemimpin UMNO itu menyeru agar segala agenda liberal dan asing yang mahu menyamaratakan kedudukan agama dan kaum menggugat kedudukan Raja-raja Melayu dihentikan dan dihalang.

Gelombang ahli UMNO keluar parti tidak akan berhenti: Nik Zawawi

agendaily.com
06/08/2023
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Datuk Dr Ustaz Nik Zawawi Salleh menjangkakan lebih ramai ahli-ahli UMNO akan meninggalkan parti itu dalam masa yang terdekat.

Ahli Parlimen Pasir Puteh itu berkata pengumuman langkah keluar parti yang berlaku di Ketereh baru-baru ini hanya permulaan dan gelombang tersebut tidak akan berhenti, malah akan berjangkit ke kawasan lain selepas ini.

“Gua Musang sebelum ini adalah kawasan yang tidak pernah dimenangi oleh parti pembangkang daripada dulu sampai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tetap menjadi milik UMNO-Barisan Nasional (BN).

“Kali pertama Tengku Razaleigh Hamzah gagal tewas di Parlimen itu dan menyebabkan di Kelantan tiada lagi Parlimen dikuasa parti itu. Di sana gerakan mengumpul seramai mungkin ahli baru untuk menyertai PN sama ada masuk Pas atau Bersatu dijangkakan berlaku begitu ramai,” katanya ketika Ceramah Kelompok Jelajah Selangor Baharu di Flat PKNS, Seksyen 7, di sini, malam tadi.

Nik Zawawi berkata perkara berkenaan dijangka diumumkan oleh bekas pemimpin UMNO yang kini bersama-sama Bersatu, iaitu Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ceramah malam tadi turut dihadiri calon PN DUN Batu Tiga, Datuk Seri Rina Harun dan calon DUN Kota Anggerik, Sukri Omar.

Tambah Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu, apa yang diusahakan oleh Perikatan Nasional (PN) adalah demi rakyat dan memastikan aset-aset negara tidak disalah guna.

Sementara itu, Zawawi membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sering kali melaungkan perjuangan kerajaan di bawah pimpinannya untuk memasmi kemiskinan tegar.

Namun beliau mendakwa setelah lapan bulan berlalu sehingga kini tiada hasil untuk membantu rakyat keluar daripada garis kemiskinan, khususnya di Kota Anggerik.

“Ketika pembentangan Bajet 2023 dia kata dia akan pastikan akan noktahkan kemiskinan tahun ini juga.

“Kita sudah masuk Ogos baki empat bulan lagi untuk 2024, ucapan belanjawan sudah hampir lapan bulan tetapi di DUN Kota Anggerik apa tindakan kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan, saudara nampak tak? Nak cakap senang, nak buat yang susah,” ujarnya.

Jangan pilih pemimpin 'loqlaq' - Nurul Izzah

hmetro.com.my
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my
NURUL Izzah (tengah) ketika berucap pada Sembang Santai Bersama Orang Muda di Warung Bangau Sawah, Langkawi. FOTO Hamzah Osman

Langkawi: Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menggesa pengundi memilih calon yang dapat mewakili suara rakyat, bukan yang hanya tahu bercakap kasar dan bersikap 'loqlaq'.

Naib Presiden PKR itu berkata, pilihan raya juga bukan pertandingan mencari pemimpin 'penghibur' di aplikasi sosial TikTok.

"Pilihan raya sekarang cukup mencabar, khususnya zaman kemunculan (media sosial) TikTok berleluasa ini, kita seolah-olah diheret (ke pertandingan) siapa lagi banyak (cakap) kasar dan 'loqlaq'.

"Sepatutnya, kita cari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mahu kerja, cari pelaburan dan memajukan ekonomi," katanya ketika berucap pada Sembang Santai Bersama Orang Muda di Warung bangau Sawah di sini, malam tadi.

Hadir sama calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat, Hisham Suhaily Othman dan calon DUN Kuah daripada PKR, Ahmad Fauzi Chik.

Nurul Izzah yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah berkata, kesungguhan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN untuk menang di negeri 'Jelapang Padi' bertujuan menjaga kebajikan rakyat.

"Kedah perlu dipimpin kerajaan yang seragam dan serasi dengan (kerajaan) Pusat supaya memudahkan pelaksanaan segala projek dirancang kerana sesetengahnya perlu sokongan kerajaan Pusat.

"Undi wakil rakyat yang boleh membina dan memelihara dengan baik jambatan dengan kerajaan Persekutuan, jangan sesekali memberi ruang kepada individu yang mewakili parti yang tidak sehaluan," katanya.

Disiarkan pada: Ogos 6, 2023

PRN uji penerimaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan

bharian.com.my
Oleh Prof Datuk Dr Jayum Jawan 
bhrencana@bh.com.my
- Ogos 6, 2023 @ 10:00am
 Foto hiasan

Apa ada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan apa kaitannya dengan perjalanan politik Malaysia. Hakikatnya, PRN di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada 12 Ogos ini amat penting kerana beberapa faktor.

l Pertama, PRN akan menguji kelangsungan Kerajaan Perpaduan di negeri terbabit dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kerjasama Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

l Kedua, pola pengundian orang Melayu di Semenanjung akan menjadi lebih nyata pada PRN nanti selepas berlaku kalih undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) khasnya kepada Perikatan Nasional (PN) dianggotai BERSATU, PAS dan GERAKAN.

Persoalan berbangkit ialah sama ada pola itu akan kekal seperti PRU15 atau berubah. Sekiranya berubah, siapakah akan mendapat kelebihan daripada sokongan Melayu selepas PRN kelak.

l Ketiga, apakah peluang UMNO untuk bangkit semula sebagai parti utama Melayu seperti PRU atau PRN sebelum ini di bawah kepemimpinan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

l Keempat, sejauh manakah 'gelombang hijau' atau PAS dapat bertahan atau mampu mengembangkan tarikannya ke negeri Melayu lain seperti Kedah yang mempunyai penduduk Melayu majoriti, lebih kurang 75 peratus daripada populasinya.

Sebelum ini, PAS mampu menguasai Kelantan dan Terengganu apabila parti berkenaan menang dengan majoriti sendiri. Di Kedah, PAS memimpin dengan sokongan BERSATU selepas menjadi parti memenangi kerusi DUN dengan jumlah terbesar pada PRU14.

PH-BN kini masing-masing menguasai Selangor dan Negeri Sembilan. Berbeza dengan PAS, PH-BN tidak menguasai negeri terbabit dengan majoriti sendiri, tetapi menerusi lambakan sokongan kerusi rakan komponen mereka.

Di Selangor PKR berkuasa kerana sokongan DAP dan di Negeri Sembilan, PH semakin utuh selepas UMNO bekerjasama dengan mereka. Justeru, beberapa persoalan boleh terjawab berdasarkan persediaan parti bertanding dalam PRN tanpa perlu menunggu keputusan PRN nanti.

Pertama, UMNO dilihat tidak mampu untuk bangkit semula sebagai parti dominan Melayu seperti sebelum PRU 2018. UMNO perlu menerima sejumlah kerusi diperuntukkan kepadanya untuk ditandingi pada PRN ini. Maka, UMNO dilihat hanya mampu bertahan kuasa di Negeri Sembilan dan tidak ada peluang langsung untuk bangkit semula di Selangor dan Kedah.

Di Selangor, jumlah kerusi ditandingi UMNO tidak mencukupi untuk mengembalikannya menawan semula Selangor seandainya parti mampu menang semua 12 kerusi ditandinginya. Soalnya, mampukah UMNO.

Oleh itu, UMNO tidak berpeluang mencalonkan pemimpin mereka sebagai Menteri Besar kelak. Begitu juga negeri lain kerana pengagihan kerusi dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan memihak kepada jumlah kerusi sedia ada dimenangi parti asal dan perlu dipertahankan pada PRN nanti.

UMNO perlu tanding solo

Justeru, sekiranya UMNO mahu bangkit semula dan menguji kebolehan Ahmad Zahid untuk membawa kembali keagungan lampau UMNO, parti itu perlu keluar daripada blok Kerajaan Perpaduan dan bertanding atas nama parti sendiri, berlawan sendiri di semua kerusi DUN dalam enam negeri terbabit.

Di Selangor, kemungkinan PKR kembali semula memerintah adalah cerah dengan sokongan DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH). Umumnya, DAP dijangka akan kekal menguasai DUN dimenangi pada PRU14 dan sebelumnya. Keadaan ini juga bakal berlaku di Pulau Penang.

Namun, peluang untuk PH-BN menawan Terengganu, Kelantan bahkan di Kedah juga amat tipis. BERSATU dan PAS memiliki kekuatan secara bersama untuk menarik sokongan tidak kurang separuh pengundi Melayu.

Tidak dapat dinafikan, sebahagian besar masyarakat Melayu bersama BERSATU dan PAS ketika ini. PRN nanti akan menentukan sama ada sokongan ini berkekalan atau sebaliknya.

Keputusan PRN nanti bukan sahaja penting untuk blok parti mana sama ada PH-BN atau PN mampu menubuhkan kerajaan negeri, bahkan ia akan menentukan keutuhan dan kelangsungan Kerajaan Perpaduan dan kepemimpinan Anwar.

Sekiranya Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang kekal di bawah PH-BN, maka Kerajaan Perpaduan akan terus hidup sehingga tamat tempoh penggal empat tahun lagi. Gagal mempertahankan satu atau dua negeri terbabit, maka kelangsungan Kerajaan Perpaduan akan 'dihitung hari' sahaja.

Sekiranya, PH-BN mampu menawan Kedah, ia sudah cukup menjadi tanda sokongan pengundi Melayu kepada Kerajaan Perpaduan serta Anwar memihak kepada mereka.

Keputusan PRN jadi petunjuk

Keputusan PRN nanti bakal menjadi petunjuk pengundi Melayu nanti mengundi bukan untuk calon ditampilkan PKR, UMNO, BERSATU dan PAS sebaliknya mengundi untuk Anwar, Ahmad Zahid, Muhyiddin atau Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS.

Boleh dikatakan PRN kali ini menunjukkan calon muka baharu ditampilkan parti tidak memiliki tarikan, tiada rekod untuk dijadikan panduan bagi menarik pengundi serta tiada pengalaman menunjukkan mereka layak menjadi wakil rakyat atau EXCO negeri.

Oleh itu, menang atau kalah calon muka baharu akan menjadi pedoman bahawa pengundi menerima atau menolak Anwar, Ahmad Zahid, Muhyiddin atau Abdul Hadi.

Pengundi dijangka tidak akan peduli, menilai atau memberi peluang kepada orang baharu seperti dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang masih tiada pengalaman dan rekod untuk dinilai, sama ada berasaskan parti atau pemimpin utama parti berkenaan.

‘1 undi untuk PH, 1 undi untuk Zahid Hamidi’

agendaily.com
06/08/2023

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan pengundi DUN Bukit Antarabangsa bahawa mengundi Pakatan Harapan (PH) adalah tanda sokongan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kini berdepan 47 kes mahkamah.

Menurutnya, cukuplah rakyat ditipu sekali, jangan ditipu untuk kali kedua.

“Kepada orang Bukit Antarabangsa, saya nak ingatkan sekali lagi, one vote for PH adalah one vote for Zahid Hamidi. One vote for PH, adalah one vote for kleptokrasi. Cukuplah jangan kena tipu kali kedua.

“Mereka (kerajaan) tidak mampu. Dia nak lawan perasuah, perasuah di sebelah kanan dia, dia nak sebut sakau sana sakau sini, dia kepala sakau dalam negara ini.

“Jadi saudara,defisit kepercayaan semakin meluas. Rakyat sudah letih, rakyat hanya mahu kerajaan yang kuat, yang ikhlas, pemimpin diuji dan teruji dan pemimpin itu adalah Perikatan Nasional,” katanya.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Selangor berkata sebahagian penyokong yang hadir malam tadi itu dikenalinya kerana sebelum ini mereka menyokong PH yang menyakini bahawa gabungan itu akan menjadi kerajaan yang bersih dan berkredibiliti namun hakikatnya berbeza.

“Saya kenal sebahagian yang ada di dalam ini (program), yang dulu menyokong Pakatan Harapan. Tidak mengapa, itu pilihan yang telah dibuat kerana ketika itu sebahagian daripada kita mengandaikan bahawa PH ini akan membentuk kerajaan yang bersih, berwibawa dan pemimpinnya berkredibiliti.

“Kita dengar ceramah dia, apa yang tidak didendangkan? Dia heret orang Bukit Antarabangsa dan Gombak dan seluruh negara pergi berdemokrasi untuk menentang kleptokrat, menentang perompak, menentang perasuah.

“Sekarang apa dah jadi? Orang yang kita lawan sekrang dah jadi kawan dia, bukan saja kawan tapi diangkat sebagai orang nombor dua dalam negara. Di mana maruah kita sebagai rakyat Malaysia?,” katanya yang dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Azmin, gelombang yang ada ketika ini adalah tanda ketidakpuasan hati rakyat terhadap kepimpinan hari ini yang tidak menunaikan janji selepas lapan bulan berkuasa.

“Ini bukan gelombang hijau tapi ini gelombang ketidakpuasan hati rakyat terhadap pemimpin yang berbohong, berdusta dan tidak menunaikan janji setelah lapan bulan diberi tugas yang amat besar di dalam negara ini.

“Kerana rakus nak jadi PM sanggup buat janji yang tidak boleh ditunaikan…Kalau kata pengkhianat, bukan saya pengkhianat. Tapi dia. Dia janji minyak turun, minyak tak turun. Pembohong. Buka mulut bohong, sekarang lagi teruk, belum buka kita dah tahu dia bohong. Sudah melampau sebab rakyat susah,” katanya yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa selama tiga penggal.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-