Monday, March 25, 2024

'Tawaran' sokong PM: Wan Saiful yang minta, kata Zulkafperi

malaysiakini.com
Zarrah Morden & Shakira Buang
Diterbitkan: Mar 25, 2024 3:06 PM
Ahli Parlimen Tanjong Karang Dr Zulkafperi Hanafi hari ini menepis dakwaan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan bahawa dia menerima beberapa tawaran agar mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Zulkafperi mendakwa tawaran tersebut sebenarnya permintaan daripada Wan Saiful.

"Jika kita perhatikan, semua tawaran ini adalah permintaannya sebagai syarat untuk Tasek Gelugor (Wan Saiful) menyokong Anwar," katanya.

Enam tawaran tersebut adalah:

Peruntukan RM1.7 juta untuk kawasan

Peruntukan projek sebanyak RM2 juta

Bayaran untuk rawatan kemoterapi isteri Wan Saiful

Bayaran guaman untuk kes mahkamahnya

"Token" dengan had yang tak dinyatakan untuk kegunaan peribadi

Pengguguran kes mahkamah


Wan Saiful berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana berjumlah RM5.59 juta dan dua pertuduhan rasuah berkaitan program Jana Wibawa.
Zulkafperi Hanafi
Pada Jumaat lalu, Zulkafperi memfailkan usul untuk merujuk Wan Saiful ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan kenyataannya di Parlimen sehari sebelumnya.

Zulkafperi berkata kenyataan itu menimbulkan sangkaan jahat dan cuba mengelirukan dewan.

Wan Saiful mendakwa Zulkafperi dan Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim berperanan sebagai ejen untuk mendapatkan sokongan ahli parlimen pembangkang terhadap Anwar.

'Berniat jahat dan berunsur fitnah'

Hari ini, Zulkafperi menyatakan yang kegagalan dirinya dan Azizi untuk membantu Wan Saiful atau menjadi "ejen" yang lebih baik menjadi punca dia membuat dakwaan itu.

"Jadi, kenyataannya di Parlimen jelas berniat jahat, fitnah, mengelirukan dewan dan memutarbelitkan fakta dan menuduh saya tanpa apa-apa bukti jelas dan saksi, sementara cuba mengheret saya ke dalam agenda peribadinya," kata Zulkafperi.
Azizi Abu Naim
Dia berkata tindakan seumpama itu melanggar Peraturan 36(6) dan 36(12) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Pada masa sama, Azizi menyatakan dia tidak pernah berjumpa Wan Saiful sejak menjadi ahli parlimen, kecuali semasa program PN.

Dia mendakwa Wan Saiful dan seorang individu yang tidak dikenali mendekatinya ketika dia berada di kafe di sebuah hotel.

Namun katanya perbualan mereka hanya berkenaan peruntukan yang diterima Azizi sebagai ahli parlimen, di mana dia mengesahkan menerima jumlah yang sama dengan ahli parlimen kerajaan.

Dia juga berkata pertemuan itu tidak dirancang.

Pada 28 Februari lalu, Wan Saiful mendakwa dia ditawarkan habuan untuk menyokong Anwar.

Susulan itu, SPRM memintanya untuk membuat laporan serta memanggilnya untuk memberi keterangan.

Namun, Wan Saiful berkata dia tidak dapat hadir ke ibu pejabat SPRM ekoran tarikh yang tidak sesuai, selain membangkitkan soal kekebalan anggota parlimen dalam Dewan Rakyat.

PADU: 'Big data' atau 'big brother'?

malaysianow.com.my
MalaysiaNow
Mac 25, 2024

Menjelang tarikh tamat pengemaskinian PADU, masih ramai yang bimbang bagaimana maklumat peribadi mereka digunakan.
Projek PADU yang dibawa Rafizi Ramli (kedua dari kiri) telah menerima kritikan atas kebimbangan privasi data. Gambar: Facebook

Siti Khatijah Zubaidi, seorang suri rumah lewat 20-an di Hulu Selangor, merupakan antara jutaan rakyat Malaysia yang masih belum mengisi maklumat dirinya dalam Pangkalan Data Utama (PADU) walaupun berkali-kali diingatkan mengenai tarikh akhir 31 Mac ini.

Walaupun diingatkan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, orang yang menjuarai pengkalan data yang bakal menentukan siapa layak menerima pelbagai bantuan dan subsidi kerajaan, Khatijah masih tidak yakin dengan kebolehan pihak berkuasa dalam isu keselamatan data.

Dia masih ingat bagaimana arwah ayahnya hilang RM15,000 dalam simpanan bank tanpa pengetahuannya, selain scammer yang masih dapat menghubungi dia dan ahli keluarganya menggunakan nombor telefon mereka yang tidak pernah didedahkan.

"Saya takut data dijual kepada pihak yang tidak bertanggungjawab," kata Khatijah kepada MalaysiaNow.

"Suami saya pula terpaksa daftar kerana dia penjawat awam dan terpaksa ikut cakap ketua, kerana ia akan mempengaruhi pencen dan lain-lain."

Kebimbangan seperti yang diluahkan Khatijah baru-baru ini disebut oleh seorang menteri kanan Sarawak, yang mengkritik cara kerajaan melaksanakan PADU dengan menuntut pelbagai maklumat peribadi.

"Sebaik sahaja anda mengisi, anda bogelkan diri sendiri. Hampir semuanya - akaun bank anda, rumah anda, semuanya!" kata Abdul Karim Rahman Hamzah.

"Saya tidak fikir itu adalah cara yang betul melayan rakyat," kata menteri pelancongan negeri Sarawak.

Malah Abdul Karim membayangkan sama ada kerajaan pusat ada agenda politik di sebalik menyuruh orang ramai memberikan maklumat peribadi.

Kebimbangan serupa disuarakan kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL), yang memberi amaran tentang risiko maklumat sensitif didedahkan tetapi orang ramai tidak berpeluang mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan ganti rugi sekiranya data peribadi mereka dibocorkan atau dicuri.

“Seperti mana sekarang...data yang dikumpul oleh PADU boleh disebarkan atau digunakan oleh kerajaan di luar matlamat subsidi bersasar seperti yang diisytiharkan. Terdapat kes penyalahgunaan data oleh kerajaan sebelum ini di mana data peribadi digunakan untuk menyebarkan propaganda melalui SMS kepada orang ramai,” kata Zaid Malek dari LFL.

Khatijah bersetuju.

"Saya rasa perkara itu berkait dengan maklumat-maklumat yang diisi secaraa online. Kita takut juga kalau ada pencerobohan maklumat peribadi," tambahnya.

Khatijah pernah pernah menerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), program bantuan tunai yang dijenamakan semula oleh kerajaan semasa.

Dia tidak kisah kerana tidak lagi menerima bantuan STR sejak berkahwin.

Kerajaan berkata PADU, yang dilancarkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Januari lalu, bakal memastikan bantuan dan subsidi diterima oleh mereka yang layak dalam usaha beralih daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar.

Ia menggabungkan data-data daripada pelbagai pangkalan data seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, antara lain.

Seorang pakar teknologi maklumat berkata data bersepadu itu perlu dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA), walaupun kerajaan berkata ia dikecualikan daripada akta itu.

"PDPA yang sepatutnya melindungi data-data kita hanya merangkumi data-data komersial sahaja. Ia tidak melibatkan agensi kerajaan," kata Azril Hanafi Abdullah Sharwani.

"Ini isu pokok dalam isu sambutan terhadap PADU. Pihak kerajaan perlu bergerak dengan lebih strategik dan tersusun," tambahnya.

Menurut Putrajaya, pendaftaran PADU setakat 23 Mac berjumlah 7.36 juta orang.

Rafizi sebelum ini berkata rakyat Malaysia perlu mengemaskini data mereka supaya tidak terlepas bantuan kerajaan.

Bagi Azril, naratif yang dibawa Rafizi itu menunjukkan komunikasi lemah kerajaan.

"Mereka patut membawa satu naratif yang lebih baik dengan konotasi positif kepada rakyat. Kerajaan sewajarnya ada komunikasi strategik yang boleh mengajak rakyat menyokong inisiatif tersebut," katanya.

PADU bukan satu-satunya initiatif yang memerlukan orang ramai menyerahkan butiran peribadi mereka.

Baru-baru ini, Kementerian Kewangan mengarahkan penukar mata wang asing untuk memastikan pelanggan mereka menyerahkan nama, alamat dan butiran lain.

Pensyarah kanan teknologi maklumat Saaidal Razalli Azzuhri berkata dia memahami kebimbangan Abdul Karim mengenai privasi data.

"Kerajaan perlu mengimbangi antara penggunaan data untuk pentadbiran yang lebih cekap, dan memelihara hak asasi dan privasi rakyat. Langkah-langkah seperti akta privasi data yang komprehensif, penguatkuasaan undang-undang, dan pengurusan data yang telus dan berintegriti perlu diutamakan," kata pensyarah Universiti Malaya itu.

PBT turunkan kain rentang jualan rahmah KK Mart

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 25, 2024 11:49 AM
Majlis Bandar Raya Melaka Bersejarah (MBMB) menurunkan kain rentang “jualan rahmah” sebuah cawangan KK Mart negeri itu.

Tindakan itu diambil susulan aduan Ketu Pemuda Umno Akmal Saleh yang mendakwa ia dinaikkan tanpa permit dan tidak mendapat kebenaran menggunakan gambar Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh.

“Kita minta dia naik banner (kain rentang) minta maaf.

“Tapi banner lain dia naikkan,” kata Akmal yang lantang mengkritik jualan stoking bertulis kalimah Allah di KK Mart di Petaling Jaya, Selangor.


“Maka kita minta PBT jalankan penguatkuasaan mengikut undang-undang yang sedia ada.”
Akmal Saleh
Akmal yang juga exco Melaka adalah pemimpin politik paling lantang mengecam jualan stoking itu.

KK Mart telah memohon maaf dan menarik balik jualan stoking yang diimport dari China itu.

Perkara itu bagaimanapun belum memuaskan hati Akmal yang mahu kedai serbaneka itu menaikkan kain rentang mohon maaf di semua cawangan KK Mart di seluruh Malaysia.

Polis telah melengkapkan siasatan berhubung kes itu dan mencadangkan KK Mart dan syarikat pembekal, Xin Jiang Chang Sdn Bhd dihadapkan dengan pertuduhan jenayah di mahkamah.

Keputusan akan dibuat oleh Pejabat Peguam Negara (AGC).

Sementara itu, menulis di media sosial, Akmal berkata mereka akan tetap memboikot KK Mart.

“Buatlah jualan apa sekalipun,j uallah barang murah mcm mana sekalipun, kami tetap dengan pendirian kami dengan kekal #boikotKKmart.

“Kami ada maruah yang bukan boleh dibeli,” tulisnya.

Saifuddin: Impian kami mahu Anwar jadi PM penggal kedua

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 25, 2024 8:30 AM
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berharap Anwar Ibrahim akan berkhidmat sebagai perdana menteri untuk penggal kedua.

"Sekarang dalam penggal pertama, insya-Allah, sekarang dah ada kejelasan, untuk memasuki penggal kedua. Itulah impian kita," katanya dalam episod Keluar Sekejap yang bersiaran semalam.

Mengulas mengenai kesihatan Anwar, dia berkata selain kecederaan bahu dan belakang, perdana menteri itu dalam keadaan "tip-top".

“Dia lebih sihat daripada saya,” katanya.

Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia ke-10 pada Nov 2022 selepas berjaya menyatukan kerajaan gabungan pasca pilihan raya, dengan bekas seteru tradisi BN sebagai rakan kongsi utama.

Bagaimanapun, perjalanan presiden PKR itu menerajui Putrajaya tidaklah begitu lancar.

Pengkritik berkali-kali membidas bahawa walaupun diketuai oleh seorang reformis, pelaksanaan reformasi berjalan dengan perlahan.

Terdapat juga kritikan terhadap langkah regresif oleh kerajaan, seperti dalam isu pindaan kewarganegaraan.

Kerjasama Pakatan Harapan dengan BN dan percubaan mereka untuk memenangi undi konservatif juga mempunyai keputusan yang berbeza pada pilihan raya, termasuk kerajaan negeri Selangor kehilangan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya negeri tahun lepas.

Pengacara Keluar Sekejap, Khairy Jamaluddin berkata realiti di lapangan ialah majoriti pengundi Melayu tidak menyebelahi gabungan Madani.

Saifuddin, dalam jawapannya, berkata sentimen Melayu selalunya "emotif", dengan orang tidak berminat untuk mendengar fakta dan angka sebaliknya, "cerita".

"Jadi ia adalah satu cabaran bagaimana kami mahu menyampaikan mesej (kami)," katanya.

Ditanya sama ada kerjasama PH dengan BN akan diteruskan pada pilihan raya umum akan datang, Saifuddin berkata bagi PKR, keputusan masih belum dibuat.

Sementara itu, Saifuddin turut menolak dakwaan Khairy bahawa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi adalah beban terhadap PH.

Dia berkata walaupun Umno dan DAP dilihat sebagai rakan kongsi yang tidak sehaluan bagi sesetengah pihak, mereka adalah "rakan kongsi dalam perjuangan" dalam konteks kerajaan campuran sekarang.

Oleh itu, katanya, adalah tidak adil untuk menyorot kesalahan masing-masing.

Dia menambah bahawa Anwar telah mengajar PKR untuk setia kepada rakan mereka melalui tempoh sukar, dan menerima kepelbagaian pendapat.

Isu stoking kalimah Allah: Tak malukah, Zaid kritik sikap bisu ahli akademik

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-25 Mar 2024, 12:16 AM

Zaid Ibrahim membidas ‘ribuan bijak pandai’ yang membisu berhubung reaksi terhadap isu stoking tertera kalimah Allah.
Zaid Ibrahim menyifatkan Tajuddin Rasdi sebagai sebagai intelektual yang berani bercakap benar.

PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Zaid Ibrahim, mengkritik ahli akademik beragama Islam yang membisu berhubung reaksi terhadap isu stoking tertera kalimah Allah.

Mengulas reaksi sekitar isu tersebut, Zaid berpandangan perbuatan yang tidak menampilkan sikap penuh belas kasihan sebagai tidak menunjukkan Islam sebenar.

“Malangnya, kita ada ribuan bijak pandai yang gaji dibayar rakyat tetapi membisu. Tidak malukan mereka?” katanya di X (dahulunya Twitter).

Bekas menteri undang-undang itu memuji Tajuddin Rasdi dari Universiti UCSI susulan kenyataan tentang cara Nabi Muhammad berurusan dengan pihak yang menghinanya.

“Saya berbangga kita mempunyai intelektual seperti Tajuddin yang punya kekuatan dan keyakinan seorang Muslim sejati untuk bercakap benar,” kata Zaid.

Tajuddin dan bekas Ahli Parlimen Umno, Tawfik Ismail, membidas majlis kerja tertinggi Umno kerana menyokong tindakan Ketua Pemuda Dr Akmal Salleh berhubung isu stoking tertera kalimah Allah.

Akmal berulang kali menggesa pemboikotan rangkaian KK Mart susulan penemuan stoking tersebut di sebuah cawangannya. Kilang membekal stoking itu telah ditutup sementara, manakala pengurusan KK Mart telah mengeluarkan permohonan maaf.

Tawfik dan Tajuddin menyeru semua pihak menunggu hasil siasatan ke atas perkara ini, dan mengingatkan bahawa hukuman bagi pihak yang bersalah seharusnya ditentukan oleh pihak berkuasa, bukannya Umno.

Mereka juga menggesa rakyat abaikan seruan boikot KK Mart daripada Akmal dalam isu ini.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-