Showing posts with label Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Show all posts
Showing posts with label Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Show all posts

Sunday, February 23, 2025

‘Pergi luar negara isytihar berbilion, balik tarik subsidi’

harakahdaily.net
February 23, 2025
SEPANG: Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad mempersoalkan tindakan kerajaan yang berbangga dengan pencapaian ekonomi negara, tetapi pada masa sama menarik subsidi yang memberi kesan besar kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, walaupun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diumumkan meningkat kepada 5.1 peratus dan pelaburan asing bertambah 10 peratus, rakyat tetap berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.

“(Kerajaan umumkan) Pelabur datang sepuluh peratus meningkat. Bagus. Pergi Amerika, isytihar bilion-bilion. Pergi ke negara China bilion-bilion, balik Malaysia tarik subsidi. Ini yang berlaku pada hari ini.

“Kita duk bangga dengan duit kita banyak macam kitalah sebagai bapa duk bagi tahu kat orang duit saya banyak dalam fix deposit simpan RM2 (juta sehingga) RM3 juta dalam fix deposit, (tapi) anak duk pergi minta sedekah dekat Masjid Jamek Kuala Lumpur.

“Sepatutnya kita utamakan keluarga kita dulu. Ertinya utamakan anak pinak kita dulu. Utamakan anak negeri kita dulu. Ini yang sepatutnya dilakukan,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Bangkit Rakyat di Medan Selera Indah Puteri Kampung Baru Lanjut, di sini malam tadi.

Idris turut membangkitkan peningkatan kos pendidikan dan pengangkutan yang menambah beban rakyat.

“Baru ni mak ayah buka sekolah baru ni. Dulu baju boleh belilah harga RM35. Sekarang sudah naik RM50 seorang pelajar. Seorang anak-anak tak kurang perbelanjaan awal sekolah RM500.

“Anak-anak sekolah RM500 seorang. Bas sekolah pula naik. Dulu RM80, naik RM100. Itu pun dia bagi tahu, tak ada kesan apa. Bas bagi tahu dia kata kami terpaksa naik kerana ‘maintenance’ (pengelenggaraan) yang ada pada bas naik.

“Kami terpaksa naik. Oh, dulu kami hebat warning. Siapa naik tambang bas, kita akan tarik lesen. Puak-puak itu kata hang tariklah. Mereka terpaksa tarik.

“Ni kesan daripada yang kita sebut apabila diesel kamu naikkan. Inilah dia ada kesan dia kepada rakyat. Macam mana pula kamu kata tak ada kesan? Mesti ada kesan punya,” katanya.

Beliau juga mendedahkan kesan kenaikan harga diesel terhadap sektor pertanian, termasuk peningkatan harga racun dari RM80 kepada RM120 dan kenaikan kos mesin padi daripada RM80 kepada RM140.

“Ini keadaan yang dialami oleh petani hari ni kesan daripada diesel. Macam mana kamu kata kenaikkan harga diesel tak ada kesan kepada rakyat bawah?” katanya

HARAKAHDAILY 23/2/2025

Monday, February 17, 2025

‘Persoalan besar, adakah rakyat nikmati pertumbuhan ekonomi sekarang?

harakahdaily.net
February 17, 2025
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamil

KUALA LUMPUR: Kerajaan dituntut merungkai persoalan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 5.1 peratus di samping pelaburan 10 peratus, sementara hasil keuntungan tidak dikongsi bersama.

Bagaimanapun, kata Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamil (PN-Machang), rakyat terus menggalas beban ekonomi dan sosial yang berat, meskipun mereka dimomokkan dengan kejayaan tersebut oleh pemimpin kerajaan.

“Hari ini saya bangun membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja dengan satu persoalan besar yang perlu dijawab oleh kerajaan, adakah rakyat benar-benar menikmati pertumbuhan ekonomi sekarang?

“Kerajaan hari ini pimpinan Tambun, berbangga dengan KDNK meningkat, pelaburan naik, defisit fiskal menurun, tetapi adakah angka ini benar-benar mengambarkan realiti hidup rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Dato; Seri Anwar Ibrahim mendakwa formula ekonomi yang dirangka Kerajaan Madani terus membuahkan hasil apabila nilai pelaburan negara meningkat dengan kemasukan syarikat global.

Perdana Menteri itu, KDNK menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan iaitu sebanyak 5.1 peratus dan menarik minat syarikat-syarikat gergasi dunia semakin komited untuk melabur di Malaysia.

Berucap pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini, Wan Ahmad Fayhsal turut mengemukakan laporan Bank Dunia yang mendedahkan situasi sebenar ekonomi negara yang berkembang tetapi membebankan rakyat.

Menurutnya laporan tersebut membuktikan satu paradoks bahawa walaupun Malaysia mencapai pertumbuhan KDNK kukuh, mengurangkan kadar kemiskinan, namun ketidakpuasan hati rakyat semakin meningkat.

“Ini situasi ihadapi sekarang walaupun taraf hidup material semakin baik, beban ekonomi dan sosial dihadapi rakyat semakin berat, KDNK bukan segala-galanya kerajaan bercakap pertumbuhan ekonomi.

“Tetapi kenapa kadar kemiskinan masih tinggi, fakta yang kerajaan tidak mahu perakui di Sabah kadar masih kekal 20 peratus, negara masih tahap zaman merdeka, kemiskinan masih kekal,” katanya.

 – HARAKAHDAILY 17/2/2025

Tuesday, October 29, 2024

Hutang isi rumah naik kepada RM1.57 trilion, bersamaan 83.8 peratus KDNK

bharian.com.my
Oleh Farah Marshita Abdul Patah 
farahmarshita@bh.com.my
Oktober 29, 2024 
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Hutang isi rumah meningkat daripada RM1.53 trilion pada akhir 2023 kepada RM1.57 trilion pada Jun lalu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Kewangan berkata, peningkatan itu bersamaan dengan 83.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 84.2 peratus pada tahun lalu.

Berdasarkan jenis pembiayaan, bahagian terbesar hutang isi rumah terdiri daripada pinjaman perumahan.

"Ia merangkumi 61 peratus daripada jumlah hutang isi rumah, diikuti oleh pinjaman kenderaan (13.5 peratus), pembiayaan peribadi (12.4 peratus) dan pinjaman untuk tujuan lain seperti pembelian harta bukan kediaman, hutang kad kredit, sekuriti dan sebagainya.

"Menyedari risiko keberhutangan isi rumah yang tinggi, Kerajaan dan Bank Negara (BNM) sudah lama mengambil pendekatan yang berhemat dan berhati-hati dalam menangani risiko ini bagi memastikan ia tidak menjejaskan daya tahan kewangan isi rumah serta kestabilan sistem kewangan negara," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Onn Abu Bakar(PH-Batu Pahat) mengenai peningkatan hutang isi rumah yang kini mencecah RM1.53 trilion dan langkah Kementerian untuk memperkenalkan dasar yang lebih ketat bagi mengawal peningkatan hutang isi rumah.

Katanya, kerajaan melakukan usaha berterusan untuk mengawal hutang isi rumah dan mengukuhkan daya tahan isi rumah termasuk melaksanakan Dokumen Dasar Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab sejak 2012 dan meningkatkan tahap celik kewangan rakyat menerusi Jaringan Pendidikan Kewangan.

Tambahnya, sebahagian besar hutang tertumpu kepada pembelian rumah dan kenderaan.

Oleh itu, inisiatif kerajaan untuk memastikan perumahan kekal mampu milik serta memperbaiki sistem pengangkutan awam yang lebih efisien memainkan peranan penting dalam mengawal pertumbuhan hutang secara berkesan," katanya.

Anwar berkata, langkah itu dapat mengurangkan tekanan hutang serta menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi jangka panjang.

"Selain itu, Kerajaan komited untuk mempercepatkan pembentangan cadangan Akta Kredit Pengguna yang akan mewajibkan penyedia kredit bukan bank seperti penyedia Beli Sekarang Bayar Kemudian (Buy Now Pay Later, BNPL) mematuhi standard kehematan dan garis panduan yang berkaitan.

"Ia bagi melindungi pengguna kewangan dalam skim BNPL dan mengurangkan risiko keberhutangan berlebihan terutama dalam kalangan peminjam muda dan berpendapatan rendah," katanya.

Tambahnya, melangkah ke hadapan, Kerajaan akan terus memantau tahap keberhutangan isi rumah dan mengambil langkah yang bersesuaian untuk memastikan pertumbuhan paras hutang isi rumah tidak berlebihan dan kekal selaras dengan kemampuan peminjam.

Sunday, October 23, 2016

Tak berkesan tangani kos sara hidup

SALWANI MD ZAIN
23 OKTOBER 2016
SHAH ALAM - Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat kelmarin, dilihat kurang kukuh dalam meningkatkan pertubuhan dan daya tahan ekonomi yang boleh memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Yusof Saari berkata, terdapat beberapa perkara menyebabkan objektif itu gagal.

Menurutnya, sebanyak 82 peratus daripada peruntukan bajet itu untuk perbelanjaan pengurusan, manakala hanya 18 peratus diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan.

“Sepatutnya dalam keadaan ekonomi sederhana seperti sekarang, kerajaan perlu tingkatkan perbelanjaan pembangunan kerana ia pelaburan jangka masa panjang yang memberi kebaikan kepada generasi berikutnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Hal itu katanya, pengurangan cukai masa kini bermaksud kenaikan cukai masa hadapan.

"Begitu juga hutang hari ini akan dibayar pada masa hadapan oleh generasi berikutnya. Jika hutang masa kini digunakan untuk pelaburan, maka ia beri kebaikan kepada generasi akan datang," katanya.

Selain itu katanya, usaha-usaha ke arah mempelbagaikan ekonomi dan mencari potensi pertumbuhan baharu tidak diberi keutamaan.

“Hampir satu pertiga Keluaran Dalam Negeri Kasar dijana daripada industri berasaskan minyak sawit dan petroleum. Usaha pelbagaikan ekonomi dan cari sumber pertumbuhan baru sangat penting bagi memastikan ekonomi tidak terdedah kepada faktor luaran seperti kejatuhan harga komoditi,” katanya.

Jelas Mohd Yusof, struktur pasaran pengeluaran makanan di Malaysia bersifat oligopolistik, namun tiada usaha untuk mengubah struktur pasaran tersebut.

“Bekalan input dikawal secara langsung dan tak langsung oleh firma. Jika kerajaan laksanakan liberalisasi pasaran dengan galakkan persaingan, ia akan membantu usaha mengurangkan tekanan kos hidup melalui penurunan harga,” katanya.

Beliau berkata, langkah perlu diberi perhatian adalah mekanisme Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Saya terkejut bila BR1M dinaikkan, sepatutnya ia diperkemaskan. Saya jangka BR1M kalau diteruskan pun, jumlah itu dikekalkan ataupun dikurangkan sedikit memandangkan keadaan ekonomi ketika ini.

“Agihan itu perlu mengikut latar belakang sosio-ekonomi isi rumah. Jadikan ia sebagai reward bagi menaikkan semangat rakyat untuk bina sebuah keluarga cemerlang, mampu didik anak-anak ke universiti contohnya, bukan menunggu dan berpeluk tubuh, lalu dapat wang BR1M, produktiviti rakyat akan hilang, maka lahirlah golongan malas dan tunggu wang bantuan,” katanya.

Jelasnya, Bajet 2017 juga tiada 'model' atau mekanisme holistik bagi mengurangi beban kos hidup melalui pengawalan harga makanan.

"Saya jangka tahun depan harga makanan terus naik kerana inisiatif Bajet 2017 tidak terarah isu sebenar iaitu struktur pasaran,” katanya.

Namun katanya, ada beberapa inisiatif masih membantu rakyat dan pelajar contohnya isu agihan Baucar Buku 1Malaysia ditukar kad debit.

“Rakyat berpeluang menjana pendapatan sebagai pemandu Uber, itu satu cara bagus,” katanya.

Dalam soal pendidikan, katanya penekanan hanya di peringkat sekolah rendah dan menengah, untuk universiti tidak begitu difokuskan termasuk bantuan penuntut.

"Target pendidikan rendah sama sahaja bajet tu dengan tahun lepas, peruntukan universiti penyelidikan diminta dari tahun lepas.

"Bagi saya bajet ini tidak berkesan untuk mengurangi kos sara hidup, jika ada pun cukup minimum," katanya.

Thursday, September 8, 2016

Isu 1MDB tak akan bawa perubahan besar

KUALA LUMPUR - Isu berkaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak akan membawa perubahan besar kepada landskap ekonomi Malaysia yang amat berdaya tahan ditambah dengan keyakinan kukuh pelabur terhadap negara ini, demikian lapor Global Risk Insights (GRI).

Menurut laporan itu saman sivil yang difailkan oleh Jabatan Kehakinan Amerika Syarikat untuk merampas aset yang didakwa dibeli menggunakan dana daripada 1MDB tidak akan membawa kesan besar dari segi aliran masuk pelaburan dari Amerika Syarikat ke Malaysia.

"Meskipun sedikit kegusaran antara Malaysia dan Washington, kes itu tidak dijangka membawa kesan besar kepada pelaburan AS di Malaysia yang sentiasa dan akan kekal kukuh," demikian menurut artikel yang ditulis Alexander Macleod bertajuk :"Assessing the investment climate in post-1MDB Malaysia," (Menilai iklim pelaburan pasca-1MDB Malaysia) terbitan GRI.

Sebarang aliran keluar negatif yang berlaku akan diimbangi oleh China, yang - selepas dua syarikat China membeli aset 1MDB - telah memintas Jepun, Singapura dan AS sebagai pelabur terbesar Malaysia.

Bagi gambaran keseluruhan isu itu, laporan tersebut menyatakan, perlu ditekankan isu 1MDB berlaku serentak dengan kejatuhan harga tenaga dan minyak mentah global, menyebabkan pertumbuhan ekonomi Malaysia lembap.

Ia juga turut bertembung dengan kesuraman ekonomi global disebabkan ketidaktentuan pasaran saham berikutan ketidakstabilan sebelum, semasa dan selepas pungutan suara serta keputusan Britain untuk keluar dari pasaran tunggal Kesatuan Eropah.

"Apa yang pasti, ekonomi Malaysia terus berdaya tahan; seperti kejayaannya mengharungi Krisis Kewangan Asia 1997, ia dijangka pulih dari kedudukan sekarang," menurut laporan itu.

Selain daripada petunjuk ringgit mula meningkat, laporan Bank Dunia baru-baru ini mengunjurkan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, pada 2017 -- dikukuhkan oleh komitmen teguh Malaysia terhadap perjanjian perdagangan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Ekonomi Malaysia berkembang empat peratus pada suku kedua 2016 sekali gus merekodkan pertumbuhan separuh pertama pada 4.1 peratus. Prestasi itu diunjur berkembang antara empat dan 4.5 peratus bagi setahun penuh.

Kerajaan juga sudah menunjukkan pendekatan yang menumpukan aspek luaran seperti inisiatif galakan pelaburan termasuk Program Promosi Malaysia (MPP) yang melibatkan kerjasama strategik awam-swasta bagi meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) serta perdagangan dengan hab kewangan utama global.

Menurut laporan itu, biarpun isu berkaitan 1MDB terus mendominasi tajuk utama, ia bukanlah penyebab impak atau perubahan besar dalam landskap ekonomi Malaysia.

Malah, Malaysia juga ternyata sudah mulai pulih daripada perkembangan tahun lepas yang menyaksikan pasaran saham terjejas, penyusutan nilai ringgit serta ketegangan politik yang ketara.

Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak juga berjaya mengatasi perpecahan dalaman dan mengukuhkan perpaduan parti ketika pihak asing cuba mencampuri urusan ekonomi serta politik negara ini.

"Para pelabur sebaliknya terus yakin dengan kerangka kerja pengawalseliaan Malaysia yang mantap manakala pasaran sahamnya sudah mula memaparkan kestabilan.

"Buat masa ini, Malaysia sekurang-kurangnya sudah melepasi kesan buruk politik dan ekonomi serta akan terus berusaha memperbaharui status sebagai pasaran pesat membangun yang menarik," katanya.

Bernama

Tuesday, March 22, 2016

Peningkatan pekerja asing perlu diberi perhatian

NOOR ‘AINON MOHAMED YUSOF
22 MAC 2016
Sultan Nazrin Shah - Foto Bernama
TAIPING - Penggunaan tenaga kerja asing dengan bilangan yang semakin meningkat adalah perkara yang kini wajib diberi perhatian oleh kerajaan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, data Kementerian Dalam Negeri menunjukkan pas lawatan kerja sosial dikeluarkan kepada warga asing meningkat daripada 2.073 juta orang pada 2014 kepada 2.135 juta orang pada 2015.

Baginda bertitah, lebih daripada 745,000 orang (35%) rakyat asing bekerja dalam sektor pembuatan; 450,000 orang (21%) bekerja dalam sektor pembinaan; 301,000 orang (14%) bekerja dalam sektor perladangan; 197,000 (9%) bekerja dalam sektor pertanian; 293,000 (14%) bekerja dalam sektor perkhidmatan dan 149,000 orang (7%) pula bertugas sebagai pembantu rumah.

“Bilangan pekerja asing tanpa izin (Pati) dikatakan berjumlah sekurang-kurangnya sekali ganda daripada bilangan pekerja asing yang mendapat pas kerja.

“Jika andaian tersebut benar, bermakna pada ketika ini, terdapat lebih empat juta orang warga asing yang sedang bekerja di negara ini.

“Analisis secara objektif wajib dilakukan berhubung implikasi kehadiran tenaga kerja asing dengan jumlah yang begitu besar,” titah baginda sempena perasmian Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Taiping, sebentar tadi.

Baginda bertitah, negara perlu bersifat lebih selektif dan mengenakan syarat lebih ketat dalam aspek guna tenaga ketika memberikan kelulusan pelaburan baru dalam sektor pembuatan, termasuk ketika meluluskan pas kerja dalam sektor perkhidmatan.

Ia termasuklah, syarat lebih ketat dikenakan kepada majikan supaya tidak lagi memilih laluan mudah untuk mendapatkan tenaga kerja asing hingga mengakibatkan warga dan negara terpaksa menanggung kos yang tinggi.

Jelas baginda, pada 2015 sahaja, pekerja asing menghantar balik ke negara mereka melalui saluran rasmi, wang sejumlah 34.7 bilion ringgit, menyamai 2.37 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, namun dianggarkan jumlah sebenar adalah lebih tinggi kerana sebahagian daripada penghantaran wang ke negara masing-masing, turut dilakukan melalui saluran yang tidak rasmi.

“Pelaburan, terutama pelaburan asing di negara ini, hendaklah diluluskan berasaskan kepentingan negara, pekerjaan yang ditawarkan hendaklah membuka peluang kerja kepada warga tempatan.

“Tidaklah membawa manfaat kepada negara, apabila kerja yang ditawarkan memerlukan kerajaan memberikan kebenaran untuk lebih ramai tenaga kerja asing dibawa masuk.

“Pendirian terkini Kerajaan Persekutuan membekukan dan tidak akan membenarkan lagi kemasukan tenaga kerja asing, sangat bertepatan dan sesuai pada waktunya,” titah baginda.

Friday, December 11, 2015

Sikap sebenar Umno pada demokrasi, kerjasama

Iskandar Samad 


ULASAN:
 Gesaan perwakilan Umno Selangor pada perhimpunan agung Umno yang sedang berlangsung menunjukkan bahawa Umno tidak menghormati perlembagaan persekutuan.

Perwakilan tersebut, Datuk Nasaruddin M Zin dilaporkan menggesa kerajaan persekutuan tidak lagi membiayai infrastruktur dan pembangunan di Selangor kerana negeri itu tidak dikuasai oleh BN.

Seperti ramai pimpinan Umno yang lain, beliau gagal memahami tanggungjawab kerajaan persekutuan terhadap kerajaan negeri.

Beliau lupa menurut perlembagaan persekutuan terdapat peruntukan-peruntukan yang wajib diberikan oleh kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri.

Perkara 109 menetapkan kerajaan persekutuan hendaklah membuat pemberian tahunan untuk dua perkara.

Pertama adalah pemberian menurut kepala atau jumlah penduduk sepertimana Perkara 109(1)a.

Kedua adalah pemberian bagi penyenggaraan jalan sepertimana Perkara 109(1)b.

Negeri paling strategik

Nilai-nilai pembayaran tersebut juga dinyatakan dengan jelas pada Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kesepuluh perlembagaan itu.

Di negara-negara lain seperti Australia dan Kanada yang mengamalkan sistem kerajaan yang sama seperti Malaysia, kerajaan pusat sentiasa menghormati hak-hak kerajaan negeri walaupun kerajaan negeri dikuasai oleh parti pembangkang.

Pimpinan Umno mesti memahami bahawa jika pembangunan di Selangor terhenti maka ia akan memberi kesan negatif kepada seluruh negara.

Berterima kasihlah kepada kerajaan negeri Selangor yang berusaha untuk memastikan pembangunan di negeri yang paling strategik di Malaysia ini berjalan lancar.

Jangan juga lupa lebih 20 peratus Keluar Dalam Negara Kasar (KDNK) negara adalah daripada negeri Selangor.

Walaupun gesaan ini dibuat oleh perwakilan dari sebuah negeri namun ia dibuat oleh perwakilan daripada negeri yang termaju di negara kita.

Maka tidak hairan jika ia juga merupakan pandangan Umno dari negeri-negeri lain.

Gesaan perwakilan Umno Selangor ini menzahirkan sikap sebenar Umno terhadap demokrasi dan kerjasama.

Monday, May 18, 2015

Jumlah hutang Malaysia setakat akhir Mac RM596.8 bilion

Menurut Chua, sehingga akhir Mac lalu hutang luar pesisir Kerajaan Persekutuan berjumlah RM17.6 bilion, jauh lebih rendah daripada had yang dibenarkan mengikut Akta Pinjaman Luar 1963. - Foto laman web MCA

KUALA LUMPUR, 18 Mei:

Jumlah hutang kerajaan Persekutuan pada akhir Mac lalu adalah sebanyak RM596.8 bilion atau 52.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong, memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini, daripada jumlah itu sebanyak 97 peratus atau RM579.2 bilion merupakan hutang domestik, manakala RM17.6 bilion atau tiga peratus lagi membabitkan pinjaman luar pesisir.

“Kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana,” kata Chua ketika menjawab soalan Ahli Parlimen DAP Taiping, Nga Kor Ming dalam sesi soal jawab lisan, persidangan Dewan Rakyat di ibu negara, Isnin.

Nga dalam soalannya meminta kerajaan menyatakan jumlah hutang sebenar negara setakat April 2015 serta langkah kerajaan untuk mengurangkannya.

Chua selanjutnya berkata, kerajaan Persekutuan juga kekal komited dalam memastikan paras hutangnya tidak melebihi 55 peratus daripada KDNK.

“Bagi memastikan paras hutang kerajaan kekal rendah dan terurus, langkah konsolidasi fiskal akan terus diamalkan bagi mengurangkan paras defisit secara berperingkat,” Chua menjelasskan.

Selain langkah penjimatan seperti memastikan peruntukan dibelanjakan dengan berhemat, cekap dan berkesan, kerajaan juga menetapkan pinjaman yang dibuat harus mampu memberi pulangan kepada negara dan rakyat dalam tempoh jangka masa panjang.

Beliau berkata, kepatuhan yang tegas terhadap disiplin fiskal serta pengurusan hutang yang baik, terus diberikan penekanan bagi memastikan kedudukan fiskal dan makroekonomi terus kukuh serta dapat menampan sebarang krisis.

Katanya, kerajaan juga akan memastikan hutang luar negara sentiasa berada di paras kurang daripada RM35 bilion.

Sehingga akhir Mac lepas, hutang luar pesisir Kerajaan Persekutuan berjumlah RM17.6 bilion, jauh lebih rendah daripada had yang dibenarkan mengikut Akta Pinjaman Luar 1963.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-