Showing posts with label Umno Selangor. Show all posts
Showing posts with label Umno Selangor. Show all posts

Thursday, May 2, 2024

Sekarang Umno pula bawa masuk DAP ke Selangor - Noh Omar

malaysiakini.com
B Nantha Kumar & Cha Zhi Ting
Diterbitkan: May 2, 2024 12:27 PM
Bekas pengerusi badan perhubungan Umno negeri Selangor Noh Omar berkata DAP pada satu masa dahulu tidak dapat menembusi Selangor seperti mana hari ini.

Dia mendakwa Kuala Lumpur yang pernah menjadi sebahagian daripada Selangor dijadikan sebagai Wilayah persekutuan bagi mengelakkan DAP menguasai Selangor.

Namun kini, katanya, Umno pula bekerjasama dengan DAP.

"Kita patut tahu sejarah. Saya diberitahu bahawa Kuala Lumpur dulu adalah sebahagian Selangor. Tapi selepas pilihan raya 1969, Perikatan menang 14 (kerusi) dan DAP bersama-sama parti lain termasuk Bebas menang 14 kerusi.

"Ini kerana kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dikuasai oleh DAP kerana populasi pengundi Cina. Jadi, pada masa itu kerajaan membuat keputusan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan agar DAP tidak kuasai Selangor.

"Tapi sekarang Umno yang membawa masuk DAP ke Selangor," katanya di Ceramah Perdana di Batang Kali sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, malam tadi.

Lebih 400 orang hadir ke ceramah tersebut.

Turut hadir, Calon PN Khairul Azhari Saut, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, pengerusi PN Selangor Mohamed Azmin Ali, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan pemimpin PN Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard.

‘Pengundi cari rumah baru’

Mengulas lanjut, Noh berkata sikap mementingkan diri Umno hari ini punca pengundi berpindah ke rumah baru untuk mencari perlindungan.

"Dulu, BN menjadi rumah kepada semua kaum. Kita ada 14 parti dalam gabungan BN. Tapi, hari ini hanya tinggal empat parti.

"Kemudian, empat parti pun kita lihat MCA diketepikan, MIC pun kita lihat, ini kali pertama kalau saya tak silap orang india tak ada wakil dalam kabinet.

"Hari ini kepimpinan menggunakan parti untuk kepentingan peribadi sebab itulah kita lihat pengundi telah berpindah ke rumah baru iaitu PN.

"Saya meminta Umno akar umbi perlu berani datang bersama saya ke rumah perlindungan baru PN," katanya.

DUN Kuala Kubu Bharu merupakan 'kerusi campuran' dengan pecahan pengundi Melayu (46 peratus), Cina (30 peratus) dan India (18 peratus) dan lain-lain (6 peratus).

Pada PRK itu Khairul akan berdepan tiga lagi calon, iaitu Pang Sock Tao daripada PH, Hafizah Zainuddin (PRM) dan Nyau Ke Xin (bebas).

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 11 Mei dan 7 Mei untuk pengundian awal.

Saturday, November 23, 2019

Umno Selangor bergolak kerana 'budak suruhan' Hisham?

Diterbitkan Hari ini 9:00 malam

BERITA

Buat pertama kali dalam sejarah Umno Selangor gagal mengadakan mesyuarat badan perhubungannya semalam.

Ia berikutan lebih separuh daripada ketua bahagian Umno negeri itu tidak menghadirkan diri dalam mesyuarat yang sepatutnya berlangsung di Shah Alam malam tadi.

Menurut sumber kepada Malaysiakini, hanya enam ketua bahagian hadir pada pertemuan itu, manakala selebihnya bertindak memboikot mesyuarat berkenaan.

“Ini kali pertama mesyuarat perhubungan Umno negeri tidak berjaya diadakan kerana protes daripada ketua-ketua bahagian.

“Daripada 22 ketua bahagian selain daripada pengurusan (pengerusi, timbalan pengerusi, penerangan dan bendahari) hanya Tan Sri Noh Omar yang datang sebagai ahli jawatankuasa. Seramai 16 orang lagi tidak hadir,” katanya.

Malaysiakini dimaklumkan ketidakhadiran ketua-ketua Umno bahagian itu disebabkan rasa tidak puas hati mereka terhadap Pengerusi Perhubungan Umno Selangor yang baru dilantik Julai lalu, Nadzari Ahmad Dahlan.
'Budak suruhan Hishammuddin'

Sumber berkata pengurusan Umno Selangor juga terlalu dibayangi bekas naib presiden parti itu, Hishamuddin Hussein.

Malah, Nadzari juga didakwa merupakan ‘budak suruhan’ anggota parlimen Sembrong itu.

“Jadi, kami tidak berminat untuk mengadakan mesyuarat perhubungan yang dipengerusikan 'budak suruhan' Hishamuddin.

“Kami juga pernah menasihati 'budak suruhan' Hishamuddin supaya jangan keterlaluan tetapi mereka tidak mengendahkan nasihat daripada ketua-ketua bahagian, maka berlakulah protes dan boikot ini,” katanya.

Jelasnya, rasa tidak puas hati itu semakin bertambah ekoran tindakan Hishammuddin yang membelakangkan pucuk pimpinan parti apabila didakwa mengetuai pertemuan sekumpulan anggota parlimen BN di kediaman rasmi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali, Isnin lalu.
"Kami tidak mahu pimpinan Selangor ini cenderung kepada mana-mana individu yang bukan daripada struktur parti.

“Kami sedar kami adalah parti pembangkang yang kalah teruk di Selangor. Tetapi kami tidak mahu lagi kesilapan-kesilapan lampau akan memecahbelahkan serta menimbulkan kekeliruan di peringkat akar umbi,” katanya.

Pertemuan yang berlangsung di kediaman Azmin di Putrajaya pada malam Isnin lalu dihadiri lebih 20 anggota parlimen Umno, termasuk Hishammuddin Hussein.

Bagaimanapun Hishammuddin menafikan beliau merancang pertemuan tersebut.

Sebelum ini, Sekretariat Pakatan Harapan (PH) mendakwa Hishammuddin merancang untuk membentuk kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah, namun turut dinafikan bekas naib presiden Umno itu.

Temui presiden, bincang kedudukan Nadzari

Sementara itu sumber berkata ketua-ketua bahagian Umno Selangor akan mengadakan pertemuan dengan presiden parti semasa Perhimpunan Agung Umno yang dijadual awal Disember depan bagi membincangkan kedudukan Nadzari.

“Kita mahu melihat mereka yang menjadi pengerusi ini selain berwibawa, mereka ini mestilah dilihat berkecuali daripada mana-mana konflik yang boleh membawa kekeliruan di peringkat akar umbi,” katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi Hishammuddin dan Nadzari untuk mendapatkan reaksi mereka.

Saturday, June 30, 2018

Dana 1MDB untuk Umno: Noh petik nama Najib

Anne Muhammad | Diterbitkan 30 Jun 2018, 2:54 petang


PEMILIHAN UMNO 2018 | Pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar hari ini mendakwa beliau tidak tahu-menahu sekiranya dana Umno negeri itu mempunyai kaitan dengan wang 1MDB.

Kata bekas menteri itu, beliau mendapat tahu mengenai isu berkenaan hanya melalui media sosial.

Menurut Noh, ada pihak mendakwa dana daripada syarikat pelaburan milik kerajaan yang sedang disiasat itu masuk ke akaun Umno Selangor pada 2013.

Bagaimanapun kata Noh, pada waktu itu Umno Selangor dipimpin Datuk Seri Najib Razak dan jawatan berkenaan hanya diserahkan kepadanya pada 2014.

“Di media sosial ada orang kata Badan Perhubungan Umno Selangor dapat dana 1MDB pada 2013.

“(Isu dana) 1MDB berlaku pada tahun 2013. Kalau (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia - SPRM) panggil saya pun saya (kata saya) tak tahu.

"Saya tak tahu-menahu sebab saya tak tender cheque waktu itu," katanya di Tanjung Karang, Selangor hari ini.

Noh yang sebelum ini menjadi salah seorang pemimpin paling menonjol di Selangor ditanya mengenai langkah SPRM membekukan hampir 1,000 akaun Umno, termasuk melibatkan bahagian di Selangor.

Langkah itu diambil sebagai membantu badan antirasuah terbabit menyiasat dakwaan berlaku salah laku dan penyelewengan membabitkan dana 1MDB.

Najib dikaitkan secara langsung dalam dakwaan berkenaan.

"Saya tak boleh komen sebab kita tak tahu mengapa ia dibekukan," kata Noh lagi.

Menurut Noh, pada 2013 beliau bukan berjawatan ketua perhubungan Umno negeri.

Justeru katanya beliau tidak mempunyai sebarang kaitan dengan urusan transaksi dana.

Noh sebelum itu menghadiri mesyuarat pemilihan Umno peringkat Tanjung Karang di Dewan Datuk Hormat.

[Berita penuh menyusul]

Saturday, November 25, 2017

9 tahun jadi pembangkang - Umno Selangor dah insaf?

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor Johan Abdul Aziz berkata, atas kesedaran itu juga mereka menggerakkan gerak kerja semaksimumnya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) merangkumi peringkat cawangan, bahagian dan negeri.Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2017.

SEMBILAN tahun menjadi pembangkang di Selangor ternyata menginsafkan Umno Selangor yang bertekad tidak mahu lagi mengulangi episod duka apabila terlepas negeri itu dalam dua pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.

Atas kesedaran itu juga Umno Selangor menggerakkan gerak kerja semaksimumnya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) merangkumi peringkat cawangan, bahagian dan negeri.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor Johan Abdul Aziz berkata untuk tujuan itu, Umno melantik koordinator di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak dimenangi BN untuk memimpin gerak kerja berkenaan.

“Ya kami dah serik dan tidak lagi mahu menoleh ke belakang. Saya lihat kesungguhan untuk merampas balik Selangor di peringkat akar umbi cukup kuat ketika ini. Gerak kerja kami cukup ‘solid’…koordinator di DUN yang kalah, mereka buat kerja dengan baik.

“Walaupun kami di Selangor ni dah bertahun jadi pembangkang tetapi kami tetap jalankan tanggungjawab membantu rakyat. Mana yang kita boleh bantu kita bantu seperti keperluan asas banyak yang Perdana Menteri (Najib Razak) kita luluskan di kawasan Selangor ini,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.

Ketika ini, kedudukan 56 DUN di Selangor terdiri daripada DAP (14 kerusi), PKR dan PAS masing-masing 13 kerusi, Umno-BN (12 kerusi) dan Parti Amanah Negara serta Bebas, masing-masing dua kerusi.

Bagi menggerakkan usaha Umno Selangor merampas semula negeri itu pada PRU14, Johan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Semenyih berkata, parti tersebut menjalankan gerak kerja yang agresif namun bertempat.

Beliau berkata Umno Selangor turut menggunakan medium media sosial secara maksimum untuk memperjelas atau menyampaikan sebarang isu negeri atau nasional supaya segala maklumat cepat sampai kepada rakyat. 

Pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Noh Omar sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut membuka ruang dan peluang untuk Umno Selangor berbakti kepada rakyat di kawasan bandar.

“Selepas Tan Sri (Noh) dilantik sebagai menteri, beliau terus buat kertas kerja untuk diserahkan kepada perdana menteri yang kemudian meluluskan peruntukan RM300 juta untuk membantu miskin bandar. 

Daripada jumlah itu, RM160 juta diperuntukkan untuk Selangor, ini bukan sebab Tan Sri dari Selangor tetapi disebabkan nisbah keseluruhan rumah pangsa dan rumah kos rendah 50 peratus terletak di Selangor.

“Kita terima keluhan daripada rakyat mengenai ketiadaan lif di rumah pangsa yang banyak tingkat sehinggakan nak bawa turun jenazah susah… ini yang kita persembah kepada perdana menteri dan ternyata kebijaksanaan kita dicemburui oleh kerajaan negeri. Strategi kita ialah terus dekati, dampingi rakyat dan apa yang kita boleh bantu kita bantu,” katanya.

Mengenai sasaran Umno dan BN Selangor pada PRU14, Johan berkata pihaknya memberi tumpuan kepada 35 kawasan DUN termasuk 12 yang kini dipegang oleh Umno.

Enggan mendedahkan kesemua kawasan DUN terbabit, beliau berkata Umno Selangor telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang bermasalah dan yakin akan dapat mengatasinya sebelum PRU14.

“Walaupun dikatakan PRU14 ini adalah peluang terakhir untuk BN menang semula di Selangor segalanya boleh berlaku dalam politik… yang penting Umno Selangor harus bersatu padu di bawah Noh supaya satu nakhoda satu arahan dipatuhi.

“Saya juga lihat idea Tan Sri Noh cukup bagus… beliau tanamkan dalam pemikiran jentera akar umbi bahawa setiap gerak kerja mesti fikirkan pertandingan satu lawan satu, jadi semua kena kerja kuat. 

Kekalahan di Selangor sebelum ini mungkin ada hikmahnya… bila kita jadi kerajaan semula kita kena pastikan tidak terlepas lagi, kena jaga Selangor betul-betul,” katanya mengakhiri bicara. 

Bernama, 25 November, 2017.

Friday, September 22, 2017

3 bekas MB bergabung untuk rampas Selangor

Bernama
Tiga bekas menteri besar Selangor akan bergabung bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menawan kembali negeri tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata penyertaan semula Tan Sri Muhamad Muhamad Taib dalam UMNO juga memberi aura baharu buat BN di negeri itu.

"Kita dah bincang...bukan sahaja dengan Tan Sri Muhamad Muhamad Taib, tetapi Insya-Allah kita ada Tan Sri Abu Hassan Omar dan Dr Mohd Khir Toyo yang mana ketiga-tiga bekas menteri besar ini akan berganding bahu bersama saya untuk pastikan kemenangan BN di negeri ini.

"Mereka ini (menteri besar) tak pandang jawatan, apa yang penting mereka nak lihat apa yang dilaksanakan dahulu ada kesinambungannya...bukan seperti sekarang. Apa yang kerajaan negeri Selangor dah buat?,"katanya.

Noh, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tiga kawasan perumahan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua dan Kajang, dekat Kuala Lumpur, hari ini.

Noh juga mengulangi kenyataannya mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memeriksa semua pusat tahfiz, pondok dan madrasah di seluruh negara susulan kebakaran pusat tahfiz di Kampung Datuk Keramat di ibu negara yang mengorbankan 23 nyawa, Khamis lepas.

"Saya arahkan Bomba untuk memeriksa semua pusat tahfiz dan nasihatkan pihak pengurusan apa yang perlu diperbaiki...kalau pendawaian tak betul, struktur bangunan tak mengikut aspek keselamatan, bagi mereka (pengurusan) tempoh untuk baik pulih dua tiga bulan mengikut budi bicara.

"Bila dah sampai tempohnya, tindakan drastik akan diambil sama ada untuk tutup pusat berkenaan atau membawa kes tersebut ke mahkamah. Dalam masa terdekat ini saya sendiri juga akan turun padang membuat pemeriksaan," katanya.

Beliau berkata hal keselamatan bukan hanya perlu diutamakan di sekolah tahfiz sahaja tetapi juga di kawasan perumahan termasuk rumah pangsa.

Pada lawatan tersebut, Noh meluluskan peruntukkan sebanyak RM4 juta bagi membaik pulih prasarana di tiga perumahan iaitu Perumahan Taman Segar Perdana dan Taman Perkasa Fasa 1 di DUN Dusun Tua serta Rumah Pangsa Taman Kota Cheras di DUN Kajang.

- Bernama
Read more at https://www.malaysiakini.com/news/395948#W66V7RkGrz2xjLwP.99

Sunday, September 17, 2017

Penyertaan Mat Taib lonjak semangat rampas Selangor

NOOR AZURA SAHRIL
17 SEPTEMBER 2017
Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) bersama Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib (kanan) setelah beliau mengumumkan penyertaan semula UMNO sewaktu Sidang Media Khas Umno di Menara Dato Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Umno Selangor berkeyakinan penyertaan semula bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib memberi kekuatan untuk parti menawan kembali negeri itu daripada Pakatan Harapan pada PRU14 akan datang.

Menurut Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar, penyertaan Muhammad itu secara tidak langsung dapat melonjak kembali semangat perjuangan ahli parti.

"Hari ini kami dimaklumkan beliau kembali semula menyertai Umno dan Umno selangor mengalu-alukan kehadiran semula belas pemimpin hebat ini.

"Ia memberi kekuatan untuk Umno meningkatkan perjuangan demi memastikan Selangor dapat ditawan semula," katanya.

Pada sidang media itu, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penyertaan Muhammad ke dalam Umno di Ibu Pejabat Umno, Menara Dato Onn, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Menurut Noh, hubungannya dengan Muhammad begitu akrab terjalin meskipun bekas Naib Presiden Umno ketika itu bersama pembangkang.

"Saya anggap dia sebagai guru dan tidak mungkin akan melupakan jasa beliau. Walaupun beliau di 'sana' hubungan sebagai pemimpin tetap akrab.

"Saya percaya beliau akan menaikkan lagi semangat Umno negeri bagi menawan Selangor kembali," katanya.

Monday, March 21, 2016

Zahid naikkan hadiah wang tunai untuk Umno Selangor

Alyaa Azhar
Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein datang 'menyelamatkan' Umno Selangor apabila mengumumkan hadiah wang bagi pendaftaran ahli dan pengundi sebanyak sepuluh kali ganda.

Ia susulan maklum balas daripada lebih 4000 ahli Umno Selangor, selepas ketuanya Datuk Seri Noh Omar mengumumkan hadiah wang tunai RM5,000 untuk cawangan yang mendaftar keahlian dan pengundi paling banyak.

Noh mengakui bahawa ganjaran wang itu sedikit kerana Umno Selangor tidak mempunyai "bajet cukup".

"Maka cawanagan-cawangan, bangkitlah untuk rebut peluang ni. Umno Selangor kurang bajet, tapi bab-bab persaingan, Zahid suka, dan mungkin akan tambah (peruntukan)," ujarnya ketika mesyuarat agung tahun ketua cawangan Umno Selangor hari ini.

Ini mendorong Zahid, yang berada di sana untuk merasmikan majlis itu, mengumumkan bahawa beliau dan Hishammuddin akan meningkatkan hadiah sebanyak sepuluh kali ganda kerana kagum dengan jumlah yang hadir.

"Dengan ini, kami berdua bersetuju untuk menambah. Hadiah pertama daripada RM5,000 naik RM50,000, RM3,000 naik RM30,000 dan RM2,000 naik RM20,000," kata Zahid sambil mendapat sorakan gemuruh.

Beliau kemudian berjenaka bahawa mereka boleh mengambil wang tunai itu daripada Hishammuddin selepas majlis tersebut.

"Lepas keluar dewan ni ambillah duit dari Hisham, Hisham ambil dari saya, saya ambil dari bendahari," katanya sambil mengingatkan ia bukanlah semata-mata tentang soal wang, tetapi sebagai kerja dan tanggungjawab.

Pertandingan itu adalah satu bentuk motivasi untuk Umno Selangor merampas negeri itu daripada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

BN kalah di Selangor pada pilihan raya umum 2008 dan tewas lebih teruk pada pilihan raya umum 2013 apabila hanya menang 12 kerusi dewan undangan negeri daripada 56 yang ditandingi.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-