Showing posts with label saman fitnah. Show all posts
Showing posts with label saman fitnah. Show all posts

Thursday, February 6, 2025

Zahid cuba lengahkan bicara fitnah, kata Mahathir

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 6, 2025 11:31 AM
Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa permohonan menghina mahkamah terhadapnya oleh Ahmad Zahid Hamidi adalah percubaan untuk melengahkan perbicaraan saman fitnah bekas perdana menteri itu terhadap timbalan perdana menteri tersebut.

Dalam afidavitnya bagi membantah permohonan komital tersebut, bekas perdana menteri dua kali itu menegaskan bahawa sidang medianya pada 5 Disember tahun lalu tidak boleh dianggap sebagai serangan terhadap badan kehakiman.

Mahathir mendakwa bahawa kenyataannya semasa sidang media itu hanyalah penjelasan mengenai keterangannya di mahkamah terhadap Zahid.

"Permohonan defendan untuk komital ini adalah berniat jahat dan hanya bertujuan melengah-lengahkan prosiding perbicaraan mahkamah," kata bekas ahli Parlimen Langkawi itu dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Februari.

Prosiding komital dijalankan terhadap tindakan atau kenyataan yang boleh mengganggu perjalanan adil sesuatu kes mahkamah yang sedang berlangsung.

Pada 7 Januari, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Zahid untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah, membuka jalan bagi perbicaraan lanjut dengan pasukan peguam kedua-dua pihak mengemukakan hujah sama ada Mahathir perlu dipertanggungjawabkan atas penghinaan tersebut.

Jika mahkamah sivil mendapati dia bersalah, plaintif berusia 99 tahun itu boleh dikenakan hukuman penjara atau denda.

Saman fitnah Mahathir terhadap Zahid berkaitan dakwaan kewujudan kad pengenalan (IC) dengan nama “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty”.

Melalui saman itu, Mahathir mendakwa kenyataan Zahid pada 2017 mengenai IC tersebut bersifat fitnah kerana ia merupakan satu gerakan politik yang kejam, berniat jahat, satu pembohongan besar, dan tidak benar.

Plaintif berusia 99 tahun itu mendakwa bahawa dakwaan tersebut bertujuan menjejaskan reputasinya sebagai tokoh pembangkang ketika itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018. Mahathir berjaya memenangi kerusi Parlimen Langkawi pada pilihan raya tersebut untuk satu penggal.

Dia mendakwa bahawa kenyataan itu membawa maksud bahawa dirinya telah mengeksploitasi orang Melayu demi kepentingan politik dan peribadi.

Mahathir juga mendakwa bahawa Zahid telah menunjukkan salinan IC “Kutty” yang didakwa itu menerusi skrin telefon pintar.

Dalam penyataan pembelaannya, Zahid, yang ketika itu adalah menteri dalam negeri, menafikan bahawa kenyataannya pada 2017 adalah berniat jahat, bersifat fitnah, atau merosakkan reputasi Mahathir di mata umum.

Ahli politik berusia 72 tahun itu mendakwa bahawa nama pada IC tersebut merujuk kepada individu berdasarkan salinan lama dokumen pengenalan diri.

Zahid juga mendakwa bahawa dia tidak mempunyai kawalan ke atas penyebaran video-video susulan di platform media yang merujuk kepada kenyataannya.

Saman sivil Mahathir terhadap Zahid itu difailkan tiga tahun lalu dan berkaitan dengan ucapan Zahid di mesyuarat bahagian Umno Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Thursday, January 23, 2025

Siti Mastura kemuka rayuan, lebih RM830,000 diserah ke peguam

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 23, 2025 11:19 AM
Ahli Parlimen Kepala Batas berjaya mengumpul dana sebanyak RM830,034.75 untuk memenuhi arahan mahkamah selepas dia kalah dalam saman fitnah difailkan tiga pemimpin DAP baru-baru ini.

Menurut laporan media, wang tersebut sudah diserahkan Siti Mastura Muhammad kepada firma guaman SN Nair & Partners yang mewakili Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kik dalam kes tersebut.

Bagaimanapun wang berkenaan belum dapat diserahkan kepada ketiga-tiga pihak terbabit apabila Siti Mastura mengemukakan permohonan ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Perkara itu dimaklumkan peguam Siti Mastura, Yusfarizal Yusoff, di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, di hadapan hakim Quay Chew Soon. SN Nair turut hadir.

“Anak guam saya sudah membuat pembayaran ke akaun firma guaman Nair dengan syarat wang itu akan disimpan dalam akaun peguam cara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan diselesaikan.

“Ini adalah seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” kata Yusfarizal seperti dilaporkan portal Free Malaysia Today hari ini.

Pada 4 Dis tahun lalu Malaysiakini melaporkan Siti Mastura Muhammad diarah membayar RM300,000 kepada Kit Siang, RM250,000 lagi kepada Guan Eng dan RM200,000 kepada Teresa Kok.

Siti Mastura turut diarah membayar kos guaman sebanyak RM25,000 kepada setiap seorang plaintif terbabit.

‘Semua adalah jihad’

Jumlah yang dibayar ke akaun firma guaman tersebut adalah termasuk kadar faedah daripada jumlah keseluruhan yang ditetapkan mahkamah.

Siti Mastura yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Dewan Muslimat PAS Pusat itu disaman selepas membuat dakwaan Kit Siang, Guan Eng dan Kok mempunyai pertalian keluarga dengan pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng, serta bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Satu kempen mengumpul derma dalam kalangan ahli PAS dan penyokong mereka kemudian digerakkan bagi membolehkan Siti Mastura membayar denda yang dikenakan ke atasnya.

Pada 28 Dis Presiden PAS Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan oleh ahlinya namun menegaskan bahawa Islam "tetap menolak perjuangan yang sesat."

Dia juga menegaskan PAS tetap beristiqamah bersama "akidah perjuangannya" dan percaya kepada keampunan Allah serta pahala daripada bertaubat.

"Inilah perkara yang tidak terdapat dalam perjuangan yang lain selain daripada perjuangan Islam.

"Percayalah bahawa sumbangan kita bersama Islam dalam semua perkara adalah jihad," katanya.

Menurut Yusfarizal, mahkamah membuat ketetapan bahawa 13 Mac ini sebagai tarikh pengurusan kes bagi rayuan Siti Mastura berkenaan.

Thursday, July 18, 2024

Zahid tarik balik saman fitnah ke atas Malaysiakini

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 18, 2024 1:24 PM
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi telah menarik balik saman fitnahnya terhadap Malaysiakini.

Dia mendedahkan perkara itu menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Tindakan sivil itu adalah berhubung artikel berita berhubung kes rasuah Yayasan Akalbudi terhadap Zahid. Bagaimanapun, pihak pendakwaan telah menarik balik kes jenayah terhadapnya.

Dalam hantaran di media sosialnya, Zahid berkata dia memfailkan tindakan sivil itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Mac 2021 berhubung 22 laporan berita berhubung perbicaraan jenayahnya yang sedang berjalan.

“Walaubagaimanapun, oleh kerana prosiding jenayah tersebut telahpun dilupuskan oleh Mahkamah Tinggi Jenayah pada 4 September tahun lalu, saya telah dinasihatkan oleh pihak peguam saya untuk tidak lagi meneruskan prosiding saman fitnah terhadap Malaysiakini.

“Ini bagi menghormati keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dan tidak memprejudis pihak-pihak yang terlibat.

“Walaupun tindakan yang dilakukan oleh defendan-defendan telah mencemar nama baik dan memberikan sentimen negatif terhadap diri saya - namun setelah mempertimbangkan nasihat peguam dan melihat kepada perkembangan semasa, saya telah mengambil keputusan untuk tidak memanjangkan isu ini dan berharap defendan-defendan lebih bertanggungjawab dan telus ke atas semua laporan-laporan yang diterbitkan terhadap saya selepas ini,” katanya.

Zahid juga berharap agar laporan-laporan yang berbaur fitnah dan selektif seperti yang dikeluarkan sebelum ini tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Tahun lalu, pihak pendakwaan memohon penarikan balik kes itu, membawa kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan pelepasan tidak berjumlah kepada pembebasan (DNAA).

[Baca berita penuh]

Tuesday, April 5, 2022

Zahid Hamidi fail saman fitnah terhadap Muhyiddin

ismaweb.net
azrulhakimie

Berhubung dakwaan minta bantuan perbicaraan kes di mahkamah
KUALA LUMPUR, 3 Ramadan 1443H, Selasa – Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan saman fitnah terhadap bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan beliau ada meminta bantuan untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah.

Ahmad Zahid, 69, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq di Mahkamah Tinggi di sini, semalam (4 April) dengan menamakan Muhyiddin, 74, sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh menerusi carian sistem mahkamah, Ahmad Zahid berkata pada 19 Okt 2018, beliau telah dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, bagi 12 pertuduhan melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dan kesemua pertuduhan tersebut telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Ahmad Zahid mendakwa defendan (Muhyiddin) telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan fitnah dengan niat jahat terhadapnya pada majlis Pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Mersing sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di perkarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 di Mersing pada 16 Feb lepas.

Friday, September 17, 2021

Saman fitnah Anwar: Apa pun berlaku, perbicaraan rayuan KJ perlu diteruskan - hakim

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Sep 17, 2021 10:37 AM

Mahkamah Rayuan membuat teguran terhadap permohonan pasukan peguam Khairy Jamaluddin untuk menangguhkan rayuannya - yang sekian lama tertangguh - terhadap saman fitnah yang difailkan ketua pembangkang Anwar Ibrahim.

Lee Swee Seng yang mempengerusikan panel tiga hakim mengingatkan peguam menteri kesihatan itu, Sarah Malini Abishegam yang pihaknya seharusnya menyediakan peguam lain untk penghujahan jika ketua pasukan pembelaan kurang sihat.

Sarah sebelum itu memohon penangguhan (yang dijadual hari ini) dengan sebab ketua pasukan pembelaan, Muhammad Shafee Abdullah tidak dapat menghadiri prosiding dalam talian hari ini kerana kurang sihat.
Muhammad Shafee Abdullah
Dia berkata Shafee demam ekoran sakit rheumatoid arthritis, selain mengalami kesakitan di pergelangan tangan dan bahu kanan.

Mahkamah Rayuan hari ini dijadual mendengar merit rayuan Khairy berhubung perintah yang mengarahnya untuk membayar ganti rugi RM150,000 kepada Anwar, berkaitan kenyataan "main belakang" pada 2008.

Pada 29 September 2017, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan yang Khairy telah memfitnah Anwar dengan kenyataan itu.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi juga menolak permohonan Khairy untuk mengubah pernyataan pembelaannya.

Hari ini Lee berkata, kes tersebut sudah berlangsung sejak 2017 dan perlu diselesaikan secepat mungkin pada tahun ini.

"Penangguhan seterusnya (hari ini) adalah penangguhan terakhir. Tiada lagi penangguhan akan dibenarkan.

"Jika ketua peguam (Shafee) ada masalah kesihatan, peguam lain perlu menggantikannya dan beri hujahan untuk kes ini.

"Kes ini, sama ada hujan atau panas, atau banjir, akan diteruskan," kata Lee.

Panel hakim Mahkamah Rayuan dianggotai Vazeer Alam Mydin Meera dan Darryl Goon Siew Chye.

Ketika ditanya panel, peguam Anwar, J leela berkata pihaknya tidak membantah permohonan penangguhan.

Lee kemudian menetapkan pengurusan kes bagi perkara itu di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan pada jam 11 pagi ini, bagi menetapkan tarikh baru untuk rayuan Khairy.

Pada 19 Februari 2018, Mahkamah Rayuan menolak rayuan tersebut atas sebab teknikal tanpa mendengar meritnya.

Bagaimanapun, pada 15 Disember tahun lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Khairy terhadap penolakan itu dan mengarahkan Mahkamah Rayuan mendengarnya.

Tuesday, March 22, 2016

Anwar tarik semula saman RM100 juta terhadap Nalla

Hafiz Yatim
Bekas pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik saman fitnah RM100 juta terhadap Presiden Parti Bersatu India Malaysia Senatr Datuk S Nallakaruppan.

Anwar yang mewakili dirinya sendiri, berkata beliau bersetuju untuk menarik dakwaan itu selepas Nallakaruppan menafikan beliau membuat kenyataan kontroversi itu dan mendakwa bahawa media memutar-belitkan kenyataannya.

Pemimpin PKR itu berkata beliau gembira kerana dakwaan bahawa dirinya adalah pengkhianat seperti afidavit oleh Penolong Pesuruhjaya Kanan Polis, Tan Sri Musa Hassan telah dinafikan oleh Nallakaruppan.

Penyelesaian itu direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab.

[Baca berita penuh]

Monday, October 19, 2015

Mahkamah perintah Utusan bayar Anwar RM200,000

Hakim Datuk Hue Siew Kheng memerintahkan Utusan dan Ketua Pengarangnya, Datuk Abdul Aziz Ishak membayar ganti rugi am dan ganti rugi teruk, masing-masing sebanyak RM100,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung 2 artikel yang diterbitkan syarikat penerbitan itu membabitkan temu bual Anwar dengan BBC mengenai undang-undang homoseksual. – Gambar fail The Malaysian Insider, 19 Oktober, 2015.

Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd membayar ganti rugi berjumlah RM200,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung saman fitnah yang dimenangi bekas ketua pembangkang itu 2 tahun lepas.

Saman itu berhubung 2 artikel yang diterbitkan syarikat penerbitan itu membabitkan temu bual Anwar dengan BBC mengenai undang-undang homoseksual.

Hakim Datuk Hue Siew Kheng memerintahkan Utusan dan Ketua Pengarangnya, Datuk Abdul Aziz Ishak selaku defendan membayar ganti rugi am dan ganti rugi teruk, masing-masing sebanyak RM100,000 kepada Anwar selaku plaintif.

Mahkamah juga memerintahkan kos guaman sebanyak RM8,000 dibayar oleh defendan.

Hue ketika membuat keputusan itu berkata mahkamah mendapati artikel yang diterbitkan defendan dibuat dengan berniat jahat dan defendan gagal membuktikan pembelaan justifikasi dalam kes saman itu.

Pada 21 Januari 2013, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk V T Singham membenarkan tuntutan saman Anwar dengan memutuskan 2 artikel yang diterbitkan Utusan Melayu pada 17 Januari 2012 berhubung temu bual Anwar dengan BBC, adalah fitnah.

Anwar memfailkan saman fitnah itu pada 10 Januari 2012 bagi menuntut ganti rugi RM50 juta atas dakwaan defendan menerbitkan 2 artikel di muka depan dan muka surat 10 akhbar Utusan Malaysia, bertarikh 17 Januari tahun sama, berhubung temu bual beliau dengan BBC.

Beliau mendakwa pernyataan fitnah itu seolah-olah memberikan gambaran beliau adalah seorang pemimpin Islam yang mempunyai pandangan yang tidak selari dengan ajaran agama Islam.

Anwar yang diwakili peguam N Surendran dan Latheefa Koya hadir pada prosiding hari ini.

Peguam Muhammad Asmirul Asraf Fadli yang mewakili kedua-dua defendan ketika ditemui pemberita berkata beliau akan mendapatkan arahan selanjutnya daripada anak guam sama ada untuk membuat rayuan berhubung keputusan hari ini. – Bernama, 19 Oktober, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mahkamah-perintah-utusan-bayar-anwar-rm200000#sthash.BOX8EtDm.dpuf

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-