Showing posts with label video intim. Show all posts
Showing posts with label video intim. Show all posts

Saturday, January 11, 2020

Air mata Azmin mengalir di majlis kesyukuran

Ramieza Wahid
Diterbitkan Hari ini 8:38 malam


Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dilihat mengesat air mata di majlis kesyukuran yang diadakan di Masjid Jamek Al-Amaniah, Gombak malam ini.

Kejadian itu berlaku selepas jemaah selesai solat Maghrib.

Azmin dilihat mengesat air mata ketika Imam Besar Masjid Negeri Selangor, Muhammad Farhan Wijaya berucap dan menggambarkan timbalan presiden PKR itu sebagai mangsa fitnah.

Majlis selepas itu diteruskan dengan bacaan Yaasin dan doa kesyukuran, sebelum disusuli dengan solat Isyak.

Majlis kesyukuran itu menarik kehadiran ratusan jemaah.

Terdahulu, Azmin yang lengkap berjubah putih dan berkopiah tiba kira-kira jam 7.16 malam, beberapa minit sebelum azan Maghrib berkumandang, ketika beberapa jemaah mendirikan solat sunat.

Ketibaan timbalan presiden PKR itu bersama isteri, Shamsidar Taharin menyebabkan jemaah mengerumuni laluan tangga di masjid.
Azmin dilihat menyapa mesra dan bersalaman dengan hadirin serta pelajar tahfiz. Setakat pukul 8 malam tadi, kira-kira 300 jemaah hadir.

Antara ahli politik yang kelihatan setakat berita ini ditulis adalah Timbalan Ketua Pemuda PKR (AMK) Muhammad Hilman Idham dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shaari.

Azmin difahamkan membuat majlis itu bagi menyuarakan kesyukurannya susulan keputusan Pejabat Peguam Negara berkenaan kes video intim kontroversi yang dikaitkan dengannya.

Peguam Negara Tommy Thomas pada Khamis lalu berkata tiada pertuduhan yang akan dibuat dalam kes video intim yang didakwa melibatkan Azmin dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Thomas berkata keputusan itu dibuat selepas pakar forensik tidak dapat mengenal pasti individu dalam klip video berkenaan.

'Percaturan politik kejam'

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas solat Isyak, Azmin memanjatkan rasa syukur terhadap keputusan peguam negara itu.

Ahli parlimen Gombak itu juga menegaskan bahawa dakwaan ke atasnya berhubung klip video berkenaan merupakan "percaturan politik" pihak tertentu.

“Saya secara peribadi ucapkan Alhamdullilah atas pengumuman AG (peguam negara), sudah tentulah saya lalui tempoh yang agak panjang dan ujian getir ini, tetapi saya yakin ini adalah satu percaturan politik yang kejam.

“Namun saya yakin dengan proses dijalankan dan khususnya AG sebulat suara cadangkan tiada kes pertuduhan terhadap saya,” katanya.

Tambahnya, fokus beliau kini adalah untuk menjayakan Sidang Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik 2020 (Apec 2020) yang akan dianjur November tahun ini.

Selain itu, ditanya pemberita wajarkah Haziq diambil tindakan, Azmin menyerahkannya kepada pihak berkuasa dan peguam negara.

“Saya tidak boleh campur urusan pihak berkuasa dan AG.

“Saya hanya letak rasa syukur dan saya secara peribadi yakin akhirnya kebenaran akan ditegakkan (the truth will be told),” katanya lagi.

Turut kelihatan selepas solat Isyak, Naib Presiden PKR Tian Chua. Jemaah yang pada awalnya dianggarkan 300, dilihat bertambah sehingga kira-kira 600 hadirin.

Thursday, January 9, 2020

Kes video intim: Tiada pertuduhan, forensik gagal kenal pasti suspek, kata AG

BERITA

Peguam Negara Tommy Thomas mengumumkan bahawa tiada pertuduhan akan dibuat daripada video intim kontroversi yang dikaitkan dengan personaliti politik.

Kenyataan media itu dipercayai merujuk kepada klip video seks yang didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Thomas berkata, pakar forensik AS "gagal" mengenal pasti individu dalam video berkenaan kerana resolusi rendah.

"CyberSecurity Malaysia telah membuat kesimpulan walau pun video-video tersebut adalah tulen, pengecaman wajah tidak dapat dipastikan kerana resolusi rakaman video yang rendah yang mana analisis telah dijalankan.

"Disebabkan oleh dapatan yang tidak konklusif tersebut, PDRM telah menghantar untuk dianalisis secara bebas oleh pakar forensik di AS. PDRM menerima keputusan analisis pada bulan Disember 2019.

"Laporan yang bebas ini mengesahkan dapatan CyberSecurity, antara lainnya, 'kegagalan untuk mengenalpasti individu-individu di dalam video tular tersebut adalah disebabkan resolusi yang rendah dan kualiti video-video dan rangka (frames) video yang sedikit untuk membolehkan suspek dilihat dengan jelas," katanya.

Kata Tommy, susulan itu, timbalan pendakwa raya telah sebulat suara mengesyorkan kepadanya bahawa tiada pertuduhan boleh dibuat berhubung dengan video berkenaan.

“Saya telah menerima syor tersebut dan membuat keputusan tidak mendakwa mana-mana pihak,” katanya lagi.

Klip video intim itu mula tersebar pada 11 Jun 2019 menerusi beberapa kumpulan Whatsapp yang disertai petugas media.

Ia didakwa dirakam di Hotel Four Point, Sandakan pada 11 Mei lalu, iaitu ketika berlangsungnya pilihan raya kecil (PRK) Sandakan.

Pada hari berikutnya, dalam satu siaran video, Haziq mengaku terlibat dalam rakaman video itu, dan mendakwa Azmin merupakan individu yang bersamanya dalam klip video tersebut.

Azmin konsisten menafikan terlibat dalam rakaman dan aktiviti seks dalam video tersebut, dan menuduh dakwaan ke atasnya sebagai usaha memusnahkan kerjaya politiknya.

Thomas berkata sejak 13 Jun, Jabatan Peguam Negara (AGC) bekerjasama dengan polis dalam meneliti kertas siasatan berhubung klip video intim yang disiasat di bawah 377B dan 377D Kanun Keseksaan.

Kata Thomas, protokol penyiasatan telah diikuti, dan ramai saksi ditemu bual oleh PDRM bagi memastikan fakta berhubung video itu selain tangkapan serta reman juga dibuat terhadap beberapa saksi berkaitan sepanjang penyiasatan.

Jelasnya juga, terdapat pelbagai keadaan menyumbang kepada kelewatan dalam melengkapkan siasatan kes itu, terutamanya masa yang diambil bagi memuktamadkan laporan forensik.

Ini termasuklah kekangan dan prosedur kerajaan yang perlu ditempuh dalam mendapatkan kelulusan kewangan tambahan bagi membolehkan PDRM melengkapkan penyiasatan.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Thomas turut merujuk laporan analisis yang dibuat oleh “orang persendirian tanpa diminta” kepada PDRM.

Thomas dipercayai merujuk kepada laporan analisis yang diserahkan Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Adam.

Kata Thomas, analisis laporan yang diserahkan Lokman mengesahkan dapatan laporan CyberSecurity dan pakar forensik luar, bahawa pengenalan identiti tidak boleh dibuat secara konklusif berdasarkan analisis pengecaman wajah.

Bagaimanapun, Thomas berkata, selaras dengan amalan biasa, penyiasatan boleh dibuka semula jika dan apabila keterangan baru berhubung kes itu diperolehi.

Sunday, July 28, 2019

Dr M: Pendirian saya tak bercanggah isu video seks

News | Diterbitkan Hari ini 1:00 tengahari


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan pendiriannya bercanggah berhubung isu seks membabitkan pemecatan anggota kabinet pada era pentadbirannya pada 1998 dan video intim yang dikaitkan dengan seorang menteri baru-baru ini.

Melalui cacatan di laman blognya, Mahathir berkata beliau tidak mempengaruhi pemecatan Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri ketika itu, sebaliknya ia diputuskan mahkamah.

"Tidak ada percanggahan. Tindakan yang diambil pada tahun 1998 tidak berdasarkan klip video.

"Mahkamah telah membuat keputusan itu. Video-video yang berikutnya tidak mempengaruhi mahkamah atau orang lain, tidak mempengaruhi saya," kata Mahathir.

Mahathir berkata, penyebaran video intim yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali jelas mempunyai agenda untuk membunuh karier politik individu tertentu.


[Berita lanjut menyusul]

Tuesday, July 23, 2019

Perbezaan antara kes seks Anwar dan Azmin bagi Dr Mahathir.



Tun M tak sanggup diperalatkan untuk singkir Azmin

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak sanggup diperalatkan untuk menyingkirkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berikutan penularan video intim yang dikatakan mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.

Dr. Mahathir berkata, beliau percaya video intim yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin itu dibuat dan ditular untuk tujuan politik khususnya menghalang kejayaan politik beliau.

“Tindakan yang diharap menyusul tayangan ini ialah penyingkiran individu yang disasar. Tindakan ini boleh diambil oleh saya kerana saya berkuasa. Apabila saya ambil tindakan ini maka berjayalah pihak yang merancang perbuatan jahat ini.

“Saya tidak sanggup diperalatkan. Jauh sekali oleh perancang yang berniat jahat dan mengguna politik kotor.

“Agama saya melarang sengaja mengintip mencari keburukan orang. Apa yang dilakukan lebih buruk dari mengintip,” katanya menerusi catatan dalam laman blog beliau, chedet.cc.

Tambah Dr. Mahathir, masalah itu akan ditangani sebagai masalah politik.

“Ini bukan soal moral. Ini adalah masalah politik. Ia akan ditangani sebagai isu politik,” katanya. 

– UTUSAN ONLINE

Komen : Kenapa kalau dulu semasa kes Anwar, Dr Mahathir tidak menganggapnya isu politik bukan isu moral ? Adakah dulu Dr Mahathir benarkan dirinya diperalatkan ? Adakah agama Dr Mahathir tidak melarangnya semasa kes Anwar dulu ?

Tuesday, July 16, 2019

Rakyat mahu tahu kesahihan video, siapa sebarkan - Anwar

Shakira Buang
Diterbitkan Hari ini 12:47 tengahari 


Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata rakyat di negara ini mahu tahu kesahihan video intim bekas Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan individu yang dikaitkan dengan timbalannya, Mohamad Azmin Ali.

Menurut beliau, rakyat juga turut mahu mengetahui dalang di sebalik penyebaran empat video intim berkenaan yang tular bulan lalu.

"Ada dua fasa, satu apakah sahih video itu dan siapa yang sebarkan?

"Jadi rakyat mahu tahu kedua dua benda itu," katanya kepada media ketika ditanya mengenai penahanan reman Haziq dan lima individu lain, semalam.
Anwar yang mengepalai PKR turut berkata parti masih menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi menjalankan siasatan terdapat kes berkenaan.

Mahkamah Majistret pada Isnin membenarkan Haziq serta lima individu lain ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan kes video lucah yang dikaitkan dengan Azmin Ali.

Perintah reman sehingga 20 Julai ini dikeluarkan Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki.

Kesemua mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 377B berkaitan persetubuhan luar tabii yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Seksyen 233 ialah penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun, jika sabit kesalahan.

Monday, July 15, 2019

Video seks: Haziq,lima individu lagi direman enam hari

MALAYSIADATELINE
July 15, 2019 3:00 pm

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan lima individu lain direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung penyebaran video intim yang tular sejak Jun lalu.

Kesemua mereka ditahan dalam satu operasi di sekitar Lembah Klang bermula jam 6 petang hingga 10 malam tadi oleh Unit Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengesahkan perkara ini kepada Astro AWANI tengah hari Isnin.

Haziq dan lima individu berkenaan disiasat mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/video-seks-haziqlima-individu-lagi-direman-enam-hari/

Tuesday, June 18, 2019

Tak masuk akal, kata Anwar

Haspaizi Zain
Diterbitkan 17 Jun 2019, 11:41 malam


Presiden PKR, Anwar Ibrahim, menyifatkan adalah tidak masuk akal untuk mana-mana pihak mengaitkan beliau dengan penyebaran video intim yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.

Bahkan anggota parlimen Port Dickson itu juga seakan memberi nasihat kepada wartawan agar tidak menyatakan sesuatu yang "tidak benar".

"Kamu (wartawan) tidak boleh kata benda yang tidak benar," katanya.

Tambah Anwar untuk membuat sesuatu tuduhan perlu ada bukti yang berkaitan. Sebaliknya, kata beliau, tindakan itu tidak wajar dilakukan sama sekali.

"Tidak masuk akal langsung untuk kita meletakkan keraguan kepada pihak lain tanpa sebarang bukti," katanya.

Anwar ditemui selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Perniagaan dan Industri India Muslim Malaysia di Petaling Jaya malam ini.

Anwar pada 16 Jun menyangkal dakwaan kononnya beliau merupakan dalang di sebalik penyebaran video intim yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Enggan buat telahan

Ia melibatkan seorang pemimpin Pemuda PKR peringkat cabang, Haziq Abdullah Abdul Aziz. Dia dalam dakwaannya mengaku berasmara dengan Azmin.

Bagaimanapun Azmin yang juga timbalan presiden PKR menafikan tuduhan tersebut.

Ketika siasatan masih dijalankan pendedahan tersebut dilihat sebahagian daripada kesan persaingan dua kumpulan berbeza dalam PKR.

Kata Anwar tidak ada sebab untuk beliau atau penyokongnya terlibat dalam perbuatan sedemikian.

Sementara itu, mengenai isu ketulenan video intim berkenaan, Anwar berkata lebih baik ia diserahkan kepada pihak polis untuk menyiasatnya.

Beliau mengulas laporan media Australia yang mendakwa tiada sebarang bukti menunjukkan video tersebut dimanipulasi. Ia sekali gus menguatkan teori bahawa klip video itu adalah tulen.

"Itu satu penelitian yang dibuat. Saya fikir kita serahkan kepada pelaksanaan pihak PDRM.

“Dengan itu, saya tidak mahu buat apa-apa telahan," katanya lagi.

Dalam pada itu Anwar berkata perpaduan dalam parti itu tidak terjejas disebabkan sentimen dan "fitnah" yang melanda.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-