Tuesday, May 5, 2020

KKM buat laporan polis berhubung fitnah berkaitan isu kontrak RM30 juta

Oleh MALAYSIA DATELINE
May 5, 2020 8:53 pm

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini membuat laporan polis berhubung fitnah yang mendakwa lima pegawai Menteri dan Kementerian itu telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan hari ini KKM berkata, laporan tersebut dibuat di Balai Polis Putrajaya.

“Fitnah itu dibuat menerusi penulisan di beberapa akaun Facebook termasuk di akaun Facebook ‘Teuku Shafiz Rullah’, ‘STEADYAKU47’, dan akaun Twitter ‘Fadzilah Mamat@Fadzilahmamat’,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, posting di Facebook dan kicauan di Twitter berkenaan mendakwa SPRM telah menahan dua pegawai kanan Menteri Kesihatan dan tiga pegawai kementerian itu.

Katanya lagi, posting itu antara lain mendakwa ‘Menteri Kesihatan juga terlibat’ dalam siasatan SPRM terhadap syarikat yang memperolehi kontrak RM30 juta.

“KKM melahirkan rasa kesal terhadap fitnah tersebut.

“Sehubungan itu, KKM berharap pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dapat melakukan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook dan Twitter berkenaan serta mengambil tindakan sewajarnya.

“KKM juga memohon kepada netizen supaya menghentikan perkongsian tersebut,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil beberapa syarikat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mendapat kontrak secara tidak layak bagi menyediakan kelengkapan makmal yang dianggarkan bernilai RM30 juta.

Sumber SPRM berkata, ia turut termasuk sebuah syarikat pembinaan yang didakwa memperolehi projek pembinaan makmal Kementerian Kesihatan.

Menurut sumber itu, siasatan kini terarah kepada proses pelantikan kontraktor bagi setiap perolehan untuk memastikan ianya dilaksanakan tanpa rasuah, salah guna kuasa dan perlu mematuhi undang-undang serta peraturan ditetapkan.

Metro melaporkan, pada 30 April lalu, peguam Wee Choo Keong meminta KKM bersikap telus berhubung kontrak perolehan yang diberikan kepada sebuah syarikat yang didakwa tidak layak, yang membabitkan usaha melawan Covid-19.

Beliau mendakwa syarikat itu adalah sebuah syarikat pemaju hartanah tetapi mendapat kontrak melengkapkan makmal bagi tujuan saringan jangkitan dan kemudian untuk membekalkan PPE.

Covid-19: Satu lagi korban, 30 kes baru


Dikemaskini Hari ini 5:01 pm

Malaysia mencatatkan 30 lagi kes baru Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pernah direkodkan ialah 6,383 kes.

Dalam sidang medianya hari ini, Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa 30 kes baru itu merupakan kes jangkitan tempatan yang dikesan di kawasan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan.

Noor Hisham juga memaklumkan bahawa sebanyak 83 lagi pesakit pulih dari jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan yang sembuh ialah sebanyak 4,567 atau 71.55 peratus.

Ini bermakna, sebanyak 1,710 kes aktif Covid-19 di Malaysia setakat tengah hari tadi.

Daripada jumlah itu, sebanyak 24 dirawat di Unit rawatan rapi, dengan lapan daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Noor Hisham memaklumkan bahawa Satu lagi kematian baru dilaporkan setakat tengah hari tadi, menjadikan jumlah korban Covid-19 di Malaysia 106. atau 1.66 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang direkodkan.

Kes kematian ke-106 (kes ke-830) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 47 tahun.

Pesakit itu telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta mulai 15 Mac dan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh pada 16 Mac setelah disahkan positif Covid-19, sebelum disahkan meninggal dunia pada 5 Mei jam 2.10 pagi

[Berita lanjut menyusul]

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

PH terbuka terima PPBM kembali, kata Anwar

Faiz Zainudin
-May 5, 2020 4:12 PM

Presiden PKR Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) terbuka jika PPBM mahu kembali menyertai gabungan itu.

Pendirian itu dibuat Presiden PKR Anwar Ibrahim sambil mengingatkan supaya kesilapan lalu tidak berulang.

“Keputusan itu harus dibuat PPBM, ada 2 PPBM sekarang, keputusan harus dibuat sebagai 1 parti, PH mengambil sikap terbuka, tapi harus patuh kepada agenda perubahan termasuk reformasi yang dipelopori dalam PH, termasuk sistem menolak sistem korup dan kita tidak mahu mengulangi kesilapan-kesilapan yang lalu,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PPBM, Mukhriz Mahathir sebagai berkata kembali bersama PH merupakan satu-satunya pilihan yang ada buat PPBM bagi memastikan parti itu terus mendapat tempat semasa pilihan raya umum akan datang.

Sandiwara purba

Dalam perkembangan lain, Anwar turut menyifatkan bekas pemimpin PKR yang meluahkan rasa sedih selepas dipecat dari parti atas perbuatan khianat sebagai sandiwara semata-mata.

Katanya, keputusan PKR memecat keahlian berdasar bukti yang kuat.

“PKR pecat berdasarkan bukti dan keputusan oleh lembaga disiplin, kebanyakan yang sudah lompat, ada seorang timbalan menteri kata ‘saya sedih, saya dipecat’, kamu keluar bulan Februari, kamu masuk kumpulan khianat, jatuhkan kerajaan.

“… bila kena pecat, buat-buat sedih, ini sandiwara wayang purba apa ini, tidak ada integriti, bila dipecat persoal kononnya tidak ikut proses, yang khianat parti itu ikut proses?” soal Anwar.

Semalam Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara mengucapkan “terima kasih” kepada bekas bosnya dalam PKR kerana memecat beliau pada hari jadinya.

Anwar berkata, bagi mereka yang digantung keahlian, mereka perlu memberi bukti untuk memastikan mereka boleh terus kekal dalam parti.

“Soal mereka pernah menjadi penyokong pemimpin yang khianat itu, itu hak mereka, kita tak boleh ungkit, parti ini demokratik, nak masuk nak keluar, kita ada sejuta lebih ahli,” katanya.

Semalam PKR mengumumkan 2 wakil rakyatnya adalah antara 348 ahli yang dipecat oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu berikutan syor daripada lembaga disiplin.

Tidak sampai 9 jam, lebih 12,000 tandatangan petisyen desak Kit Siang tunai janji


TIDAK sampai 9 jam petisyen Rakyat tuntut Kit Siang tunai janji untuk bersara politik dilancarkan lebih 12,000 tandatangan telah dikutip.

Petisyen yang dilancarkan oleh Ahmad Abdul di Change.org itu bagi menuntut Penasihat DAP itu menunaikan janjinya sendiri untuk bersara jika Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Rakyat Malaysia menuntut pemimpin-pemimpin Malaysia untuk membuktikan mereka masih ada integriti dan mampu menonjolkan sikap kepimpinan melalui teladan.

“Rakyat sudah jelik dengan pemimpin-pemimpin politik Malaysia yang suka menabur janji kosong sesuka hati. Kita tidak mahu dikencing lagi,” tulis Ahmad pada petisyen berkenaan.

Pada 10 Mei tahun lalu media melaporkan Kit Siang berkata, beliau sedia bersara dari politik jika Dr. Mahathir enggan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.

Pemimpin veteran DAP itu membuat janji tersebut bagi membalas kenyataan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang mendakwa Dr. Mahathir lebih rela membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya daripada memberikan kerusi perdana menteri kepada Anwar selepas dua tahun.

“Saya sangat yakin dengan Mahathir dan saya sedia ‘bertaruh’ dengan Mohamad bahawa Dr Mahathir akan menunaikan komitmen (Pakatan ) Harapan memberikan proses peralihan kuasa jawatan perdana menteri kepada Anwar.

“Jika, Mahathir tidak memberikan jawatannya kepada Anwar, sebaliknya membubarkan parlimen untuk mengadakan PRU15 lebih awal, saya akan bersara dari politik dan tidak akan bertanding pada PRU15.

“Sekiranya, Mahathir berpegang kepada kata-kata beliau dan memberikan jawatan kepada Anwar, kemudian Mohamad perlu berundur dan tidak akan bertanding pada PRU15,” kata Kit Siang seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

Pada 23 Februari lalu Dr. Mahathir melepaskan jawatan Perdana Menteri selepas berlaku kemelut politik dalam Pakatan Harapan. Sebelum itu Dr. Mahathir dilaporkan akan menyerahkan jawatan tersebut kepada Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8.

Petisyen Rakyat tuntut Lim Kit Siang tunaikan janji untuk bersara dipercayai diwujudkan selepas Kit Siang menulis dalam blognya menyeru rakyat untuk menandatangani petisyen mendesak kerajaan mengadakan sidang Parlimen selama dua minggu bagi membincangkan isu berkaitan virus Covid-19.

Petisyen atas talian tersebut dilancarkan oleh Aliran minggu lalu menyeru sekurang-kurangnya dua minggu persidangan Parlimen bermula 18 Mei dan setakat ini memperoleh hampir 39,000 tandatangan.

“Perbuatan melewatkan persidangan sebenar Parlimen ke bulan Julai lebih daripada lapan bulan sejak persidangan yang terakhir — ini menghina keperluan Perlembagaan ini, yang bertujuan untuk memastikan cabang eksekutif tidak memonopoli kuasa tanpa sebarang semak imbang Parlimen untuk satu tempoh yang terlalu lama.

“Kami seru supaya persidangan Parlimen diadakan sekurang-kurangnya dua minggu, bermula 18 Mei (tanpa mengira minggu cuti sambutan Hari Raya) mungkin dengan melalui sistem persidangan video atau pun dengan penjarakan sosial yang bersesuaian supaya semua isu-isu penting boleh dibentangkan dan dibahaskan secepat mungkin!” tulis Aliran pada petisyen tersebut.
-SM

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-