Tuesday, October 5, 2021

PRN Melaka medan uji kekuatan parti dalam PN, MN - Khairuddin

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 5, 2021 9:34 PM

Pilihan raya negeri (PRN) Melaka bakal menjadi medan menguji kekuatan gabungan politik Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN), kata pemimpin PAS Khairuddin Aman Razali.

“Adakah PN sahaja memadai untuk memenangi PRN atau MN sahaja sudah cukup?

“Atau sememangnya gembelengan ketiga-tiga parti adalah rahsia kemenangan,” kata bekas menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu.

Dia dipercayai merujuk tiga parti utama dalam gabungan berkenaan, iaitu Umno, PAS dan Bersatu.

PN dianggotai Bersatu bersama PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Progresif Sabah (SAPP), dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (gerakan), selain disokong Parti Bersatu Sabah(PBS), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS), selain ahli parlimen bebas.

Umno juga pernah menjadi sekutu PN, namun menarik balik sokongannya pada Ogos.

MN pula dianggotai Umno dan PAS, dengan Bersatu pernah dicadangkan untuk turut menyertainya, namun tidak kesampaian.

Hubungan Umno dan parti serpihannya Bersatu tegang sejak awal kedua-keduanya menjadi sekutu di bawah kerajaan PN menerusi Langkah Sheraton tahun lalu, dengan PAS dilihat cuba menjadi pendamai buat kedua-dua parti itu ke arah pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti.

Namun usaha PAS itu dilihat tidak menampakkan hasil memberangsangkan apabila kedua-dua parti - terutama Umno - dilihat bersedia untuk bertembung dalam PRU15 nanti, dengan ketiga-tiga parti dilihat berkongsi kubu sama - kawasan majoriti Melayu dan Islam.

Kata Khairuddin, ramai daripada ahli parti komponen gabungan itu berasakan parti mereka sudah kukuh selepas membentuk kerajaan baru hasil muafakat antara gabungan berkenaan.

Mereka juga, katanya, berasakan bahawa pengundi yang sebelum ini lari, telah kembali ke pangkuan mereka semula manakala sokongan pengundi baru pula dirasakan semakin bertambah.

”Benarkah? Maka di sinilah medan ujiannya.

“Atau akhirnya Melaka menjadi milik PH kembali akibat ketidaksepakatan parti-parti Melayu yang telah diulit rasa gah berkerajaan,” soalnya lagi.

DUN Melaka terbubar hari ini, selepas empat Adun - dua dari Umno, seorang dari Bersatu dan seorang bebas - mengumumkan menarik balik sokonga kepada kerajaan negeri BN-PN di Melaka.

Selepas pembubaran diwartakan hari ini, pilihan raya perlu diadakan dalam masa 60 hari, namun terdapat cadangan untuk mengisytiharkan darurat bagi mengelakkan PRN itu diadakan, memandangkan negara masih bergelut dalam pandemik Covid-19.

Ahmad Zahid atur pengubahan wang haram RM7.5 juta - Pendakwaan

malaysiakini.com

Diterbitkan: Oct 5, 2021 7:45 PM

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengatur skim pengubahan wang haram berjumlah RM7.5 juta menggunakan perkhidmatan pengurup wang untuk mengubah wang menjadi cek dan akhirnya dimasukkan ke dalam pelbagai akaun simpanan tetap.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Harris Ong Mohd Jeffrey Ong berhujah bahawa pengurup wang Omar Ali Abdullah sebagai ejen, mendapat arahan daripada Ahmad Zahid untuk menukarkan RM7,511,250.20 menjadi 35 cek, dan kemudian cek itu diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik bekas timbalan perdana menteri (Ahmad Zahid).

Harris Ong berkata dana itu kemudian dimasukkan ke dalam pelbagai akaun simpanan tetap.

"Omar Ali atas arahan tertuduh telah menerima wang tunai dari individu yang tidak dikenali. Dia (Omar Ali) menggunakan isterinya, syarikat Kamarunisah Ahmad Shah (Ekares Sdn Bhd) untuk mengeluarkan 35 keping cek kepada Lewis & Co.

"Dia memasukkan wang tunai ke cek Ekares dan meminta isterinya untuk membuat pengesahan mengenai pembayaran jika diminta oleh bank. Dia kemudian mengisi jumlah dan penerima pada setiap cek dan menyampaikan semua cek kepada tertuduh,” katanya sebagai menjawab hujah pembelaan mengenai 27 tuduhan pengubahan wang haram di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Harris Ong berkata Kamarunisah tidak tahu mengenai kegunaan cek Ekares, jumlah yang tertera di setiap keping cek, dan siapa penerima.

Merujuk kepada isu tunai RM500,000 (sebahagian daripada RM7,511,250.20) yang diterima Omar Ali, TPR itu berkata ia adalah daripada Yayasan Al-Bukhari (YALB).

“Wang tunai itu dihantar oleh lelaki yang tidak dikenali kepada Omar Ali menunjukkan bahawa urusniaga itu mencurigakan dan meragukan.

"Sekiranya benar wang itu berasal dari penderma untuk tujuan amal, mengapa semua wang tunai itu harus ditukar menjadi cek dan berakhir di akaun pelanggan Lewis & Co dan bukannya akaun Yayasan Akalbudi?

"Tanpa dokumentasi yang tepat, kami mengatakan bahawa semua wang tunai yang diterima Omar Ali berasal dari sumber haram dan bukan YALB. Omar Ali tidak tahu siapa lelaki itu dan tidak ada petunjuk bahawa lelaki itu adalah wakil YALB, ” tambahnya.
Bagi pertuduhan ke-27, Ahmad Zahid dituduh mengarahkan pengurup wang Omar Ali Abdullah menukar wang tunai berjumlah RM7,511,250.20 menjadi 35 cek yang dibuat kepada Lewis & Co sebagai simpanan tetap di Maybank adalah satu bentuk pengubahan wang haram yang berasal dari sumber tidak sah.

Sementara itu Harris Ong berkata berdasarkan pertuduhan satu hingga 25, Lewis & Co menerima sejumlah 92 cek, berjumlah RM76.9 juta, dari pelbagai individu dan entiti yang tidak mempunyai kaitan perniagaan dengan firma itu.

Beliau berkata rakan kongsi syarikat itu B.Muralidharan dalam keterangannya memberitahu bahawa dia telah menerima cek dari Ahmad Zahid di rumah bekas timbalan perdana menteri itu atau cek berkenaan diserahkan kepadanya di syarikat tersebut.

"Cara cek disampaikan oleh tertuduh dan arahan yang diberikan kepada Muralidharan jelas menunjukkan bahawa Ahmad Zahid terlibat secara langsung dalam memberi arahan kepada Muralidharan untuk menyimpan semua cek yang diterima untuk dimasukkan ke dalam 25 simpanan tetap, sebagaimana tuduhan satu hingga 25," katanya.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah jenayah, lapan pertuduhah rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akal Budi.

Pendakwaan akan menyambung hujahnya esok.

- Bernama

PN Melaka pelawa Umno kerjasama, elak pertembungan kerusi lawan PH

FMT Reporters
-October 5, 2021 6:00 PM

Pengerusi PN Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen, berkata perundingan antara Bersatu, Umno dan PAS penting bagi mengelakkan pertandingan tiga atau empat penjuru ketika berhadapan calon Pakatan Harapan (PH).

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) Melaka mempelawa Umno berunding demi memastikan tiada pertembungan kerusi yang bakal ditandingi dalam pilihan raya negeri (PRN), susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Pengerusi PN Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen, berkata perundingan antara Bersatu, Umno dan PAS penting bagi mengelakkan pertandingan tiga atau empat penjuru ketika berhadapan calon Pakatan Harapan (PH).

Katanya, hanya selepas Umno menyatakan pendirian sama ada bersedia membuka pintu perundingan atau sebaliknya, PN akan membuat ketetapan jumlah kerusi yang akan ditandingi.

“Yang pasti ialah Bersatu tidak akan bertembung dengan PAS kerana kami sudah bersepakat untuk mengelak pertembungan sesama sendiri,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Hari ini, DUN Melaka dibubarkan dan PRN bakal diadakan selepas Ketua Menteri Sulaiman Md Ali hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu.

Pembubaran itu diumumkan Yang Dipertua DUN Ab Rauf Yusoh, sehari selepas empat ADUN Melaka termasuk bekas Ketua Menteri Idris Haron, menarik balik sokongan terhadap Sulaiman.

Pembubaran itu dipersetujui Yang Dipertua Negeri, Mohd Ali Rustam, dilihat sebagai jalan keluar untuk mengatasi kemelut politik berkenaan dan membentuk kerajaan negeri baharu menerusi pilihan raya.

Jumaat lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengulangi keputusan Perhimpunan Agung Umno 2020 dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) tidak bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), termasuk PN.

Katanya, keputusan itu adalah muktamad.

UMNO sokong DUN Melaka bubar, yakin menang: Zahid

agendaily.com
5/10/2021

Dewan Undangan Negeri Melaka.

Keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mendapat sokongan UMNO dan yakin akan dapat menyapu bersih semua kerusi sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan, kata Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata pembubaran DUN tersebut tidak dapat dielakkan dan UMNO sudah mengarahkan Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh supaya menghantar notis kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan langkah pembubaran tersebut.

“UMNO berpendirian bahawa DUN tidak dapat dielakkan untuk dibubarkan. Sebagaimana rakan media maklum bahawa pengumuman rasmi telah dibuat, mengenai persetujuan TYT Melaka terhadap pembubaran DUN Melaka ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Mohd Rustam menerima cadangan agar DUN Melaka dibubarkan hari ini.

Bagaimanapun, Zahid berkata terpulang kepada SPR untuk menentukan sama ada PRN boleh diadakan atau tidak mengambil kira keadaan semasa pandemik Covid-19 yang masih melanda negara.

“Namun saya mengharapkan agar SPR setelah menerima perutusan rasmi dari DUN Melaka untuk adakan perbincangan dengan MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan Kementerian Kesihatan bagi tentukan perkara sebenar.

“Apakah PRN akan diadakan mengikut jadual waktu atau tempoh bagaimana yang terdapat dalam Akta Pilihan Raya,” katanya lagi.

Melaka dilanda kemelut politik selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan diketuai bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, mengumumkan pendirian mereka untuk menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan Barisan Nasional-Perikatan Nasional (BN-PN) yang dipimpin Ketua Menteri (KM) Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Idris merupakan ADUN UMNO di Sungai Udang.

Azmin akan teliti semula status cadangan ganja perubatan

malaysiakini.com
Yasmin Ramlan
Diterbitkan: Oct 5, 2021 1:05 PM

Menteri Perdagangan dan Antarabangsa Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan perlu melihat daripada perspektif yang lebih besar dalam mengembangkan keperluan industri ganja perubatan.

Sebagai maklum balas kepada celahan dari Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar), Azmin berkata meskipun ia dibincangkan sejak pentadbiran Pakatan Harapan (PH), perkara itu perlu dirujuk semula.

Katanya, ia melibatkan beberapa pindaan akta daripada Kementerian Kesihatan.

“Perkara ini telahpun dibincang, dibentang dalam jemaah menteri, beberapa pandangan telah dikemukakan, kita pun telah engage dengan beberapa pihak termasuklah ahli akademik dan pihak-pihak swasta untuk kita lihat potensi industri ini.

“Namun, saya harus merujuk semula apakah status perkara ini, kerana ia juga melibatkan beberapa pindaan akta oleh Kementerian Kesihatan yang telah dibentangkan dalam mesyuarat yang lalu.

“Kita harus melihat dari perspektif yang lebih besar tentang keperluan industri ni diperkembangkan. Namun, haruslah mengikut lunas undang-undang yang sedia ada,” katanya dalam sesi penggulungan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Syed Saddiq
Terdahulu, Syed Saddiq bertanya, dalam usaha kerajaan memperhebatkan industri eksport, adakah Miti akan memperhalusi cadangan untuk meluluskan kegunaan ganja perubatan,

“Saya rasa yang amat berhormat menteri pun tahu iaitu pada bulan Februari 2020 - sebelum kerajaan (PH) tumbang, sudahpun kajian dilakukan oleh Prof Aisyah dari USM dan sudah adapun mesyuarat pelarasan bagi tujuan dalam negara dan tujuan eksport ke luar negara.

“Adakah yang amat berhormat akan bincangkan perkara ini di peringkat jemaah menteri?” soal Syed Saddiq.

Pada 29 September lalu, Syed Saddiq yang juga presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di Dewan Rakyat mencadangkan supaya kerajaan meneliti perbincangan terperinci berhubung kelulusan ganja sebagai rawatan alternatif.

Sambil membandingkan negara-negara lain termasuk Thailand, katanya, dia enggan melihat Malaysia ketinggalan membincangkan isu kajian penggunaan ganja dalam perubatan hanya disebabkan ia dianggap isu sensitif.

Terkini! Zahid sedia disiasat

perakinsights.com
October 5, 2021 9:15 am


Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesediaannya untuk disiasat berhubung isu pemilikan akaun simpanan di British Virgin Island.

Ahmad Zahid berkata, perkara yang dibangkitkan oleh pemilikan akaun adalah ketika beliau berada dalam sektor korporat.

Beliau menjawab celahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang secara sinis bertanya sama ada Presiden UMNO itu bercadang membawa balik wang yang didakwa disimpan di sebuah bank di British Virgin Island untuk membantu memulihkan ekonomi negara.

Rayer bertanyakan mengenai perkara itu berdasarkan laporan akhbar, Pandora Papers Leaks.

“Yang Dipertua Dewan Rakyat, sila siasat bahawa apa yang dikatakan oleh Jelutong itu adalah ketika saya berada dalam sektor korporat.

Apabila saya menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kepada sebuah syarikat tersenarai, ketika itu syarikat yang saya ketuai mempunyai pelaburan di sebuah negara besar dan mempunyai konsesi daripada negara itu untuk melaksanakan IPP ketika itu.

“Keuntungannya tidak dapat dibawa keluar sebaliknya diminta untuk dilaburkan semula di negara berkenaan.

Tentunya sebagai syarikat yang tersenarai mahu supaya dividen dapat diberikan kepada pemegang saham.

“Kini, syarikat yang telah didaftarkan atas nama syarikat yang tersenarai itu telah tidak ada lagi,” kata Ahmad Zahid ketika di Dewan Rakyat pada Isnin.

Selepas memberi penjelasan berkenaan, Zahid secara sinis ‘membalas’ kepada Rayer.

“Jadi jangan sangka saya jenis macam Jelutong yang mahu melarikan diri daripada cukai,” katanya.

Rayer dilihat kurang berpuas hati dan bertindak mahu sekali lagi mencelah, namun tidak mendapat kebenaran Dewan Rakyat.

Ahmad Zahid bagaimanapun sempat menempelak Rayer sebelum meneruskan perbahasan.

“Itu kita boleh sembang di kantin nanti. Belum masuk korporat mungkin dia tak tahu, bidang guaman saja dia tahu. Tentang bidang korporat, penstrukturan dan cukai semua boleh belajar daripada saya,” katanya.

Sumber | SH

Najib bertegas tak salah dalam skandal 1MDB, tak dimaklum ada 'tak kena'


ICIJ & Malaysiakini
Diterbitkan: Oct 5, 2021 11:02 AM

Ismail Sabri Yaakob dan Najib Razak baru-baru ini dikatakan mengadakan pertemuan untuk membolehkan ahli parlimen Pekan itu memberi nasihat ekonomi kepada perdana menteri.

Ia menimbulkan kemarahan beberapa pihak yang memberi alasan bahawa Najib terlibat dalam skandal 1MDB yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit wang pembayar cukai.

Najib menegaskan bahawa dia tidak bersalah dalam skandal itu meskipun ketika itu dia merupakan pengerusi 1MDB, perdana menteri dan sekali gus menteri kewangan.

Malah, dalam keadaan begitu Najib berkata dia mungkin akan bertanding lagi dalam pilihan raya umum akan datang.

Mendakwa dikelirukan oleh penasihatnya, Najib mendakwa dia bergantung kepada firma kewangan dan undang-undang terkemuka seperti Goldman Sachs, KPMG, Ambank dan Wong and Partners serta lembaga 1MDB untuk memberi amaran sekiranya ada berlaku sesuatu yang tidak kena.

"Saya tidak bimbang kerana firma-firma ini adalah syarikat yang mempunyai nama besar dan mereka seharusnya memberitahu saya atau lembaga pengarah 1MDB jika ada yang tidak kena.

"Namun, saya tidak pernah menerima amaran seumpamanya,” kata Najib.

Bekas perdana menteri itu menjawab pertanyaan daripada Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ) - yang berpangkalan di Washington - dan Malaysiakini mengenai penglibatannya bersama firma undang-undang antarabangsa Baker McKenzie dan sekutu tempatan, Wong and Partners, dalam skandal 1MDB.

Ia adalah sebahagian daripada laporan ICIJ dan sekutu mengenai Pandora Papers, iaitu sejumlah dokumen yang mendedahkan penggunaan tabung amanah dan akaun luar pesisir (offshore) oleh orang kaya dan berkuasa, serta syarikat-syarikat lain yang terbabit.
Syarikat-syarikat itu termasuk Baker McKenzie, firma undang-undang antarabangsa terkemuka, dan entiti tempatannya Wong and Partners dan B&M Consultancy Services, yang menyediakan perkhidmatan undang-undang dan korporat untuk 1MDB.

Dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan Lim Poh Seng B&M adalah setiausaha syarikat bagi 1MDB dan anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd (SRC) ketika skandal itu.

Tidak ada janji temu penyedia perkhidmatan

Bagaimanapun, Najib berkata dia tidak terlibat dalam pelantikan Baker McKenzie, Wong and Partners, dan B&M Consultancy Services.

Najib mendakwa lembaga pengarah Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang membuat pelantikan itu.

"Syarikat-syarikat tersebut dipilih oleh lembaga pengarah TIA setelah dibincangkan oleh para pengarah dan seperti yang disarankan oleh pihak pengurusan kanan bersama dengan Goldman Sachs, Ambank dan KPMG.

"Ini sebelum TIA diletakkan di bawah kerajaan pusat dan saya terlibat dalam 1MDB.

"Semua tetapan ini bermula ketika syarikat itu masih bernama TIA dan diteruskan oleh pengurusan kanan dan lembaga 1MDB," tambahnya.

TIA dinamakan semula sebagai 1MDB dan berada di bawah kerajaan persekutuan pada 2009 setelah pemerolehannya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan). Perkembangan itu berlaku setelah Najib menjadi perdana menteri keenam.

Walaupun Najib tidak terlibat secara rasmi dalam TIA, Jho Low - yang merupakan kenalan rapat Najib dan keluarganya serta dianggap watak utama dalam skandal 1MDB - terlibat dalam penukaran TIA (yang merupakan tabung amanah negeri) kepada 1MDB, tabung pelaburan kerajaan persekutuan.

Low adalah "penasihat" yang menyarankan pengurusan tertinggi TIA untuk menjual bon bernilai RM5 bilion terhadap syarat yang ditetapkan oleh lembaga TIA - yang membawa kepada pemerolehan oleh kerajaan persekutuan, demikian dimaklumkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

Selain itu, melalui dana yang dikaitkan dengan Low, wang tunai yang diperoleh melalui bon 1MDB yang disokong kerajaan diserahkan, yang sebahagiannya dimasukkan ke akaun Najib, menurut siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.

Goldman Sachs, AmBank dan KPMG bayar penyelesaian mahkamah

Namun, Najib menegaskan bahawa dia dikelirukan oleh penasihatnya dan tidak pernah melakukan urusan langsung dalam urusan 1MDB.

"Tidak pernah berhubung. Sekali pun tak pernah. Saya tidak berurusan dengan 1MDB atau firma yang terlibat dengan 1MDB dan bergantung kepada pengurusan kanan dan lembaga pengarah untuk menjalankan tugas mereka,” katanya.

Najib secara konsisten menafikan mengetahui adanya salah laku dalam skandal 1MDB.

Najib berkata dia tidak perlu membayar denda membuktikan bahawa dia tidak mendapat keuntungan daripada skandal 1MDB atau merupakan dalang skandal itu.

Sebaliknya, denda dan penyelesaian dibayar oleh Goldman Sachs, Ambank dan KPMG.

Dia juga menegaskan bahawa dana yang terdapat di dalam akaun banknya - yang menurutnya merupakan sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi - telah pulangkan.

"Dana yang digelar 'RM2.6 bilion' dan dipercayai berkaitan dengan 1MDB dipulangkan kepada pengirim empat bulan setelah diterima," tambahnya.

Pada Jan 2016, peguam negara ketika itu Mohamed Apandi Ali berkata Najib memulangkan AS$620 juta daripada AS$681 juta (RM2.6 bilion) yang disalurkan ke dalam akaun peribadinya sebagai "sumbangan politik".
Yakin dengan rayuan SRC

Najib yakin sabitan bersalahnya atas tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa yang berkaitan dengan SRC akan dibatalkan melalui rayuan yang dibuatnya.

Katanya mahkamah mendapati dia tidak serta-merta menghabiskan hasil pengubahan wang, sebaliknya menunggu empat tahun, dan seterusnya menggunakan dana berkenaan bukan untuk dirinya sendiri, tetapi untuk "kerja amal dan tujuan politik".

"Saya dituduh dan disabitkan menyalahgunakan kuasa saya dengan terlibat atau (mengambil bahagian) dalam keputusan kabinet untuk meluluskan jaminan kerajaan sebanyak RM4 bilion untuk SRC pada 2011.

"Saya tidak dituduh mencadangkan atau meluluskan pinjaman SRC.

"Saya kemudian dituduh melakukan pengubahan wang haram apabila sejumlah RM42 juta (atau 1.0 peratus jaminan) dari SRC dimasukkan ke akaun di bawah nama saya secara berperingkat empat tahun kemudian antara akhir 2014 dan pertengahan 2015 yang hakim kemudiannya mengesahkan ia digunakan untuk membayar pelbagai kerja amal dan politik - bukan untuk kegunaan peribadi saya.

"Ringkasnya, ini bererti saya dinyatakan bersalah dalam kes SRC kerana menunggu empat tahun dan memenangi pilihan raya umum serta pemilihan parti Umno pada 2013 untuk menerima 1.0 peratus jaminan tersebut secara berperingkat yang saya tidak gunakan secara peribadi,” tambahnya.

Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 27 Julai 2020 kerana penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, dan pengubahan wang haram yang melibatkan dana RM42 juta dari SRC.

SRC adalah bekas anak syarikat 1MDB sebelum dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).

Najib ketika itu menjadi pengerusi lembaga penasihat 1MDB, penasihat emeritus SRC dan juga menteri kewangan.

Dia menafikan penglibatan dan sebarang pengetahuan mengenai RM42 juta itu. Najib mengemukakan rayuan atas kesalahan tersebut.

Dia juga sedang menghadapi perbicaraan atas empat tuduhan penyalahgunaan kuasa untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.28 bilion dari 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Pasukan pembelaan Najib berpendapat bahawa bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman bertindak bersama-sama dengan Jho Low dan rakan-rakannya untuk mengelirukan bekas perdana menteri itu.

[Baca laporan asal]

Krisis Melaka: Zahid beri isyarat senario sama boleh berlaku terhadap PM?

agendaily.com
5/10/2021

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Adakah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebenarnya sedang memberi isyarat kepada Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa senario krisis politik di Melaka boleh juga berlaku terhadap pentadbirannya?

Di Melaka, krisis politik yang berlaku berpunca daripada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri yang juga dari UMNO, ia juga tidak mustahil boleh berlaku di peringkat kerajaan pusat.

Jika melihat kepada tindak-tanduk Presiden UMNO itu semasa menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin, kebarangkalian tersebut episod sama boleh berulang kepada Ismail Sabri sekiranya kehendak mereka yang dikatakan kumpulan ‘kluster mahkamah’ tidak dituruti.

Harus diingat, penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen (MP) UMNO sebelum ini menjadi punca kepada kejatuhan kerajaan PN dan skrip sama digunakan di Melaka, namun situasi yang janggal berlaku kerana ia melibatkan pertembungan sesama wakil rakyat UMNO.

Kata-kata Zahid dalam Dewan Rakyat semalam mempunyai maksud tersirat apabila mengatakan kesediaannya melihat kerajaan negeri Melaka dijatuhkan dan memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri diadakan.

“Begitu juga yang kita perhatikan sedang berlaku di negeri Melaka sekarang ini, saya harap perkara itu tidak akan menular untuk ahli-ahli Dewan Rakyat nanti,” katanya semasa mengulas krisis di Melaka dalam sidang Dewan Rakyat semasa membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12.

Zahid dilihat sedang bermain kata-kata yang seakan memberi amaran kepada Ismail Sabri bahawa nasib sama akan menimpanya jika beberapa MP UMNO menarik sokongan terhadapnya seperti yang berlaku di Melaka.

Untuk rekod, Zahid kini sedang terhimpit dengan kes mahkamah yang sedang perbicaraan dan berkemungkinan keputusan muktamad akan diputuskan dalam masa terdekat.

Kes mahkamah yang paling dekat sedang dihadapi Zahid ketika ini adalah bersabit 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah jenayah, lapan pertuduhah rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akal Budi.

Pihak pendakwaan sedang mengemukakan hujahan di Mahkamah Tinggi ketika ini.

Yang peliknya, Zahid langsung tidak cuba kerajaan Melaka daripada jatuh ke pihak pembangkang, malah seakan-akan merelakan tindakan dua ADUN UMNO yang menarik sokongan.

Ismail Sabri perlu melakukan sesuatu sekiranya tidak mahu episod di Melaka berlaku terhadap kerajaan pimpinannya ketika ini, jika tidak berkemungkinan beliau akan jadi PM tersingkat dalam sejarah negara.

Satu lagi krisis politik bukan sesuatu yang baik kepada rakyat yang sudah cukup susah kehidupan mereka ketika ini ekoran krisis kesihatan yang melanda negara.

Rakyat mahu hidup dengan normal secepat mungkin dan mencari pendapatan untuk menampung keluarga, mereka tidak lagi menghiraukan ahli politik yang masih membicarakan hal kuasa demi kepentingan politik diri sendiri.

Ketika negara sedang memasuki fasa pemulihan, satu lagi krisis politik hanya akan menyebabkan segala perancangan untuk membantu rakyat akan terjejas.

Atau UMNO sebenarnya sudah tidak lagi menghiraukan hal rakyat dan mahu menjadi dominan tanpa memikirkan soal kebajikan rakyat lagi, atau UMNO kini lebih memikirkan diri sendiri berbanding hal rakyat?

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-