Monday, February 3, 2025

Pemuda PAS jangan samakan jenaka Harith dengan ugut bunuh - PKR

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 3, 2025 9:00 PM
Pengarah Komunikasi PKR Lee Chean Chung menegur Pemuda PAS agar berhenti mengeluarkan kenyataan mengelirukan mengenai pelawak Harith Iskander.

"Saya rasa para pemimpin Pemuda PAS seolah-olah salah faham dengan isu sebenar, menyamakan gurauan dengan ancaman terhadap keluarga seseorang, dan seterusnya menyalahkan pihak polis.

"Ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal," kata Ahli Parlimen Petaling Jaya itu pada satu kenyataan.

Lee menasihatkan Pemuda PAS supaya memahami keutamaan dan tidak mengaitkan undang-undang negara dengan kepentingan politik peribadi.

"Jangan hanya kerana politik, fakta diputarbelitkan," katanya.
Semalam, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Mohd Hafez Sabri (gambar atas) mendakwa pihak berkuasa telah mengambil tindakan yang tidak seimbang terhadap Harith Iskander dan pengguna Facebook Cecelia Yap.

Hafez berkata pihak berkuasa bertindak dengan pantas terhadap individu yang mengugut Harith dan keluarganya namun tindakan terhadap Harith dan Yap masih belum diambil secara sewajarnya.

Dia mendakwa perkara ini membuktikan terdapat ketidakseimbangan dalam penguatkuasaan undang-undang, yang sepatutnya melindungi keharmonian antara agama di negara ini.

Bagaimanapun, Lee membidas Hafez kerana menyamakan jenaka dengan ugutan terhadap keluarga seseorang, sambil turut menyalahkan polis kerana mengambil tindakan terhadap individu yang melakukan ugutan.
"Harith Iskander adalah seorang pelawak yang bergantung pada jenaka dan gurauan untuk kerjayanya.

"Jika gurauan dan sindiran kini boleh dijadikan alasan untuk mengugut seseorang, maka di manakah kebebasan bersuara di negara kita," soalnya.

Pada 31 Jan lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM2,000 ke atas seorang lelaki berusia 31 tahun kerana melakukan ugutan jenayah terhadap bekas isteri Harith.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh menghantar mesej WhatsApp yang mengandungi gambar serta kata-kata ugutan, dengan niat merogol dan membunuh anak perempuan mereka yang berusia 12 tahun.

Keluarga Harith menerima ugutan selepas pihak polis menyiasat pelawak itu berhubung hantaran sindiran mengenai penggunaan perkataan "ham", susulan kontroversi status halal sandwic yang dijual di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya.

Cecelia Yap, yang turut disiasat kerana mengulas mengenai hantaran Facebook Harith, telah tampil memohon maaf.

Laporan polis telah dibuat terhadap Harith dan Yap, yang dituduh menghina Islam dan Nabi Muhammad menerusi kenyataan mereka di media sosial.

Tuduh Akmal gila lebih rasis, Puad beritahu MCA

suara.tv.com
ByJanatul Firdaus Yaacob
03/02/2025

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Akmal Saleh tidak rasis seperti didakwa Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng bahkan Ketua Pemuda Umno itu tidak pernah memulakan kontroversi sebaliknya hanya bertindak balas.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi menegaskan, Akmal respon kepada tindakan pihak tertentu yang menyentuh sensitiviti agama Islam dan orang Melayu.

“Akmal bukan rasis seperti dakwaan naib presiden MCA. Apa bukti orang bukan Melayu tidak suka Akmal? Tan Teik Cheng sebaliknya lebih wajar bertanya kenapa bukan Melayu tidak menyukai MCA?

“Akmal respon kepada tindakan pihak tertentu yang menyentuh sensitiviti agama Islam dan orang Melayu. Bukan dia yang memulakan kontroversi itu. Dia bertindak atas kecuaian orang lain yang tidak sensitif.

“Tindakannya sama ada boikot atau laporan polis tidak melanggar undang undang. Akmal bukan rasis.

“Tuduh Akmal gila atau tidak berakal adalah lebih rasis. Ia tindakan baling batu sembunyi tangan. Boleh ditafsir cuba memihak kepada mereka yang sebenarnya memulakan kontroversi,” bidas Puad.

Speaker Dun Johor malah mengingatkan supaya MCA jangan dilihat memihak kepada individu atau pihak yang memulakan kontroversi agama atau kaum.

“MCA pun tahu jadi rasis belum menjamin bukan Melayu kembali sokong MCA.

“Ada sebab lain. Cari sebab sebab itu. Tepuk dada tanya selera,” katanya.

Hannah bantah kenyataan 4 saksi dalam saman pensyarah UUM

freemalaysiatoday.com
Bernama
03 Feb 2025, 07:21 PM

Peguam menteri belia dan sukan itu berkata pernyataan saksi itu menyentuh perkara di luar pliding saman.
Hannah Yeoh memfailkan saman terhadap Kamarul Zaman Yusoff pada 2022 berkait dua hantaran Facebook yang dimuat naik pensyarah itu antara 10 Mei dan 17 Mei 2017.

KUALA LUMPUR: Hannah Yeoh memfailkan bantahan awal untuk membatalkan keterangan empat saksi yang dikemukakan bagi menyokong pembelaan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Kamarul Zaman Yusoff dalam kes saman fitnah menteri belia dan sukan itu.

Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Hannah selaku plaintif memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Aliza Sulaiman bahawa, pernyataan saksi tersebut menyentuh perkara di luar pliding saman itu.

Beliau berkata demikian semasa perbicaraan kes saman fitnah difailkan Hannah terhadap Kamarul Zaman sebagai defendan, berhubung dua catatan Facebook yang dibuat defendan pada Mei 2017.

Empat saksi itu ialah bekas naib canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ibrahim Abu Shah, Pengerusi Gabungan Nasionalis Aminudin Yahaya; bekas eksekutif kanan Pusat Kajian Media Institut Strategik Islam Malaysia (IKSIM) Harizal Hassan dan penulis bebas Helen Ang.

Sementara itu, peguam Khairul Azam Abdul Aziz mewakili Kamarul berkata beliau terkejut dengan bantahan yang dibangkitkan pihak plaintif hari ini.

Beliau berkata peraturan etika Majlis Peguam Malaysia menetapkan bahawa pihak lawan (defendan) perlu dimaklumkan lebih awal, jika terdapat sebarang bantahan awal yang ingin dikemukakan.

“Sehubungan itu, pihak kami mohon mahkamah memberi masa untuk kami menyediakan hujahan balas terhadap bantahan tersebut,” kata peguam itu.

Hakim kemudian memutuskan untuk mendengar hujahan lisan Sangeet hari ini, manakala Khairul diberikan masa sehingga esok untuk menyediakan hujahan balas.

Dalam saman yang difailkan pada 2022, Hannah berkata Kamarul memuat naik dua hantaran Facebook antara 10 Mei dan 17 Mei, 2017, iaitu beliau mendakwa bahawa plaintif mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya.

Pensyarah itu turut memetik biografi Hannah ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ bagi memacu agenda Kristian dan turut mendakwa beliau berniat untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian.

Dalam pernyataan pembelaannya, Kamarul berkata kedua-dua hantaran Facebooknya tidak berunsur fitnah dan beliau mempunyai tanggungjawab untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai kandungan buku itu, kerana bimbang mereka mungkin terpengaruh dengan Kristian.

Perbicaraan kes ini bermula pada 25 Nov tahun lepas dan hari ini merupakan hari keenam perbicaraan tersebut.

Tarif elektrik perlu dinaikkan, kata Anwar

malaysiakini.com
Zarrah Morden
Diterbitkan: Feb 3, 2025 3:35 PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berkata tarif elektrik perlu dinaikkan pada separuh kedua tahun ini.

Anwar mengakui langkah itu akan menyukarkan atau merugikan, namun menyatakan kerajaan bersedia mendengar pandangan lain.

"Keputusan itu, pada saya, sesuatu yang perlu dilakukan kerana harganya perlu naik," katanya kepada hadirin pada majlis sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan di Hotel Shangri-La di Kuala Lumpur.

Bermula Julai, tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia akan dinaikkan sebanyak 14.2 peratus kepada 45.62 sen setiap kilowatt-jam (kWh),

Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada Disember lalu memaklumkan kenaikan ini didorong terutamanya oleh kenaikan kos bahan api.

[Berita penuh menyusul]

TGHH Presiden PAS paling berjaya dalam sejarah

harakahdaily.com
Tuan Guru Abdul Hadi Awang
February 3, 2025
KUALA LUMPUR: Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang disifatkan sebagai Presiden PAS yang paling berjaya sepanjang lebih 70 tahun usia parti itu walaupun dicemuh dan diperlekeh oleh musuh politiknya, khususnya Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata demikian sebagai reaksi kepada artikel penganalisis politik veteran Joceline Tan (JT) dalam The Star bertajuk ‘Whispers of Hadi’s Exit’.

Menurutnya, artikel itu perlu dibaca secara keseluruhan dan bukan sekadar tajuknya, sambil menyatakan bahawa beliau sendiri enggan bersetuju dengan naratif yang ingin dibawa oleh penulis berkenaan.

“Memang Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS pada usia 77 tahun hari ini tidaklah segagah dahulu fizikalnya. Beliau berhadapan dengan pelbagai cabaran kesihatan, namun yang penting beliau masih ‘alert’, ‘sharp’.

“Dan memiliki keupayaan serta kemampuan mengemudi dan memimpin parti dalam keadaan ahli-ahli parti sendiri tiada melihat sebarang kekurangan dalam kepimpinannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Roslan menegaskan bahawa Tuan Guru masih aktif menulis, mempengerusikan mesyuarat parti, menghadiri sidang Parlimen, dan memimpin kuliah dhuha setiap pagi Jumaat di Masjid Rusila.

Juga tokoh itu juga dikatakan mengikuti perkembangan politik antarabangsa dan bertemu pelbagai lapisan masyarakat serta pimpinan, kecuali apabila berhalangan akibat keuzuran.

Menurut beliau, pemimpin yang perlu berundur ialah mereka yang gagal dan hilang pengaruh, sedangkan Tuan Guru tidak pernah gagal atau kehilangan pengaruh.

“Pencapaian politik PAS di bawahnya luar biasa sehingga mampu bukan sekadar menguasai negeri tradisi PAS iaitu Kelantan dan Terengganu, malah mampu menang di Kedah dan Perlis.

“PAS menjadi pembangkang terkuat di Pahang dan Perak, begitu juga berpengaruh di Selangor dan malah mula melebarkan sayapnya di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka. Hari ini PAS juga punya wakil di Dewan Undangan Negeri Sabah,” katanya.

Beliau menambah bahawa Tuan Guru merupakan satu-satunya pemimpin politik Melayu yang paling berwibawa dan bersih sehingga disegani kawan dan lawan, dalam dan luar negara.

Menurutnya, walaupun secara fizikalnya tidak seperti ketika mula-mula menang kerusi DUN di Terengganu pada 1982, namun menurut Roslan, kecemerlangan kepimpinan diukur berdasarkan pencapaian dan keupayaan menyampaikan hasil kepada parti dan rakyat.

“Tiada siapa dapat nafikan, katalah apa sahaja, beliau sesungguhnya telah cemerlang dan tidak ada sebab untuk mengundur diri kerana sokongan ahli-ahli di belakangnya cukup padu dan kukuh,” ujarnya.

Roslan berkata bahawa tidak mengapa jika PH atau DAP membenci Tuan Guru kerana itu sudah menjadi sikap mereka, tetapi yang lebih penting adalah ahli-ahli PAS terus mengiktiraf dan menyanjung kepimpinannya.

Sementara rakyat Malaysia menurutnya, secara umum menerima serta memberikan penghormatan kepada Tuan Guru Abdul Hadi.

“Dari segi fizikal sebagaimana JT sebut ada ‘good and bad days’ buat Tuan Guru, tetapi sebagaimana saya beritahu beliau, pengamatan peribadi saya Tuan Guru di mata saya masih gagah.

“Buktinya boleh memanjat tangga ke pejabat saya ditingkat satu tahun lepas dan kenyataan saya itu dipetik oleh JT dalam artikelnya. Apa pun pemimpin Gerakan Islam hanya mengundurkan diri apabila tidak lagi memiliki keupayaan.

”Tuan Guru kami walau sudah 77 tahun, tetapi kudrat, pengalaman dan ilmu beliau masih segar malah lebih padu dari ramai mereka yang lebih muda usianya.

“PAS hari ini cemerlang dan dipimpin oleh Presiden yang berpengaruh, mewakili suara Melayu Islam dalam negara.

“Kalau ada pun ‘whispers’ atau bisik-bisik dalam PAS hari ini, ianya adalah ‘whispers’ berkenaan ke mercu mana lagi PAS akan pergi selepas ini, bukan sebaliknya. Allah pelihara Tuan Guru Presiden kami,” katanya. 

HARAKAHDAILY 3/2/2025

'Kapal dah karam': Dr Rafidah kongsi kisah sepupu tinggalkan KKM

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 3, 2025 12:36 PM
Pakar nefrologi Hospital Putrajaya, Dr Rafidah Abdullah meluahkan kebimbangan terhadap masa depan sektor kesihatan awam di negara ini selepas sepupunya, yang juga seorang doktor hospital kerajaan, memutuskan untuk menerima tawaran kerja di New Zealand.

Dalam satu hantaran di Facebook semalam bertajuk “Selamat Tinggal KKM”, Dr Rafidah menyifatkan sepupunya sebagai seorang doktor yang “rajin dan berdedikasi”.

"Ibu beliau pesara Guru, arwah ayah seorang pegawai tinggi kerajaan (PTD).

"Beliau bekerja di Jabatan Kecemasan dan sudah hampir tamat program kepakaran parallel beliau," kata Rafidah.
Merujuk kepada cadangan sistem syif Waktu Bekerja Berlainan (WBB) yang kini telah dibatalkan, Rafidah berkata:

"Di Jabatan Kecemasan, mereka bekerja syif. Sama seperti paramedik, mereka disuruh bekerja 45 jam. Tambah jam. Tidak diberi kesempatan memberi pendapat, tiada libat urus - tahu-tahu suruh implementasi di lapangan,” luahnya.

Dr Rafidah berkata, apabila menerima tawaran bekerja di New Zealand sebagai registrar, sepupunya tidak teragak-agak untuk meninggalkan KKM.

"Ramai yang dah meninggalkan (KKM). Jika ini bukan tanda kapal karam, saya tak tahu apa lagi yang perlu dikatakan.

"Dia tidak rugi, saya tidak rugi (sebab boleh jalan-jalan). Yang rugi, adalah rakyat Malaysia,” tambahnya.

Kontroversi Waktu Bekerja Berlainan (WBB)

Minggu lalu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad menegaskan dia masih komited pada prinsip dan objektif di sebalik cadangan sistem syif Waktu Bekerja Berlainan (WBB) untuk kakitangan kesihatan.

“Ramai orang enak di katil ketika doktor menjalankan tugas pada waktu begitu.

“Ini bukan mengenai kejayaan atau kegagalan peribadi. Ini mengenai mencari jalan terbaik untuk pekerja penjagaan kesihatan dan negara," katanya kepada FMT.
Pada 17 Januari lalu, satu sesi town hall oleh Kementerian Kesihatan diadakan, di mana kakitangan kesihatan menyatakan bantahan keras terhadap pelaksanaan sistem WBB.

Sebahagian mereka mendesak Dzulkefly dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan meletakkan jawatan, manakala ada juga yang mencadangkan mogok sebagai tanda protes.

Mereka menyuarakan kebimbangan mengenai potongan gaji akibat sistem baru tersebut serta kekurangan fleksibiliti, selain kesan negatif WBB terhadap keseimbangan kerja dan kehidupan mereka.

Pada 24 Jan, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengadakan pertemuan dengan Dzulkefly dan pegawai kementerian bagi membincangkan isu-isu yang membelenggu pekerja kesihatan serta sistem kesihatan awam.

Presiden MMA, Dr Kalwinder Singh Khaira berkata salah satu topik utama yang dibincangkan ialah cadangan dasar WBB.
“Berdasarkan maklum balas daripada ahli-ahli kami serta petugas kesihatan lain, MMA memberikan penjelasan komprehensif mengenai kebimbangan dan keraguan terhadap sistem WBB. Secara umumnya, doktor kesihatan awam tidak menyokong atau bersetuju dengan pelaksanaannya,” katanya.

MMA juga mengulangi gesaan agar elaun on-call bagi semua doktor dalam perkhidmatan awam dinaikkan segera.

“Kami menegaskan bahawa kenaikan ini mesti diberikan kepada semua doktor dan tidak dikaitkan dengan mana-mana sistem kerja tertentu. Ini adalah sesuatu yang telah diharapkan oleh doktor dalam perkhidmatan awam sejak tahun lalu dan mereka masih berharap kerajaan menunaikan janji tersebut,” tambahnya.

Kalwinder juga menegaskan keperluan untuk ketelusan dalam pemberian jawatan tetap kepada doktor kontrak.

PAS sedia bekerjasama semula jika ada pertukaran pimpinan Umno

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 3, 2025 10:30 AM
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, memberi bayangan bahawa kerjasama antara PAS dan Umno boleh dihidupkan kembali sekiranya presiden sekarang, Ahmad Zahid Hamidi, tidak lagi menerajui kepimpinan parti tersebut.

Menurutnya, PAS sentiasa bersikap terbuka untuk bekerjasama semula dengan Umno demi menyatukan umat Islam di Malaysia.
Hashim Jasin
Merujuk kepada kerjasama terdahulu menerusi Muafakat Nasional, katanya, dia berkata: “Dengan Umno ini dah pun kita rancang dan wujudkan perpaduan ummah termasuk ada piagamnya, tapi mungkin ada masalah sikit, tapi pintu kita tak pernah tutup.”

“Kita pun tahu siapa yang menolak (kerjasama) itu sebelum ini, mungkin dengan pertukaran kepimpinan dalam Umno, mana tahu pintu akan terbuka luas balik, Insya-Allah.

“Apa-apa pun kita lihat nanti lepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) nanti,” katanya yang dipetik oleh Scoop.

Ketika ditanya sama ada Bersatu - rakan sekutu PAS dalam Perikatan Nasional - akan menentang kerjasama dengan Umno, Hashim berkata perkara itu boleh diselesaikan antara parti yang terlibat.
“Itu terpulang kepada mereka (Umno dan Bersatu), tapi bagi PAS, kita terbuka untuk perpaduan ini, kita sentiasa berdoa.

“Dengan kes-kes yang berlaku sekarang ini sama ada dalam dan luar negara mungkin membuka jalan untuk pimpinan-pimpinan memikirkan apa yang perlu kita beri keutamaan demi penyatuan ummah dan Islam,” katanya.

Sebelum ini, bekas Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Mohd Asri Mat Daud menyatakan keyakinannya bahawa Umno dan PAS masih boleh menghidupkan semula Muafakat Nasional sebelum pilihan raya akan datang.

“Akar umbi Umno dan PAS, mereka lebih suka bermuafakat, memang rata-rata kalau pergi ke akar umbi, saya rasa pimpinan atas pun tahu, mereka minta supaya MN dihidupkan kembali,” katanya.
Bagaimanapun, Zahid yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan persekutuan selepas pilihan raya umum lalu, secara konsisten menolak cadangan untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional dengan menuduh PAS tidak ikhlas dalam kerjasama tersebut.

Akmal: MCA perlu renung dua kerusinya di kawasan apa

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 3, 2025 8:00 AM
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mengingatkan MCA bahawa MCA mempunyai wakil rakyat di parlimen kerana sokongan orang Melayu.

Ini selepas seorang naib presiden MCA menasihatkan Akmal untuk merenung kenapa orang bukan Melayu mempunyai persepsi negatif terhadapnya.

"Cuba renung juga, dua kerusi yang kamu menang tu di kawasan apa... Takut-takut kamu terlupa dan saya ingatkan," katanya dalam catatan Facebook malam tadi.

Ayer Hitam dan Tanjong Piai yang dipegang MCA adalah kawasan pengundi dengan komposisi campuran tetapi dengan demografi pengundi Melayu lebih tinggi daripada 50 peratus.

Di Ayer Hitam - kerusi Presiden MCA Wee Ka Siong - kira-kira 56 peratus pengundi semasa pilihan raya umum lalu dilaporkan adalah Melayu.

Perbalahan terbaru Akmal dengan MCA berlaku selepas catatan Facebook yang ditulis dalam bahasa Cina oleh Timbalan Ketua Publisiti MCA Johor Law Yiak Kwang, yang mengkritik Akmal dalam bahasa Cina.

Salah satu catatan itu diterjemahkan sebagai merujuk kepada Akmal sebagai "Melayu gila".

Law, bagaimanapun, menjelaskan bahawa "癫马" adalah frasa biasa di media sosial yang bermaksud - "Akmal yang sentiasa bertindak tidak rasional".

Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng kemudian berkata Akmal mendapat julukan itu kerana dia sentiasa menyakiti perasaan orang bukan Melayu.

Mengulas dakwaan Tan, ketua Pemuda Umno itu berkata tindakannya bukan bertujuan untuk mencari pengaruh.

“Kami pertahankan agama dan bangsa kami bukan sebab nak orang suka kami, tetapi atas sebab tanggungjawab kami untuk menjaga kesucian agama dan bangsa kami.

"Kamu sentuh dan perlekehkannya,kami akan lawan kamu habis-habisan tidak kira kamu dari parti apa," katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-