Sunday, March 4, 2018

MCA kecam penyebaran gambar Liow, Nazri pegang tangan


Pertengakaran antara MCA dan Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz kelihatan begitu parah apabila gambar presiden MCA dan Nazri berpegang tangan dilarang disebarkan.

MCA melalui kenyataan di Facebook malam ini membidas penyebaran gambar Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Nazri berpegang tangan memukul gendang bersama.

MCA berkata gambar berkenaan bertujuan menjejaskan imej Liow memandangkan hubungan Nazri dan MCA ketika ini.

Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa gambar berkenaan diambil pada Ogos tahun lalu.

"Pengguna laman maya dengan motif tersembunyi yang menyebarkan gambar berkenaan ketika Nazri menyebabkan kemaraham masyarakat Cina bertujuan memberi gambaran salah berhubung hubungan Nazri dan Liow.

"Ia bertujuan untuk memberi tanggapan salah kepada masyarakat Cina bahawa Liow membelakangi mereka," kata kenyataan itu.

Pergeseran antara MCA dan Nazri terjadi setelah Nazri membuat kenyataan mengecam Tan Sri Robert Kuok baru-baru ini.

Nazri sebelum ini menggelar tokoh perniagaan itu sebagai "pondan" dan mencabarnya melepaskan kewarganegaraan selepas penulis blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin mendakwa Kuok mendanai DAP.

Kuok menafikan tuduhan itu dan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Raja Petra.

Nazri berterima kasih kepada Kuok degan penjelasan itu, namun beliau bertegas untuk tidak memohon maaf berhubung kenyataannya terhadap Kuok.

MCA bagaimanapun mendesak Nazri memohon maaf yang kemudian menyebabkan Nazri membuat kenyataan yang mengecam parti itu.

[Baca berita penuh]

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/414358#imgl2hICbGzrz5c5.99

'Kami sudah puas pujuk Pas', kata Nurul Izzah

By MT Webmaster
On Mar 4, 2018


(Malaysian Gazette) – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, gabungan Pakatan Harapan (PH) sudah puas memujuk Pas agar bersama-sama menyertai PH bagi menakluki Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kelak.

Nurul Izzah yang turun ke Perak baru-baru ini berkata, partinya bersama-sama DAP, DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sudah menjalankan pelbagai aktiviti termasuk menghantar PPBM untuk bekerjasama dengan Pas, namun semua langkah itu menemui jalan buntu.

“Kita sudah puas pujuk Pas (untuk menyertai PH dalam mendepani BN),” katanya memetik laporan media pro pembangkang semalam.

Nurul berkata demikan menjawab persoalan perwakilan PH Perak dalam Taklimat Penerangan dan Komunikasi PH Perak di SSL Trader Hotel, Kamunting Perak.

PH dianggotai PKR, DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebelum ini membentuk gabungan baru pembangkang tanpa Pas dalam mendepani Barisan Nasional (BN) dalam PRU-14 kelak.

Manakala Pas bertindak membentuk gabungan sendiri yang dinamakan Gagasan Sejahtera.

Sebelum itu timbul persoalan di kalangan ahli pembangkang perihal Pas yang tidak bersama dalam PH untuk PRU14 yang akan datang ini.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata jentera PH perlu bekerja lebih kuat dalam menarik pengundi Pas pada PRU-14 kelak.

“Orang Pas tidak semestinya akan undi Pas pada PRU-14 ini!

“Calon-calon kita, jentera kita buat baik kepada mereka. Beri penerangan kepada mereka, mereka akan undi PH pada PRU14 nanti,” tambah Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

PAS tak layan fitnah

HAZELEN LIANA KAMARUDIN
4 MAC 2018

Idris (kanan) menyampaikan bendera Pas kepada pengarah pilihanraya dun semasa ceramah Bangkit Pertahan Kelantan di Kampung Jias.

PASIR MAS -  Pas tidak melayan tomahan dan fitnah yang dilemparkan pihak tertentu berhubung dakwaan rakaman audio suara didakwa milik Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menerima sumbangan Umno.

Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, daripada memikirkan perkara itu lebih baik Pas memberikan tumpuan kepada agenda membela rakyat serta persiapan menjelang PRU14.

"Kepentingan memperjuangkan hal-hal berkaitan dengan rakyat lebih penting daripada soal itu.

"Lagipun, rakaman itu hanya melibatkan suara sahaja, tidak mempunyai gambar dan kurang jelas percakapannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ceramah Bangkit Pertahan Kelantan di Kampung Jias di sini malam tadi.

Ceramah itu turut disertai oleh Adun Pengkalan Pasir, Datuk Hanifa Ahmad dan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari.

Menurutnya, beliau mencabar pihak berkenaan mengemukakan bukti selepas tuan punya badan menafikan dakwaan tersebut beberapa hari lalu.

Katanya, dalam Islam orang yang membuat tuduhan itu perlu mengemukakan bukti bahawa suara tersebut adalah milik Nik Abduh.

"Bukannya, orang yang kena tuduh (Nik Abduh) mengemukakan bukti," katanya.

Sinar Harian 2 Mac lalu melaporkan Nik Mohammad Abduh menyangkal percakapan beliau dalam satu audio mengenai pengakuannya bahawa Pas pernah menerima sumbangan Umno.

Sebelum ini tular di media sosial rakaman audio berdurasi lebih dua minit itu kononnya adalah untuk merungkai jawapan kepada persoalan yang diajukan Zaharuddin Mohammad iaitu menantu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ini berikutan tindak tanduk Nik Abduh yang akhir-akhir ini dilihat lebih mesra kepada Umno.

Rakaman itu turut memperlihatkan Zaharuddin mempersoalkan sama ada kepimpinan parti itu pernah menerima apa-apa bayaran dari Umno, selain jawapan balas Nik Abduh.

Muhyiddin: Umno Johor retak menanti belah

Mohamad Fadli

PETALING JAYA:   PPBM yakin Johor yang dulunya kubu kuat Umno kini bukan lagi dan mereka hanya menunggu masa untuk melakukan perubahan.

Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun penyokong Umno tidak menyatakan sokongan secara langsung pada Pakatan Harapan (PH) tidak bermakna mereka akan terus setia pada parti itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata masih ramai penyokong Umno khuatir untuk melakukan perubahan atau menyatakan sokongan secara terbuka kerana takut kehilangan jawatan dan bantuan yang diterima selama ini.

“Jika menyatakan sokongan pada pembangkang ada yang berfikir mereka akan kehilangan jawatan yang mereka dapat, tidak mendapat bantuan subsidi seperti baja, bantuan, elaun dan banyak perkara lagi.

“Tetapi berdasarkan gerak kerja kita di kawasan akar umbi, walaupun mereka dalam Umno tetapi mereka tidak menolak untuk menunggu masa yang sesuai untuk melakukan perubahan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata gerak kerja PPBM Johor mendapati sokongan kepada parti selain Umno seperti di penempatan Felda telah berubah dan semakin diterima baik.

Pemerhatian itu juga disokong oleh badan pemikir seperti ISEAS-Institut Yusof Ishak, Ideas dan Merdeka Centre, menunjukkan kebanyakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) semakin menurun.

Sebaliknya kajian mendapati sokongan kepada PH semakin meningkat berbanding ketika gabungan pembangkang itu ditubuhkan kira-kira setahun lalu.

“Jadi saya rasa istilah Johor merupakan kubu kuat Umno sudah tidak berlaku lagi,” katanya.

Penerimaan warga Felda positif

Ahli Parlimen Pagoh berkata sesuatu yang mengejutkan apabila warga Felda semakin positif menerima PH, berdasarkan kunjungan ke kawasan-kawasan Felda.

“Kami terkejut apabila mereka sebenarnya mengalu-alukan kehadiran kami. Ini merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini berikutan Johor telah dikenali sebagai kubu kuat BN. Umno dilahirkan di Johor jadi sentimen itu agak kuat,” katanya.

Beliau berkata jika dahulu pembangkang tidak dialu-alukan sama sekali tetapi kini tidak lagi.

“Kami juga boleh duduk semeja makan bersama imam di masjid. Mereka rasa susah disebabkan dasar kerajaan yang lemah dan rasa terbeban dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi disebabkan GST, menyebabkan mereka berbelanja lebih daripada kemampuan,” katanya.

“Pada dasarnya mereka mengalu-alukan kami,” tambahnya.

Menurut Muhyiddin, penerimaan itu secara mudah dilihat apabila bendera-bendera PPBM dan PH yang dipasang di kawasan Felda 2 atau 3 hari sebelum program diadakan tidak diganggu atau dialihkan.

“Di ceramah-ceramah kami ramai peneroka yang hadir. Walaupun jumlah tidak besar tetapi kami yakin mereka datang sebab sokong dan mahu berinteraksi dengan kami. Ini satu perkembangan yang positif,” katanya.

Kerusi penumbang dikenal pasti

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata PPBM telah mengenal pasti kerusi Parlimen dan DUN yang boleh menumbangkan Umno pada PRU14.

“Terdapat 56 kerusi DUN di Johor dan sekarang PH mempunyai 16 kerusi DUN. Kami memerlukan 13 kerusi DUN bagi membentuk kerajaan negeri iaitu 29 kerusi DUN.

“Kami telah kenalpasti lebih daripada 13 kerusi DUN dan kita lihat sokongan daripada pengundi sangat mengalakkan di kerusi yang jadi sasaran itu.

“Kami berharap dapat memenangi 29 kerusi ini bersama rakan-rakan kami dalam PH iaitu DAP, PKR dan Amanah,” katanya.

Muhyiddin menambah bagi kerusi Parlimen, PPBM juga telah mengenalpasti 6 kerusi lagi yang diyakini dapat dimenangi pada PRU14.

Beliau berkata walaupun PPBM parti baru tetapi dengan sokongan dan bantuan rakan PH yang lain akan memudahkan pergerakan partinya untuk menumbangkan Umno.

“Sekarang kami mempunyai 6 kerusi bawah PH dan kami telah kenalpasti 6 lagi lagi kerusi Parlimen yang kini dimenangi Umno pada PRU13,” katanya.

Muhyiddin bagaimanapun enggan mendedahkan 6 kerusi Parlimen yang disasarkan pada PRU14.

PH memutuskan PPBM akan bertanding di 52 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, PKR (51 kerusi), DAP (35 kerusi) dan Amanah (27 kerusi).

PH memuktamadkan rundingan pembahagian 56 kerusi DUN di Johor dengan PPBM diperuntukkan 18 kerusi, DAP diberi 14 kerusi, PKR serta Amanah masing-masing mendapat 12 kerusi.

Pada PRU13 BN memenangi 38 daripada 56 kerusi DUN, DAP (13 kerusi), PKR (1 kerusi) dan PAS (4 kerusi).

Daripada jumlah tersebut 6 kerusi dimenangi BN dengan majoriti bawah 2,000 undi.

Kerusi tersebut ialah Segamat (Datuk Seri Subramaniam KV Sathasivam – 1,217),
 Muar (Datuk Razali Ibrahim – 1,646), 
Tebrau (Datuk Khoo Soo Seang – 1,767),
 Ledang (Datuk Hamim Samuri – 1,967), 
Pasir Gudang (Normala Abdul Samad – 935) dan 
Labis (Datuk Chua Tee Yong – 353).

Laporan: Anak kapal 'Equanimity' disoal atas kesalahan imigresen

FMT Reporters
March 3, 2018

Peguam kapten berkata kapal mewah yang dikaitkan dengan 1MDB itu berlayar ke beberapa kawasan di kepulauan Indonesian untuk menghiburkan tetamu.

Gambar AFP.

PETALING JAYA: Polis Indonesia sedang melihat sama ada anak kapal “Equanimity” yang disita awal minggu di Bali melanggar prosedur imigresen untuk memasuki perairan Indonesia, lapor Jakarta Post.

Kapal mewah itu disita semasa berlabuh di Teluk Benoa di pulau pelancongan terkenal itu.

Menurut timbalan pengarah jenayah kewangan di unit penyiasat Polis Indonesia, Daniel Tahi Monang Silitonga, polis dalam proses memadankan data yang diperoleh daripada kapal itu dengan data yang diberi oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

“Penyiasat turut menyoal pegawai-pegawai dari pejabat imigresen dan penguasa pelabuhan Benoa,” kata polis kepada akhbar itu.

Polis juga sedang menyiasat tujuan kapal itu berkunjung ke Bali.

Reuters pada Khamis melaporan polis menyita kapal itu selepas menerima surat daripada FBI pada 21 Februari memohon bantuan menguatkuasakan satu perintah mahkamah.

Menurut polis, kapal memasuki Teluk Benoa pada 20 November tahun lepas tetapi pergerakannya selepas tiba tidak diketahui.

Sementara itu, portal berita Indonesia tribunnews.com melaporkan polis sebagai berkata kapten kapal itu, seorang warga Afrika Selatan, secara sengaja menutup sistem pengenalan automatik (AIS) semasa melalui perairan Indonesia untuk mengelak daripada FBI.

Peguam kepada Kapten Rolf Sieboldt-Berry, Rando Purba, bagaimanapun menafikan sebarang salah laku di pihak anak kapal.

“Kapten menutup AIS untuk mengelak potensi ancaman di Laut Andaman sebelum memasuki Phuket di Thailand. Dari Phuket, kapal itu meneruskan perjalanan ke Bali apabila AIS dihidupkan.

“Anak kapal menerima amaran daripada pihak berkuasa tempatan dalam perjalanan dari Colombo (Sri Lanka) ke Phukat bahawa mereka berada di zon pelanunan. Mereka memberi amaran kepada semua kapal yang melalui Laut Andaman, bukan kapal ini sahaja,” kata Purba kepada Jakarta Post.

Purba akui “Equanimity” tiba di Indonesia pada 20 November tahun lepas dan berlayar ke beberapa kawasan di kepulauan itu untuk menghiburkan tetamu.

Kapal yang berdaftar di Kepulauan Cayman itu dilaporkan berlayar ke 5 kawasan pelancongan di Indonesia, termasuk Raja Ampat di Papua Barat dan Kepulauan Maluku.

“Tetamu menetap di hotel di mana kapal berlabuh. Tidak ada tetamu di dalam kapal semasa serbuan polis,” kata Purba lapor Jakarta Post.

Menurut akhbar itu, kira-kira 29 anak kapal pelbagai kewarganegaraan dalam tahanan polis di dalam kapal itu.

Pada Ogos 2017, DOJ meminta saman sivil untuk merampas aset bernilai lebih AS$1.7 bilion yang didakwa dibeli dengan wang yang dicuri dari 1DMB ditangguhkan kerana sedang menjalankan satu siasatan jenayah berkaitan.

Antara aset yang dikehendaki ialah kapal mewah bernilai AS$250 juta yang dibeli Jho Low, yang dinamakan sebagai watak utama dalam tindakan undang-undang AS itu.

DOJ berkata Jho Low menggunakan hasil kutipan daripada 1MDB untuk membeli “Equanimity”, sebuah kapal mewah sepanjang 91m yang didaftarkan di Kepulauan Cayman.

1MDB sedang disiasat di sekurang-kurangnya 6 negara, termasuk AS, Switzerland dan Singapura.

Sebanyak AS$4.5 bilion (RM17.6 bilion) diseleweng daripada 1MDB oleh pegawai berpangkat tinggi dana itu dan sekutu mereka, menurut saman sivil difailkan DoJ pada 2016 dan 2017.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menubuhkan 1MDB pada 2009 dan sebelum ini berkhidmat sebagai pengerusi lembaga penasihat. Beliau dan dana itu menafikan sebarang salah laku.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-