Thursday, July 26, 2018

Tarian gelek ketika kutipan Tabung Harapan, apa kata Zawawi, soal Lokman

FMT Reporters | July 26, 2018

Calon BN itu berkata jika calon PH terbabit tidak mampu menyanggah keputusan dibuat pimpinan tertinggi, lebih baik pengundi DUN Sungai Kandis sokong BN.

Lokman Noor Adam mempertikai keputusan PH memanggil tarian gelek LGBT untuk mengutip derma bagi THM.

PETALING JAYA: Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam persoal apakah pendirian Mohd Zawawi Ahmad Mughni berhubung isu tarian gelek sewaktu kutipan derma Tabung Harapan Malaysia (THM).

Lokman berkata, jika calon Pakatan Harapan (PH) itu tidak mampu menyanggah keputusan dibuat pimpinan tertinggi, adalah lebih baik jika pengundi DUN Sungai Kandis memberikan undi kepada BN.

“Agaknya apa pendirian ustaz terhadap keputusan PH memanggil tarian gelek LGBT untuk mengutip derma bagi Tabung Harapan ya?

“Mampukah seorang Adun PH menyanggah perdana menteri atau timbalannya? Jika tidak, serahkan tugas itu kepada pembangkang dengan mengundi BN pada 4 Ogos depan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam rakaman video berdurasi 15 saat itu, memaparkan beberapa wanita menari dengan mendedahkan aurat sewaktu majlis kutipan derma THM pada 25 Julai lalu.

Sejak ditubuhkan, THM sehingga ke hari ini sudah mengumpul sumbangan sebanyak RM162 juta setakat jam 3 petang tadi.

Terdahulu, Lokman berjanji akan mempertahankan Maahad Tahfiz Al Fateh, yang mana Zawawi merupakan pengetua di sekolah agama berkenaan.

“Jika mahu selamatkan pusat tahfiz, undilah saya. Saya akan pertahankan hingga darah terakhir saya. Ini janji saya,” katanya.

Mengulas lanjut, Lokman meminta pengundi yang tidak berpuas hati dengan PH selepas 70 hari memerintah negara agar menyuarakan bantahan mereka melaluinya.

“Pada 4 Ogos ini, bukan hendak pilih saya atau Zawawi tapi pungutan suara. Kalau anda berpuas hati undilah PKR. Tapi sekiranya anda merasakan PH perlu penuhi janji, undilah saya,” katanya.

BN Wariskan Ekonomi Kukuh Kepada PH, Diperakui Bank Dunia & WEF – Najib

SUARA TV
Suara Tanpa Sempadan

Abdul Mursyid Zainuddin
July 26, 2018


KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) mewariskan negara yang mempunyai ekonomi kukuh dan sihat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, ekonomi yang kukuh itu dicapai melalui dasar transformasi dan pentadbiran ekonomi komprehensif yang turut diiktiraf badan dunia.

“Perkara itu diakui oleh Bank Dunia dan Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang menyatakan Malaysia adalah negara ke-23 paling kompetitif di dunia.

“Malah, dalam beberapa tahun akan datang, Malaysia boleh menjadi ekonomi terkehadapan,” katanya pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Najib (BN-UMNO Pekan) berkata, dasar ekonomi yang diperkenalkan BN juga berjaya menyelamatkan Malaysia daripada kesan langsung krisis ekonomi dunia.

Menerusi rancangan komprehensif dan Dasar Tranformasi Negara diperkenalkan pentadbirannya, beliau berkata, kerajaan tidak perlu mewujudkan dana modal, dana harta atau Tabung Harapan Malaysia untuk menyelamatkan ekonomi negara.

“Justeru, saya menawarkan pengalaman dan pengetahuan yang ada untuk membantu kerajaan baharu meningkatkan ekonomi negara,” katanya.

Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap nasib golongan peneroka FELDA, RISDA dan FELCRA yang seakan dipinggirkan kerajaan.


Ketika pentadbiran BN, katanya, nasib peneroka dan harga minyak sawit menjadi keutamaan kerajaan.

“Kini nasib peneroka seakan tidak diendah, malah Hari Peneroka tidak disambut, bayaran lewat dan janji tidak ditunaikan.

“Lebih malang, bonus raya rendah dari sebelum ini dan apakah bayaran kepada peneroka akan menurun pada masa akan datang?

“Manifesto PH janji batalkan hutang peneroka dalam 100 hari, apa akan jadi pada janji ini?” katanya.

Najib juga membangkitkan mengenai penurunan harga minyak sawit dan getah serta peralihan pengimport ke negara jiran.

“Sebelum 9 Mei, harga minyak sawit tinggi kerana saya berterusan mempromosikannya ke pasaran dunia termasuk China dan kini harganya menyusut kepada RM2,100 setiap tan iaitu paling rendah dalam tempoh tiga tahun.

“Harga getah juga menyusut, manakala kehidupan pekebun kecil terkesan. Eksport minyak sawit dan getah dari negara ini menyusut manakala Indonesia semakin meningkat,” katanya.

Beliau berharap kerajaan tidak menjadikan peneroka sebagai kelompok masyarakat kelas kedua atau ketiga dan wajar mengumumkan langkah untuk FELDA serta pendekatan mengatasi masalah harga komoditi yang semakin rendah,” katanya.

Turut dibangkitkan dasar pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang disifatkan Najib sebagai dasar kembali kepada zaman dulu.

“Dasar GST berjaya menstabilkan harga dan apabila kita kembalikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) September ini, akan menyebabkan satu pusingan kenaikan harga berlaku, ” katanya.

Najib juga membangkitkan persoalan sama ada Malaysia baharu dibawa PH akan kembali kepada dasar dulu.

“PKR sebelum ini memperjuangkan reformasi menolak dasar memberi gaji lebih rendah kepada kakitangan awam,menambah kenderaan di jalan dan memberi lebih banyak subsidi,” katanya. 

BH

'Suka atau tidak, saya perlu percaya Anwar'


Sebelum PRU ke-14, dua individu ini melakukan sesuatu yang sukar dibayangkan - berdamai dan membentuk kerjasama.

Mengikut perancangan, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan kepimpinan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa dua tahun menjadi perdana menteri.

Tempoh masa itu bagaimanapun sering berubah-ubah sejak itu.

Anwar, 70, berulangkali menyebut beliau tidak tergesa-gesa. Kali terakhir beliau dikatakan tidak sabar untuk menggantikan Mahathir, bekas timbalan perdana menteri itu berakhir di penjara, dengan mata lebam.

Timbul juga spekulasi bahawa masa depan Anwar sebagai perdana menteri masih tidak menentu dan ada kumpulan dalam lingkaran Mahathir yang tidak mempercayainya.

Dan Mahathir sendiri nampaknya ada masalah kepercayaan terhadap bekas musuhnya yang kini kembali menjadi bakal penggantinya.

"Dalam wawancara bersama CNN, pemimpin berusia 93 tahun itu berkata: "Saya perlu percayakannya - sama ada saya suka atau tidak. saya tidak boleh berada di sini pada setiap masa."

Ditanya berhubung tempoh masa untuk Anwar menggantikannya, beliau menjawab: "Jika syarat untuk kami (beliau dan Anwar) berkerja bersama adalah saya menjadi perdana menteri untuk dua atau tiga tahun, bagi saya itu tidak penting."

"Saya akan patuh kepada kehendak rakyat," katanya lagi.

Namun Mahathir juga berkata jika rakyat mahu beliau berkhidmat lebih daripada tempoh yang dipersetujui Pakatan Harapan, beliau akan berbuat demikian.

Sementara itu, pengerusi HARAPAN itu mendakwa beliau mewarisi kerajaan yang penuh dengan rasuah dan pegawai yang tidak boleh dipercayai.

"Kita sudah lihat kerosakan dari luar, tetapi tidak pernah menjangka ia begitu teruk. Kebanyakan peringkat tertinggi dalam kerajaan korup," katanya.

Mahathir juga berkata beliau perlu berkerja dengan mereka yang disyakinya.

"Ia kerja sukar, jika anda tidak berkerja dengan orang yang anda percaya, anda tidak tahu tahu sama ada apa yang anda mahu mereka lakukan akan terlaksana atau tidak," katanya lagi.

Menteri: Daging bukan barang kawalan, dijangka naik menjelang Aidiladha

Nur Hasliza Mohd Salleh | July 26, 2018

Menteri KPDNHEP Saifuddin Nasution Ismail mencadangkan rakyat menggunakan haknya sebagai pengguna dan membeli pada harga yang munasabah dan tidak membebankan.
Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan tidak mampu mengawal harga daging kerana negara tak berupaya mengeluarkan bekalan makanan mencukupi. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kurang sebulan untuk umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha, harga bekalan daging dijangka naik ekoran item tersebut bukan dalam kategori barangan kawalan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata harga daging bergantung kepada penawaran dan tawaran.

“Oleh sebab itu, jangkaan harga bekalan itu akan naik menjelang hari raya korban disebabkan permintaan yang tinggi.

“Kita (kerajaan) hanya boleh berikan cadangkan agar rakyat menggunakan haknya sebagai pengguna dan membuat pembelian pada harga yang munasabah dan tidak membebankan.

“Manakala peniaga pula, kementerian suka menasihati agar berusaha mengamalkan etika peniaga yang baik dan selebihnya itu berasaskan kepada amalan pasaran ekonomi terbuka dan ekonomi bebas,” katanya semasa sidang media Ekspo Peruncitan dan Francais Tempatan dan Antarabangsa 2018 hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan tidak mampu mengawal harga daging kerana negara tak berupaya mengeluarkan bekalan makanan yang mencukupi.

“Dahulu pernah ada usaha ternakan lembu untuk bekalan daging tempatan seperti National Feedlot Corporation (NFC) tetapi gagal.

“Atas sebab itu kita bergantung kepada daging import berbanding daging eksport sebagai bekalan kepada rakyat,” katanya.

Beliau juga berharap negara dapat mengusahakan keperluan bekalan daging yang mencukupi untuk memenuhi permintaan rakyat.

Lembaga pengarah Khazanah tawar diri letak jawatan

Diterbitkan 26 Jul 2018, 9:38 pagi


Khazanah Nasional Berhad mengesahkan bahawa ahli lembaga pengarahnya menawarkan diri untuk meletakkan jawatan mereka.

"Ini dilakukan untuk memudahkan peralihan yang lancar dan teratur di bawah kerajaan baru," kata Khazanah dalam satu kenyataan hari ini.

"Lembaga pengarah sekarang telah diberi penghormatan untuk berkhidmat, dan merasakan sesuai untuk menawarkan kepada kerajaan baru budi bicara dan mengesahkan hak prerogatif untuk membentuk lembaga pengarah baru," tambahnya.

Syarikat induk cabang pelaburan kerajaan itu berkata ia akan mengeluarkan kenyataan lanjut sebaik sahaja mempunyai butiran mengenai pembentukan semula lembaga pengarahnya.

Pagi ini Strait Times melaporkan bahawa lembaga pengarah Khazanah telah menandatangani dan menghantar surat peletakan jawatan yang tidak bertarikh ke Putrajaya.

Mereka yang berbuat demikian ialah Pengarah Urusan Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Nor Md Yusof.

Ia turut disertai ahli lembaga pengarah lain iaitu Datuk Seri Nazir Razak, Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Tan Sri Andrew Sheng Len Tao, Tan Sri Raja Arshad Raja Uda, Datuk Mohammed Azlan Hashim, Datuk Nirmala Menon dan Yeo Kar Peng.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Khazanah telah menyimpang daripada objektif asalnya untuk membantu bumiputera, dengan memperkayakan dirinya sendiri.

Beliau berkata Putrajaya akan mengkaji semula syarikat-syarikat di mana Khazanah mempunyai kepentingan di dalamnya dan melakukan penyusunan semula agar syarikat itu kembali kepada peranannya yang asal.

Dr Mahathir bukan lagi ultra Melayu, tetapi ultra DAP, kata Lokman Adam

Adam Abu Bakar | July 26, 2018

Dr Mahathir melalui pemilihan menteri-menteri kabinetnya menempatkan pemimpin DAP untuk memegang jawatan terpenting dalam pentadbiran negara.
Lokman berkata, sejak 70 hari mentadbir Putrajaya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah mengabaikan beberapa prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan.

SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad yang dahulunya terkenal dengan jolokan sebagai pembela kepentingan bangsa Melayu kini sudah beralih arah, iaitu menjadi membela parti DAP, kata Datuk Lokman Noor Adam.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dalam pilihan raya kecil dijadualkan 4 Ogos depan berkata, sejak 70 hari mentadbir Putrajaya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah mengabaikan beberapa prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Apa yang saya nampak, dia (Dr Mahathir) bukan lagi ultra Melayu, tetapi hari ini sudah menjadi ultra DAP, sebabnya semua hak istimewa orang Melayu sudah terhakis dan digantikan dengan hak istimewa orang DAP,” katanya dalam wawancara bersama FMT.

Menjelaskan dakwaannya, Lokman berkata ini dapat dilihat melalui sikap berdiam diri Dr Mahathir apabila bekas orang kanannya Datuk A Kadir Jasin mempersoalkan hak istimewa Yang Di Pertuan Agong.

“Selama 61 tahun, pernah ke di Malaysia orang seperti Kadir Jasin, yang faham mengenai bangsa Melayu, Islam, Melayu dan kedudukan Raja-raja Melayu berani melakukan fitnah terhadap Yang Dipertuan Agong.

“Kalau dahulu orang yang menghina Raja-raja Melayu, orang tidak tunggu polis, tindakan telah diambil, tetapi dalam keadaan hari ini walaupun sudah buat laporan polis, masih tiada tindakan diambil,” katanya.

Sebaliknya, kata beliau, Dr Mahathir melalui pemilihan menteri kabinet melantik dan menempatkan beberapa pemimpin DAP bagi memegang jawatan terpenting dalam pentadbiran negara.

“Dia (Dr Mahathir) lantik Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan dan pernah ke dalam sejarah kita berikan jawatan menteri komunikasi, iaitu jawatan yang mewakili lidah rasmi kepada kerajaan kepada pemimpin DAP.

“Kalau musuh serang negara, tempat pertama yang akan diserang adalah melalui stesen televisyen, sekarang ini stesen televisyen sudah ditawan DAP,” katanya.

“Begitu juga dengan jawatan timbalan menteri pertahanan, yang diberikan kepada pemimpin DAP. Hari ini jika timbalan menteri dari DAP ini buka ‘server’ dan hantar mesej kepada Singapura, negara itu akan tahu keseluruhan hal ehwal pertahanan negara,” kata beliau lagi.

Dr Mahathir sebelum ini melantik Gobind Singh Deo bagi mengetuai Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan melantik pakar strategi DAP, Liew Chin Tong sebagai timbalan menteri pertahanan.

Bagaimanapun, Lokman menyindir keputusan Dr Mahathir yang disifatkannya berjaya mentadbir negara untuk kali kedua walaupun parti beliau, PPBM, mempunyai bilangan kerusi sedikit di Parlimen.

“Ini kejayaan Dr Mahathir untuk pujuk DAP supaya tidak ambil banyak kedudukan dalam kabinet, tetapi meletakkan mereka di posisi penting. Dia berjaya pujuk DAP jangan ambil banyak sangat jawatan dalam Kabinet, nanti orang Melayu akan marah,” katanya.

Lokman juga berkata, berikutan perkembangan itu pengundi di DUN Sungai Kandis perlu memilih beliau bagi mewakili suara di kawasan berkenaan dan secara amnya mewakili suara rakyat Malaysia.

Baginya, adalah sukar untuk calon dari Pakatan Harapan (PH), Mohd Zawawi Ahmad Mughni mempertahankan kedudukan Melayu, Islam dan kedudukan Raja-raja Melayu walaupun mempunyai latar belakang pendidikan agama.

“Zawawi berada di dalam sistem pentadbiran, bila dia berada dalam sistem sukar memperbetulkan sistem itu. Tetapi saya ini berada di luar sistem, maknanya kalau kerajaan tidak betul, saya akan beri teguran.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan penyandang kerusi berkenaan Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Berdasarkan statistik pilihan raya lepas, daripada 50,800 pengundi secara keseluruhan, 72% daripadanya adalah pengundi Melayu, Cina (12%), India (16%).

DUN Sungai Kandis dahulunya dikenali sebagai DUN Seri Andalas dan berada dalam kawasan Parlimen Kota Raja yang dimenangi Presiden Amanah Mohamad Sabu dengan majoriti besar sebanyak 71,142 undi.

Pada pilihan raya 9 Mei lepas, Mat Shuhaimi Shafiei menang dalam pertandingan 4 penjuru dengan majoriti 12,480 undi.

Mat Shuhaimi memperolehi sebanyak 23,998 undi, manakala calon BN, Kamaruzzaman Johari (11,518), calon PAS Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan Hanafiah Husin (76).

Kerusi DUN berkenaan dimenangi PKR 3 penggal berturut-turut sejak pilihan raya Uumum ke-12 pada 2008. Sejak 2 penggal lalu, kerusi berkenaan dimenangi Xavier Jeyakumar.

Umno hilang nafsu kalahkan PAS, kata Nik Abduh

FMT Reporters | July 26, 2018
Nik Abduh berkata tiada kenyataan yang zahir dan tindakan yang nyata oleh pemimpin utama Umno yang menunjukkan ia mahu mengalahkan PAS.
 
Nik Abduh berkata terdapat petunjuk baru menunjukkan Umno sedang berusaha memperbaiki hubungannya dengan PAS, dan PAS amat mengalu-alukannya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz hari ini melihat Umno telah hilang nafsu untuk mengalahkan PAS.

Beliau berkata, tiada kenyataan yang zahir dan tindakan yang nyata oleh pemimpin utama parti itu yang menunjukkan perkara sedemikian (mengalahkan PAS).

“Ertinya Umno bukan lagi ancaman yang utama kepada PAS hari ini. Malah, beberapa petunjuk baru menunjukkan Umno sedang berusaha memperbaiki hubungannya dengan PAS. PAS amat mengalukannya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya semalam.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan dilaporkan berkata Pakatan Harapan (PH) perlu dikalahkan dalam pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini kerana ia masih gagal menunaikan janji pilihan rayanya, terutama yang terkandung dalam janji 100 hari.

Tiga calon bakal bertanding dalam PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos ini membabitkan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni serta calon Bebas, K Murthy.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bachok itu turut berkata ada pihak yang berhujah menghentam parti itu dengan menyatakan PAS berusaha menghidupkan Umno dan ia bersandiwara.

Nik Abduh berkata, parti Islam itu menghidupkan Umno dengan memberi kesedaran kepadanya dengan Islam kerana Umno adalah abang PAS yang telah lama lupa diri akibat terlalu lama di anjung kuasa.

“Kesedaran Umno adalah kekuatan kepada PAS untuk memastikan Islam lebih berdaulat di bumi ini. Islam memerlukan umatnya sendiri untuk bangkit mempertahankan agamanya.

“Jika anda bertanya, tidakkah sudah jelas difahami bahawa PAS mendorong ahlinya mengundi Umno? Saya jawab, Ya, di PRK Sungai Kandis. Itulah yang saya fahami,” katanya.

Beliau berkata, arahan daripada parti Islam itu adalah menolak kerajaan PH dan sikap serta pendirian parti Islam itu terhadap PH adalah serupa, sama ada sebelum atau selepas pilihan raya.

“Bagi PAS, PH bukanlah pilihan terbaik untuk menggantikan BN. Ancaman terhadap kedaulatan agama Islam, keadaan ekonomi dan sektor lain yang tidak stabil selepas PRU14 semakin membuktikan benarnya pendirian PAS,” tegasnya.

Menurutnya, kegagalan awal kerajaan PH untuk mengotakan janji awal manifestonya, selain beberapa kenyataan pemimpin utamanya yang berbelit-belia bagi menjustifikasikan kegagalan mereka mengatakan janji manifesto itu.

“Kegagalan mengawal prestasi ekonomi negara yang semakin perlahan, selain tindakan dan kenyataan demi kenyataan oleh para pemimpinnya yang mengelirukan dan boleh menggugat kerukunan perlembagaan dan agama Islam adalah menjadi hujah untuk rakyat menolak kerajaan PH hari ini,” katanya.

Dr M jumpa presiden Xi Jinping bulan depan

Norman Goh | Diterbitkan 26 Jul 2018, 8:49 pagi


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengetuai delegasi ke China bulan depan untuk bertemu Presiden Xi Jinping, kata sumber-sumber kerajaan hari ini.

Ia akan menjadi lawatan pertama perdana menteri ke Beijing sejak memegang jawatan itu buat kali kedua dalam kerjayanya.

Lawatan kerja rasmi selama lima hari itu akan diadakan pada pertengahan bulan Ogos, kata sumber tanpa menyatakan tarikh yang tepat.

Mahathir dijangka disertai sekurang-kurangnya tiga menteri kabinet termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah.

"Perdana Menteri mempunyai jadual yang sangat ketat dari bulan Ogos dan seterusnya, bermula di Beijing. Di sana, Mahathir akan bertemu Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang.

"Beliau juga akan bertemu dengan pengerusi Geely, Li Shufu," kata sumber kepada Malaysiakini.

Geely kini memegang kepentingan sebanyak 49 peratus dalam Proton.

Daim buka laluan

Sementara itu, sumber lain mendedahkan lawatan oleh Tun Daim Zainuddin ke China merupakan satu kejayaan dalam "membuka jalan" untuk lawatan kerja Perdana Menteri.

"Daim berada di sana bagi lawatan dua hari untuk membuka pintu sebagai wakil pentadbiran Mahathir. Beliau adalah tokoh yang dihormati sebagai bekas menteri kewangan," kata sumber itu.

Malaysiakini difahamkan Azmin dan Lim mungkin ke China pada minggu pertama bulan Ogos menjelang lawatan perdana menteri untuk membincangkan beberapa projek mega Malaysia yang dikendalikan bersama firma Cina.

Bagaimanapun, salah seorang jurucakap menteri berkata perkara itu masih belum disahkan.

Sebelum China, Mahathir akan mengadakan lawatan ke Jepun sekali lagi dari 6 hingga 9 Ogos untuk menghadiri siri ceramah "Future Leaders" di Fukuoka. Perdana Menteri dijadualkan akan bertemu pemimpin perniagaan dan pelajar di sana.

Parlimen: Sejarah bukan subjek wajib lulus UEC

MyMetro
Mutakhir
Ahmad Suhael Adnan
ahmad.suhael@nstp.com.my

TIMBALAN Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching. FOTO Salhani Ibrahim

SYARAT lulus mata pelajaran Sejarah tidak akan dimasukkan dalam pengiktirafan Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC).

Sebaliknya Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, hanya kepujian dalam subjek Bahasa Melayu dijadikan syarat mengiktiraf sijil itu, selaras manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Manifesto PH adalah lulus Bahasa Melayu dengan kredit (Kepujian),” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau ditanya sama ada subjek Bahasa Melayu dan Sejarah akan diwajibkan dalam usaha kerajaan mengiktiraf UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki universiti awam (UA).

Manifesto PH dalam Buku Harapan menjelaskan UEC akan dinilai supaya setaraf dengan syarat am kelayakan memasuki UA, dengan syarat pemohon memiliki kepujian mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sebelum ini, kenyataan Teo yang mahu pengiktirafan UEC diselesaikan sebelum hujung tahun ini kerana isu itu tidak perlu dibawa ke Parlimen, mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak.

Kebanyakan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik membantah pengiktirafan itu kerana bertentangan dengan Dasar Pendidikan Negara, selain bercanggah dengan Akta Pendidikan 1996 kerana tidak membabitkan subjek Bahasa Melayu.

Berhubung kenyataannya mengenai pengiktirafan UEC tidak perlu melalui Parlimen, Teo berkata, sijil itu tidak perlu diluluskan di Dewan Rakyat kerana tiada pindaan akta.

Bagaimanapun, katanya, Ahli Parlimen bebas untuk membahaskannya di Dewan Rakyat dan pihaknya sedia menjawab persoalan yang dibangkitkan.

“Semua perkara boleh dibahaskan di Parlimen. Dasar boleh dibahaskan, tetapi kelulusan oleh Parlimen adalah perkara berbeza kerana hanya pindaan atau penggubalan akta perlu diluluskan Dewan Rakyat.

“Setakat ini, A Level, kursus Asasi juga kita tak perlu pinda undang-undang, tetapi semua isu boleh dibangkitkan dalam Parlimen untuk dibahas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 11:57 PM

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-