Thursday, March 21, 2024

PN mungkin penyelamat usaha k'jaan pinda perlembagaan

malaysiakini.com
Hariz Mohd
Diterbitkan: Mar 21, 2024 9:30 PM
Kerajaan mungkin mempunyai tidak dapat berharap sepenuhnya kepada sekutu yang ada untuk membantu mereka mendapatkan sokongan kepada pindaan undang-undang kewarganegaraan.

Hal itu kerana desakan untuk menolaknya datang dari dalam kalangan ahli parlimen PH sendiri ketika mereka merupakan sebahagian daripada kerajaan.

Sekiranya sebahagian daripada ahli parlimen kerajaan 'menderhaka' terhadap usul tersebut, kerajaan masih boleh berharap untuk mendapat undi yang mencukupi bagi meminda Perlembagaan Persekutuan - iaitu dengan sokongan PN.

Bercakap kepada Malaysiakini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ahli parlimen PN masih menunggu butiran rang undang-undang itu sebelum membuat penilaian.

Bagaimanapun, selepas diberi taklimat oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail kelmarin, Tuan Ibrahim berkata ahli parlimen PN "yakin bahawa pindaan itu perlu".

“Jika ia dibawa dan dibentangkan (di Dewan Rakyat), kami tiada bantahan untuk menyokong rang undang-undang untuk meminda perlembagaan itu.

"Apapun kami akan tunggu detail (butiran) pindaan dibuat," katanya yang juga ahli parlimen Kubang Kerian.

Kerajaan ketika ini menguasai 147 kerusi parlimen dan kedudukan itu hanya kurang satu undi daripada jumlah majoriti dua per tiga kedudukan dalam Dewan Rakyat bagi membolehkan sesuatu peruntukan perlembagaan dipinda.
Tuan Ibrahim Tuan Man
PN pula menguasai 74 ahli parlimen termasuk enam daripadanya yang sudah memberikan sokongan kepada kerajaan perpaduan.

Setakat ini dua ahli parlimen kerajaan telah bersuara secara terbuka menentang pindaan itu.

Beberapa ahli parlimen dari penyokong kerajaan pula menyatakan seawal Nov lalu bahawa mereka mungkin mengundi menolak rang undang-undang berkenaan jika unsur-unsur regresif tidak dibatalkan.

Rang undang-undang yang dicadangkan Kementerian Dalam Negeri itu bertujuan untuk meminda tujuh peruntukan perlembagaan mengenai kewarganegaraan.

Gerakkan lobi menolak

Ia termasuk dua pindaan yang akan memberikan seseorang wanita Malaysia hak untuk menurunkan kewarganegaraannya kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Bagaimanapun, pengkritik berkata, lima pindaan lain boleh memburukkan lagi masalah individu tanpa kerakyatan, terutamanya cadangan untuk menghapuskan kewarganegaraan automatik bagi anak-anak.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail cuba mewajarkan keperluan pindaan mengenai isu anak terdampar untuk membendung sebarang pihak mengambil kesempatan, termasuk membabitkan pendatang asing yang sengaja meninggalkan bayi mereka di hospital.

Ketika ditanya mengenai perkara tersebut, Tuan Ibrahim menyatakan sentimen yang sama seperti Saifuddin.

"Pada saya kita kena bezakan antara anak yang memang sah dilahirkan daripada ayah ibu warganegara, dengan mereka yang tidak diketahui status ibu bapanya, sama ada rakyat Malaysia atau bukan," katanya.

Tambah Tuan Ibrahim sebagai kerajaan pihak berkuasa perlu menyiasat latar belakang keluarga seseorang bayi terdampar, bahkan penentuan nasab merupakan elemen penting dalam Islam.

"Apa yang penting semua anak terdampar tu (boleh) mendapat kerakyatan.

“Cuma isunya ialah, sama ada ia secara automatik atau melalui perdaftaran (dengan kuasa menteri," katanya.
Saifuddin Nasution Ismail
Pengkritik pula berhujah bahawa naratif Saifuddin mengenai isu anak-anak terdampar adalah lemah.

Hal itu kerana, menurut mereka, perlembagaan semasa menjelaskan bahawa untuk layak mendapat kerakyatan automatik, ibu bapa bayi yang ditinggalkan mestilah tidak diketahui.

Peruntukan itu kata pengkritik sekali gus membatalkan kelayakan bayi yang ditinggalkan di hospital oleh ibu bapa migran.

Aktivis yang menentang pindaan itu kini sedang melobi ahli parlimen dari kedua-dua pihak untuk menolak rang undang-undang itu.

Kerajaan dijangka membentangkan rang undang-undang itu sebelum sidang Dewan Rakyat semasa berakhir pada 27 Mac.

[Baca berita asal]

PN sudah terima draf perjanjian peruntukan sekata

malaysiakini.com
Isabelle Leong, Alyaa Alhadjri & B Nantha Kumar
Diterbitkan: Mar 21, 2024 9:07 PM
PARLIMEN | Hamzah Zainudin hari ini berkata dia sudah menerima dokumen yang memperincikan rundingan mengenai peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.

Katanya dia menerima draf tersebut di Dewan Rakyat hari ini.

"Cuma kita (pembangkang) nak lihat perkara-perkara yang menjadi syarat dalam dokumen itu," katanya semasa berbalas hujah dengan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.

Ketika itu Saifuddin sesi penerangan mengenai langkah pemerkasaan Lembaga Penapisan Filem.

Pertikaian singkat di antara dua ahli politik itu bermula apabila RSN Rayer (PH–Jelutong) mencadangkan agar dihasilkan filem lanjutan Anwar: The Untold Story bagi menceritakan kisah pihak yang telah mengkhianati Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam perjalanan politiknya.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, tidak ada keperluan untuk sekuel seperti itu dan menyifatkan Anwar seorang yang memandang ke hadapan dan pemaaf.

Sambil menyokong kenyataan Saifuddin bahawa pemimpin harus memaafkan, Hamzah turut membidas Anwar kerana "cakap tak serupa bikin" apabila menganggap perdana menteri itu menindas pembangkang.

"Jangan timbulkan polemik di negara apabila pemimpin ni cakap tak serupa bikin.

"Saya nasihat sesama kita hari, pada bulan puasa ni, berlaku adillah kepada semua. Itu permintaan saya,” kata ketua pembangkang itu.

Nampak sebagai pendendam

Sebagai respons, Saifuddin berkata jika Hamzah bercakap mengenai peruntukan untuk ahli parlimen pembangkang, ahli parlimen PH juga tidak menerimanya ketika Presiden Bersatu merangkap Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin (Pagoh) menjadi perdana menteri.

Kata Saifuddin, dia masing ingat bagaimana Muhyiddin ketika itu memberikan jawapan terhadap permintaan ahli parlimen PH yang mahu peruntukan pembangunan kawasan disalurkan melalui wakil rakyat setempat.

Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha PH menjelaskan, peruntukan memang diberi ke kawasan pembangkang namun tidak melalui ahli parlimen pembangkang.

“Hanya semasa Bera (Ismail Sabri Yaakob) menjadi perdana menteri, kami menerima peruntukan itu.

"Secara kebetulan, saya dan Larut berada dalam jawatankuasa Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) pada masa itu," kata Saifuddin.

Bagaimanapun, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu dan PN berkata, Saifuddin telah tersilap apa yang diperkatakannya.
Anwar Ibrahim
Kata Hamzah dia tidak bercakap mengenai peruntukan sama rata kepada semua ahli parlimen sebaliknya merujuk kepada pelbagai isu lain.

“Banyak perkara lain yang saya maksudkan. Orang nampak perdana menteri (Anwar) sebagai seorang yang sangat berdendam.

“Contohnya, dikatakan kerajaan sebelum ini (PN) menggunakan wang berbilion-bilion, RM600 bilion, RM300 bilion, tetapi akhirnya tidak ada apa-apa.

"Inilah yang dilihat oleh rakyat. Tindakan lebih berkesan berbanding kata-kata.

“Baru dua tiga hari lalu, saya berjumpa timbalan perdana menteri. Peruntukan adalah dua hala – anda tawarkan, kami terima.

"Sama ada kita tangguh atau tidak, itu perkara lain.

"Apabila anda mempunyai kuasa, jangan menyalahgunakan majoriti yang anda ada," kata Hamzah.
Saifuddin kemudian menjelaskan pada awalnya dia membuat tafsiran sebegitu kerana terdapat banyak aduan yang dibuat oleh ahli parlimen pembangkang mengenai isu peruntukan sama rata kepada ahli parlimen.

Bagaimanapun, mengenai dakwaan Hamzah bahawa Anwar adalah individu yang pendendam, Saifuddin berkata dia “serahkan kepada kebijaksanaan rakyat untuk menilai”.

“Setakat ini, insya-Allah, kerajaan kukuh, bersatu dan berfungsi.

“Saya rasa mari kita ikuti bersama-sama rangka kerja yang pembangkang boleh terus mengkritik.

“Pembangkang boleh jadi (mekanisme) semak dan imbang, untuk memantau,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata perbincangan akan diadakan dengan wakil pembangkang berhubung permintaan mereka mendapatkan peruntukan sama rata.

Fadillah berkata, hasil perbincangan itu akan dibawa ke mesyuarat kabinet minggu depan.

[Baca berita asal]

Pemuda UMNO tunggu hasil siasatan polis terhadap pemimpinnya yang terbabit liwat

bharian.com.my
Oleh Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my
 - Mac 21, 2024 @ 4:35pm

JOHOR BAHRU: Pemuda UMNO Johor menunggu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan dan tindakan pendakwa raya, sebelum memutuskan sebarang langkah susulan terhadap seorang pemimpin sayap itu yang disiasat berkait kes liwat.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros, berkata ia penting sebelum apa-apa tindakan diambil terhadap mana-mana pemimpin sayap itu yang berdepan sebarang siasatan atau pertuduhan mahkamah.

Katanya, antara tindakan yang dipertimbangkan adalah berhubung status keahliannya bersama parti.

"Kita tidak boleh jatuh hukum terhadap individu terbabit, selagi dia tidak dituduh dan didapati bersalah oleh Mahkamah. Kita perlu menghormati haknya sebagai ahli.

"Jadi, buat masa ini kita biarkan dahulu proses undang-undang itu berjalan termasuk polis melengkapkan siasatan dan kes dibawa ke mahkamah.

"Selagi dia tidak didapati bersalah atau dia sendiri mengaku bersalah, status keahliannya masih kekal. Melainkan individu yang didakwa itu tidak mahu mengheret parti dan dengan sendirinya memilih untuk letak jawatan secara sukarela," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Polis Johor dilaporkan mengesahkan menerima lima laporan berkaitan kes liwat terhadap enam lelaki termasuk tiga pelajar sekolah di Mersing, dekat ini, setakat ini.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani dilaporkan berkata, susulan itu, pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an kelmarin, bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh remannya berakhir semalam.

Mengulas lanjut, Noor Azleen berkata, sayap parti itu tidak boleh mengambil tindakan semberono walaupun mempunyai beberapa pilihan terhadap mana-mana individu terpalit kes polis dan.mahkamah.

"Semua hal berkaitan keahlian akan mengikut lunas-lunas perlembagaan dalam parti" katanya.

Lelaki hina Islam berkait isu stoking kalimah Allah ditahan

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
21 Mar 2024, 05:21 PM

Lelaki berusia lingkungan 35 tahun ditahan di Cheras, semalam.
Minggu lalu tular di media sosial berhubung penjualan stoking kalimah Allah selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki berhubung hantaran menghina Islam di media sosial berkaitan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata lelaki berusia lingkungan 35 tahun yang juga pemilik serta pengendali akaun Facebook “Chiok Wai Loong” ditahan di Cheras, Kuala Lumpur, semalam.

“Permohonan reman bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dibenarkan selama empat hari mulai 21 hingga 24 Mac,” katanya dalam kenyataan.

Suhaily berkata, kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Katanya, kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Polis menggesa orang ramai menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta elakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan terutamanya melibatkan isu 3R (kaum, agama, raja),” katanya.

Minggu lalu, tular di media sosial berhubung penjualan stoking kalimah Allah di premis berkenaan selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Shuib sedia lepas jawatan Duta KK Mart

bharian.com.my
Oleh Farihad Shalla Mahmud 
farihad@bh.com.my
Mac 21, 2024
Shuib tidak teragak-agak melepaskan tanggungjawab sebagai Duta KK Mart jika kedai serbaneka itu terbukti bersalah dalam kontroversi penjualan stoking tertera kalimah 'Allah'. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Pelawak Shuib tidak teragak-agak melepaskan tanggungjawab sebagai Duta KK Mart jika kedai serbaneka itu terbukti bersalah dalam kontroversi penjualan stoking tertera kalimah 'Allah' dalam tulisan rumi dan jawi yang hangat diperkatakan sekarang.

Shuib berkata, sebagai umat Islam, dia mengeji penjualan stoking tertera kalimah 'Allah' dan menganggap ia tidak sepatutnya berlaku.

"Saya sentiasa percaya kepada rezeki. Kalau memang tiada rezeki saya, maka tiadalah. Kalau ada rezeki saya, adalah.

"Tetapi macam mana pun, saya tetap kena letak pendirian bahawa saya adalah seorang Islam," katanya ditemui pada majlis berbuka puasa Indigital Music x FYP Media di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Shuib yang dilantik Duta KK Mart sejak empat tahu lalu dan baru memperbaharui kontrak menganggap, tindakan menjual stoking tertera kalimah 'Allah' sebagai keji.

"Apa yang berlaku itu sangat keji . Sebagai umat Islam, saya sangat terkesan dan ia tidak sepatutnya berlaku dalam perniagaan atau apa juga situasi.

"Kita akan marah kerana isu kalimah Allah ini sangat besar," katanya.

Meskipun menggalas tugas sebagai Duta KK Mart, namun, ia bukan alasan untuk Shuib atau nama sebenar, Shahmira Muhammad, bersikap neutral berhubung kontroversi itu.

Bagaimanapun, Shuib perlu menunggu hingga siasatan selesai sebelum membuat tindakan lanjut berhubung kontrak sebagai duta.

"Kalau benar, saya tidak akan sokong, saya tidak akan mengiyakan langsung. Ini tanggungjawab saya sebagai seorang umat Islam.

"Perkara ini masih belum selesai dan siasatan sedang dilakukan. Jadi, saya tidak boleh hendak ulas lanjut kerana ini melibatkan perniagaan dan sensitiviti masyarakat.

"Saya akan berdiri sebagai seorang umat Islam di mana apabila perkara itu tidak betul, salah, dan melanggar peraturan, saya tidak akan sokong," katanya.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial stoking kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Berikutan itu, timbul gesaan agar rangkaian kedai serbaneka itu diboikot.

Rabu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilapor memohon maaf berhubung video dan gambar tular berkaitan penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu dilaporkan berkata, jualan stoking berkenaan dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Rentetan daripada insiden itu, pengendali rangkaian kedai serbaneka terbabit turut meminta supaya tidak memboikot perniagaan mereka.

Jangan tekan kalau sayang duit!

hmetro.com.my
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penggunaan telefon pintar dan peralihan kepada dunia digital dalam urusan seharian menyebabkan penggunaan pautan menjadi satu kelaziman.

Masyarakat didedahkan dan dibiasakan dengan penggunaan pautan termasuk untuk berkongsi artikel berita, maklumat, penghantaran kad ucapan dan pautan iklan.

Kebiasaan ini menjadikan pautan sebagai satu perkara yang dilihat tidak berbahaya serta boleh dipercayai oleh kebanyakan pihak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, perkara itu diambil kesempatan oleh sindiket penipuan untuk memperdayakan mangsa.

"Kami mengesan beberapa taktik oleh sindiket penipuan yang menggunakan modus operandi ini seperti menghantar pautan mengandungi fail apk (android package kit).

"Mana-mana individu yang memuat turun fail berkenaan akan mengakibatkan telefon milik mereka digodam," katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Selain itu, katanya, sindiket penipuan juga akan menghantar pautan yang sekiranya ditekan akan membawa mangsa kepada laman sesawang perbankan palsu.

"Apabila perkara itu berlaku, ia akan menyebabkan mangsa secara tidak sengaja memberikan maklumat nama pengguna dan kata laluan perbankan dalam talian.

"Sindiket itu juga ada menghantar pautan yang jika ditekan akan memperdayakan mangsa untuk memberikan nombor kod pengesahan transaksi (TAC).

"Tindakan itu akan mengakibatkan wang milik mangsa dipindahkan atau akaun media sosial mereka seperti WhatsApp serta Telegram digodam," katanya.

Beliau berkata, operasi sindiket penipuan yang menghantar pautan kepada mangsa secara rawak tidak hanya terhad dalam tempoh masa tertentu.

Katanya, mereka bijak memanipulasi keadaan semasa dan situasi yang sedang berlaku di dalam negara.

"Contohnya tatkala kerajaan mengumumkan pemberikan bantuan STR (Sumbangan Tunai Rahmah), sindiket penipuan ini juga akan menghantar mesej melalui WhatsApp atau Telegram.

"Mesej yang dihantar itu akan disertai dengan pautan kononnya untuk tujuan permohonan bantuan berkenaan.

"Namun hakikatnya, 'borang' permohonan yang disertakan itu adalah bertujuan untuk mendapatkan butiran peribadi dan maklumat perbankan milik mangsa," katanya.

RAMLI. FOTO Arkib NSTP
KES 1

Pada 2 Februari lalu, satu laporan polis diterima di Menggatal, Sabah mengenai kehilangan wang daripada akaun bank milik seorang peniaga.

Seminggu sebelum kejadian, pengadu yang juga lelaki berusia 35 tahun menerima pautan di telefon bimbitnya.

Selepas menekan pautan itu, telefonnya terus terpadam dan pengadu mendapati skrin telefonnya kerap bergerak-gerak dipercayai akibat digodam.

Pengadu juga mendapati wang dalam akaun simpanannya, e-wallet Facebook, Tiktok dan akaun Google Finance sudah hilang dengan kerugian dialami berjumlah RM211,955.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

KES 2

Pada 16 Februari lalu, satu laporan polis diterima di Sentul, Kuala Lumpur berkaitan pengurangan sejumlah wang dari akaun bank milik seorang pegawai sumber manusia.

Menurut pengadu yang juga lelaki berusia 26 tahun, dia terlihat iklan di sebuah laman sesawang memaparkan koleksi komik secara dalam talian.

Untuk mendapatkan akses membaca komik itu, pengadu diminta untuk menekan pautan yang dihantar kepadanya.

Selepas menekan pautan itu, pengadu diminta untuk memasukkan beberapa maklumat kononnya sebagai keperluan melanggan bahan bacaan berkenaan.

Sebaik memasukkan maklumat, pengadu mendapati 29 transaksi pemindahan wang dibuat keluar dari akaun bank miliknya.

Kerugian keseluruhan dialami pengadu adalah RM154,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.

5,776 kes tipu e-kewangan direkod sejak 2019

Sebanyak 5,776 kes penipuan e-kewangan di seluruh negara dicatatkan bagi tempoh 2019 hingga tahun lalu membabitkan kerugian berjumlah RM418,985.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penggunaan pautan bagi tujuan penipuan adalah taktik yang membawa kepada jenayah e-kewangan.

Katanya, ia dirujuk sebagai kategori penipuan seperti BEC (Business Email Compromise), 'hacking', penipuan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) dan 'phishing'.

"Pada 2019, sebanyak 869 kes e-kewangan direkodkan dengan kerugian sebanyak RM138,347 dan jumlah itu menurun kepada 662 kes pada 2020 dengan kerugian RM25,872.

"Bagaimanapun jumlah kes direkodkan meningkat pada 2021 dengan 896 kes membabitkan kerugian RM73,454 dan jumlah kes terus meningkat pada 2022 apabila mencatatkan 1,257 kes serta RM76,216 kerugian.

"Pada tahun lalu, jumlah kes direkodkan meningkat hampir sekali ganda apabila mencatatkan 2,092 kes membabitkan kerugian RM105,093," katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Ramli berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai kepakaran siber serta kelengkapan sewajarnya untuk mengesan pelaku di sebalik sindiket penipuan itu.

"Malah, PDRM juga sentiasa berganding bahu dengan agensi lain berkaitan keselamatan siber seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Cybersecurity Malaysia dalam usaha pembanterasan kegiatan jenayah siber.

"Dari aspek siasatan, PDRM turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang sentiasa membantu dalam soal perkongsian maklumat," katanya.

Menurutnya, pembanterasan terhadap kes sebegini dilakukan melalui kaedah sama seperti kes jenayah komersial yang lain iaitu melalui siasatan, operasi dan pertuduhan di mahkamah.

"Namun bagi memastikan pembanterasan yang lebih efektif, JSJK turut memberikan penekanan kepada aspek pencegahan menerusi siri kempen, wawancara, ceramah dan sebagainya.

"JSJK sentiasa mengingatkan masyarakat untuk tidak mengisi maklumat peribadi dan maklumat perbankan di dalam mana-mana aplikasi yang mencurigakan.

"Kesedaran dalam kalangan masyarakat adalah perkara yang paling utama memandangkan taktik penipuan ini akan sentiasa berubah seiring dengan perkembangan semasa," katanya.

'Suka tekan link punca kena scam'

Disiarkan pada: Mac 21, 2024 @ 12:00pm

Tiada siapa boleh halang, Pemuda Umno boikot ‘habis-habisan’ KK Mart

freemalaysiatoday.com
Predeep Nambiar
-20 Mar 2024, 11:48 PM

Ketuanya Dr Akmal Saleh berkata tiada sesiapa mampu menghalang tindakan itu di sebalik nasihat presiden parti jangan ‘berlebih-lebihan’.
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata tiba masa memberi pengajaran kepada pihak menghina Islam. (Gambar Bernama)

NIBONG TEBAL: Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata beliau akan terus mendesak pemboikotan kedai serbaneka KK Mart susulan penjualan stoking tertera kalimah Allah, walaupun dinasihatkan tidak memanjangkan isu itu.

Beliau menegaskan, gesaan memboikot KK Mart bukan untuk meraih kepentingan politik, namun tindakan mempertahankan Islam daripada penghinaan.

“Jadi, sudah tentulah siapa pun yang nak menghalang saya dia takkan mampu untuk menghalang saya,” katanya kepada pemberita di Masjid Simpang Tiga.

Akmal juga menyuarakan keyakinan Pemuda Umno berada pada “landasan betul”.

Susulan kenyataan Akmal sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata jangan “berlebih-lebihan” selepas syarikat mengoperasikan kedai itu sudah memohon maaf dan siasatan mendapati ia dilakukan pembekal dari China.

“Kita selesaikan masalah ini dengan sebaik-baiknya supaya tidak timbul sebarang permasalahan,” kata Zahid yang juga presiden Umno.

Akmal memaklumkan bertemu Zahid, dan presiden “tak ada cakap apa-apa”, sambil menyatakan ada ahli Majlis Kerja Tertinggi memberi sokongan kepadanya.

Beliau sekali lagi menegaskan permohonan maaf KK Mart tidak mencukupi dengan berkata tiada sesiapa pun boleh terlepas dengan hanya satu permohonan maaf kerana menghina agama.

Akmal berkata, tiba masa untuk memberi pengajaran kepada pihak menghina Islam, termasuk KK Mart, dan berjanji akan terus “memboikot habis-habisan”.

Beliau juga mengkritik DAP dan mendakwa parti itu membawa isu kaum apabila Pemuda mula menyasarkan KK Mart.

Akmal bertegas jika peruncit itu Muslim sekalipun, beliau akan bertindak sama malah “lagi teruk”.

Kontroversi stoking tertera kalimah Allah tercetus susulan tular gambar penjualan produk itu Rabu lalu, di sebuah cawangan KK Mart Bandar Sunway, sekali gus mengundang kecaman umat Islam termasuk desakan memboikot oleh Pemuda Umno.

Pada Sabtu, syarikat berkenaan memohon maaf dan menyuarakan kekesalan atas insiden berlaku, namun Pemuda Umno mendesak pengurusan KK Mart memasang kain rentang permohonan maaf di semua 881 cawangannya di seluruh negara.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-