Wednesday, October 31, 2018

Subsidi: Setiap hari kerajaan hina rakyat, kata Najib

FMT Reporters
-October 31, 2018 10:24 PM


PETALING JAYA: Bekas perdana menteri hari ini membidas kerajaan kerana berterusan menghina rakyat, kali ini kerana subsidi.

Datuk Seri Najib Razak tidak berpuas hati dengan kenyataan yang membayangkan subsidi akan dihentikan kerana ia menyebabkan rakyat tak mampu berfikir dan tidak boleh berdikari.

“Kerajaan Barisan Nasional tak pernah kata pemberian bantuan atau subsidi untuk menggantikan gaji atau pendapatan.

“Kita buat sebagai ‘social safety net’ untuk bantu mereka lengkapkan apa yang mungkin kurang daripada pendapatan harian. Inikah yang dimaksudkan subsidi buat rakyat tak mampu berfikir?

“Seorang penerima bantuan mesin jahit boleh meniaga dari rumah, tak perlu kerja malam, dia cukup gembira. Inikah yang dimaksudkan subsidi buat rakyat tak mampu berdikari?

“Setiap hari rakyat dihina. Apa sebenarnya kerajaan hari ini buat untuk negara, untuk rakyat?” katanya di Facebook.

Beliau seterusnya mengingatkan kerajaan bahawa ketika ini harga barangan makin naik, ekonomi makin teruk, ringgit makin jatuh dan pendapatan negara berkurangan apabila GST digantikan dengan SST.

Perdana menteri hari ini dilapor berkata subsidi hanya membuatkan seseorang tidak mampu berfikir dan tidak boleh berdikari.

Utusan Online memetik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai berkata kerajaan kini tidak lagi seperti kerajaan terdahulu yang selalu memberi subsidi kepada kebanyakan rakyat.

“Lihat saja kerajaan terdahulu, mereka memberi wang kepada golongan miskin dan golongan itu tidak perlu bekerja. Walaupun tidak bekerja, tetap mendapat RM500 (Bantuan Rakyat 1Malaysia).

“Jika Malaysia terus menjadi sedemikian, tidak lama lagi, semua orang tidak akan mampu berfikir, tidak boleh bergerak dan tidak boleh melakukan kerja dengan sendiri kerana terlalu bergantung kepada subsidi,” katanya kepada pemberita di Menara MITI hari.

Tiada lagi subsidi untuk rakyat, PKS – Mahathir

October 31, 2018 rhg


Kerajaan membayangkan tiada lagi pemberian subsidi kepada rakyat terutamanya perusahaan kecil dan sederhana di negara ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, subsidi hanya membuatkan seseorang itu tidak mampu berfikir dan tidak boleh berdikari.

Katanya, kerajaan kini tidak lagi seperti kerajaan terdahulu yang selalu memberi subsidi kepada kebanyakan rakyat.

“Lihat saja kerajaan terdahulu, mereka memberi wang kepada golongan miskin dan golongan itu tidak perlu bekerja. Walaupun tidak bekerja,tetap mendapat RM500 (Bantuan Rakyat 1Malaysia).

“Jika Malaysia terus menjadi sedemikian, tidak lama lagi, semua orang tidak akan mampu berfikir, tidak boleh bergerak dan tidak boleh melakukan kerja dengan sendiri kerana terlalu bergantung kepada subsidi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan dasar nasional Industri 4.0, Industry4WD di Menara MITI di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dan Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Datuk Soh Thian Lai. 

-UTUSAN ONLINE

BERSATU Setiawangsa mahu Dr M jadi PM hingga PRU15

Diterbitkan 31 Okt 2018, 6:26 petang


BERSATU bahagian Setiawangsa mahu pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan menjadi perdana menteri sehingga pilihan raya umum akan datang.

Sehubungan itu, pada persidangan pertama BERSATU bahagian Setiawangsa, semalam mereka membentangkan usul supaya Mahathir melengkapkan tempoh lima tahunnya sebagai perdana menteri.

Menurut Pengerusi Sahabat Harapan Setiawangsa, Abdul Rahman Hashim, usul itu dikemukakan oleh ketua bahagian Setiawangsa, Muhamad Zahid Md Arip yang juga adalah setiausaha politik kepada perdana menteri.

Sebelum pilihan raya umum ke-14, Pakatan Harapan bersetuju bahawa Mahathir akan menjadi perdana menteri selama dua tahun sebelum menyerahkan kuasanya kepada bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walau bagaimanapun, Mahathir pernah menyatakan hasratnya untuk kekal dalam kedudukannya dengan lebih lama.

Pada hari yang sama BERSATU bahagian Setiawangsa mengadakan persidangannya, Anwar menolak desas-desus berkenaan cubaan dalaman untuk menghalangnya menjadi perdana menteri kelapan.

"Itu semua bacaan, tafsiran media yang percaya ada rancangan lebih besar, konspirasi ulangan 1998. (Tetapi) saya tiada sebab untuk mencurigai perjanjian persahabatan HARAPAN," katanya kepada pemberita.

[Baca berita penuh]

ICERD 'malapetaka' kepada negara

MyMetro
Siti Nur Mas Erah Amran
cnews@nstp.com.my

Abdul Hadi menerima memorandum dari Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahya bagi bantah ICERD sebelum menyerahkan kepada wakil JPM. FOTO Asyraf Hamzah

PERSETUJUAN ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) disifatkan sebagai ‘mengundang malapetaka’ kepada negara ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, penerimaan ratifikasi berkenaan boleh memberi impak negatif terhadap rakyat khususnya hak Bumiputera.

“Penolakan dibuat sejak zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan saya harap, Pakatan Harapan (PH) pun tolak sebab implikasinya sangat besar terhadap sendi utama pembentukan negara.

“Kalau kita setuju, maknanya kita akur dengan aturan dan tuntutan ICERD. Kita bimbang persetujuan ini mengundang malapetaka,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata demikian ketika mengulas himpunan membantah ICERD oleh pertubuhan bukan kerajaan, hari ini.

Terdahulu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengetuai rombongan 10 peserta himpunan menyerahkan memorandum bantahan itu kepada wakil Jabatan Perdana Menteri.

Lebih 100 peserta berjalan dari Tugu Negara bermula jam 10.30 pagi sebelum berhenti kira-kira 100 meter dari pintu pagar bangunan Parlimen selepas dihalang anggota dan pegawai polis yang berkawal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 3:11 PM

Keranda iringi demo anti-Icerd di parlimen

Alyaa Alhadjri
Diterbitkan 31 Okt 2018, 12:19 tengah hari


Sekumpulan aktivis berhimpun di luar bangunan parlimen di ibu negara bagi membantah keputusan kerajaan untuk menandatangani Konvensyen Antarabangsa Menghapuskan Diskriminasi Kaum (Icerd), Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Berhimpun kira-kira 1km daripada pagar parlimen, mereka melaungkan pelbagai slogan anti-Icerd dan membawa keranda sebagai simbolik “kematian” bagi orang Melayu dan Islam di negara ini.

Mereka bertemu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan pemimpin muda PAS terkenal parti itu Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Pemimpin-pemimpin itu kemudian mengiringi wakil demonstran ke parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada kerajaan.

Beberapa pemimpin akar umbi Umno tutur kelihatan dalam acara itu, selain aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan kumpulan pelajar pro-PAS Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS

Apa nasib rakyat dalam Bajet 2019?

Yunus Tasim
-October 31, 2018 8:01 AM


Apa yang rakyat perlukan dari Bajet 2019? Tentu harapan rakyat menggunung tinggi. Pertama kerana ini merupakan bajet pertama dari kerajaan Pakatan Harapan (PH). Kedua kerana kritikan pembangkang terhadap bajet dan kerajaan BN dan janji PH yang terkandung dalam manifesto mereka.

Rakyat tidak mahu pembentangan bajet jadi medan bahasa dan pantun. Juga tidak mahu ia menjadi tempat cemuhan dan sindiran. Yang diperlukan ialah “the meat” atau isinya terutama yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat seharian.

Kad laporan 2018

Menteri Kewangan dan timnya mestilah menyediakan kad laporan 2018 bagi setiap kementerian dan agensinya merangkumi bajet dan penggunaannya. Begitu juga dengan kerajaan negeri yang melibatkan pinjaman dan hutang dari Kerajaan Persekutuan.

Projek mega harus dinilai pelaksanaannya dan berapa peratus dari jangka siapnya dan berapa jumlah wang yang telah dibayar serta kos lebihan (overrun). Di akhir kad laporan itu, kerajaan harus membentangkan jumlah hutang negara, hutang sekarang dan hutang tertangguh lantaran pelaksanaan sistem bayar balik yang kreatif tetapi sebenarnya membebankan anak cucu kita.

Bajet surplus, defisit

Sudah lama kita tidak dengar belanjawan berimbang atau lebihan belanjawan di pihak kerajaan. Sejak 2000, bajet kerajaan sering mengalami defisit dan akan ada pembentangan bajet tambahan di setiap pertengahan tahun. Apakah kerana memang salah buat bajet, belanja tidak dijangka atau ketirisan dari rasuah dan sebagainya. Ini harus juga diperiksa supaya kita kembali ke landasan yang betul.

Walaupun bajet defisit itu tidak semetinya salah, tapi jika ini berlarutan untuk jangka masa yang terlalu panjang, menunjukkan kelemahan perancangan, ketidakcekapan orang yang membuat bajet dan keborosan yang membelanjakan.

Kerajaan harus telus membuat perancangan terhadap unjuran pendapatan dari segala sumber pendapatan terutama minyak dan komoditi lain, cukai pendapatan individu, cukai SST, cukai korporat dan kontribusi dari syarikat milik kerajaan.

Perbelanjaan pula hendaklah didasarkan kepada keperluan rakyat, keperluan kementerian yang mendepani rakyat dan penyelesaian masalah rakyat dan negara. Justeru, bajet operasi tidak terlalu menggunung sedangkan bajet pembangunan semakin mengecil.

Salah prioriti

Rakyat tidak mahu lagi melihat bajet Jabatan Perdana Menteri begitu menggebu setiap tahun sehingga mencecah RM18 bilion berbanding dengan Kementerian Kesihatan dan Pendidikan yang masing-masing diperuntukkan hanya RM1.8 bilion dan RM1.4 bilion.

Ini pasti menggugat hospital dan pusat kesihatan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang bermutu, jauh dari bertaraf dunia. Begitu juga banyak universiti yang keluh kesah sehingga ada yang mendakwa bajet yang diberi hanya cukup untuk membayar gaji guru dan pensyarah. Natijahnya, merendahkan mutu pendidikan negara keseluruhannya.

Kesejahteraan rakyat dan pembangunan modal insan secara inklusif mestilah terus diberikan prioriti dan tidak boleh dikesampingkan. Ini akan menjejaskan kemahiran rakyat dan akhirnya kita kembali kepada pusingan hantu mengharapkan pekerja asing yang menjejaskan ekonomi dan aliran kewangan negara.

Kos sara hidup

Rakyat menunggu apakah kerajaan PH sebenarnya hanya pintar mengkritik dan menghentam ketika menjadi pembangkang. Rakyat juga ingin melihat apakah PH hanya pandai menyalahkan kerajaan terdahulu atau memang mereka pintar merancang menjana pendapatan negara, cekap dalam membuat bajet dan berhemah dalam perbelanjaan hingga boleh mengurangkan kos sara hidup dan mengurangkan beban rakyat tenpa pemberian gula-gula BR1M.

Cakap biar serupa bikin. Bulan madu 7 bulan yang lalu telah berakhir. Sekarang rakyat akan menilai setiap gerak geri PH, dari perdana menteri kepada menteri dan timbalannya. Rakyat tidak boleh terima menteri dan timbalan menteri “mediocre” terus tidak berprestasi kerana kuasa melantik dan memecat ada di tangan PM.

Harga barang masih tidak berubah. PTPTN masih tersangkut. Sejumlah RM21 bilion rumah telah siap tapi tidak terjual. Pekerja Asing terus bertambah dan aliran tunai negara terkesan. Tarif elektrik, tol dan berbagai tarif yang memberi kesan kepada rakyat masih belum berubah. Rakyat nak tahu apakah penyelesaian semua ini. Dan rakyat tidak akan berkrompomi lagi.

Hutang negara dan reformasi negara

Rakyat tidak berharap akan bajet defisit untuk setahun 2 ini. Tetapi rakyat tidak boleh terima jika hutang negara terus menumpuk. Justeru, rakyat tidak mahu lagi mendengar menteri membebel tentang hutang negara, tetapi rakyat hendak melihat tindakan kerajaan PH merungkai hutang negara dengan perancangan ekonomi yang progresif dibantu dengan reformasi pentadbiran yang pastinya dapat membayar hutang secara sistematik, mengnyahkan rasuah dan ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan.

Pepatah Inggeris berkata, “Fish rots from the head”. Pemimpin hendaklah menjadi contoh yang baik kepada rakyat. Rosak pemimpin musnahlah rakyat dan negara.

Berbagai reformasi dan pembaikan dirancang dan dilaksanakan. Ini harus berterusan sehingga pemimpin tidak lagi mempunyai ruang untuk penyelewengan, menyalahgunakan kuasa sewenang-wenangnya, makan rasuah dan hipokrit terhadap rakyat.

Rakyat tidak boleh terus disuap hingga menjadi malas dan hilang daya saing dalam medan ekonomi dan sosial negara. Sehingga sektor swasta tidak punya pilihan selain dari mengambil dan menggaji buruh asing kerana sikap dan prestasi rakyat tempatan.

Langkah membangunkan kemahiran pekerja tempatan tidak akan lengkap jika tidak didahului dengan program perubahan sikap rakyat tempatan menjadikan mereka rajin dan ampuh jati dirinya.

Program vokasional dan program usahawan terutama usahawan kecil dan sederhana hendaklah dinilai dan disusun semula agar kesan dan manfaatnya benar-benar dikecapi kumpulan sasaran, tidak hanya melepaskan batuk di tangga.

Tidak guna kita membangunkan pelbagai industri, berat dan canggih jika akhirnya kita terus mengimport pekerja asing untuk memenuhi keperluan buruh di sektor tersebut.

Rakyat sedang menunggu dengan penuh pengharapan. Diharap tidak mengecewakan.

Yunus Tasim ialah pembaca FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Sertai PH bukan alasan tutup siasatan kes - PKR

Astro Awani
Oktober 31, 2018 07:00 +08

Fahmi berkata, isu tersebut akan dibincang dengan lebih lanjut di dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan pada Sabtu. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Penyertaan mana-mana wakil rakyat Barisan Nasional (BN) ke dalam Pakatan Harapan (PH) tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup siasatan atau kes terhadap mana-mana pihak, kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil

Menurutnya, Biro Politik PKR menyedari bahawa ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, rakyat dengan jelas menolak korupsi, salah guna kuasa dan kleptokrasi yang diamalkan rejim dahulu.

"Pada masa yang sama, Biro Politik PKR faham keresahan rakyat terhadap berita kemasukan Ahli-Ahli Parlimen BN yang mungkin dijadikan alasan untuk menutup siasatan atau kes, terutama yang melibatkan salah guna kuasa, rasuah dan pemberian kontrak-kontrak termasuk kontrak pembelian senjata."

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian satu kenyataan malam tadi.

Beliau menjelaskan, perkara tersebut akan dibincang dengan lebih lanjut di dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan pada Sabtu ini.

Baru-baru ini, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan penyertaannya ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas meninggalkan parti lamanya September lepas.

BACA: Tok Pa tiada hajat pegang jawatan dalam Bersatu

BACA: Tiada agenda terima anggota Parlimen UMNO sertai bersatu

Selepas penyertaan Mustapa, salah seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin memberi gambaran kemungkinan 40 lagi pemimpin UMNO akan keluar parti.

Bajet 2019: Ambank jangka miskin bandar nikmati banyak faedah

Bernama
-October 31, 2018 7:35 AM

Ambank berharap untuk melihat lebih banyak pelaburan dalam Belanjawan 2019. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: AMMB Holdings Bhd (Ambank Group) menjangka lebih banyak manfaat akan diterima golongan miskin bandar termasuk memperkenalkan bayaran bulanan menggunakan pengangkutan awam tanpa had dalam Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

“Kami juga berharap kerajaan akan melihat isu perumahan untuk golongan kurang berkemampuan yang mampu menjadi pemangkin dalam membantu golongan miskin bandar membeli hartanah sendiri di bawah RM100,000, yang mereka sewa dari pihak ketiga,” kata Ketua Pegawai Operasi Ambank Bhd Datuk Sulaiman Mohd Tahir dalam satu kenyataan semalam.

Sulaiman berkata bank juga berharap belanjawan itu menyediakan lebih banyak pengecualian cukai untuk perbelanjaan pendidikan yang semakin meningkat dalam menghadapi situasi sosio-ekonomi dan meringankan beban orang ramai.

“Kami juga berharap untuk melihat lebih banyak pelaburan dan mengurangkan pemotongan dalam meningkatkan sektor pendidikan, selain fokus kepada kepentingan informasi teknologi dengan menggunakan solusi digital dan memperkenalkan sistem kod dalam kurikulum, sebagai contoh.

“Kami optimis Belanjawan 2019 akan berlandaskan dasar yang baik dan inisiatif rasional dan rangka kerja ini menjadi teras untuk ekonomi Malaysia berkembang dan kukuh dalam bersaing secara dinamik dan global,” tambahnya.

Cawangan parti politik boleh ditubuh di UA selepas AUKU dipinda

Diterbitkan 31 Okt 2018, 6:55 pagi


Cawangan parti politik boleh ditubuhkan di Universiti Awam (UA) apabila Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dipinda kelak, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Maszlee berkata pindaan itu juga selari dengan cadangan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun.

“Dengan perubahan AUKU yang akan dilakukan, akan ada Kelab Mahasiswa Barisan Nasional (BN) di UA, akan ada Kelab Pakatan Harapan, Kelab Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan kelab-kelab lain yang ingin ditubuhkan sebagaimana di negara maju.

“Ini selaras dengan penurunan umur mengundi yang akan kita cadangkan nanti. Jika diturunkan umur mengundi kepada 18 tahun, maka pelajar akan bebas berpolitik, boleh mencalonkan diri mereka, boleh mengundi tanpa sebarang sekatan,” katanya ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 untuk kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab celahan Noor Amin Ahmad (HARAPAN-Kangar) yang ingin tahu sama ada kementerian bersetuju untuk mewujudkan cawangan parti politik di UA.

Bagaimanapun Maszlee berkata penubuhan cawangan parti politik itu hanya terpakai di UA yang tertakluk kepada AUKU.

“Ada dua universiti yang tidak tertakluk kepada AUKU iaitu UiTM (Universiti Teknologi Mara) dan UIA (Universiti Islam Antarabangsa),” katanya.

Menjawab celahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang bangkit mempersoalkan penubuhan parti politik dan pilihan raya kampus yang menurutnya bukan perkara baharu, Maszlee berkata pilihan raya kampus sebelum ini dikawal pihak tertentu menyebabkan pelajar tidak bebas berpolitik.

“Yang berlaku pilihan raya kampus sebelum ini dikawal oleh bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) di bawah kuasa BN dan pelajar dan pensyarah yang tidak sehaluan dengan BN dikenakan sekatan yang pelbagai, YB Syed Saddiq (Yang Berhormat Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) juga sebelum ini pernah dihalang masuk ke universiti,” katanya.

- Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-