Sunday, December 24, 2023

Bangkit kesedaran umat, bukan tindakan menakut-nakutkan

harakahdaily.com
December 24, 2023

Jawab dakwaan Anwar Ibrahim
SAYA ingin menyatakan pandangan terhadap kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan isu ‘menakut-nakutkan orang Melayu’. Hakikatnya, membincangkan isu yang berkaitan dengan Malaysia bukanlah tindakan menakut-nakutkan orang Melayu.

‘Siege mentaliti’ sebenar ialah rasa ketakutan golongan tertentu yang ditimbulkan politikus tertentu terhadap perpaduan umat Islam di negara ini. Juga pandangan sempit kononnya kesinambungan pemerintahan oleh kaum majoriti iaitu orang Melayu-Islam ini bakal merugikan kaum bukan-Melayu.

Ini adalah pemikiran sempit yang tidak mewakili realiti sebenar politik dan sosial Malaysia. Pemikiran di sebalik inilah yang melahirkan idea mengenai kemungkinan Perdana Menteri bukan-Melayu dan pengenalan semula Pilihan Raya Majlis Tempatan. Sedangkan ia sepatutnya tidak perlu ditimbulkan langsung.

Tidak dapat dinafikan juga, realiti politik menunjukkan bahawa perpecahan dalam kalangan umat Melayu-Islam memberi peluang kepada pihak lain untuk mendominasi secara tidak langsung.

Sejarah politik kita telah menunjukkan ini. Contoh terkini di mana parti Islam yang menang paling banyak kerusi di pilihan raya umum tidak menjadi sebahagian dari kerajaan. Malah dinafikan peruntukan sebagai pembangkang! Ini membuktikan bahawa apa saja boleh terjadi dalam politik.

Membangkitkan kesedaran terhadap potensi kehilangan kedudukan politik umat Islam bukan satu tindakan menakut-nakutkan, tetapi sebaliknya merupakan tanggungjawab ummah. Ini penting untuk menjaga kepentingan dan kedudukan umat Islam dalam politik, keharmonian pelbagai kaum dan sosial Malaysia.

MOHD AMAR ABDULLAH
Naib Presiden PAS 

   24/12/2023

Saturday, December 23, 2023

Pas,PN tetap tidak akan sertai Kerajaan Perpaduan – Idris

utusantv.com
Oleh Wartawan UtusanTV
-December 23, 2023
Naib Presiden Pas Idris Ahmad

PAS dan Perikatan Nasional (PN) tetap tidak akan bersama dengan Kerajaan Perpaduan yang dianggap parti itu berada dalam kedudukan retak menanti belah.

Ketika menegaskan pendirian itu, Naib Presiden Pas Idris Ahmad berkata, setakat hari ini Pas dan PN menjadi payung orang Melayu di negara ini.

‘’Kerajaan hari ini tidak mampu menarik sokongan orang Melayu. Peranan UMNO untuk menarik sokongan orang Melayu tidak menjadi, kuku dan taring terpaksa disembunyi untuk agenda peribadi pemimpin sahaja,’’ katanya dalam kenyataan, mala mini.

Beliau juga mendakwa, ahli akar UMNO mula memberontak kerana banyak agenda Melayu tidak lagi kedengaran daripada pemimpin parti itu malahan dilihat ikut telunjuk DAP.

‘’Manakala Parti Amanah pula masih dilihat sebagai anak emas DAP yang tidak mampu membawa nilai tambah kepada Perdana Menteri,’’ dakwanya.

Idris berkata, mungkin ramai yang bingung mengapa Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun dari segi jumlahnya telah mencapai dua pertiga sokongan ahli Parlimen masih bekerja keras untuk sokongan bersama dalam Kerajaan Perpaduan.

‘’Bermula dengan pujukan secara terbika malahan baru-baru ini kita dikejutkan satu laporan portal yang mengatakan bahawa Pas menolak kerajaan PMX oleh gerakan Islam antarabangsa..kenapa pula Pas,’’ soalnya.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan bermula dengan tidak ada faktor wow yang selalu dilalui oleh setiap Perdana Menteri baru memandangkan semua agenda reformasi dan hentam kerajaan ketika menjadi pembangkang dilanggar.

Idris mendakwa, kerajaan tidak sedar bahawa rakyat Malaysia yang pantas mendapat maklumat tidak boleh terima cara kepimpinan seperti itu.

‘’Tambahan pula dengan DAP yang terus menggasak untuk mencapai cita-cita politik mereka selama ini telah menambah perencah ketidakstabilan politik PMX,’’ katanya.

Anwar mohon maaf jika istilah 'keling' timbulkan salah faham

malaysiakini.com
Diterbitkan: Dec 23, 2023 8:19 PM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memohon maaf atas sebarang salah faham yang timbul daripada penggunaan istilah "keling" ketika program Temu Anwar Dialog Mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak baru-baru ini.

Anwar berkata penggunaan frasa itu dipetik daripada buku bertajuk Hikayat Hang Tuah, dan bukan bertujuan untuk menghina mana-mana pihak.

"Kalau ada yang salah faham, saya minta maaf, bukan niat saya.

"Saya orang terakhir yang melontarkan ekspresi menghina kaum dan agama," kata pada Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Ketua Pengarang serta Pengarang-Pengarang Kanan Media Elektronik, Media Cetak dan Dalam Talian di Putrajaya hari ini.

Semasa sesi dialog di UPSI pada Khamis lalu, perdana menteri menceritakan mengenai Hang Tuah ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka, termasuk fasih dalam pelbagai bahasa.

Pahlawan Melayu itu, kata Anwar, boleh bercakap dengan baik bukan sahaja dalam bahasa Melayu tetapi juga dalam "Bahasa Jawa, Bahasa Siam, dan juga 'Bahasa keling' atau Tamil.

Rakaman video ucapan perdana menteri itu dikongsi di media sosial, dengan sebahagian netizen mengkritik Anwar kerana menggunakan istilah yang dianggap menghina oleh kaum India di Malaysia.

"Saya kata orang kalau baca, Hang Tuah itu dia kuasai bahasa Melayu, bahasa Arab, Siam, bahasa keling. Itu guna istilah daripada bahasa kalinga dalam buku itu.

"Sekarang ini istilah keling itu tak disenangi banyak pihak, jadi saya tak gunakan. Saya cuma quote (petik) konteks dalam buku itu,” jelasnya.

Anwar bukanlah perdana menteri Malaysia pertama menerima kecaman kerana menggunakan istilah 'keling' di khalayak ramai.

Sebelum ini, Dr Mahathir Mohamad juga pernah diselar selepas menggunakan perkataan itu ketika mengkritik Suruhanjaya Pilihan Raya pada 2018.

Semasa mengkritik suruhanjaya itu, Mahathir berkata: "Saya nak guna perkataan 'keling'. Orang 'keling' kata podah.

Mahathir juga pernah membuat kenyataan serupa pada 2016.

Thursday, December 21, 2023

PAS jadikan Islam ‘alas kaki’, kata pemimpin Umno

malaysiakini.com
Diterbitkan: Dec 21, 2023 1:48 PM
Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi membidas PAS yang didakwanya cuba melemahkan kerajaan perpaduan dengan memecah belahkan parti-parti yang menganggotainya.

Sebagai contoh, katanya, apa sahaja kenyataan pemimpin atau ahli DAP yang kontroversi akan dieksploitasi.

“Umno benteng jaga kepentingan Melayu, Islam dan Raja-raja Melayu dalam kerajaan perpaduan hari ini.

“Umno tidak jadikan agama kuda tunggangan macam PAS,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
ADS
Walaupun tidak menyebut secara langsung, Puad dipercayai merujuk kepada cadangan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Tan Kok Wai, Ahad lalu supaya pilihan raya majlis tempatan diperkenalkan semula, dengan Kuala Lumpur sebagai medan ujian pertama.
Tan Kok Wai
Cadangan itu ditolak golongan konservatif dalam Umno, PAS, dan Bersatu - yang berhujah pilihan raya kerajaan tempatan akan mengakibatkan ketegangan kaum kerana penguasaan DAP dalam pemilihan tersebut.

Kebimbangan seperti itu turut dimainkan oleh Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, yang mengulangi dakwaan bahawa pilihan raya majlis tempatan akan menghakis kuasa politik Melayu.

Mengulas lanjut, Puad juga menyelar Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi bahawa Umno adalah ‘alas kaki’ DAP dalam isu berkenaan.

“Umno tidak akan setuju jika tidak sesuai dengan dasar Umno. Sebab itu ada hikmahnya Umno berada dalam kerajaan perpaduan.

“Tuduhan bahawa Umno alas kaki DAP adalah percubaan untuk panaskan hubungan DAP dan Umno,” katanya.
Afnan Hamimi
Afnan yang juga ahli Parlimen Alor Setar sebelum ini mendakwa perkara itu selepas mengambil kira beberapa kenyataan pemimpin DAP berhubung persempadanan semula kawasan pilihan raya, bukan Melayu dilantik perdana menteri dan cadangan memperkenalkan semula pilihan raya kerajaan tempatan.

Mengulas lanjut, Puad juga membidas dakwaan Afnan yang mengatakan DAP sudah ‘naik tocang’. Sedangkan, katanya, PAS sebenarnya yang ‘naik tocang’ apabila menang banyak kerusi berbanding Umno dan Bersatu.

“PAS semakin ganas keluar fatwa politik yang memecahkan belahkan orang Melayu. Ajaran Islam wajibkan bayar hutang.

“Tetapi PAS liat bayar hutang Harakah. PAS jadikan Islam alas kaki kerana naik tocang,” katanya lagi.

Puad dipercayai merujuk kepada laporan Malaysiakini pada 5 Dis lalu yang menyebut PAS masih belum melunaskan hutangnya kepada syarikat bekas pencetak Harakah yang memperoleh penghakiman terus mengarahkan parti itu membayar hutang sebanyak lebih setengah juta ringgit.

Kenapa DAP paling untung?

harakahdaily.net
December 20, 2023
KALAU DAP berjaya desak PBT dikembalikan, DAP untung.

Kenapa DAP mahu mulakan di Kuala Lumpur?

Sebab di Kuala Lumpur, DAP ada 5 kawasan Parlimen.

Jom tengok kenapa DAP paling untung. Statistik penduduk dan undi DAP.

Kepong:
Cina 72.9 peratus.
Melayu 20.2 peratus.
India 6.3 peratus.
DAP menang majoriti 61,081 pada PRU15.
DAP pegang sejak 1982.


Segambut:
Cina 55.8 peratus.
Melayu 32.4 peratus.
India 10.7 peratus.
DAP menang majoriti 59,684 pada PRU15.
DAP pegang sejak 2008.

Bukit Bintang:
Cina 56.5 peratus.
Melayu 27.1 peratus.
India 15.5 peratus.
DAP menang majoriti 38,977 pada PRU15.
DAP pegang sejak 1986. BN (MCA) ambil alih 1996, DAP rampas semula pada 1999.

Seputeh:
Cina 57.3 peratus.
Melayu 31.1 peratus.
India 11.2 peratus.
DAP menang majoriti 67,187 pada PRU15.
DAP pegang sejak kawasan ini pilihan raya ini ditubuhkan pada 1986.

Cheras:
Cina 59.6 peratus.
Melayu 32.2 peratus.
India 7.6 peratus.
DAP menang majoriti undi 54,448 pada PRU15.
DAP pegang sejak kawasan pilihan raya ini ditubuhkan pada 1995.


5 lagi kerusi Parlimen di Kuala Lumpur dipegang PKR dan 1 kerusi BN.

Semua parti komponen kerajaan memperjuangkan agenda DAP. DAP untung.

DAP nak persempadanan semula. DAP nak Perdana Menteri bukan-Melayu.

Adakah memperjuangkan nasib negara perlu memperjuangkan nasib DAP dahulu?

MOHAMAD SUHAIMI ABD AZIZ
Ketua Penerangan
PAS Wilayah Persekutuan

HARAKAHDAILY 20/12/2023

Wednesday, December 20, 2023

Pilihan Raya PBT: Siapa yang untung sebenarnya?

harakahdaily.net
December 20, 2023
Datuk Ahmad Amzad Hashim

KUALA TERENGGANU: Pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak sesuai dilaksanakan kerana masih lagi berhadapan dengan penyusunan kaum di dalam kawasan bandar yang mana tidak menggambarkan realiti komposisi kependudukan rakyat Malaysia.

Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, pendirian PAS dan Perikatan Nasional (PN) sejak awal lagi tidak bersetuju untuk pilihan raya PBT diadakan.

“Kita kena faham bandar-bandar ini adalah wujud hasil daripada dasar yang dibuat di peringkat persekutuan yang mana fungsi berkaitan dengan pentadbiran, pemusatan dari segi urusan perniagaan dan sebagainya ia dipusatkan di bandar oleh dasar yang ada jadi kerana itu peruntukan diberi dengan banyak di kawasan bandar.

“Jadi dalam masa yang sama dari segi pemilikan ekuiti dan juga pendudukan orang Melayu tidak ramai duduk di bandar.

“Jadi kalau bila tiba-tiba kita buat pilihan raya PBT nanti siapa yang akan menguasai PBT, jadi ini adalah tidak sesuai,” katanya dalam satu hantaran video di Facebook miliknya.

Ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, dari segi komposisi bandar besar, ia diberi berbilion untuk peruntukan.

“Jadi siapa yang akan kawal dari segi kepentingan peruntukan yang disalurkan itu?,” soalnya.

Baru-baru ini FMT melaporkan, DAP mengulangi tuntutan untuk mengembalikan pilihan raya PBT bagi menegakkan demokrasi.

Menurut Ahmad Amzad yang juga bekas juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), pilihan raya berkenaan bukan suatu cadangan baru.

“Hari tu lagi kita telah menyatakan ketidaksetujuan kita daripada awal, memang niat DAP ini dia (nak) berkuasa di kawasan bandar.

“Bayangkan DBKL kita pergi sana masuk ofis semua dari segi kepentingan bumiputera di situlah peringkat PBT ini lah yang akan menumpukan dasar berkaitan dengan premis dan lain-lain yang dikeluarkan premis hiburan, judi dan sebagainya, awak bayang sendirilah apa yang akan jadi.

“Baru-baru ini pelbagai macam program yang nak dibawa masuk yang mana kelulusan premis, konsert dan sebagainya ini akan diluluskan oleh PBT,” katanya.

 – HARAKAHDAILY 20/12/2023

Tuesday, December 19, 2023

Cukuplah, kenapa perlu ada pilihan raya satu lagi - Ahmad Maslan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Dec 19, 2023 3:47 PM
Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak perlu diadakan kerana ia hanya akan mencetuskan kegusaran politik, demikian pandangan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya turut menzahirkan keyakinan Kerajaan Perpaduan tidak akan meluluskan syor Pengerusi DAP Kuala Lumpur Tan Kok Wai itu yang mencadangkan kerajaan memulakan pilihan raya PBT di ibu negara terlebih dahulu bagi menyemarakkan demokrasi di Wilayah Persekutuan.

“Pada pandangan saya, tidak perlu (pilihan raya PBT). Saya selaku ahli MKT (Umno), tidak mahu bertambah runcing perkauman di negara kita ini,” katanya kepada media selepas melawat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Kajang hari ini, sebagai mengulas gesaan Tan yang mahu kerajaan memulakan pilihan raya PBT di ibu negara sebagai langkah memperkukuh demokrasi.

Ahmad berkata pilihan raya PBT tidak perlu diadakan memandangkan sistem PBT itu sendiri seperti Majlis Perbandaran atau Dewan Bandaraya dianggotai oleh wakil pelbagai kaum.

“Cukuplah Pilihan Raya Negeri dan Parlimen, kenapa perlu ada pilihan raya satu lagi,” katanya.

Pilihan raya PBT di Malaysia digantung pelaksanaan pada 1960-an sebelum digantikan dengan sistem lantikan ketua iaitu Datuk Bandar dan Yang DiPertua Majlis termasuk ahli majlis.

- Bernama

Persempadanan semula: PAN jangan jadi khadam DAP

harakahdaily.com
December 19, 2023
Zaidy Abdul Talib

KUALA LUMPUR: DAP baru memberi cadangan tetapi Parti Amanah Negara (PAN) Selangor sudah siap meluluskan usul mendesak kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persempadanan semula kawasan parlimen di seluruh negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurut Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor, Zaidy Abdul Talib usul tersebut pula disokong sebulat suara oleh lebih 300 perwakilan yang hadir ke Konvensyen PAN Selangor 2023.

“Adakah menjadi pak turut kepada DAP adalah salah satu usaha mengukuhkan kerajaan perpaduan seperti yang diseru Pengerusi PAN Selangor?” katanya dalam kenyataan, hari ini

Maklumlah, ujarnya DAP mempunyai kerusi parlimen terbanyak dalam kerajaan hari ini.

“Sedarkah PAN bahawa DAP hanya gunakan mereka untuk menampakkan seolah-olah agenda persempadanan semula ini datang dari suara akar umbi orang Melayu?” tanya beliau.

Dulu, ujar beliau mantan Menteri Wilayah Persekutuan daripada PAN, Khalid Samad kata persempadanan semula pilihan raya cuma cerita dongeng tetapi hari ini PAN sendiri yang bantu merealisasikan hasrat DAP.

Tambahnya, PAN yang memegang 5 daripada 56 kerusi DUN di Dewan Negeri Selangor sepatutnya membawa suara Melayu Islam dan bukannya membawa naratif DAP yang merugikan bangsa sendiri.

“Kalian sudah mencapai usia 8 tahun dan sewajarnya sudah mumaiyiz untuk memilih antara baik dan buruk. Jangan hinakan diri dengan menjadi khadam kepada DAP,” katanya lagi. 

HARAKAHDAILY 19/12/2023

Kit Siang setuju dengan Dr M, sifatkan kejadian 'jarang berlaku'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Dec 19, 2023 3:16 PM
Dalam kejadian yang disifatkan "jarang berlaku" Lim Kit Siang mendapati dirinya bersetuju dengan Dr Mahathir Mohamad.

Ini selepas Mahathir berkongsi pendapatnya mengenai perdebatan mengenai perdana menteri bukan Melayu, dengan berkata melainkan orang Melayu menerimanya, keadaan akan kekal status quo.

Lim, yang sedang disiasat polis kerana membangkitkan senario ini, mengulangi bahawa dia sendiri tidak menjangkakan seorang Cina Malaysia atau India Malaysia akan menjadi perdana menteri untuk 100 tahun akan datang.

“Tetapi adakah akan mengambil masa 100 tahun sebelum seorang Dayak atau Kadazan, untuk menjadi perdana menteri Malaysia?” soalnya.

Mahathir berkata walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak merujuk kepada kaum atau agama berhubung individu yang boleh menjadi perdana menteri, dinamik perkauman akan menentukan kedudukan itu diterajui oleh seseorang daripada kaum majoriti.

“Di Singapura, perdana menteri sentiasa daripada majoriti kaum Cina sejak merdeka. Pulau Pinang tidak pernah mempunyai ketua menteri bukan Cina.

“Memandangkan keseimbangan kaum memihak kepada bukan Melayu, namun apabila Umno mempunyai bilangan kerusi terbanyak di bawah BN, ia memberi laluan kepada Gerakan.

“Jadi dengan cara yang sama, walaupun orang Melayu berpecah dari segi politik, mereka masih membentuk kaum majoriti. Sehingga dan melainkan majoriti Melayu merasakan mereka boleh menerima bukan Melayu sebagai perdana menteri, itu adalah status quo,” tambahnya.

Sementara itu, Lim kesal penjelasannya mengenai peruntukan perlembagaan berhubung perdana menteri kepada pelajar Malaysia di Manchester, England bulan lalu telah dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Dia berkata ia dilakukan untuk “meningkatkan rasa takut dan tidak selamat orang Melayu tentang masa depan yang ditambah pula dengan penggunaan pembohongan, kepalsuan, berita palsu dan ucapan kebencian secara tidak bertanggungjawab dan tidak berprinsip dalam era media sosial, membuatkan orang Melayu merasakan bahawa seorang perdana menteri bukan Melayu sudah dekat”.

Antara yang menggunakan hujah itu adalah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen MachangWan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Wan Ahmad Fayhsal menggesa Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya hanya orang Melayu-Islam boleh menjadi perdana menteri.

Pilihan Raya PBT: Impian DAP yang akan rosakkan kita

harakahdaily.com
December 19, 2023
SEMENTARA ada kuasa, kita ambil peluang laksanakan agenda kita. Kita bantu mereka jadi Perdana Menteri, mereka bantu kita laksanakan Pilihan Raya PBT.

Mungkin itulah yang berlegar dalam kepala pimpinan DAP apabila sekali lagi menunjukkan belang dengan menggesa supaya Pilihan Raya PBT di Kuala Lumpur diadakan segera.

Saya memahami bahawa sekiranya Pilihan Raya PBT Kuala Lumpur diadakan, maka wakil-wakil kaum Cina akan menang mudah di kawasan majoriti mereka.

Secara tidak langsung hasrat DAP untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai PBT yang diwakili oleh kaum Cina khususnya DAP dapat tercapai.

Dan saya yakin apabila pilihan raya ini dibenarkan di Kuala Lumpur, DAP akan buat gesaan yang sama di kawasan-kawasan lain yang memberi kelebihan kepada mereka sebagaimana ucapan Ahli Parlimen Cheras itu semalam,

“Kita tidak perlu untuk terus melaksanakan Pilihan Raya Tempatan di seluruh negara, tetapi kita boleh mula di Kuala Lumpur.”

Pilihan Raya PBT tidak lain hanya akan memanjangkan lagi dasar pecah perintah yang ditinggalkan penjajah. Justeru cadangan DAP langsung tidak membantu dalam memperkukuhkan perpaduan di Malaysia.

Perdana Menteri sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad juga telah menolak permintaan untuk mengembalikan Pilihan Raya PBT kerana ia boleh menimbulkan perbalahan kaum.

Malangnya hari ini, setelah Dato’ Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri dan Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi Timbalan Perdana Menteri, DAP kembali berani menuntut agar Pilihan Raya PBT dikembalikan.

Harapnya kerajaan serta Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu, Dr. Zaliha Mustafa tidak tunduk dengan gesaan DAP ini sebagaimana beliau tunduk kepada industri tembakau sebelum ini.

Umno juga yang menjadi sebahagian daripada Kerajaan Madani perlu bersuara dan konsisten menolak cadangan Pilihan Raya PBT.

KAMIL ARIF BAIHAGI
Pengerusi
SiswaPAS Malaysia

19 Disember 2023
 – HARAKAHDAILY 19/12/2023

Kenapa DAP minat sangat adakan pilihan raya PBT? - Hasmuni

hmetro.com.my
M Hifzuddin Ikhsan
am@hmetro.com.my
Hasmuni, gambar fail. FOTO NSTP

Alor Setar: Kerajaan perlu menimbangkan secara teliti cadangan DAP agar diadakan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelak ada pihak yang meraih laba atas angin secara mudah.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Hasmuni Hassan berkata, pilihan raya PBT dilihat sebagai sistem kompleks yang mempunyai impak positif dan negatif jika dilaksanakan.

Jelasnya, perkara itu perlu dipertimbangkan dengan teliti bagi memastikan keadilan dan keberkesanan dalam pemerintahan tempatan sebelum melaksanakannya.

"Kita bimbang ia hanya menjadi seperti 'tikus membaiki labu', malah lebih buruk lagi kerugian kepada rakyat apabila ada pihak meraih laba atas angin secara mudah.

"Persoalannya kenapa DAP berminat sangat hendak adakan semula Pilihan Raya PBT ini? Apa agenda sebenar mereka? Saya tidak tahu.

"Mereka tentu ada jawapan yang 'lebih besar' dari sekadar demokrasi yang diberi sebagai alasan mewajarkan pilihan raya PBT itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hasmuni berkata, PBT adalah peringkat paling bawah dan hampir kepada akar umbi dalam sistem pemerintahan negara dan pada peringkat daerah ia amat berkuasa.

Katanya, jawatan penting seperti Datuk Bandar, Yang Dipertua Majlis dan ahli majlis mempunyai kuasa terhadap sistem kutipan cukai, cukai pintu dan menggubal undang-undang kecil.

"Sebelum 1964, pilihan raya PBT pernah diadakan bagi memilih jawatankuasa di peringkat daerah atau kerajaan tempatan. Ia adalah warisan penjajah British. Ketika itu pegawai tertinggi PBT dan ahli majlis dipilih oleh rakyat.

"Ia dimansuh selepas 1964 disebabkan mahu mempercepatkan usaha pembangunan yang mana proses membangunkan kawasan dapat dilakukan terus melalui Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

"Ia sudah memadai. Letihlah jika ada satu lagi lapisan little Napoleon yang perlu dihadap dengan kerenah birokrasi dan politik PBT pula," katanya.

Beliau turut menjelaskan ada kebaikan pilihan raya PBT seperti ia lebih dekat dengan rakyat, fokus pada isu tempatan, membuka peluang pemimpin tempatan dan meningkatkan penyertaan rakyat.

Namun pada masa sama katanya, ia turut membawa keburukan antaranya kelemahan pembiayaan, ketidakseragaman pembangunan, kurangnya keupayaan menangani isu kebangsaan, potensi nepotisme dan kronisme serta kurangnya pakatan strategik.

Ahad lalu, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai yang juga Ahli Parlimen Cheras ketika Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan mencadangkan diadakan pilihan raya PBT bagi memperkukuh demokrasi di Wilayah Persekutuan.

Disiarkan pada: Disember 19, 2023 @ 1:42pm

‘Lim Kit Siang tidak bermimpi di siang hari’

harakahdaiy.com
December 18, 2023
Marzuki Mohamad

KUALA LUMPUR: “‘Impian Malaysia’ yang diperkatakan oleh veteran DAP, Lim Kit Siang itu bukan main-main. Ia bukan mimpi di siang hari. Ahli politik veteran DAP itu seorang yang amat berstrategi. Dia tidak bercakap kosong.”

Itu penegasan dibuat Datuk Dr Marzuki Mohamad yang merupakan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin sambil menambah bahawa beliau percaya pada masa ini, DAP telah membuat perkiraan untuk Pilihan Raya Ke-16 (PRU 16).

“Dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dijadualkan pada 2026, kawasan-kawasan Parlimen DAP yang berjumlah 40 pada ketika ini boleh bertambah satu kali ganda.

“Dengan trend sokongan semasa, DAP pasti menang di kawasan-kawasan ini,” dakwa beliau lagi.

Marzuki turut memberitahu, bahawa dengan kelebihan kuasa sebagai kerajaan, ‘gerrymandering’ juga boleh dibuat untuk menambah kawasan-kawasan 60:40 Melayu dan bukan Melayu.

“Kawasan-kawasan ini masih majoriti Melayu tetapi komposisi pengundi Melayu cuma 60 peratus.

“Dengan trend sokongan padu pengundi Cina kepada DAP dan parti sekutu DAP, Pakatan Harapan (PH) hanya memerlukan 20 peratus sokongan Melayu untuk menang di kawasan-kawasan ini.

“20 peratus sokongan Melayu ini akan dibekalkan oleh UMNO,” ujarnya.

Justeru, katanya lagi, beliau tidak mahu mengatakan pada ketika itu orang bukan Melayu akan menjadi Perdana Menteri.

“Mungkin belum lagi. Apapun hanya kuasa Allah SWT yang menentukan.

“Realiti politik telah berubah dan impian Lim Kit Siang itu bukanlah mimpi di siang hari. Ahli politik veteran DAP itu berkata benar,” katanya. 

HARAKAHDAILY 18/12/2023

Monday, December 18, 2023

Raja Gelek M Daud Kilau meninggal dunia

hemtro.com.my
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my
Datuk M Daud Kilau

Kuala Lumpur: Penyanyi bergelar Raja Gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau meninggal dunia pada usia 85 tahun di Hospital Teluk Intan, Perak, jam 4.40 petang tadi.

Berita ini disampaikan oleh anaknya, Ahmad Zain kepada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT).

Terdahulu, menerusi temubual sebelum ini Allahyarham mengakui tidak sihat, kebas kaki dan tangan, namun menganggap ia sekadar sakit orang tua.

Pernah juga tular mesej mengatakan penyanyi lagu Cek Mek Molek ini meninggal dunia pada Julai lalu namun segera dinafikan oleh pihaknya.

Sebelum ini, berita palsu kononnya bintang veteran itu meninggal dunia sudah beberapa kali terjadi antara Januari 2016 dan September 2022, kedua-duanya adalah sewaktu beliau dimasukkan ke wad Hospital Teluk Intan kerana mengadu sukar membuang air kecil dan alami paru-paru berair.

Disiarkan pada: Disember 18, 2023 @ 5:53pm

Langgar lari: DSP Nazri didakwa bunuh pelajar

malaysiakini.com
Diterbitkan: Dec 18, 2023 10:13 AM
Seorang pegawai kanan polis hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di Ipoh atas pertuduhan membunuh seorang pelajar sekolah menengah, Jumaat lepas.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Nazri Abdul Razak, 44, yang memasuki mahkamah sambil kepala ditutup dengan kain, berbaju putih dan berseluar hitam, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh yang berpangkat Deputi Superintendan (DSP), didakwa melakukan kesalahan membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di Ipoh, antara 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari, 15 Dis.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pegawai Pendakwa Raya Azlina Rasdi (Ketua), Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat, Timbalan Pendakwa Raya Wan Azimah Yaakob, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, Timbalan Pendakwa Raya Saiful Akmal Mod Said, Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani, Timbalan Pendakwa Raya J.S. Geetha dan Timbalan Pendakwa Raya Low Qin Hui.

Sementara tertuduh diwakili peguam Low Yap Loong.

Tiada jaminan ditawarkan ke atas tertuduh dan mahkamah menetapkan 7 Feb 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes, sementara menunggu laporan berkaitan, antaranya laporan kimia.

Pada 15 Dis lepas, tular di media sosial seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki dilanggar dan diseret oleh sebuah kereta di Jalan Taman Jati berhampiran SMK Jati di Meru, Ipoh dipercayai dipandu oleh seorang pegawai kanan polis berusia 44 tahun.

Kemalangan itu menyebabkan Muhammad Zaharif meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian dada dan abdomen.

Susulan itu, pegawai kanan polis berkenaan ditahan reman tiga hari bermula Sabtu, bagi membantu siasatan.

Sementara itu, abang mangsa Zarul Fitri, 29, dilihat berlinangan air mata ketika mengikuti sesi pertuduhan tersebut.

Terdahulu, suasana pilu menyelubungi perkarangan mahkamah apabila keluarga Muhammad Zaharif tiba bagi mengikuti pendakwaan kes berkenaan.

Bapa saudara mangsa Abdul Razak Judin, 48, ketika ditemui pemberita di luar perkarangan mahkamah berkata beliau bersama dua lagi saudara yang lain, hadir bagi mendengar pertuduhan kes hari ini.

“Setakat ini ibu bapa dan keluarga mangsa, Alhamdulillah sudah boleh menerima apa yang telah berlaku dan kita semua reda dengan pemergian arwah,” katanya.

Puluhan anggota polis turut dilihat mengawal sekitar perkarangan mahkamah, dan keadaan berada dalam keadaan terkawal.

Semalam, Jabatan Peguam Negara melalui kenyataan memaklumkan pegawai kanan polis terbabit dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini, dengan pihaknya mendapati terdapat keterangan yang mencukupi untuk mendakwa suspek atas kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

- Bernama

Lokman: Umno tak akan benarkan pilihan raya PBT

malaysiakini.com
Diterbitkan: Dec 18, 2023 
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Lokman Adam berkata parti itu tidak akan membenarkan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dilaksanakan.

Lokman berkata demikian ketika mengulas gesaan Pengerusi DAP Kuala Lumpur Tan Kok Wai agar pilihan raya itu dilaksanakan di Kuala Lumpur.

Malah Lokman mendakwa gesaan itu sebagai "sabotaj dalaman" oleh "dinasti Lim" terhadap kepimpinan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

"Selepas kenyataan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng berhubung isu perdana menteri bukan Melayu, kini giliran Tan pula mengulangi hasrat lama 'dinasti Lim' untuk pilihan raya PBT.

"...Kita tidak sesekali akan mengizinkan pilihan raya PBT diadakan. Kita akan lawan habis-habisan," kata Lokman dalam hantaran di Facebook semalam.

Dalam kenyataan semalam, Tan yang juga ahli parlimen Cheras berkata pelaksanaan pilihan raya PBT adalah usaha menegakkan demokrasi dan dapat menjadikan Kuala Lumpur sebuah ibu negara yang mampan, mengamalkan tadbir urus berkesan, bersih dan berpaksikan rakyat.

Pada masa ini, Kuala Lumpur hanya memiliki ahli parlimen dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ditadbir di bawah kerajaan persekutuan.

Sebelum ini, pihak yang membantah perkara itu - termasuk dalam kalangan Umno - memberi peringatan bahawa ia boleh membawa kepada ketidakstabilan kaum ekoran tanggapan orang Melayu tidak akan menang dalam pilihan raya tersebut.

Semalam, Pengerusi Veteran Umno Wilayah Persekutuan Mustapha Yaakub turut menyuarakan bantahan bernada sama.

"Veteran Umno faham hasrat DAP itu untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai PBT yang diwakili oleh ahli-ahli yang mewakili kaum Cina, khususnya DAP. Sudah pastinya kalau pilihan raya itu diadakan maka wakil-wakil masyarakat Cina akan menang mudah di kawasan majoriti mereka," katanya.

Dia turut berkata jika cadangan itu dilaksanakan, ia akan membawa kepada tuntutan sama di bandar-bandar lain seperti di Ipoh, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal turut mengkritik gesaan itu.

"Sejengkal demi sejengkal, Impian Malaysia Kit Siang bakal tertunai di bawah gagasan UMDAP," ciapnya di X, merujuk kepada Umno dan DAP.

Kali terakhir Malaysia mengadakan pilihan raya PBT pada 1963 dan berdepan penggantungan pada tahun berikutnya.

Penggantungan itu, yang sepatutnya bersifat sementara, namun dikekal pada 1976 apabila Parlimen meluluskan Akta Kerajaan Tempatan, yang memansuhkan pilihan raya PBT dan hanya memperuntukkan pelantikan ahli majlis.

Gesaan DAP supaya pilihan raya PBT diadakan di KL, pemimpin UMNO membisu

agendaily.com
18/12/2023
UMNO kini menjadi rakan politik dengan DAP bersama-sama dalam kerajaan campuran.

DAP secara terbuka membuat gesaan supaya pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur diadakan dengan segera.

Gesaan terbuka tersebut dibuat Pengerusi DAP Kuala Lumpur Tan Kok Wai atas alasan untuk menegakkan demokrasi, usaha selama ini yang diperjuangkan parti tersebut dan seringkali menerima bantahan UMNO sebelum ini.

Kok Wai berkata usaha untuk merealisasikan pilihan raya PBT perlu direalisasikan selari dengan perjuangan parti tersebut sejak sekian lamanya.

“DAP sebagai parti yang berpegang kepada perjuangan dan idealisme sentiasa mementingkan kebajikan rakyat dan akauntabiliti, adalah penting kita terus berusaha ke arah merealisasikan matlamat melaksanakan demokrasi tempatan.

“Kita tidak perlu meneruskan laksanakan pilihan raya PBT di seluruh negara, tetapi kita boleh bermula di Kuala Lumpur yang amat memerlukan demokrasi dalam proses pendemokrasian sistem pentadbiran ibu negara kita,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Kok Wai berucap semasakonvensyen DAP Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur pada Ahad.

Ahli Parlimen Cheras itu juga, memuji keputusan pentadbiran semasa memindahkan Kementerian Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun katanya, sama ada Kuala Lumpur berada di bawah kawalan langsung perdana menteri atau menteri Dr Zaliha Mustafa, undi pihak ketiga mesti dikembalikan.

Kali terakhir Malaysia mengadakan pilihan raya PBT pada 1963 dan berdepan penggantungan pada tahun berikutnya.

Penggantungan itu, yang sepatutnya bersifat sementara, namun dikekal pada 1976 apabila Parlimen meluluskan Akta Kerajaan Tempatan, yang memansuhkan pilihan raya PBT dan hanya memperuntukkan pelantikan ahli majlis.

Pakatan Rakyat yang dianggotai DAP, PKR dan PAS sebelum ini berjanji untuk mengembalikan semula pilihan raya PBT semasa pilihan raya umum 2008 dan 2013.

Namun manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) Pakatan Harapan tidak berjanji untuk kembalikan pilihan raya PBT tetapi menyatakan bahawa mereka akan “mengukuhkan demokrasi tempatan” dan menjadikan majlis tempatan lebih bertanggungjawab kepada rakyat setempat.

Ia juga berjanji untuk meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk mencerminkan aspirasi ini.

Namun begitu, Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad menolak permintaan untuk mengembalikan pilihan raya PBT, dengan alasan bahawa pilihan raya sedemikian mungkin menimbulkan perbalahan kaum.

Sunday, December 17, 2023

Veteran Umno WP bantah gesaan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur

malaysiakini.com
Diterbitkan: Dec 17, 2023 6:12 PM
Veteran Umno Wilayah Persekutuan berpandangan tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur pada masa ini kerana struktur pentadbiran sedia ada sudah memadai.

Pengerusinya Mustapha Yaakub berkata justeru pihaknya kesal dengan kenyataan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Tan Kok Wai yang membuat gesaan itu.

"Kita sudah ada wakil rakyat yang dipilih rakyat dalam pilihan raya bagi mewakili kesemua kawasan parlimen dalam Kuala Lumpur. Kita ada ahli majlis yang dilantik mewakili semua kaum untuk membantu datuk bandar.

"Jadi untuk apa perlukan pilihan raya lagi?" soalnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Tan yang juga ahli parlimen Cheras berkata pelaksanaan itu adalah usaha menegakkan demokrasi dan dapat menjadikan Kuala Lumpur sebuah ibu negara yang mampan, mengamalkan tadbir urus berkesan, bersih dan berpaksikan rakyat.

"Kita tidak perlu meneruskan laksanakan pilihan raya PBT di seluruh negara, tetapi kita boleh bermula di Kuala Lumpur yang amat memerlukan demokrasi dalam proses pendemokrasian sistem pentadbiran ibu negara kita," katanya.

Mengulas lanjut, Mustapha malah menyifatkan gesaan itu sebagai "terbawa-bawa dengan idealisme lama" dan mendakwa ia berbaur perkauman.

"Veteran Umno faham hasrat DAP itu untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai PBT yang diwakili oleh ahli-ahli yang mewakili kaum Cina, khususnya DAP. Sudah pastinya kalau pilihan raya itu diadakan maka wakil-wakil masyarakat Cina akan menang mudah di kawasan majoriti mereka," dakwanya.

"Kami berharap kepimpinan baru DAP akan dapat membendung cara berfikir pengerusi DAP Kuala Lumpur. Jangan ada lagi sebarang usaha untuk membakar dan menyemarakkan rasa benci dan perkauman diantara parti-parti gabungan dalam kerajaan perpaduan," katanya lagi.

Mustapha turut berpandangan jika cadangan itu dilaksanakan, ia akan membawa kepada tuntutan sama di bandar-bandar lain seperti di Ipoh, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Kali terakhir Malaysia mengadakan pilihan raya PBT pada 1963 dan berdepan penggantungan pada tahun berikutnya.

Penggantungan itu, yang sepatutnya bersifat sementara, namun dikekal pada 1976 apabila Parlimen meluluskan Akta Kerajaan Tempatan, yang memansuhkan pilihan raya PBT dan hanya memperuntukkan pelantikan ahli majlis.

Pakatan Rakyat yang dianggotai DAP, PKR dan PAS sebelum ini berjanji untuk mengembalikan semula pilihan raya PBT semasa pilihan raya umum 2008 dan 2013.

Namun manifesto pilihan PRU14 PH tidak berjanji untuk mengembalikan pilihan raya PBT tetapi menyatakan bahawa mereka akan "mengukuhkan demokrasi tempatan" dan menjadikan majlis tempatan lebih bertanggungjawab kepada rakyat setempat.

Ia juga berjanji untuk meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk mencerminkan aspirasi ini.

Namun begitu, Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad menolak permintaan untuk mengembalikan pilihan raya PBT, dengan alasan ia mungkin menimbulkan perbalahan kaum.

DAP gesa pilihan raya PBT di Kuala Lumpur

malaysiakini.com
Diterbitkan: Dec 17, 2023 

Pengerusi DAP Kuala Lumpur Tan Kok Wai menggesa pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu negara dilaksanakan dalam usaha menegakkan demokrasi.

Dia berkata pelaksanaan pilihan raya PBT akan membawa kepada ibu negara yang mampan, mengamalkan tadbir urus berkesan, bersih dan berpaksikan rakyat.

“DAP sebagai parti yang berpegang kepada perjuangan dan idealisme sentiasa mementingkan kebajikan rakyat dan akauntabiliti, adalah penting kita terus berusaha ke arah merealisasikan matlamat melaksanakan demokrasi tempatan.

“Kita tidak perlu meneruskan laksanakan pilihan raya PBT di seluruh negara, tetapi kita boleh bermula di Kuala Lumpur yang amat memerlukan demokrasi dalam proses pendemokrasian sistem pentadbiran ibu negara kita," katanya pada konvensyen DAP Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur, hari ini.

Tan, yang juga ahli parlimen Cheras, memuji keputusan pentadbiran semasa memindahkan Kementerian Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun katanya, sama ada Kuala Lumpur berada di bawah kawalan langsung perdana menteri atau menteri Dr Zaliha Mustafa, undi pihak ketiga mesti dikembalikan.

Kali terakhir Malaysia mengadakan pilihan raya PBT pada 1963 dan berdepan penggantungan pada tahun berikutnya.

Penggantungan itu, yang sepatutnya bersifat sementara, namun dikekal pada 1976 apabila Parlimen meluluskan Akta Kerajaan Tempatan, yang memansuhkan pilihan raya PBT dan hanya memperuntukkan pelantikan ahli majlis.

Pakatan Rakyat yang dianggotai DAP, PKR dan PAS sebelum ini berjanji untuk mengembalikan semula pilihan raya PBT semasa pilihan raya umum 2008 dan 2013.

Namun manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) Pakatan Harapan tidak berjanji untuk kembalikan pilihan raya PBT tetapi menyatakan bahawa mereka akan "mengukuhkan demokrasi tempatan" dan menjadikan majlis tempatan lebih bertanggungjawab kepada rakyat setempat.

Ia juga berjanji untuk meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk mencerminkan aspirasi ini.

Namun begitu, Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad menolak permintaan untuk mengembalikan pilihan raya PBT, dengan alasan bahawa pilihan raya sedemikian mungkin menimbulkan perbalahan kaum.

Saturday, December 16, 2023

Barang Dijual Dalam Talian Bawah RM500 Kena Cukai 10 Peratus Mulai 1 Januari

malaysiatoday.net
BERITA
By MT Webmaster
On Dec 16, 2023

(Bernama) – Malaysia akan mula mengenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus ke atas barang bernilai rendah (LVG) yang dijual secara dalam talian mulai 1 Januari 2024, demikian menurut Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Malaysia sepatutnya mengenakan cukai LVG sebanyak 10 peratus ke atas barangan berharga di bawah RM500 yang dijual secara dalam talian berkuat kuasa 1 April, 2023, di bawah Belanjawan 2022, tetapi telah ditangguhkan oleh jabatan kastam pada Mac tahun ini.

Menerusi Soalan Lazim mengenai cukai jualan LVG yang diterbitkan di laman sesawang JKDM pada 6 November 2023, jabatan itu berkata, pengenaan cukai jualan ke atas LVG akan bermula pada 1 Januari 2024, walaupun perundangan cukai jualan ke atas LVG telah berkuat kuasa mulai 1 Januari, 2023.

JKDM mentakrifkan LVG sebagai semua barangan — tidak termasuk rokok, produk tembakau, minuman keras yang memabukkan, rokok elektronik, dan penyediaan sejenis yang digunakan untuk merokok — yang dijual pada harga tidak melebihi RM500, dan dibawa masuk ke Malaysia melalui jalan darat, laut atau udara.

Mereka yang menjual LVG di platform dalam talian atau mengendalikan pasaran dalam talian untuk penjualan dan pembelian LVG mesti mendaftar dengan JKDM jika jumlah nilai jualan LVG yang dibawa masuk ke Malaysia melebihi RM500,000 dalam tempoh 12 bulan.

Secara berasingan, JKDM turut menerbitkan satu set garis panduan mengenai pelaksanaan cukai jualan LVG di portalnya bertarikh 3 November 2023.

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut, orang ramai boleh mengunjungi laman sesawang JKDM di http://www.customs.gov.my/en/pages/main.aspx.

Sementara itu, menurut Warta Kerajaan Persekutuan yang diterbitkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 8 Disember 2023, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menandatangani Akta Cukai Jualan (Pindaan) 2022: Penetapan Tarikh Efektif Bagi Mengenakan dan Melevikan Jualan Cukai Barang Bernilai Rendah (LVG) pada 4 Disember 2023.

“Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen 1(3) Akta Cukai Jualan (Pindaan) 2022 [AktaA1671], Menteri menetapkan 1 Januari 2024 sebagai tarikh efektif bagi mengenakan dan melevikan cukai jualan bagi barang bernilai rendah,” demikian menurut warta tersebut.

Cadangan PM bukan Melayu dibuat Kit Siang serlah imej sebenar DAP: PAS

agendaily.com
16/12/2023
Tan Sri Lim Kit Siang.
PAS menyifatkan kenyataan dibuat Tan Sri Lim Kit Siang berhubung isu Perdana Menteri bukan Melayu adalah imej sebenar DAP yang sebenarnya mahu mewujudkan sebuah negara sekular sepenuhnya di Malaysia.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya berkata sejak daripada awal lagi penubuhan DAP adalah untuk mewujudkan negara sekular sepenuhnya dan kenyataan pemimpin veteran DAP itu menunjukkan matlamat sebenar parti tersebut.

“Walau bagaimanapun, kenyataan tersebut tidaklah menghairankan memandangkan DAP juga turut bercita-cita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara sekular sebagaimana yang dinyatakan dalam Perlembagaan DAP sendiri,” katanya dipetik portal Harakah Daily.

Tambah beliau, ironinya masih ada yang sanggup mempertahankan kenyataan provokatif sedemikian rupa.

“Bukankah ia boleh mendorong kepada ketidakstabilan dan perpecahan kaum yang ketara kemudiannya?

“Kenyataan tersebut menzahirkan imej sebenar DAP yang banyak menjadi punca perpecahan fabrik sosial masyarakat dalam negara.

“Mereka berpegang kepada Deklarasi Setapak yang menyatakan prinsip kesamarataan mutlak sekaligus menghapuskan keistimewaan yang diberikan Perlembagaan Persekutuan kepada orang Melayu-Islam,” soalnya.

Oleh itu, beliau menyeru agar seluruh parti Melayu-Islam agar dapat kembali bertaut di bawah satu panji yang sama.

Beliau menegaskan bahawa gagasan penyatuan ummah harus kembali ditegakkan dalam medan politik negara bagi mengenepikan agenda songsang yang diperjuangkan oleh DAP.

“Seruan ini bukanlah mesej ke arah rasisme, tetapi memandu kestabilan negara yang adil kepada semua.

“Kita harus bangkit menolak idea yang boleh memecah belahkan masyarakat dalam negara,” katanya

Mujahid: Hari ini dilihat kerdil, Amanah akan jadi 'idola' di masa depan

malaysiakini.com
Aedi Asri Abdullah & Shamz Johan & Seth Akmal
Diterbitkan: Dec 16, 2023 9:00 AM
WAWANCARA | Meniti pemilihan parti Amanah akhir bulan ini, paling hangat diperkatakan adalah mengenai kedudukan kerusi presiden yang kini diterajui veteran politik dan antara pengasas parti iaitu Mohamad Sabu.

Sejak beberapa lama juga wujud gesaan agar Amanah menampilkan pucuk kepimpinan baru, termasuk bagi jawatan presiden. Pada masa sama, kerusi timbalan presiden juga kosong susulan kematian penyandangnya, Salahuddin Ayub pada Julai lalu.

Seorang lagi pengasas parti dan naib presiden Mujahid Yusof berkongsi harapannya terhadap Amanah dan cabaran-cabaran yang mendepani parti itu pasca pemilihan nanti.

Menjawab persoalan kedudukan presiden, dia sependapat dengan Mohamad - atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu - dengan menyerahkan perkara itu kepada perwakilan dan 27 anggota jawatankuasa pimpinan yang bakal terpilih nanti.

"Pendirian saya sama dengan presiden. Keterujaan ahli untuk melihat Amanah maju ke depan, mungkin di atas keperluan wajah (pemimpin) baru, saya tidak boleh nak sekat keterujaan itu.

"Terpulang kepada ahli-ahli untuk membuat pilihan terbaik, siapa yang mereka rasa sesuai untuk dipilih di kalangan 27 yang terbaik. Kemudian, dalam kalangan 27 orang ini yang akan sama-sama berunding siapa yang layak (menjadi presiden), siapa saja yang berada dalam kalangan 27 orang itu, layaklah menjadi presiden," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini pada 13 Disember lalu.
Pemilihan Amanah berbeza dengan amalan kebanyakan parti lain. Amanah tidak mengamalkan pemilihan jawatan utama dari peringkat tertinggi hingga ke akar umbi melalui undian langsung.

Sebaliknya perwakilan hanya memilih sejumlah calon - bagi peringkat nasional, 27 orang - dan kemudian berbincang untuk mengenal pasti siapakah antara mereka sesuai dilantik menjadi ketua serta jawatan lain.

Parti tak lagi dipinggir

Mujahid membayangkan tanggungjawab berat bakal dipikul mana-mana individu yang dipilih sebagai presiden nanti.

Antara tanggungjawab itu, katanya, adalah memperkukuh struktur dalaman agar Amanah dapat berkembang "dalam keadaan disiplin", dengan membangkitkan apa yang terjadi kepada parti itu semasa pentadbiran PH di bawah Dr Mahathir Mohamad.

Ketika itu, dia berkata Amanah terbiar tidak terjaga apabila kebanyakan pemimpin utamanya dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.

"Kita mengaku hal ini. Tiba-tiba pada 2020 kerajaan jatuh, ketika itu kita bersetuju bahawa inilah peluang dan masa terbaik untuk bina semula parti," katanya, sambil menambah dia ditugaskan untuk mengendalikan perkara itu, menerusi pembentukan sebuah modul untuk meningkatkan kefahaman ahli berkenaan dasar dan perjuangan parti.

"Tiba-tiba jadi kerajaan balik (selepas PRU15). Kami belajar daripada pengalaman lalu dan berazam untuk tidak lagi tinggalkan parti," katanya.
Bekas menteri itu juga berkata presiden perlu mengukuhkan hubungan dengan parti-parti lain dalam kerajaan serta memastikan Amanah sentiasa melontarkan idea-idea yang dapat dijadikan asas kepada dasar kerajaan.

"Seperti mana pernah diutarakan Salahuddin yang terkenal dengan Rahmah. Hari ini ia nama yang dikenali semua di Malaysia. Kita perlu lebih banyak idea maka orang akan tahu peranan Amanah walaupun dilihat sebagai parti yang junior dan kerdil.

"Kena pastikan walau ada tanggapan kata Amanah tiada tokoh besar, idea-idea Amanah mempengaruhi masyarakat dan negara, seperti Rahmah.

"Lima tahun ke depan, sesiapa saja yang jadi presiden perlu menumpukan perkara ini...Insya-Allah saya yakin, hari ini orang kata Amanah kerdil, di masa depan ia akan jadi idola rakyat," katanya lagi.

Takkan ada perpecahan

Amanah ditubuhkan pada 2015 susulan krisis dalaman PAS. Ketika itu, sejumlah pemimpin PAS diketuai Mohamad - ketika itu timbalan presiden - bertindak keluar parti dan menubuhkan Amanah.

Mengimbas detik-detik awal Amanah, Mujahid berkata parti itu dipimpin secara kolektif dan menolak tanggapan "seniority" sebagai faktor dalam menentukan kepimpinan parti.

"Sejak menubuhkan Amanah, tidak pernah ada isu seniority. Kita akui bila berdepan dengan PKR yang meletakkan Anwar Ibrahim sebagai ikon, DAP pula dengan Lim Guan Eng, manakala Bersatu dengan Dr Mahathir Mohamad, tetapi Amanah?
"Kita tak pernah menyatakan ikon kita adalah Mat Sabu, tapi bersetuju untuk menyatakan kita adalah kepimpinan kolektif," tegasnya sambil memberikan contoh Khalid Samad yang lantang sebagai "panglima" (warlord), Dzulkefly Ahmad sebagai perangka strategi dan Salahuddin sebagai "diplomat" yang sering mewakili parti dalam rundingan.

Ditanya berkenaan kebimbangan persaingan dalam pemilihan nanti akan membawa kepada perpecahan dalaman, Mujahid berkata Amanah tidak sukar dikawal ekoran usianya yang masih muda.

Katanya lagi, dasar "rahmatan lil alamin" yang dipegang juga menjadikan setiap persaingan dan lontaran pandangan bebas dibuat tetapi secara beradab, selain perlembagaan parti yang tidak membenarkan jawatan tertinggi dipertandingkan secara terbuka.

"Saya tak nampak tahap persaingan hari ini (membawa perpecahan)...Kalau banding dengan parti-parti lain, baik sangat Amanah ini.

"Susah (untuk berpecah) melainkan ada orang yang teruk sangat, tak tahu perlembagaan parti dan kata 'aku nak jadi presiden'," kata Mujahid.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-