Thursday, June 30, 2016

'Dulu LGE minta orang lain bercuti, sekarang?'

MCA mengingatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bahawa rakyat sedang memerhati sama ada beliau cakap serupa bikin dengan bercuti sementara menunggu kes pendakwaan rasuah terhadapnya selesai.

“Sebelum ini, dia minta orang lain letak jawatan dan bercuti.

"Sekarang giliran kamu, rakyat akan lihat apa dia mahu buat,” kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga menteri pengangkutan.

Liow berkata ketika selepas pelancaran jajaran LRT Kelana Jaya dan Ampang di Putra Heights, Puchong hari ini.

Ditanya lagi sama ada Lim patut bercuti, Liow berkata:

“Saya serah pada dia. Kerana rakyat memerhati.

“Dia patut ada kebijaksanaan itu.”

Liow sebelum itu mengingatkan Malaysiakini supaya tidak memutar belit kenyataannya.

Beliau juga berkata Malaysia mengamalkan sistem perundangan yang baik.

“Kita semua tahu kita sebuah negara demokratik. Proses pendakwaan telus.

“Biar dia jawab di mahkamah,” katanya merujuk dakwaan tuduhan terhadap Lim bermotif politik.

Lim yang juga setiausaha agung DAP hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi George Town atas dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo bawah nilai pasaran.

Bagi pertuduhan pertama Lim, sebagai penjawat awam Pulau Pinang, didakwa menggunakan kedudukan untuk suapan bagi diri dan isteri, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Dia didakwa bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Lim juga didakwa mendapatkan lot tanah dan rumah di George Town daripada ahli perniagaan Phang Li Koon bawah harga pasaran ketika mengetahui Phang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya (Lim).

Bagi pertuduhan itu Lim didakwa bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

[Baca berita asal]

Rasuah: Bila fitnah makan diri

Editor: Adamyan
WIRID DAP dalam politik di Malaysia ni dua saja, rasuah dan perkauman atau dalam bahasa ibunda mereka, corrupt & racist. Jangan salah sikit sajalah orang UMNO ni kang, rasuah sesaja, rasis sesaja, takdelah lain melainkan dua tu.

Datuk Seri Najib saja sebagai contoh.

Bila melata pembohongan mengenai 1MDB dan dana RM 2.6 billion, bukan main sakan orang DAP menuduhnya perasuah, walhal dimana kepentingan peribadi yang diperoleh yang nak kata rausah? Takde pun, tapi ada ke puak-puak ni peduli?

Hari-hari Najib digelar macam-macam, pencurilah, perompaklah, rasuahlah, takde pun masuk Mahkamah lagi, jangan kata dijatuh hukumlah kan.

Penyudahnya sekarang tengok, siapa yang masuk Mahkamah hari ini sebab rasuah? Kepala DAPlah, siapa lagi. Walaupun baru nak didakwa tapi malu, memang malu. Sebab banyak sangat mengata orang kan, rupanya orang sendiri yang berkebarangkalian masuk ke dalam.

Yang orang UMNO hampir setiap hari dituduh rasuah ni, takde pulak masuk Mahkamah, dia yang jarang-jarang disebut dan dikaitkan ini pulak masuk Mahkamah dahulu – sebab rasuah.

Pengajaranlah ni kepada pemimpin pembangkang dan penyokong yang banyak mulut tu. Jangan cakap meningi diri macam malaikat sangat, ingat, orang DAP pun manusia biasa jugak, boleh buat silap pada bila-bila masa.

Satu lagi, tolonglah hormat undang-undang. Yang berkumpul pegang lilin apa segala tu jadah apa? Ini bukan pertama kali yang berkenaan dibicara di Mahkamah. Sebelum ni pun dia dah pernah menghadapi prose sama, malah dihukum penjara selama satu tahun pun.

Biarlah proses pengadilan berjalan tanpa gangguan, bersepah pun peguam DAP membantunya tu, apa masalahnya?

Guan Eng didakwa di bawah Akta SPRM hari ini

Guan Eng ditahan pegawai SPRM. - Foto Sinar Harian
GEORGETOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Khoon akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang di sini hari ini di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Guan Eng dan Li Khoon ditahan SPRM semalam berhubung isu pembelian banglo oleh Guan Eng di Jalan Pinhorn di sini dengan harga RM2.8 juta yang dikatakan di bawah harga pasaran hartanah di kawasan itu.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dijadual mengetuai barisan pendakwaan.

SPRM dalam kenyataan semalam berkata pendakwaan terhadap Guan Eng dan Li Khoon dijadual pada jam 10 pagi.

Sementara itu, polis menjalankan kawalan ketat di kawasan mahkamah bagi memastikan kelancaran proses pendakwaan hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, beberapa jalan utama ke mahkamah ditutup dan hanya peguam bela, keluarga dan kenalan rapat Guan Eng dan Li Khoon dibenarkan berada di kawasan mahkamah.

[ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng akan didakwa esok pagi]

"Penyokong dan mereka yang tidak berkaitan tidak dibenarkan berada dalam kawasan mahkamah atas faktor keselamatan. Polis akan mengambil tindakan jika ada yang engkar dengan arahan polis," katanya ketika dihubungi.

Guan Eng sebelum ini disiasat SPRM berhubung pembelian sebuah banglo di Jalan Pinhorn di sini dengan harga RM2.8 juta daripada Li Khoon dan dikatakan di bawah harga pasaran.

Pada Mei lepas, Guan Eng dan isterinya Betty Chew memberi keterangan di pejabat SPRM berhubung siasatan pembelian banglo itu dan penjualan tanah di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin di sini bagi membina rumah mampu milik kepada sebuah syarikat swasta.

Isu pembelian banglo dan penjualan tanah di Taman Manggis itu dibangkitkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya pada persidangan Dewan Rakyat pada Mac lepas. - Bernama

Kronologi kes penahanan Guan Eng

Guan Eng
GEORGETOWN - Berikut adalah kronologi kes penahanan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini:

17 Mac 2016: Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya meminta menyiasat isu pembelian hartanah di bawah harga pasaran bernilai RM2.8 juta oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng di Jalan Pinhorn, George Town pada persidangan Dewan Rakyat di Parlimen.

18 Mac: Lim mendakwa transaksi pembelian rumahnya itu dibuat secara rela hati antara pembeli dan penjual, Phang Li Koon tanpa sebarang paksaan.

18 Mac: SPRM mula menerima laporan berhubung isu pembelian rumah banglo pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran daripada pelbagai pihak termasuk parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO).

19 Mac: Lim menggesa SPRM menyegerakan siasatan berhubung transaksi pembelian rumahnya di Jalan Pinhorn.

20 Mac: Lim membawa petugas media melawat rumahnya di Jalan Pinhorn.

22 Mac: Phang membuat akuan berkanun menjelaskan beliau menjual banglo itu atas dasar rela hati antara pembeli dan penjual yang dipersetujui melalui perjanjian bertarikh 23 Jun 2014.

23 Mac: SPRM terima lapan aduan daripada pelbagai pihak berhubung isu pembelian banglo ketua menteri.

1 April: Phang memberi keterangan berhubung pembelian banglo oleh ketua menteri di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

2 April: Polis melengkapkan kertas siasatan berhubung kandungan akuan berkanun Phang yang didakwa mempunyai maklumat palsu.

17 April: SPRM menasihatkan semua pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu pembelian banglo ketua menteri.

6 Mei: Lim dan isteri Betty Chew serta Phang dan pemilik Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) Datuk Tang Yong Chew memberi keterangan kepada SPRM.

7 Mei: Lim sekali lagi hadir untuk direkodkan keterangan berhubung isu pembelian banglo di pejabat SPRM Pulau Pinang.

22 Mei: Pegawai SPRM hadir di rumah Lim untuk mengambil keterangan berhubung pembelian banglonya.

25 Mei: Kertas siasatan Lim dikemukakan kepada Peguam Negara.

6 Jun: Kertas siasatan banglo Lim dikembalikan kepada SPRM untuk siasatan lanjut.

29 Jun: Lim ditahan SPRM di tingkat 28 bangunan Komtar pada pukul 5.45 petang, manakala Phang ditahan pada pukul 4.15 petang di pejabatnya di Tingkat 6, Penang Garden.
- Bernama

Wednesday, June 29, 2016

Guan Eng akan didakwa esok pagi

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 JUN 2016
Guan Eng telah ditahan di pejabatnya di Tingkat 28 Bangunan Komtar pada jam 5.45 petang. - Foto Sinar Harian

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat pertuduhan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengikut Akta SPRM 2009 pagi esok di Mahkamah Sesyen, Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Komunikasi Strategi SPRM, selain Guan Eng, terdapat seorang lagi wanita bergelar ahli perniagaan akan dituduh di mahkamah sama.

Sementara itu, dalam kenyataan SPRM sebelum itu, setiausaha agung DAP itu dan wanita berkenaan ditahan petang tadi selepas SPRM mendapat arahan dari Pejabat Peguam Negara untuk menuduh mereka di mahkamah.

"Guan Eng telah ditahan di pejabatnya di Tingkat 28 Bangunan Komtar pada jam 5.45 petang.

"Sementara itu, wanita berkenaan ditahan jam 4.15 petang di pejabatnya di Penang Garden hari ini," kata kenyataan itu.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng ditahan SPRM sebentar tadi]

Guan Eng ditahan sebaik habis mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di Komtar tadi.

Beliau dibawa ke pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini kira-kira jam 6.20 petang dengan menaiki kereta milik kerajaan negeri.

Sebelum ini, Guan Eng telah dipanggil memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang bagi membantu siasatan terhadap kes pembelian banglonya di Jalan Pinhorn yang mencetuskan kontroversi setelah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya ketika Sidang Dewan Rakyat April lalu.

Selain itu, difahamkan penahanan Guan Eng itu berkemungkinan berkait dengan isu banglo terbabit.

Bagaimanapun, dalam usaha menahan Ahli Parlimen Bagan itu, pihak SPRM telah mengambil tindakan dan bekerjasama dengan pasukan polis yang turut kelihatan di sekitar pekarangan Komtar.

Kehadiran anggota polis itu difahamkan bagi menjaga ketenteraman dan mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.

IGP sahkan mufti Pahang disiasat bawah Akta Hasutan

Alyaa Alhadjri
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengesahkan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman akan disiasat di bawah Akta Hasutan ekoran kenyataan 'kafir harbi' yang dikeluarkan beliau terhadap DAP dan orang bukan Islam yang kononnya menentang Islam.

"Polis telah menerima dua laporan pada 26 Jun, satu di Pulau Pinang dan satu lagi di Dang Wangi.

"Kami telah membuka kertas siasatan di bawah Akta Hasutan supaya membolehkan kita menyiasat," kata Khalid pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini.

Abdul Rahman dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada Jumaat lepas menyamakan DAP dengan 'kafir harbi' atau bukan Islam yang menentang Islam dibenarkan untuk dibunuh.

Beliau kemudian mempertahankan kenyataannya tetapi menjelaskan ia tidak hanya ditujukan kepada DAP tetapi semua yang menentang Islam.

Bagaimanapun, hari ini, pejabat perdana menteri menyatakan jemaah menteri telah memutuskan bahawa rakyat bukan Islam negara ini tidak boleh dikategorikan sebagai kafir harbi selagi mereka mempunyai kerakyatan yang sah dan dilindungi oleh undang-undang negara serta tidak memerangi pemerintah.

Kata pejabat itu lagi, kenyataan Abdul Rahman menimbulkan kontroversi kerana ia telah diselewengkan.

'PAS tak keberatan bantu BN rampas Selangor jika terus sendirian'

Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa matlamat PAS pada pilihan raya umum akan datang adalah memastikan DAP dan Pakatan Harapan tidak boleh membentuk kerajaan negeri Selangor.
Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata, PAS akan dengan sengaja membantu BN untuk merampas kembali Selangor jika ia tetap berkeras untuk terus bersendirian pada pilihan raya umum akan datang dan tidak mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

Beliau berkata berdasarkan pilihan raya kecil berkembar di Kuala Kangsar dan Sungai Besar adalah jelas bahawa sekiranya PAS dan Pakatan Harapan bertanding dalam pertandingan tiga penjuru, ia hanya menguntungkan BN.

“PAS tidak begitu kisah samada BN jatuh atau tidak. Yang penting bagi PAS sekarang adalah DAP dan Pakatan Harapan tidak boleh membentuk kerajaan.

“Kalau PAS inginkan kemenangan sekalipun, ia bukan untuk menjatuhkan BN. Kalau menang sekalipun tidak semestinya PAS akan bersama Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan.

“Mungkin sekiranya terpaksa, PAS juga tidak keberatan untuk membentuk kerajaan dengan BN,” katanya dalam satu kenyataan media.

Melihat kepada kemenangan BN pada pilihan raya kecil berkembar itu, Khalid berkata, PAS sepatutnya berunding dan bekerjasama dengan Pakatan Harapan sekiranya mereka menganggap BN sebagai sebuah parti lawan dan ingin menjatuhkan parti berkenaan.

"PAS mengambil keputusan untuk bersendirian dan oleh itu amat jelas PAS yang berpecah dari Pakatan Rakyat asalnya dan Pakatan Harapan ketika ini.

"Walau apa pun hujah dan alasan, hakikatnya apabila PAS bersendirian dan Pakatan Harapan terdiri dari tiga (parti), PAS yang berpecah dan berasingan.
"Oleh itu, sekiranya PAS melihat BN sebagai lawannya dan menjatuhkan BN penting demi kepentingan rakyat dan negara, sudah pasti paling tidak PAS akan berunding dan berkerjasama dengan Harapan atau pun menyertainya seperti sebelum ini di dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Pada pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, BN berjaya mengekalkan kerusi di kedua-dua parlimen itu.

Di Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid menewaskan tiga calon lain daripada AMANAH, PAS dan Bebas dengan majoriti 6,969 undi.

Manakala di Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi menewaskan calon PAS dan AMANAH dengan majoriti yang meningkat sebanyak 9,191 undi.

Tuesday, June 28, 2016

Apakah Ahmad Husni kecewa tiada dalam Kabinet, letak semua jawatan

BANGI, Isnin – Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang tiada dalam senarai baharu Kabinet Datuk Seri Najib Razak, hari ini, mengumumkan peletakan semua jawatan dalam parti, termasuk sebagai Bendahari UMNO dan Bendahari Agung Barisan Nasional (BN).

Peletakan semua jawatan itu disahkan Setiausaha Politiknya, Datuk Shamsul Zairil Kamaruddin melalui kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Beliau turut meletak jawatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Timbalan Pengerusi BN Perak, Ketua UMNO Bahagian Tambun dan Pengerusi BN Parlimen Tambun.

Tindakan beliau meletak semua jawatan, kecuali sebagai Ahli Parlimen Tambun yang disandang sejak 1995, menimbulkan banyak persoalan, apa lagi namanya tidak tersenarai dalam Kabinet baharu Najib hari ini.

Bagaimanapun, Najib ketika mengumumkan Kabinetnya petang tadi, menyatakan bahawa Ahmad Husni meletak jawatan.

Najib turut mengumumkan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani mengisi kekosongan ditinggalkan Ahmad Husni, manakala Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz pula sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Monday, June 27, 2016

Wakil rakyat BN Sabah keluar Umno bantah gantung Shafie

ADUN Sulabayan dari BN, Jaujan Sambakong mengumumkan beliau keluar daripada Umno.

"Saya telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Umno," kata Naib Ketua Umno Bahagian Semporna kepada Malaysiakini.

Beliau berkata Pengerusi Tetap Umno Semporna, Datu Eranza Datu Saribu turut keluar parti bersama-sama dengan 19 ahli jawatankuasa dan akar umbi Umno Semporna.

Bagaimanapun, Jaujan berkata, beliau akan kekal sebagai ADUN dan menyerahkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali untuk membuat keputusan mengenai statusnya.

Tindakan sedemikian muncul selepas Majlis Tertinggi Umno menggantung Ketua Umno bahagian Semporna yang juga Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Jumaat lepas.

[Baca berita penuh]

Hati-hati simpati rakyat untuk Muhyiddin, Mukhriz

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
27 JUN 2016
Muhyiddin, Mukhriz
SHAH ALAM – Penganalisis politik menyarankan Umno agar berhati-hati selepas keputusan Majlis Tertingginya (MT) memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir kerana ia akan mengundang simpati rakyat.

Menurut Pensyarah Kanan Universiti Selangor (Unisel), Dr Shamsinor Abdul Azzis, kedua-dua pemimpin itu mempunyai pengaruh dan sokongannya tersendiri.

“Umno perlu berhati-hati terhadap persepsi negatif rakyat umum yang simpati dengan dua tokoh ini di mana mereka dilihat mengangkat isu persepsi negatif kepimpinan Umno tapi dipecat pula.

“Rakyat akan menilai. Harus diingat Muhyiddin orang lama di Johor...ada penyokong dan Mukhriz pula dianggap sebagai ikon pemimpin sehingga BN dapat membentuk kerajaan negeri di Kedah,” katanya kepada Sinar Online.

Menurutnya, meskipun penyokong Umno akan terus bersama Umno pasca pemecatan itu tetapi golongan atas pagar atau orang awam melihat Umno gagal selesaikan isu Muhyiddin dan Mukhriz secara harmoni.

“Perkara utama yang perlu diperhalusi dan diselesaikan oleh Umno adalah persepsi terhadap isu yang dibawa oleh Muhyiddin dan Mukhriz yang masih belum dijawab dengan kemas kepada pengundi umum.

“Dalam mana-mana pilihan raya, golongan atas pagar yang kelihatan 'sepi tapi terus tajam memerhati' ini adalah penentu kemenangan. BN dan Pakatan Harapan serta Pas sedang dinilai oleh mereka.

“Mereka akan sokong kepada parti yang mengangkat isu yang rapat dgn mereka. Bukan parti yang rakus berpolitik tapi tidak prihatin keperluan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya Umno perlu menyelak kembali sejarah di mana BN pernah kehilangan Selangor di sebalik keghairahan memenangi Dun Ijok.

“Kemenangan dua PRK (Sungai Besar dan Kuala Kangsar) sebelum ini perlu juga dianalisis dengan perbandingan kemenangan BN di Dun Ijok sebelum PRU12. Di sebalik keghairahan dengan kemenangan di Ijok, BN kemudiannya itu 'hilang' negeri Selangor,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kemarahan penyokong Umno terhadap keputusan pemecatan itu hanya bersifat sementara yang menimbulkan ombak bukannya tsunami.

“Ini dapat dilihat bila Muhyiddin dan Mukhriz digantung dan terpinggir dari kepimpinan perdana Umno (Sebelum ini), penyokong dua tokoh Umno ini tidak mengambil tindakan membantah secara kekerasan dan berterusan.

“Tetapi pemecatan ini jelas akan memberi impak kepada sokongan terhadap BN di terutama di Kedah, Johor dan kalangan orang muda,” katanya.

Tindakan MT tak adil, kata Muhyiddin

ASYRAF MUHAMMAD
26 JUN 2016





Muhyiddin ketika sidang media yang berlangsung hari ini. –Foto Sinar Online
DAMANSARA - Tindakan Majlis Tertinggi Umno (MT) membuat keputusan untuk memecat bekas Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tanpa melalui proses keadilan seperti diperuntukkan dalam perlembagaan parti.

Menurut Muhyiddin, untuk berlaku adil, MT Umno sewajarnya memberikan surat tunjuk sebab terlebih dahulu bagi membolehkan beliau dan Mukhriz menerangkan sebarang asas berhubung tindakan mereka sebelum ini.

"Itu (keputusan) dibuat dengan kehendak mereka sendiri tanpa beri ruang kepada kami untuk beri sebarang penjelasan,"katanya dalam sidang media yang berlangsung di Rumah Kelab Alumni Universiti Malaya, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa beliau tidak akan membuat sebarang rayuan berhubung pemecatannya dari Umno.

Beliau berkata, negara sedang berhadapan dengan satu keadaan yang agak membimbangkan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini berdepan dengan pelbagai skandal moral serta kewangan.

"Bagi saya, sebahagian besar rakyat marah dan tak puas hati dengan apa yang berlaku dan mereka mengharapkan satu platform politik baru untuk wujud bagi memberi pilihan supaya masa depan negara terus terpelihara dan sebagainya," katanya.

Untuk tujuan itu, Muhyiddin memaklumkan bahawa pihaknya mempunyai satu pendekatan yang lestari untuk jangka masa hadapan.

"Kita perlu adakan perbincangan di antara kita serta mereka yang mempunyai pandangan sama dgn kita bagi membincangkan apakah tindakan sewajarnya untuk kami ambil bahi menghadapi masa depan negara selepas ini," katanya.

Kelmarin, MT memutuskan agar Muhyiddin dan Mukhriz dipecat daripada Umno berkuat kuasa serta merta.

Sementara, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal pula digantung dari jawatannya.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan perkara itu berkata, tindakan itu dipersetujui sebulat suara oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno kerana mendapati mereka melakukan kesalahan serius.

Sunday, June 26, 2016

Muhyiddin, Mukhriz, Shafie sia-sia peluang diberi

Muhyiddin, Shafie and Mukhriz
SEREMBAN - Tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mensia-siakan peluang diberikan Umno untuk mereka kembali ke pangkal jalan, menjadi punca pemecatan dan penggantungan keanggotaan mereka pada Jumaat lepas.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata parti mesti mengambil tindakan drastik kerana tidak mahu isu itu memecahbelahkan anggotanya.

"Sepatutnya lama dah kita (Umno) ambil tindakan tetapi kita bagi peluang dan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dah hulurkan tangan pada perhimpunan agung parti yang lepas untuk berbaik-baik semula, tetapi tangan yang dihulur tidak diterima dan saranan daripada parti untuk melihat kepimpinan bersatu semula pun tidak diendahkan

"Jadi jangan salahkan pucuk pimpinan terutama MT untuk membuat keputusan sebulat suara yang memecat kedua-dua tokoh tersebut dan menggantung keahlian Shafie," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan kewangan kepada anak yatim, warga emas dan penduduk kurang kemampuan Kampung Siliau Baru di Rantau dekat sini hari ini.

Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata sebagai ahli Umno dan pernah memegang jawatan tinggi dalam parti, ketiga-tiga mereka sepatutnya lebih faham akan peraturan parti.

"Adalah satu perkara yang amat tidak patut, yang amat tidak boleh diterima oleh parti kerana ahli parti duduk bersama-sama ahli pembangkang di atas satu platform yang sama untuk menjatuhkan parti dan kepimpinan parti seterusnya menjatuhkan kerajaan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jempol yang juga Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad berpandangan isu pemecatan kedua-duanya harus dilakukan lebih awal ekoran pembabitan mereka di pentas pembangkang bertujuan menjatuhkan presiden parti.

"Dalam parti mana sekali pun bila ada pemimpin bersama dengan parti pembangkang secara terbuka pula mengkritik kerajaan ini satu perbuatan yang salah' katanya.

Mohd Isa berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis berbuka puasa rakyat kawasan Parlimen Jempol bersama-sama Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Masjid Jamek Batu Kikir, Jempol semalam.

Sementara itu di KOTA KINABALU, Pemuda Umno Bahagian Kota Kinabalu menyokong penuh keputusan MT memecat Muhyiddin dan Mukhriz atas kesalahan disiplin serta penggantungan keanggotaan Mohd Shafie.

Ketuanya Mohd Bahrin Abd Karim berkata, keputusan MT Umno itu amat wajar demi menjaga keutuhan parti.

"Pemuda Umno Bahagian Kota Kinabalu yakin tindakan disiplin termasuk memecat dan menggantung keahlian ahli Umno yang melanggar disiplin parti amat tepat dan wajar supaya Umno terus teguh”, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa pergerakan itu bersama pelajar Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran As-Syatibiyah Masjid Bandaran Kota Kinabalu dan orang kurang upaya di sini semalam.

Mohd Bahrin berkata, sekiranya tindakan tegas tidak diambil terhadap ahli Umno yang melanggar disiplin dan mensabotaj parti, ia akan melemahkan Umno yang merupakan tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) pusat dan negeri. 
– Bernama

Umno Jerlun: Abu Hassan ganti Mukhriz

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sharif dilantik pemangku Ketua Bahagian UMNO Jerlun bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yang dipecat daripada UMNO.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, DUN Ayer Hitam yang masih dipegang Mukhriz pula dijadikan DUN angkat badan perhubungan UMNO negeri bagi memastikan nasib pengundi di DUN tersebut terus terbela.

"Tumpuan khusus akan diberikan saya sendiri bagi memastikan segala keperluan, agenda pembangunan dan kebajikan masyarakat di DUN berkenaan terus terbela," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, Majlis Tertinggi UMNO sebulat suara memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang sebelum ini digantung sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Mukhriz berkuat kuasa serta-merta manakala Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie

Apdal pula digantung keanggotaannya.

Muhyiddin dan Shafie sebelum ini digugurkan daripada Kabinet pada Julai 2015 manakala Muhkriz melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah pada Februari lepas.

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah berkata, pemecatan tersebut walaupun disifatkan sebagai 'ditelan mati emak dan diluah mati bapa' jelas menunjukkan UMNO sebagai sebuah parti siasah yang cukup teguh tradisinya dengan amalan kesetiaan dan kebersamaan.

UMNO Kedah, katanya, sentiasa istiqamah dan menyokong penuh Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan kepimpinan parti demi kelangsungan.

"Amatlah dikesali setelah pelbagai ruang dan peluang diberikan kepada ketiga-tiga individu yang cukup banyak berjasa dan menyumbang, tiba-tiba boleh duduk semeja dan bersekongkol dengan parti pembangkang.

"..sehingga mewujudkan keresahan, kecelaruan dan perpecahan selain sifat berbelah bahagi dalam kalangan semua peringkat pimpinan dan ahli akar umbi," katanya.

- Bernama

PAS Kedah perlu buka kitab lama sebelum kritik UMNO

Sesedap mulut saja Pesuruhjaya PAS Kedah yang baru, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi mengkritik Kerajaan BN Negeri Kedah yang kononnya menjadikan rakyat negeri itu sebagai mangsa keadaan ekoran keadaan politik dalaman parti yang ‘porak peranda’.

Diungkitnya tentang Dato’ Seri Mukhriz Mahathir, enam projek mega, Maahad Mahmud, Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Maahad Tahfiz Sains Darul Aman, kenaikan cukai tanah, caj-caj perbandaran, pengambilan tanah dengan harga tidak kompetitif, isu perkhidmatan bekalan air SADA, pembangunan perumahan mampu milik tidak rancak dan sebagainya.

Suka penulis ingatkan kepada Fakhruddin bahawa semua yang disebut itu majoritinya berlaku ketika Mukhriz menjadi Menteri Besar. Jika ‘lembab’, maka sila tuding jari pada anak Mahathir itu. Khabarnya dia menjadi ‘kesayangan’ orang Kedah…

Seperti PAS, UMNO juga tidak terlepas dari mempunyai masalah dalaman sendiri. Jika PAS melalui detik itu ketika Muktamar PAS yang berlangsung di Johor, UMNO pula sedang mengalaminya sekarang. Jika PAS ada ‘jebon’ dan ‘syaitan dalam jemaah’, UMNO pula ada ‘jemuan’.

Jadi, pemecatan Mukhriz itu hanyalah sebahagian dari proses pemutihan dalam parti dari gejala negatif semberono yang berpaksikan kepentingan peribadi mahu jadi Presiden secara ‘ekspress’. Perkara yang sama juga berlaku dalam PAS hingga parti itu hampir hancur, bukan?

Fakhruddin ingat pada nama besar PAS seperti Mat Sabu, Salahuddin Ayub, Khalid Samad, Hanipa Maidin, Ahmad Awang dan diperingkat negeri Kedah, Dato’ Phahrolrazi Zawawi? Kenal mereka? Tahu warna baju mereka sekarang? Hijau atau oren?

Apakah selaku Pesuruhjaya PAS Kedah, maka Fakhruddin lupa pada sejarah PAS di Kedah? Apa yang berlaku selama 5 tahun ketika PAS ditadbir Allahyarham Tan Sri Azizan Razak dulu? Siapa yang porak peranda ketika itu?

Siapa yang berdemo di depan Wisma Darul Aman mengecam Kedah Civil Servant (KCS) dan mengeruhkan hubungan Azizan dengan pentadbir-pentadbir negeri itu? Mujurlah arwah bijak dan tidak terikut-ikut dengan huru-hara yang sengaja ditimbulkan?

Siapa dalang huru-hara tersebut? Tidak perlu jawab secara terbuka. Penulis yakin Fakhruddin tahu. Jika tidak tahu, tanya Adun-Adun PAS dulu.

Fakhruddin selak kembali sejarah PAS memerintah Kedah hingga tanah hutan simpan negeri tergadai dengan aksi ‘cuci mangkuk’ mencarah balak. Mana dusun buah-buahan yang dijanjikan? Habis air gunung tercemar, tapi apa hasilnya untuk rakyat di Baling dan Pedu?

Fakhruddin kenal siapa yang menghina arwah Ustaz Azizan dengan ungkapan ‘enjin tiga silinder’? Siapa yang cuba jatuhkan arwah ketika itu? Siapa yang khabarnya terpaksa ‘diculik’ seketika untuk mententeramkan keadaan yang kian meruncing?

Jika disebut ‘porak peranda’, Fakhruddin rasanya perlu selak ‘kitab lama’ PAS selama 5 tahun itu. Siapa yang ‘porak peranda’ sebenarnya? Porak peranda PAS Pusat hingga kini masih belum selesai. Fakhruddin fikir porak peranda PAS Kedah sudah reda?

Apakah Fakhruddin kenal siapa di kalangan pemimpin dan aktivis PAS di Kedah yang dikesan sebagai golongan ‘harum manis’? Hingga ada yang mendakwa wujud ‘Husam II’ di Kedah, apakah Fakhruddin sedar dan ambil tahu siapa yang dimaksudkan itu?

Sepatutnya Fakhruddin bimbang, ambil berat dan bertindak terhadap masalah dalaman PAS di Kedah yang bagaikan ‘gunung berapi yang menunggu masa untuk meletus’. Jangan sampai kelam-kabut PAS Kedah dihuru-harakan menjelang PRU ke-14 nanti.

Tentang UMNO, usahlah Fakruddin gusar. Sehingga kini, tiada lagi rakyat Kedah yang menjadi mangsa akibat masalah dalaman UMNO. Bahkan, rakyat Kedah kini sedang bersyukur pada Allah dan berterima kasih pada Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, dengan kesungguhan beliau berbakti mementingkan kebajikan rakyat di sana.

Harap cermin dulu diri sendiri sebelum memperkatakan porak peranda UMNO kerana parti kami tidaklah seteruk PAS yang hampir hancur dijadikan ‘tunggangan’ DAP, PKR, PAN dan ‘harum manis’. Bermuhasabah dan cubalah jadi Pesuruhjaya PAS Kedah yang berwibawa seperti arwah Ustaz Azizan, tidak seperti Mahfuz. Harap maklum.

3M telah melepaskan peluang terbaik untuk menjatuhkan Najib

Kegagalan kumpulan 3M (Mahathir-Muhyiddin-Mukhriz) menumbangkan BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar menunjukkan mereka tiada keupayaan untuk menjatuhkan Perdana Menteri Mohd Najib Razak pada masa akan datang. Kekuatan dan aura Mahathir sudah semakin pudar.

Dari segi taktikal, 3 M perlu menumpaskan BN dalam kedua-dua PRK ini untuk mewujudkan gelombang dalam UMNO agar hilang kepercayaan kepada Mohd Najib. Sekiranya BN kalah dalam kedua-dua Pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, akan ada tekanan ke atas Mohd Najib agar berundur. Malah jika kalah di salah satu tempat pun sudah akan memberi kerosakan moral yang besar kepada pasukan Mohd Najib.

Malangnya ia tidak berlaku kerana mereka tidak ada strategi dan kesungguhan untuk menumbangkan BN di kedua-dua PRK ini. Akhirnya, Muhyiddin dan Mukhriz ditunjukkan jalan keluar dalam parti yang sudah menunjukkan tanda pengukuhan dan kesatuan.

Dalam PRK lalu, Mahathir hanya perlu mencari 10 billionaire yang sanggup menyumbang RM 10 juta seorang jika benar beliau mahu menjatuhkan Mohd Najib “at all costs”. Dengan bajet RM 50 juta di setiap PRK ini, dan komposisi kaum Cina yang agak besar, kumpulan Mahathir hanya perlu mencari 5000 orang Melayu untuk mengundi PAN ia sudah boleh menumbangkan BN.

Adakah ia sesuatu yang mustahil? Kumpulan Mahathir hanya perlu mencari 5000 sukarelawan kempen di kalangan pengundi Melayu dengan membayar elaun kempen. Malangnya, mereka hanya menurunkan Mahathir sekilas pandang seolah-olah nama Mahathir sahaja sudah cukup menarik pengundi. Mereka hanyalah idealis dan pemimpi bukannya pemimpin.

Realiti politik demokrasi ialah berkisar kekuatan jentera kempen, kewangan dan penyebaran manifesto. Kesemua ini tidak ada kepada pasukan Dekelarsi Rakyat atau 3 M walaupun mereka semua mungkin bertaraf “billionaire”. Mereka memandang enteng dan bergantung kepada imej Mahathir semata-mata.

Masalah di kalangan orang kuat Mahathir hari ini ialah mereka bukan terdiri daripada orang yang menyusun strategi untuk menang pilihan raya sejak dahulu.

Mereka juga terdiri di kalangan yang terkenal bukan jenis pemurah dalam politik dan menang kerana mengikut pasukan.

Cukuplah memperdayakan macai-macai di bawah supaya berkorban sedang yang ada kepentingan dan mendapat keuntungan tidak mahu berkorban.

Justeru, eloklah bersara sahaja. Politik ini untuk orang sanggup berjuang dan berkorban bukan setakat main acah-acah saja.

-MYKMU.NET

Saturday, June 25, 2016

Muhyiddin: Selamat tinggal Umno...

Muhyiddin Yassin
Hari ini, 5:46 petang Hari ini, 5:55 petang
Setelah lebih empat dekad saya melalui perit jerih dan suka duka perjuangan di dalam Umno, semalam Majlis Tertinggi membuat keputusan untuk memecat saya daripada parti.

Saya tidak pernah meninggalkan perjuangan parti atau mengkhianati parti. Saya cuma berkata benar kerana itulah prinsip yang saya junjung dalam perjuangan saya.

Malangnya saya dipecat kerana apa yang saya perkatakan selama ini menyentuh skandal moral dan kewangan paling besar dalam sejarah Umno dan negara yang melibatkan perdana menteri.
Sahabat saya Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga dipecat dan Datuk Seri Shafie Apdal digantung keahlian. Segala-galanya berlaku hanya kerani kami mengambil langkah berani menegur perdana menteri yang sudah jauh tersasar daripada perjuangan Umno yang asal.

Saya berasa kecewa kerana Umno yang ada pada hari ini bukan lagi Umno yang sebenar. Ia telah berubah menjadi sebuah parti yang dikuasai hanya oleh seorang individu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menutup kesalahannya dan menyelamatkan dirinya.

Mereka yang melakukan perbuatan jenayah yang merosakkan imej parti dan integriti tidak menerima hukuman yang setimpal. Sebaliknya, mereka yang berjuang untuk menegakkan kebenaran dan keadilan dipecat daripada parti.

Berakhirlah sejarah panjang
Mereka yang menguasai Umno boleh melakukan apa sahaja terhadap saya, namun saya tidak rela hidup melutut. Bukan prinsip saya untuk tunduk bersekongkol dengan perbuatan jahat seorang pemimpin yang merosakkan bangsa dan negara.

Keputusan pemecatan saya ini telah pun saya duga dari awal. Maka semalam berakhirlah sejarah panjang perjalanan hidup saya yang penuh liku di dalam Umno.

Sejarah ini akan terus terpahat dalam ingatan saya kerana Umno telah sekian lama menjadi sebahagian daripada denyut nadi dan darah daging saya.
Hakikat ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun hatta diri saya sendiri. Saya tidak pernah mengkhianati Umno. Saya hanya menentang pemimpin Umno yang korup dan menyeleweng.

Namun, jika mereka beranggapan perjuangan saya berkubur di sini, mereka silap. Saya akan terus berjuang selagi hayat dikandung badan. Biarlah mereka memecat saya dan melakukan apa sahaja untuk melunturkan semangat juang saya. Obor perjuangan di dalam jiwa saya akan terus menyala.

Walaupun tindakan terhadap saya daripada penggantungan jawatan sehingga pemecatan saya daripada parti bercanggah dengan proses keadilan dan tidak berperlembagaan, saya tidak akan merayu.

Saya redha dengan ketentuan Allah Taala. Saya telah melaksanakan tanggungjawab saya sebagai pemimpin Umno dan akan tetap terus melaksanakan tanggungjawab saya kepada agama, bangsa dan negara seperti pejuang-pejuang bangsa kita sebelum ini.

Bangkitlah bangsa Melayu memperjuangkan nilai-nilai moral dan integriti supaya kita tidak mudah diperkotak-katikkan oleh pemimpin yang rasuah dan tamak haloba.

Semoga tabah, sabar
Kepada para penyokong, saya tahu anda memahami pendirian saya. Teruskanlah perjuangan menegakkan kebenaran dan membela tanah air tercinta walau di mana sahaja anda berada. Insya-Allah kita akan terus bersama dalam perjuangan suci ini.

Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya yakin anda boleh menilai yang mana benar dan yang mana salah, yang mana baik dan yang mana buruk.

Anda pastinya tidak rela membiarkan negara ini diperlakukan sewenang-wenangnya oleh pemimpin yang rakus menyalahgunakan kuasa. Sebagai rakyat, anda berhak untuk membuat perhitungan yang terbaik demi masa depan anda, keluarga dan negara.

Saya menganggap pemecatan saya ini adalah satu lagi dugaan Allah Taala terhadap saya dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Saya yakin segala yang berlaku ada hikmahnya.

Saya berdoa semoga sentiasa diberikan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian Allah dan segala urusan kita akan dipermudahkan oleh-Nya.

Allah Taala berfirman dalam Surah at-Taghabun ayat 11 yang bermaksud: "Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa seseorang melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku dengan tenang dan sabar), dan ingatlah Allah maha mengetahui akan tiap- tiap sesuatu."

Sempena bulan Ramadan yang mulia dan Syawal yang bakal menjelma, saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan daripada seluruh ahli Umno sekiranya terdapat sebarang kesilapan yang saya lakukan sepanjang saya berada di dalam parti.

Selamat tinggal Umno.

Kepada Allah saya berserah.

Pecat Muhyiddin, Mukhriz demi kembalikan disiplin anggota parti

Ini menunjukkan kita cintakan parti, kita mahu mengembalikan disiplin dan (memberi) amaran kepada pihak yang melanggar disiplin parti.
KOTA BAHARU: Tindakan UMNO memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir semalam adalah untuk mengembalikan disiplin anggota parti, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata langkah itu terpaksa diambil bagi menjaga kepentingan umum parti sekali gus memberi amaran kepada mana-mana anggota supaya tidak melanggar disiplin pada masa depan.

“Kita ada satu undang-undang, tak boleh kecualikan mana-mana pihak daripada mana-mana tindakan. Jika tiada disiplin maka runtuhlah parti. (Maka) demi menjaga kepentingan umum maka tindakan tegas perlu diambil.

“Ini menunjukkan kita cintakan parti, kita mahu mengembalikan disiplin dan (memberi) amaran kepada pihak yang melanggar disiplin parti. Kita adalah satu organisasi, ada peraturan, maka tiada siapa yang terkecuali,” katanya.

Mustapa ditemui pemberita selepas melawat Mek Som Mat Diah, 89, di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini. Warga emas itu putus kaki kiri akibat ditetak remaja lelaki di Pasir Mas, Ahad lepas.

Majlis Tertinggi UMNO semalam memecat Muhyiddin dan Mukhriz kerana melakukan pelanggaran disiplin manakala Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digantung keanggotaannya sehingga Majlis Tertinggi menerima laporan daripada
Jawatankuasa Disiplin parti.

Mustapa yakin sebarang kesan susulan pemecatan dua anggota parti itu akan hanya bersifat sementara dan tidak terlalu menjejaskan parti.

“Kalau kita kata tak ada kesan langsung itu mustahillah, kesan tetap ada sehari dua ini tetapi (lama-kelamaan) anggota parti akan faham. Kalau ada pun tak banyak dan ia bersifat sementara dan akhirnya kita akan bertaut kembali,” katanya.

Beliau turut melawat Ketua Biro The Star Kelantan Syed Azhar Alqadri yang menjalani pembedahan pintasan jantung pada 11 Jun lepas, di hospital sama.

– Bernama

GKCM bayang kemungkinan wujud parti baru

Menganggap 'penghinaan' terhadap beberapa tokoh Umno oleh Datuk Seri Najib Razak sebagai "tidak dapat diterima lagi", Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) membayangkan kemungkinan bakal wujud parti baru di negara ini.

Menamakan kumpulan penentang Najib itu sebagai 3M (Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir), Ketua GKCM Kamarul Azman Habibur Rahman mempertikaikan tanggapan mereka tidak lagi berpengaruh.

"Benarkah 3M ini tidak ada pengaruh? Bagaimana jika mereka menubuhkan sebuah parti baru?

"GKCM akan mula bertindak. Umno akan dilanda badai ketidakpercayaan yang amat dasyat," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

GKCM adalah gabungan pemimpin Umno peringkat bawahan yang tidak bersetuju dengan kepimpinan Najib sebagai perdana menteri dan presiden Umno.

Kenyataan GKCM itu dibuat selepas Majlis Tertinggi Umno sebulat suara memecat Muhyiddin dan Mukhriz, serta menggantung keahlian Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dari Umno.

Muhyiddin adalah bekas timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno, manakala Mohd Shafie adalah naib presiden parti. Mukhriz pula bekas menteri besar Kedah.

Ketiga-tiga mereka - bersama Dr Mahathir - adalah antara pengkritik paling lantang terhadap kepimpinan Najib.

Dr Mahathir sendiri terlibat menggerakkan kempen Deklarasi Rakyat bersama beberapa parti pembangkang bertujuan mendesak Najib berundur daripada jawatannya sebagai perdana menteri.

Kata Kamarul Azman pemecatan Muhyiddin dan Muhkriz serta penggantungan keahlian Mohd Shafie sebenarnya akan melahirkan banyak persoalan.

Persoalan utama, katanya, ialah tentang integriti Najib.

Beliau mendakwa bahawa Najib kini menjadi 'orang nombor satu paling dibenci di negara ini' tetapi beliau tidak mahu menerima hakikat itu.

Manakala pemecatan Muhyiddin dan Muhkriz serta penggantungan Mohd Shafie, tambah Kamarul, akan mempunyai tempias negatif terhadap MT.

Justeru katanya Najib dan MT Umno perlu mengambil iktibar daripada revolusi rakyat Filipina yang berjaya menggulingkan Fredinand Marcos pada 22 hingga 25 Februari 1986.

Najib, jangan terlalu angkuh - Khairuddin

Nawar Firdaws
June 24, 2016

Pendebat Syed Saddiq berkata perjuangan membetulkan sistem reput mungkin mengambil masa lebih 10 tahun, tetapi Selamatkan Malaysia pasti selesaikannya
KUALA LUMPUR:  Jangan angkuh, pesan bekas pemimpin Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan berkata demikian mengulas keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno memecat Timbalan Presiden yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Saya mahu berterima kasih kerana memecat dua pemimpin ini kerana ia akan menyuntik semangat baru dalam gerakan kita (mendesak perdana menteri meletak jawatan),” kata Khairuddin dalam satu kenyataan malam tadi.

“Najib, jangan terlalu angkuh. Jika pimpinan Umno kata parti sudah kuat, insyaAllah, kita akan jadikan Pilihan Raya Umum ke-14 kayu ukur kekuatan itu.”

Najib yang juga presiden parti mengumumkan Muhyiddin dan Mukhriz dipecat berkuat kuasa serta-merta lantaran kerjasama mereka dengan pembangkang dan kritikan bertali arus terhadap parti.

Seorang lagi pemimpin pemberontak Umno, Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digantung sehingga jawatankuasa displin selesaikan siasatan terhadapnya.

Khairuddin percaya Shafie juga akan dipecat, langkah yang beliau alu-alukan.

“Lebih ramai pimpinan Umno – yang hanya mahu mendukung kebenaran berdasarkan kepada ajaran sebenar Islam – mereka pecat, kita semakin kuat.

“Kepimpinan MT Umno sekarang ini, termasuklah ketua-ketua bahagian tidak lagi berpegang kepada prinsip agama.”

“Mereka sanggup bersekongkol dan menyokong rasuah dan penyelewengan demi jawatan, poket dan perut.”

Sementara itu, pendebat Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersetuju dan memberitahu FMT Umno tidak lagi punyai prinsip kerana sanggup mempertahankan perasuah dengan apa cara sekalipun.

“Mereka sanggup pijak mereka yang membina parti itu. Kurang ajar menggambarkan tindakan mereka.”

Beliau menambah halangan ini tidak akan mementukan pengakhiran gerakan Selamatkan Malaysia kerana ahli-ahlinya akan terus berjuang untuk negara ini sehingga ia dibebaskan daripada cengkaman golongan perasuah.

“Perubahan memakan masa. Mungkin ambil masa lebih 10 tahun untuk betulkan sistem reput ini. Tetapi kita akan selesaikannya.”

Friday, June 24, 2016

Tangkap pegawai SPRM beri maklumat kepada Rafizi

FMT Reporters
June 24, 2016

Kenyataan Rafizi mengesahkan ada kebocoran maklumat daripada suruhanjaya itu, kata Vell Paari
PETALING JAYA: Seorang pemimpin MIC hari ini menggesa polis menyiasat dan menangkap pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa mendedahkan maklumat dalaman kepada Rafizi Ramli.

Bendahari Agung MIC S Vell Paari berkata kenyataan Setiausaha Agung PKR itu mengesahkan kebocoran maklumat berlaku.

“Saya minta polis supaya menyiasat dan menangkap pegawai-pegawai kanan yang mendedahkan hal dalaman SPRM kepada pembangkang untuk kepentingan politik mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seruan itu menjawab dakwaan Rafizi bahawa seorang pegawai kanan SPRM memaklumkan kepadanya bahawa Ketua Pesuruhjaya Datuk Abu Kassim Mohamed dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Mohd Shukri Abdull dipaksa meletak jawatan.

“Ini menunjukkan pembangkang mungkin mencampuri penyiasatan SPRM kerana Rafizi sendiri menyatakan bertemu pegawai kanan terbabit dan membincangkan urusan dalaman suruhanjaya,” katanya.

Vell Paari menambah, hubungan rapat Rafizi dan pegawai berkenaan mungkin menjadi sebab siasatan SPRM keatas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak lengkap.

Kertas siasatan SPRM diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada 26 Mei, tetapi diserahkan semula kepada SPRM untuk tindakan lanjut.

“Mungkin ini memberikan masa kepada pembangkang untuk menyembunyikan maklumat penting,” dakwa pemimpin MIC itu.

Semalam, Abu Kassim berkata perletakan jawatannya dibuat secara rela hati, manakala Shukri pula bersara wajib.

Rafizi, dalam satu kenyataan semalam mendakwa “orang luar” akan menggantikan mengisi dua kekosongan itu dan menggesa wakil rakyat pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah untuk meletakkan jawatan sebagai tanda bantahan.

Mereka adalah Dr. Tan Seng Giaw (DAP), Datuk Fauzi Abd Rahman (PKR) dan Dato’ Takiyuddin bin Hassan (PAS).

MT Umno pecat Muhyiddin, Mukhriz

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno hari ini memutuskan untuk memecat timbalan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhkriz Mahathir daripada parti itu.

Pengumuman pemecatan itu dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku presiden Umno.


[Berita penuh menyusul]

Thursday, June 23, 2016

Pas bakal kalah semua kerusi

ONG BOON TECK
23 JUN 2016
JIKA berdasarkan keputusan PRK kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Pas bakal kalah semua kerusi Dun di Perak dan Selangor pada PRU akan datang.

Demikian kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataannya kepada Sin Chew Jit Poh.

Beliau berkata, dalam PRU lalu, Pas Selangor dan Perak masih boleh berbangga dengan masing-masing memenangi 15 dan lima kerusi Dun.

“Tetapi jika melihat trend pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Pas akan terus kehilangan pengaruh di Selangor dan Perak dalam PRU14, bahkan boleh kalah dalam semua kerusi Dun yang ditandingi mereka,” kata pemimpin veteran DAP itu.

Menurut Kit Siang lagi, apa yang menyedihkan ialah walaupun telah melalui selama 65 tahun dalam perjuangan politik di negara kita, Pas kini berperanan sebagai ‘pengacau’ dalam politik tanah air.

“Saya mencadangkan agar Pas menumpukan perhatian mereka dengan bertanding di empat negeri sahaja dalam PRU akan datang bagi mengelak pertembungan tiga penjuru seperti apa yang telah berlaku dalam dua PRK baru-baru ini.

“Pas sepatutnya hanya tanding di empat negeri ini iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, manakala Amanah boleh tanding di negeri-negeri lain. Terpulanglah bagaimana kata sepakat boleh dicapai antara kedua-dua parti ini,” katanya.

Kit Siang berkata, dalam PRU lalu, Pas hanya kalah 399 undi kepada BN di kerusi Parlimen Sungai Besar, manakala di kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Pas kalah 1,082 undi.

“Undi-undi yang diperoleh oleh Pas adalah hasil kerjasama ketika bersama dalam Pakatan Rakyat dan bukan usaha Pas secara bersendirian,” terang Kit Siang.

Sementara itu, China Press melaporkan, Pakatan Harapan berharap akan membuat keputusan menentukan hubungan dengan Pas sedikit masa lagi.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, dalam PRK Sungai Besar baru-baru ini telah mewujudkan satu hubungan yang agak rumit antara Amanah dengan Pas.

“Pas dan Amanah adalah parti yang menganggotai pentadbiran kerajaan Selangor. Namun, jentera Pas kata mereka dan PKR adalah kerajaan Pakatan Rakyat dalam kerajaan Selangor, manakala jentera Amanah pula kata mereka dan PKR adalah kerajaan Pakatan Harapan dalam kerajaan Selangor.

“Pada PRK Sungai Besar, parti pembangkang seperti lawan sesama sendiri sehingga pengundi pun sakit kepala. Oleh itu, masalah ini perlu diselesaikan segera,” kata Mohamad ketika dalam satu forum Pasca PRK di Bukit Mertajam, malam kelmarin.

Kata Presiden Amanah itu lagi, sama ada mahu atau tidak mahu kerjasama, ataupun terikat dalam apa bentuk kerjasama sekalipun, hubungan antara Amanah dan Pas perlu dijelaskan. Setelah persetujuan dicapai, maka senanglah bagi Pakatan Harapan mara ke hadapan.

“Amanah melakukan kesilapan lebih besar berbanding dengan pihak lawan. Pucuk pimpinan Pakatan Harapan tidak dapat membuat keputusan lebih awal bagi menentukan calon parti mana yang patut bertanding. Ini akhirnya menyebabkan jentera pilihan raya tidak dapat bergerak dengan lebih awal,” kata Mohamad.

Beliau secara peribadinya turut setuju semua parti komponen dalam Pakatan Harapan dapat menggunakan satu lambang yang sama ketika bertanding dalam PRU akan datang. Bagaimanapun perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang.

Dr Mahathir sanggup gadai prinsip sendiri - Haron Din

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Moha­mad sanggup menggadaikan prinsipnya sendiri apabila bersekongkol dengan DAP yang nyata menjadi musuh Islam.

Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din berkata, tindakan Dr. Mahathir mencabuli prinsip yang dipegangnya selama ini akan me­ngundang banyak perkara negatif.

“Bersahabat baik dengan musuh Islam, kita akan jadi seperti mereka juga.

“Oleh itu, adalah lebih baik untuk kita balik mempertahankan syariat Islam dengan mengutamakan ukhuwah atau persaudaraan yang berteraskan kepada hukum-hukum syarak dan menjauhi diri daripada tindakan yang mengundang kemurkaan Allah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad memberi amaran bahawa tindakan Dr. Mahathir bersekongkol dengan DAP dan PAN akan membawa kemudaratan lebih besar kepada orang Melayu.

Haron yang juga Ketua Kluster Dakwah Majlis Perundingan Islam (MPI) berpandangan, Dr. Mahathir mungkin bersikap emosional kerana hasratnya untuk menukar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berjaya.

Beliau memberitahu, hasrat Dr. Mahathir sebelum ini dikatakan semuanya dapat dicapai.

“Apabila hasratnya untuk menukar Perdana Menteri tidak berhasil, maka semuanya telah berubah,” jelasnya.

Menurut Haron, sebagai seorang ahli politik veteran yang matang, Dr. Mahathir sepatutnya tahu apa yang beliau lakukan.

“Perjuangan untuk memartabatkan Islam melalui perpaduan sepatutnya menjadi keutamaan Dr. Mahathir dalam umur yang begitu lanjut,” katanya.

Utusan

Najib umum duit raya RM500 untuk peneroka Felda

FMT Reporters

Perdana Menteri ambil keputusan tambah RM200 selepas berbincang dengan Tan Sri Isa Samad.
PETALING JAYA: Kira-kira 99,046 peneroka Felda seluruh negara akan menerima duit raya Aidilftri RM500 seorang daripada kerajaan, umum Perdana Menteri hari ini.

Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman itu dalam ucapan perasmian program Ihya Rahman Ramadan Warga Felda peringkat kebangsaan 2016 di Dewan Semai Bakti Felda Chini Timur 3 di Pekan, Pahang.

“Teks ucapan saya hari ini yang telah disediakan sepatutnya umum duit raya sebanyak RM300 seorang, namun setelah saya berbincang dengan Isa (Pengerusi Felda), beliau berkata di Kuala Kangsar kita beri RM500 kepada Risda.

“Jadi Felda tidak boleh kalah, kira punya kira saya kata tak apalah, kita tambah lagi RM200, semoga sumbangan ini akan dapat membantu peneroka membuat persiapan hari raya dengan lebih gembira,” katanya lapor Bernama.

Di hadapan hampir 4,000 hadirin, Najib turut berkongsi kegembiraan diatas kemenangan besar BN dalam pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar Sabtu lepas.

“Kita tolong rakyat bina sekolah, bina rumah, bina jalan bukannya bagi makan dedak. Dedak itu makanan haiwan, kalau kita beri bantuan pun, itu bermakna kita prihatin dengan keperluan rakyat. Inilah kerajaan BN (Barisan Nasional),” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Terengganu dan Kerajaan Sabah mengumumkan pemberian duit raya RM500 kepada anggota perkhidmatan awam negeri.

Kerajaan Selangor pula mengumumkan pemberian bonus raya 1.5 bulan untuk penjawat awamnya.

Wednesday, June 22, 2016

'PAS tak mungkin semeja lagi dengan DAP, AMANAH'

Bernama
PAS tidak mungkin akan kembali duduk semeja dan mengadakan kerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam Pakatan Harapan kerana sudah serik dengan pengalaman lalu.

Naib Presiden PAS yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata setakat ini parti itu berpendirian untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan DAP dan AMAnAH kerana sedang memberi tumpuan untuk memperkasakan blok ketiga pembangkang.

"Kita sudah bekerjasama dengan DAP dan kita ada pengalaman dengannya. Jadi mungkin sukar untuk kita ulangi kerjasama itu. Pendirian kami setakat ini, kami tak kan bincang dengan AMANAH dan DAP.

"Dengan PKR (Parti Keadilan Rakyat) setakat ini kita masih ada hubungan, masih tidak putus.

"Kita dalam usaha untuk mengukuhkan blok ketiga (dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia). Cuma mungkin ambil masa sedikit," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama pengamal media di Kota Bharu malam tadi.

Beliau diminta mengulas saranan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga menteri besar Selangor agar PAS kembali bersatu sebagai satu pasukan di bawah Pakatan Harapan bagi menghadapi BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar meminta kerajaan persekutuan agar memainkan peranan dalam menjelaskan mengenai Rang Undang-undang Persendirian berkaitan Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

Rang Undang-undang itu dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada 26 Mei lepas.

"Dalam tempoh empat bulan ini (sebelum Dewan Rakyat kembali bersidang pada Oktober), kita minta supaya kerajaan persekutuan menggunakan kuasa yang ada padanya temasuk media massa untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat tentang apa yang diusahakan ini.

"Kalau kerajaan persekutuan memainkan peranannya dengan sistematik dan bersungguh-sungguh, saya rasa mungkin lepas empat bulan ini semua orang akan sokong rang undang-undang ini, tak ada yang akan lawan," katanya.

- Bernama

Tuesday, June 21, 2016

Sertai Pakatan Pembangkang jika tidak mahu 'bungkus' di Selangor, Perak & hilang Kelantan, amaran Kit Siang kepada PAS

 AIDCNEWS
AIDCNews – Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini memberi amaran jika PAS kekal bersendirian dan tidak menyertai pakatan pembangkang, parti Islam itu dijangka akan ‘bungkus’ di Selangor dan Perak serta bakal kehilangan pemerintahan di Negeri Kelantan.

Ramalan Kit Siang itu dibuat berdasarkan jumlah undi yang diperolehi PAS di Sungai Besar (6,902 undi) dan Kuala Kangsar (5.684 undi) pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Sabtu lalu.

“PAS memperolehi 18,296 undi di Sungai Besar dan 13,136 undi di Kuala Kangsar pada PRU 2013.

“Mereka kehilangan 11,394 undi di Sungai Besar dan 7,452 undi di Kuala Kangsar dalam PRK lalu,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini, yang membandingkan jumlah undi PAS ketika berada dalam gabungan pembangkang-Pakatan Rakyat- dan di luar gabungan itu.

Kit Siang menegaskan PAS hanya tewas dengan majoriti tipis 399 undi di Sungai Besar pada PRU ke-13 disebabkan faktor sokongan DAP dan PKR atas nama Pakatan Rakyat.

Menurutnya, jika PAS terus kekal bersendirian parti Islam itu diramalkan akan bungkus di Selangor dan Perak pada PRU 14.

“PAS akan menyusut daripada mempunyai 15 kerusi DUN di Selangor, dan lima kerusi di Perak pada PRU ke-13 sehingga langsung tidak mempunyai kerusi, sepertimana yang berlaku dalam tahun 2004.

“Pada PRU ke-14, PAS Kelantan bakal berdepan kemungkinan untuk hilang kuasa ke atas negeri yang telah ditadbirnya sejak 1990, selama 23 tahun di bawah (Almarhum) Nik Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar,” katanya memberi peringatan.

Kalau ikut rentak UMNO-BN, sampai bila-bila pembangkang takkan jadi kerajaan

KLUANG, 21 JUN: Pembangkang di Malaysia tidak akan mampu jadi kerajaan baharu menggantikan UMNO BN jika masih terikut-ikut dengan rentak politik parti itu.

Sebaliknya, mereka perlu yakinkan pengundi bahawa kerajaan baharu yang bakal ditubuhkan tidak dengan terjebak dengan politik agama dan perkauman seperti yang dimainkan UMNO BN.

Pembangkang perlu beri penekanan kepada isu dan polisi yang melibatkan golongan biasa termasuklah peluang pekerjaan, pendidikan, pendapatan yang lebih baik, sistem perbandaran dan luar bandar, kehidupan yang lebih sempurna tanpa bebanan hutang dan sebagainya.

Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan Liew Chin Tong, berkata aspirasi sebenar rakyat Malaysia seperti yang disebutkan itu seringkali diketepikan kerana ia tidak sensasi sebagaimana isu kaum dan agama yang sering dimainkan.

Dalam masa sama, pembangkang pula dilihat gagal memberi pendirian ataupun jawapan yang tuntas bagi isu yang sentiasa dimanipulasi media itu.

“Di sinilah UMNO BN memainkan isu agama dan perkauman untuk terus kekal berkuasa sekaligus menafikan aspirasi rakyat biasa dengan merompak masa depan mereka melalui rasuah, kronisme dan nepotisme,” ujar beliau.

Ahli Parlimen Kluang itu berpandangan, pihak pembangkang tidak boleh mengambil jalan pintas dalam mengangkat isu dan aspirasi sebenar rakyat Malaysia.

“Jika kita gunakan jalan pintas. Pengundi nampak.

“Suka atau tidak, kita perlu mengambil tanggungjawab besar untuk membina Malaysia yang lebih baik untuk rakyat. Kita memberi inspirasi kepada diri sendiri dan pengundi manakala mereka akan memberi inspirasi kepada generasi baru mereka yang mengambil bahagian dalam politik untuk membentuk masa depan yang lebih baik,” jelasnya.

Menurut Pengerusi DAP Johor itu, kekalahan Pakatan Harapan merampas dua kerusi dalam Pilihanraya Kecil Sabtu lalu seolah-olah memberi mesej jelas bahawa BN sukar ditewaskan.

“Idea ‘Politik Baharu’ menggantikan ‘Politik Lama’ seolah-olah kelihatan mustahil,” kata Chin Tong.

Bagaimanapun beliau beranggapan, masih ada ruang bagi pembangkang negara ini merubah pendekatannya dengan tidak terikut-ikut dengan rentak mainan UMNO-BN.

“Ada yang berpandangan pembangkang perlu bersatu dan menjadi satu blok dan berdepan dengan BN satu lawan satu dalam pilihanraya akan datang.

“Tetapi adakah ini yang pengundi mahu lihat? Adakah Pilihanraya Umum akan datang akan ditentukan dengan pertandingan satu lawan satu dengan BN?

“Kita perlu soal diri kita apa sebenarnya yang pengundi mahu dan bukannya menurut atau terikut dengan kehendak pengkritik mahupun ahli politik,” katanya.

-Roketkini.com

Monday, June 20, 2016

PAS nasihat Tun M habiskan usia dengan bertaubat

KUALA LUMPUR Pemuda PAS menasihati mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya memperbanyakkan ibadah dan menziarahi Mekah daripada terus berusaha menunjukkan `taring’ dalam arena politik negara.

Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, Mahathir sepatutnya sudah mula bertaubat memandangkan `taringnya’ dalam politik secara rasminya telah tercabut berikutan kekalahan teruk Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar baru-baru ini.

“Saya sarankan Tun Mahathir banyakkan berada di tikar sejadah dan di hadapan Kaabah. Zaman kekuatannya ketika bertempur dengan almarhum ayahanda TGNA (Nik Abdul Aziz) telah berakhir.

“Jika Tun kembali kepada Allah dengan taubat yang benar, itulah sebaik-baik kehidupan di hujung hayat. Saya mendoakan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mahathir dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 18 Jun lalu secara terbuka mengkhianati UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang ditunjanginya selama ini dengan berkempen untuk calon Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP.

Beliau dipercayai bertindak demikian kerana berdendam dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana enggan tunduk kepada pelbagai permintaan peribadinya termasuk dalam isu pembinaan jambatan bengkok di Johor.

Usaha beliau untuk menjatuhkan Najib bagi menaikkan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu sebelum ini juga gagal.

Nik Mohamad Abduh dalam pada itu menyindir Pakatan Harapan yang sering memperlekehkan PAS sebelum ini apabila keputusan PRK kali ini menyaksikan parti itu mendapat 25 peratus sokongan pengundi.

“(Sebanyak) 25 peratus sokongan bersih untuk PAS itu kecil? Tidak. Itulah kekuatan tegar sokongan terhadap perjuangan Islam yang syumul di Malaysia,” katanya.

 – mynewshub.cc

Saturday, June 18, 2016

Tidak rasmi: BN menang besar PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar

Keputusan tidak rasmi PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar menunjukkan majoriti pengundi di kedua-dua Parlimen tersebut terus memihak kepada BN yang diterajui UMNO dan dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat ini yang dipetik dari portal Malaysiakini, BN memperolehi 16,449 undi dalam pertarungan tiga penjuru di Sungai Besar meninggalkan PAN (Parti Amanah Negara) yang mendapat 7,501 undi.

Manakala PAS pula sekadar mendapat 6,934 undi kebanyakannya datang dari akar umbi penyokong tradisi parti itu.

Majoriti undi memihak kepada BN setakat ini 8,948 undi di Sungai Besar, angka yang cukup besar dan terlalu jauh jarak undi untuk dikejar calon lain.

Sementara itu di Kuala Kangsar, BN juga dijangka mengekalkan penguasaannya apabila setakat ini sedang mendahului calon PAN dengan kelebihan 5,001 undi.

BN mendapat 9,435 undi diikuti calon PAN 4,434 undi dan calon PAS hanya 3,947 undi setakat ini. Calon Bebas hilang deposit setelah hanya mendapat 43 undi sahaja.

Lebih menarik berdasarkan kiraan tidak rasmi itu, kombinasi undi yang diperolehi calon PAN dan PAS masih mencatatkan defisit berbanding undi yang dikuasai BN. Satu lagi pencapaian yang cukup menarik bagi BN.

Untuk rekod pada PRU-13, BN memenangi Parlimen Sungai Besar dengan majoriti 399 mengalahkan calon PAS dan di Kuala Kangsar BN menang dengan majoriti 1,082 undi dalam pertarungan tiga penjuru.

Kemenangan BN yang lebih besar, majoriti yang berkali ganda tinggi berbanding sebelumnya, satu perkhabaran yang cukup baik untuk BN khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dan tentunya ia keputusan yang pahit untuk pakatan pembangkang PH kerana dengan sendirinya keputusan tersebut menutup cakap-cakap besar pemimpin mereka sepanjang kempen PRK ini kononnya mampu membuat kejutan.
 – MyKMU.Net

Peti Undi Ditutup

5pm: Semua pusat pengundian bagi pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar ditutup selepas 13 hari kempen sengit untuk memenangi hati dan minda pengundi.

Bertentangan dengan jangkaan sebelum ini, peratusan keluar mengundi dianggap tinggi.

Anggota Suruhanjaya Pilihan Raya sekarang sedang mengira undi bagi kedua-dua kerusi Parlimen yang keputusannya akan memberi isyarat yang jelas sama ada kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ataupun pembangkang.

Pengkritik Najib termasuk mentor yang kini menjadi seterunya, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa pengundi untuk menganggap pilihan raya kecil sebagai pungutan suara ke atas perdana menteri.

Keputusan juga bakal mencerminkan apa yang menurut penganalisis politik percaya sebagai kekecewaan dan keletihan dengan pertengkaran parti-parti pembangkang akan menjadi kenyataan.

Pertandingan bagi merebut kerusi kawasan majoriti Melayu juga penting kepada PAS dan parti serpihannya, AMANAH.

Baru setahun jagung, PAS menuduh AMANAH sebagai boneka DAP yang mahu membolot undi orang Melayu.

Di Sungai Besar, calon BN Budiman Mohd Zohdi berdepan dengan calon AMANAH Azhar Abdul Shukur, dan calon PAS Dr Abdul Rani Osman.

Sementara itu di Kuala Kangsar, BN meletakkan Datin Mastura Mohd Yazid mempertahankan kerusi arwah suaminya menentang ahli fizik nuklear AMANAH Dr Ahmad Termizi Ramli, calon PAS Dr Najihatussalehah Ahmad dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Dua kekosongan itu wujud apabila penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon (Sungai Besar) dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (Kuala Kangsar) terbunuh bersama-sama dengan empat yang lain dalam nahas helikopter baru-baru ini.

Pengundi Kuala Kangsar, Sungai Besar pilih MP baru hari ini

Hari ini, para pengundi di kawasan Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar akan memilih wakil rakyat mereka yang baru.

Seramai 32,632 daripada 32,949 pemilih berdaftar layak mengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.

Manakala 42,365 pengundi layak mengundi di Sungai Besar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), membuka 23 pusat mengundi di Kuala Kangsar dan 28 pusat mengundi di Sungai Besar, yang akan dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang.

PRK Parlimen Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Mohd Yazid, Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS), Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (Parti Amanah Negara) dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Manakala PRK Parlimen Sungai Besar merupakan pertembungan tiga penjuru antara calon BN yang juga ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi; calon PAS yang juga ADUN Meru,Dr Abdul Rani Osman dan Azhar Abdul Shukur daripada Parti Amanah Negara (Amanah), yang mewakili Pakatan Harapan.

PRK Sungai Besar diadakan serentak dengan PRK Parlimen Kuala Kangsar berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon (Sungai Besar) dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (Kuala Kangsar) dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

PRK Sungai Besar dianggap lebih sengit berbanding di Kuala Kangsar berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 di mana Noriah menewaskan calon PAS Mohamed Salleh M. Hussin dengan majoriti 399 undi.

Friday, June 17, 2016

Hujan lebat, cat merah & Mahathir di Sg Besar



RANGKUMAN Seperti biasa, Pakatan Harapan hari ini akan menutup kempen mereka tengah malam ini dengan ceramah besar-besaran di Sungai Besar.
BN bagaimanapun mungkin menggunakan pendekatan lain apabila tiada rancangan ceramah besar dibuat setakat ini.

Di hari terakhir kempen sebelum peti undi dibuka pada jam 8 pagi esok, tokoh-tokoh besar menghabiskan masa untuk memberi sentuhan akhir.

Ini termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang keluar Umno sebagai tanda protes pada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Mahathir hari ini menyertai beberapa siri penerangan dengan tokoh-tokoh Pakatan Harapan, termasuk bersolat Jumaat di sebuah masjid di kawasan itu.

Mahathir juga dilihat berkongsi kereta dengan calon Parti Amanah Negara (AMANAH) Azhar Abdul Shukor.

Dalam acara di Sekinchan tengah hari ini, Mahathir mengambil kesempatan memperkecil-kecilkan peranan calon BN, yang menurutnya hanya akan menjadi penurut Najib.

“Jika mereka hanya kata, ya, ya, ya, apa gunanya,” katanya yang tampil dengan pakaian rasmi busjaket, seperti gaya biasanya ketika menjadi perdana menteri sebelum ini.

Insiden vandalisme
Beliau bergerak selepas solat Jumaat di Kampung Sungai sebelum bergerak mengikuti Azhar turun padang bertemu pemilih.

Bagaimanapun cuaca lebat membuatkan Mahathir terpaksa membatalkan rancangan itu.

Sementara itu, di hari terakhir kempen, suasana dicemari dengan insiden vandalisme apabila sekurang-kurang dua poster BN Budiman Mohd Zohdi disimbah dengan cat merah.

Ia dikesan pagi ini di jalan Sungai Besar-Sekinchan.

Kerusi parlimen Sungai Besar menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, AMANAH dan PAS.

Dalam pilihan raya umum lalu, BN hanya memang tipis dengan majoriti undi kira-kira 400 sahaja.

Pilihan raya kecil itu diadakan serentak dengan Kuala Kangsar esok susulan kematian penyandang-penyandang kerusi itu dalam nahas helikopter di Sarawak bulan lalu.

1MDB lantik Weil Gotshal lawan IPIC, Aabar

1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah melantik firma undang-undang antarabangsa, Weil Gotshal & Manges (Weil Gotshal) bagi mewakilinya dalam permintaan timbang tara (RFA) oleh International Petroleum Investment Company (IPIC) dan anak syarikatnya, Aabar Investments PJS (Aabar).

Pelantikan itu sejajar dengan penerimaan RFA itu dari Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London bertarikh 13 Jun 2016.

"Weil Gotshal terkenal di seluruh dunia, firma guaman bertaraf paling tinggi dengan kepakaran, antara lainnya, dalam tindakan undang-undang antarabangsa," kata 1MDB dalam kenyataanya, hari ini.

Susulan pelantikan tersebut, 1MDB akan menfailkan maklum balas yang kukuh kepada RFA, pada atau sebelum tarikh akhir 11 Julai 2016, seperti yang ditetapkan oleh Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London.

IPIC dan anak syarikatnya, Aabar mengemukakan RFA berhubung tuntutannya melibatkan lebih AS$6.5 bilion daripada 1MDB dan kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF).

"RFA prihatin terhadap kegagalan 1MDB dan MOF untuk menjalankan obligasi kontrak di bawah Lembaran Terma Terikat (BTS) seperti yang dinyatakan dalam pengumuman IPIC GMTN Limited pada 10 Jun 015 (RNS Nombor 7064P)," kata IPIC dalam kenyataan kepada Bursa Saham London.

IPIC menyatakan bahawa kegagalan 1MDB dan MOF dalam menjalankan tanggungjawab mereka, melangsaikan tunggakan atau mengemukakan cadangan yang boleh diterima telah menyebabkan IPIC tiada pilihan alternatif selain meneruskan tuntutan berjumlah AS$6.5 bilion menerusi timbang tara.

"Tuntutan itu akan ditentukan oleh tribunal timbang tara yang akan terdiri daripada tiga orang penimbangtara menurut Lembaran Terma Terikat dan peraturan-peraturan LCIA ," kata IPIC dalam kenyataan itu.

Mengulas lanjut, 1MDB berkata, dengan diwakili oleh firma Weil Gotshal, pihaknya yakin dengan kedudukan perundangannya.

GST: Pertama kali dalam sejarah Malaysia orang miskin kena cukai

 oleh Fatih Hassan Nordin
SUNGAI BESAR, 16 JUN: Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mencipta sejarahnya tersendiri apabila menjadi cukai pertama yang dikenakan terhadap golongan miskin sejak Merdeka 57 tahun yang lalu.

Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, di bawah pemerintahan Barisan Nasional yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak, kerajaan UMNO-BN telah melaksanakan pelbagai dasar yang menyusahkan rakyat, termasuklah pelaksanaan GST.

“Selepas zaman Jepun, saya rasa inilah zaman paling susah bagi rakyat.

“Di bawah (pentadbiran) Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, inilah pertama kali dalam sejarah Malaysia orang miskin kena cukai.

“Cukai itu bukan cukai pendapatan, cukai itu namanya GST,” katanya dalam siri ceramah Pakatan Harapan di sini, semalam.

Malah, bekas anggota Majlis Tertinggi UMNO itu turut menyifatkan alasan yang diguna pakai kerajaan UMNO-BN untuk mempertahankan cukai berkenaan atas nama kepentingan rakyat, pembangunan infrastruktur dan pendidikan sebagai alasan yang dangkal.

Beliau mendakwa bahawa GST yang dikutip daripada rakyat sebenarnya adalah untuk menampung hutang berbilion ringgit yang ditanggung syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, 1MDB.

“Antara lain alasan yang diberi (untuk melaksanakan GST) adalah sebab kekurangan dana.

“Memanglah tak cukup dana sebab rasuah, ketirisan, pembaziran yang berlaku dalam pentadbiran negara,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau turut menempelak saranan kerajaan supaya rakyat mengamalkan budaya berjimat cermat, sedangkan kerajaan terus melakukan pembaziran dana awam.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menggesa supaya pengundi memilih calon Parti Amanah Negara (Amanah) yang mewakili Pakatan Harapan pada 18 Jun nanti sebagai referendum penolakan yang jelas terhadap kepimpinan Najib.
– Roketkini.com

Thursday, June 16, 2016

Nik Abduh: Tidak boleh ada 2 parti Islam

Mohamad Fadli 
June 16, 2016

PAS berkata hanya 1% meninggalkan parti itu untuk bersama Amanah.

KUALA KANGSAR: Hanya satu parti Islam yang boleh wujud di Malaysia untuk memperjuangkan Islam, kata Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz.

“Tak boleh ada dua parti Islam, walaupun banyak NGO, kerana 1000 NGO tidak gugat jika hanya ada satu parti Islam dalam negara,” katanya pada ceramah di Lempor Hilir malam semalam.

Katanya, kewujudan dua parti Islam akan memecahkan undi orang Islam dan merugikan.

Beliau mengulas dakwaan parti serpihan PAS, Amanah, yang mengaku ia juga berjuang atas nama Islam.

“Otak kita banyak tapi Allah minta satukan melalui penyatuan ummah. Nak Islam bertapak di Malaysia beri undi pada Islam.”

Nik Abduh berkata sekiranya undi orang Islam berpecah, Amanah yang harus dipersalahkan.

Katanya daripada sejuta ahli PAS, “hanya 1% ikut Amanah”.

“Tak kan nak salahkan PAS, yang 1% betul, 99% salah,” katanya.

Dalam ceramahnya, Nik Abduh berkata Pilihan Raya Kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar merupakan satu jihad menentang pimpinan kerajaan yang mendatangkan masalah kepada negara.

“Sistem yang rosak maka menggunakan tangan, mengambil pensel memangkah itu adalah sebaik-baik jihad.

Pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan keluar mengundi Sabtu ini.

Di Kuala Kangsar, calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad akan berdepan dengan calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid yang mempertahankan kerusi mendiang suaminya, calon AMANAH, Dr Ahmad Termizi dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

'PKR, DAP, PAS perlu kembalikan ke meja rundingan

Faiz Zainudin
June 16, 2016

PAS kini keseorangan dan bersekutu dengan parti Ikatan yang tak teruji, masih baru dan tidak ada kekuatan di Parlimen.
KUALA LUMPUR: PKR dan DAP perlu membuang ego dan kembali berunding dengan PAS bagi membentuk gabungan baharu sepertimana Pakatan Rakyat, sekiranya mereka mahu menguburkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang, menurut seorang pemerhati politik.

“PKR dan DAP perlu melakukan rundingan dari hati ke hati dan sanggup berkompromi dengan PAS sekiranya tak mahu perkara ini berlaku (BN kekal memerintah).

“DAP perlu melenturkan sikap yang dilihat PAS sebagai agak keterlaluan untuk PAS terus menjalinkan hubungan dengan DAP,” kata penganalisis politik, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.

Beliau berkata, keterbukaan PAS untuk bekerjasama dengan Umno adalah disebabkan mereka mahukan parti Melayu itu menyokong perlaksanaan undang-undang hudud yang ingin dibawa parti itu kerana menyedari mereka tidak mempunyai kekuatan di Parlimen.

“PAS kini keseorangan dan bersekutu dengan parti Ikatan yang tak teruji, masih baru dan tidak ada kekuatan politik dari segi keahlian Parlimen.

“Bagi Umno pula kerjasama dengan PAS merupakan langkah terbaik menghalang Pakatan Harapan menjadi kuat dan berjaya memenangi PRU akan datang,” kata pensyarah kanan Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya (UM) itu.

Beliau turut berkata PAS masih mampu mentadbir Kelantan walaupun bukan sebahagian gabungan pembangkang atau kerjasama rasmi dengan Umno.

Menurutnya, parti Islam itu bergerak secara bersendirian di bawah kepimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sejak 1990 dengan bermodalkan dana yang agak terhad.

“Sebenarnya PAS masih dapat mentadbir Kelantan dengan dengan baik tanpa sokongan Umno,” katanya kepada FMT.

Tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM400 juta kepada Kelantan, antara negeri tertinggi menerima dana persekutuan.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata tidak akan menggunakan teknik menyerang UMNO dan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar kerana ia tidak mampu menarik pengundi Melayu menyokong parti Islam itu.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengakui partinya giat mendekati Umno atas dasar kepentingan Islam.

12 Isi kandungan mesyuarat CEC DAP didedah

AIDCNEWS
AIDCNews – 15/6/16

 Dua belas isi kandungan kandungan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP di ibu pejabat parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) yang didedahkan oleh Rozmi Mokhtar adalah seperti berikut :

1. Memecah belahkan perpaduan di kalangan orang-orang Melayu. Sehingga kini DAP berjaya memecah belahkan parti PAS. Keyakinan rakyat terhadap UMNO perlu dihakis semaksima yang boleh kerana setelah ‪#‎BERSIH4‬.0, orang-orang Melayu dilihat semakin menjauhi parti-parti pakatan pembangkang, terutamanya apabila gambar-gambar dan video pemimpin-pemimpin mereka dipijak dan diperlakukan dengan sehinanya tersebar luas di media sosial.

2. DAP perlu memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Parti Amanah Negara (PAN) yang didokongi oleh para pemimpin Gerakan Harapan Baru sebagai pilihan lain bagi meraih sokongan dan undi Melayu. DAP sedar bahawa PKR sudah dianggap tidak relevan kepada orang-orang Melayu setelah Langkah Kajang dan terbaru skandal DEIG dikritik hebat oleh DAP dan PAS di sidang DUN Selangor.

3. Konglomerat nasional 1MDB berperanan membantu Bumiputera menceburi bidang perniagaan pada skala besar, sama seperti PETRONAS yang banyak membantu kerajaan dan orang-orang Melayu. Sebagai konglomerat nasional baru, 1MDB begitu cemerlang membantu meningkatkan perniagaan umat Islam, Melayu, dan Bumiputera. Ia menjadi menjadi sainganyang.cukup kuat kepada kaum Cina.

Atas sebab itu, 1MDB mesti dimusnahkan dengan apa cara sekalipun dan diberikan persepsi negatif kepada rakyat, samada dengan memperalatkan pemimpin-pemimpin UMNO anti Najib atau mana-mana penjawat-penjawat awam yang memiliki kedudukan yang tinggi.

4. Para pemimpin-pemimpin UMNO perlu diserang secara berterusan dan diberikan persepsi negatif seperti suka makan rasuah, mengamalkan kronisme, sombong, menyeleweng dan sebagainya.

5. Proses perkaderan melalui Sekolah Demokrasi perlu melahirkan seramai mungkin pemimpin pelapis muda Melayu bagi menghancurkan pimpinan utama UMNO khasnya Perdana Menteri sehingga berjaya memburukkan, memfitnah dan menghasut ke tahap menaikan kebencian terhadap mereka dengan perbagai cara secara besaran.

6. Siri-siri demonstrasi BERSIH perlu diteruskan dan slogan ABU – “Asal Bukan UMNO” perlu dimainkan selalu di dalam media sosial supaya rakyat khasnya generasi muda terus membenci kerajaan Malaysia yang diterjui oleh UMNO.

7. BERSIH 4 dilihat gagal apabila majoriti peserta yang hadir adalah kaum Cina. DAP perlu merangka dan menganjurkan BERSIH 5 sebelum PRU 14 dengan penyertaan majoriti Melayu pula.

8. Parti DAP perlu merangka pelan bertindak yang berkesan dan berterusan bagi memecah belahkan hubungan UMNO dan parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain sebelum PRU 14. Perpecahan dalaman MIC dan MCA perlu diambil kesempatan dengan melobi pemimpin-pemimpin mereka yang kecewa menyertai DAP di samping terus memainkan peranan menghasut bagi memecah belahkan para pemimpin dan penyokong antara pro Tun Dr. Mahaathir Mohamed, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato’ Seri Mohd Najib Abd Razak dan fraksi-fraksi lain.

9. Sumbangan dana RM2.6 Billion kepada Perdana Menteri perlu diberikan persepsi negatif kepada rakyat kerana ia amat merbahaya kepada DAP dan parti-parti pakatan dalam menghadapi PRU 14. Selama ini DAP berbangga kerana ramai pemodal, kapitalis dan jutawan Cina tidak lagi memberi sumbangan dan menderma kepada UMNO Barisan Nasional bagi membiayai kegiatan politik mereka.

10. Goods and Services Tax (GST) dianggap sangat sistem percukaian yang sangat membahayakan perniagaan kaum Cina pada jangka masa panjang memandangkan ia.begitu terperinci, efisien dan setiap butiran transaksi perlu direkodkan dan dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Kaum Cina tidak dapat lagi melarikan diri dari cukai dan para peniaga perlu menaikkan harga barangan dan perkhidmatan bagi menanamkan kebencian rakyat terhadap Kerajaan Malaysia.

11. Jutawan-jutawan dan tokoh-tokoh konglomerat Melayu seperti Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary perlu diserang habis-habisan kerana mereka banyak membantu orang-orang Melayu dari sudut pendidikan, kebajikan serta perniagaan.

12. Produk dan keluaran milik umat Islam Melayu dan Bumiputera perlu dihapuskan dan dimusnahkan perniagaan mereka dan sebarang usaha membangunkan perniagaan Melayu seperti Low Yat 2 perlu ditentang dan diberikan gambaran negatif.

Wednesday, June 15, 2016

Amanah sebenarnya parti pengacau

ASYRAF MUHAMMAD DAN MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR
15 JUN 2016
Iskandar Abdul Samad
SUNGAI LIMAU Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad menegaskan bahawa Parti Amanah Negara (Amanah) sebenarnya yang menjadi pengacau kerana turut sama bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kawasan Parlimen Sungai Besar.

Menurut Iskandar, Pas mempunyai harapan besar setelah parti berkenaan menamakan calon terlebih dahulu untuk bertanding dalam PRK Sungai Besar namun tindakan Amanah yang turut sama bertanding adalah sangat tidak adil.

“Saya nak tegaskan ini adalah kerusi kita (Pas) dan kita pernah bertanding di sini.

“Bermakna kita yang terlebih dahulu masuk dan pernah bertanding di sini jadi tak adil kata kita pengacau. Amanah yang pengacau,” katanya pada sidang media yang berlangsung di Markas Pas Sungai Limau hari ini.

Iskandar berkata demikian bagi menjawab kenyataan Penasihat DAP yang mengatakan bahawa Pas adalah pengacau kerana turut serta dalam PRK kali ini dan sekiranya para pengundi memilih parti Islam itu sama seperti memilih BN.

Dalam perkembangan lain, Iskandar yang juga Pengarah PRK Pas Sungai Besar turut menggesa agar pengundi luar dapat pulang untuk menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih parti yang bertanding PRK kali ini.

“Saya menggesa pada pengundi luar untuk balik mengundi sepertimana saya nyatakan sebelum ini bahawa PRK ini penting bukan untuk kedua-dua kawasan tapi secara keseluruhan rakyat negara ini sebab ia beri mesej pada BN,”katanya.

Tambah Iskandar, Pas kini sudah bertemu lebih 80 peratus pengundi di Sungai Besar bagi membawa mesej agar mereka dapat menolak BN untuk kesejahteraan seluruh rakyat.

“Sekiranya BN menang besar hari ini, ia akan menyebabkan rakyat rugi dan kita nk beri mesej pada BN yang kita tak restui tindakan mereka,”katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-