Saturday, July 31, 2021

Sidang Dewan Rakyat tangguh, kami tetap mahu turun Parlimen, kata Ahli Parlimen pembangkang

FMT Reporters
-July 31, 2021 8:50 PM

Sebilangan Ahli Parlimen pembangkang sepakat tetap akan hadir ke Parlimen Isnin ini sebagai tanda bantahan.

PETALING JAYA: Sebilangan Ahli Parlimen pembangkang tetap bertegas mahu hadir ke Parlimen Isnin ini walaupun hari terakhir Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 itu sudah dibatalkan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional adalah penderhaka, yang mana mereka sama sekali meminggirkan Perlembagaan negara yang sudah mereka janji untuk taat setia ketika mengangkat sumpah.

Katanya, tindakan Perdana Menteri mengarahkan Parlimen digantung umpama mencampuri hak Eksekutif dalam urusan perundangan.

“Di mana Speaker (Azhar Azizan Harun) ketika dia seharusnya membuat keputusan sama ada Parlimen boleh atau tidak bersidang. Dia sepatutnya berkomunikasi dengan semua Ahli Parlimen. Mengapa dia menyerahkan tugasnya kepada Timbalan untuk memaklumkan kepada Ahli Parlimen?,” katanya dalam satu kenyataan.

Lim mendakwa, Muhyiddin menangguhkan sidang Parlimen kerana ingin mengelak daripada undi sama ada semua Ahli Parlimen sepakat untuk menyokong titah Yang di-Pertuan Agong berhubung Ordinan Darurat perlu dibahaskan.

“Jika dia mendakwa ada sokongan lebih 110 Ahli Parlimen, mengapa mereka mengelak untuk bersidang?

“Perdana Menteri, Speaker, Takiyuddin (Menteri Undang-Undang) serta Peguam Negara perlu letak jawatan segera bagi memulihkan kembali negara,” katanya sambil menambah, empat individu berkenaan perlu mohon maaf kepada Agong.

Justeru, katanya, beliau sudah pun mengarahkan semua 42 Ahli Parlimen DAP untuk muncul di Parlimen pada jam 10 pagi Isnin ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata kehadiran mereka pada Isnin ini di Parlimen sebagai tanda membantah penutupan institusi tertinggi negara itu.

Fahmi dan Syed Saddiq sependapat kadar jangkitan di Parlimen hanya 0.9%, iaitu di bawah paras 5% seperti disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Hampir kesemua Ahli Parlimen telah terima 2 dos vaksin, dan telah disahkan negatif dalam ujian RT-PCR pada 23/7 sebelum sidang khas bermula.

Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bahawa Ordinan-Ordinan Darurat perlu dibahas dan diputuskan di Parlimen, selaras Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Maka, tidak ada kuasa yang boleh atau patut menghalang Ahli Parlimen yang sah dan berhak berasaskan Perlembagaan Persekutuan untuk hadir ke Parlimen pada Isnin, 2 Ogos ini. Allah selamatkan Malaysia dari para pengkhianat, penderhaka, dan perosak Perlembagaan Persekutuan kita.

“Parlimen, kami datang!” kata Fahmi dalam laman Facebooknya.

Syed Saddiq berkata, kerajaan PN digambarkan sebagai takut untuk berbahas membabitkan ordinan darurat yang dijadual berlangsung pada sidang Parlimen, Isnin ini.

“Jangan ingat rakyat bodoh. Saya & rakan MPs (Ahli Parlimen) dibayar untuk bertugas di Parlimen. Saya tetap akan ke Parlimen Isnin ni. Nak halang saya, halanglah. Saya tak takut,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Selangau Baru Bian, menyatakan rasa kecewa kerana Parlimen dipermainkan pihak kerajaan.

“Baru terima notis dari Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat bahawa Timbalan Speaker mengarahkan agar persidangan hari Isnin (2/8/2021) ditangguh ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak. Kenapa Parlimen di permainkan sedemikian?” katanya.

Sementara itu, Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, mencadangkan Yang di-Pertuan Agong membatalkan Seksyen 11 Ordinan Darurat, justeru pencetus keruntuhan kerajaan dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin termasuk barisan Kabinet, sebelum pengisytiharan darurat secara automatik tamat pada tengah malam, 2 Ogos ini.

Katanya, satu Seksyen 11 baru digubal dalam Ordinan Darurat dan meletakkan kuasa tadbir urus negara semasa darurat kepada satu Majlis Penasihat Diraja Darurat untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dan dibantu penjawat awam di bawah kementerian masing-masing.

Haniff berkata, Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara mutlak melanjutkan tempoh darurat mulai 2 Ogos ini hingga sekurang-kurangnya 31 Disember tahun ini ataupun mana-mana tarikh mengikut Perkara 150(1) dan atau Perkara 150(2A) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, keseluruhan fokus dan perhatian tadbir urus negara semasa darurat di tumpukan kepada masalah menangani Covid-19 tanpa gangguan politik sama sekali.

Terkini !!! Sidang parlimen Isnin ditangguh hingga suatu tarikh baru

gemilangdaily.com
31/07/2021 5:52 PM


Sidang parlimen Isnin ditangguh hingga suatu tarikh baru. Sidang khas parlimen yang seharusnya disambung Isnin ini ditangguhkan “ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak”.

Perkara itu dimaklumkan melalui surat yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin.

“Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) bahawa persidangan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan rakyat pada Isnin, 2 Ogos 2021 ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

“Pemakluman ini dibuat oleh Perdana Menteri selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-peratusan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” kata surat itu yang dilihat Malaysiakini.
Surat itu juga menyatakan bahawa penangguhan itu selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan.

“Kementerian Kesihatan berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan Covid-19,” kata surat itu.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/585338

Belum sebulan dilantik TPM, Ismail Sabri bakal dilantik PM interim?

freemalaysiatoday.com
Minderjeet Kaur
-July 31, 2021 3:15 PM

Difahamkan, Muhyiddin sebelum ini dinasihati untuk tidak meletak jawatan, susulan kontroversi pembatalan ordinan darurat tanpa perkenan Istana Negara. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dikatakan mempunyai sokongan kuat, termasuk daripada kalangan ahli kabinet untuk dilantik sebagai perdana menteri interim (sementara,) menurut sumber.

Menurut sumber berkenaan, rundingan mengenai perkara itu sedang berjalan di peringkat kepimpinan Perikatan Nasional (PN).

Ismail ‘nampaknya’ memperolehi sokongan agak kukuh menggantikan Muhyiddin Yassin, untuk dicalonkan sebagai perdana menteri interim, kata sumber itu.

Majoriti dalam kabinet bersetuju atas pekara ini dalam rundingan setakat ini,” tambahnya.

Adalah difahamkan, Muhyiddin sebelum ini dinasihati untuk tidak meletak jawatan oleh anggota kabinetnya, susulan kontroversi pembatalan ordinan darurat tanpa perkenan Istana Negara.

Bagaimanapun pendirian muktamad Ahli Parlimen Pagoh itu terhadap nasihat berkenaan tidak diketahui.

Ismail dilantik sebagai timbalan perdana menteri awal bulan ini.

Hari ini, spekulasi bertebaran Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim memperolehi perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Bagaimanapun jurucakap Istana dan PKR menafikannya.

Sumber Istana Negara nafi Anwar akan mengadap Agong

malaysiakini.com
Hariz Mohd
Diterbitkan 31 Jul 2021, 1:50 pm
Dikemaskini 2:15 pm

KEMAS KINI: Laporan ini dikemas kini dengan penafian dari sumber Istana Negara.

Sumber Istana Negara menafikan dakwaan bahawa Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim diberi perkenan untuk mengadap Yang Di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini.

Ini susulan dakwaan beberapa sumber PKR bahawa pihak istana telah memberikan perkenan kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu untuk mengadap pada pukul 2.30 petang hari ini.

Sumber PKR turut mendakwa pertemuan itu dijangka berlangsung di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, bagaimanapun, mengatakan dia tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu.

Perkembangan ini hadir di tengah krisis perlembagaan yang antara kerajaan Perikatan Nasional dan pihak istana.

Agong pada hari Khamis (29 Julai), melalui Istana Negara, secara terbuka menegur kerajaan kerana mengelirukan Dewan Rakyat dan bertindak tidak mengikut perlembagaan berhubung pembatalan ordinan darurat.

Agong juga menyatakan dukacita kerana ordinan darurat tidak dibentang dan dibahaskan di Parlimen.

Susulan tindakan Umno menarik sokongan daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kerajaan PN dilihat enggan membenarkan sebarang undian di parlimen kerana bimbang tidak mempunyai sokongan majoriti.

Ordinan darurat dapat dibatalkan sama ada melalui kerajaan dengan persetujuan Agong atau dibatalkan di Parlimen.

Zahid pertahan keputusan gesa Muhyiddin letak jawatan, kekal sokong PN

malaysiakini.com
Diterbitkan 31 Jul 2021, 11:48 am
Dikemaskini 11:49 am

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan pendirian partinya mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berundur dan pada masa sama tetap menyokong Perikatan Nasional.

"Persoalan ini dijadikan propaganda pasukan siber anti-Umno pula sedangkan perkara itu bukanlah suatu perkembangan baharu.

"Umno sebaliknya sejak lama konsisten dalam hal ini dan (Ahli Parlimen Pekan) Najib Razak turut mengulanginya semalam," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Zahid menyamakan situasi politik dengan anak kapal yang harus mengikut arahan nakhoda yang memimpin mereka ke arah yang salah.

"Tetapi malangnya nakhoda terlalu ego mengakui kesilapan yang telah dilakukan.

"Maka untuk memperbetulkan kapal kembali ke laluan sebenar dengan menggantikan kepada nakhoda yang berkemampuan," katanya.

Tambah Zahid, meskipun perdana menteri tidak campur tangan dalam kerja-kerja kementerian masing-masing, para menteri mesti tetap mengikuti arahan umum yang ditetapkan oleh perdana menteri.

"Perdana menteri tidak tertakluk nasihat kabinetnya. Memiliki kuasa penuh menentukan tadbir urus," katanya.

Oleh itu, Zahid berkata adalah penting bagi orang yang berkemampuan untuk menjawat jawatan perdana menteri.

"Sebab itu Umno konsisten mahu perdana menteri diganti. Nakhoda perlu ditukar supaya kerajaan yang telah gagal kembali ke landasan rakyat dan negara," katanya.

Dia mengatakan perdana menteri baru akan menyeru pilihan raya umum setelah wabak Covid-19 berjaya ditangani.

Pada 8 Julai, Zahid mengumumkan bahawa Umno menarik sokongan kepada Muhyiddin tetapi daripada 38 ahli parlimen Umno, sesetengah dilihat tidak bersetuju dengan keputusan itu.

Muhyiddin dianggarkan mendapat majoriti empat kerusi dengan sokongan penuh Umno.

Ini bermakna Zahid hanya memerlukan segelintir ahli parlimen Umno untuk menghalang agenda perundangan yang dibawa perdana menteri untuk diluluskan di parlimen.

Gandingan mantap ‘Kabinet Anwar’ yang bakal menyelamatkan negara

agendadaily.com
31/7/2021


Impian Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu semakin hampir menjadi kenyataan dan pemimpin utama Pakatan Harapan nampaknya semakin geli-geli untuk memegang tampuk pemerintahan sekali lagi.

Ketika ini, Anwar mungkin sudah merencana barisan Kabinet yang mantap ke arah untuk menyelamatkan negara dengan membariskan tokoh-tokoh yang disegani dalam blok pembangkang seperti Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan Datuk Seri Shafie Apdal.

Selain itu, nama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku anak murid Anwar yang setia dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku pelobi utama dalam menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pasti akan menjadi pertimbangan Presiden PKR tersebut.

Agenda Daily memberi gambaran awal ‘Kabinet Anwar’ yang akan dibentuk melibatkan pemimpin utama blok pembangkang termasuk Zahid dan Najib, gandingan mantap yang disebut-sebut bakal menyelamatkan negara dalam krisis pandemik ketika ini.

Perdana Menteri, portfolio Menteri Kewangan – Anwar

Jawatan nombor satu yang selama ini menjadi idaman Anwar, ia mustahil akan diberikan kepada individu lain yang lebih layak selain Anwar dan dikatakan bakal mengekalkan portfolio lamanya semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Menteri Kewangan.

Portfolio tersebut paling penting memandangkan Menteri Kewangan akan menguruskan segala urusan berkaitan keluar dan masuk wang kerajaan, ketika era pentadbiran Barisan Nasional (BN) umum mengetahui bagaimana Najib mengekalkan kuasanya semasa memegang portfolio tersebut.

Anwar pasti memilih untuk memegang portfolio tersebut bagi memastikan pengaruh dan kuasa berada dibawah telunjuknya.

Timbalan Perdana Menteri 1, portfolio Menteri Undang-Undang dan Parlimen – Zahid

Bagi membalas jasa dan tanda penghargaan kepada Zahid yang setia serta dilihat pencatur utama dalam menjatuhkan kerajaan PN, jawatan kedua tertinggi ini perlu diberikan kepada anak muridnya.

Walaupun umum mengetahui pelbagai skandal serta kontroversi salah guna kuasa terpalit dengan Presiden UMNO tersebut, tiada pilihan lain selain Anwar perlu melantik anak muridnya itu sebagai Menteri Undang-Undang dan Parlimen.

Portofolio yang dijangka diberikan kepada Zahid pastinya berkaitan Undang-Undang dan Parlimen memandangkan ia dapat membantunya dalam mengendalikan kes-kes mahkamah yang sedang dihadapinya disamping dapat mengelak berdepan hukuman penjara sekiranya didapati bersalah.

Sebagai Menteri Undang-Undang dan Parlimen, Zahid akan dapat mengawal badan perundangan negara dan boleh menjadi ‘gate keeper’ atau penjaga kepada kerajaan Anwar sekiranya diserang atau dipersoalkan keabsahannya.

Timbalan Perdana Menteri 2, portfolio Menteri Ekonomi – Guan Eng

Anwar perlu memberikan jawatan kedua tertinggi kerajaan kepada Setiausaha Agung DAP tersebut ia memandangkan parti tersebut memiliki 42 Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat, komposisi terbanyak dalam kerajaan yang bakal dibentuk oleh Anwar.

Ia perkara wajib dilakukan Anwar sekiranya mahu kekal mendapat sokongan DAP, tawaran jawatan tersebut akan mengekalkan kesetiaan parti tersebut kepada Anwar, malah Guan Eng juga mempunyai pengalaman sebagai Menteri Kewangan sebelum ini semasa era pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain itu, Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang mempunyai pengalaman dalam menarik pelaburan, ia terbukti dengan projek terowong yang berjaya menarik pelabur dari China ke negeri Pulau Pinang.

Cuma, projek tersebut tidak diteruskan dan sebaliknya Guan Eng kini sedang berdepan kes mahkamah berkaitan projek tersebut.

Menteri Senior, portfolio Menteri Pendidikan – Mat Sabu

Walaupun kurang menyerlah semasa menerajui Kementerian Pertahanan sebelum ini, Mat Sabu mungkin akan diangkat Anwar sebagai Menteri Pendidikan sebagai balasan terhadap kesetiaannya untuk kekal bersama dan sanggup meninggalkan Dr Mahathir yang kini tidak lagi memiliki sokongan AMANAH dan DAP.

Anwar yakin dengan kemampuan Mat Sabu untuk membawa era baharu dalam pendidikan negara semasa era pandemik, ia walaupun tidak habis belajar selepas dibuang daripada ITM.

Namun, kejayaannya dalam pentas politik tidak boleh dinafikan dan Mat Sabu pastinya dapat menaikkan motivasi para pelajar untuk mengikut jejaknya, gagal dalam pelajaran tidak semestinya gagal dalam hidup.

Paling tidak pun, kemungkinan ramai pelajar jurusan kulinari yang bertaraf dunia dapat dilahirkan memandangkan kehebatannya dalam bidang masakan. Pasti ramai mengetahui kehebatan kari Mat Sabu.

Cuma pesan Agenda Daily, Mat Sabu perlu mengelak ada skandal dengan pelajar sekolah kerana sebelum ini pernah tersebar klip audio seksi beliau dengan seorang wanita muda.

Menteri Senior, portfolio Menteri Pertahanan – Shafie Apdal

Anwar tidak boleh meminggirkan Presiden Warisan tersebut dalam barisan Kabinetnya jika mahu mendapatkan sokongan Ahli Parlimen dari Sabah dan jawatan Menteri Pertahanan perlu diberikan kepada Shafie.

Bekas Ketua Menteri Sabah tersebut juga memainkan peranan penting dalam menumbangkan kerajaan PN dan bagi memastikan kestabilan kerajaan, Anwar perlu memberi jawatan yang dianggap penting kepada Shafie.

Jawatan Menteri Pertahanan paling sesuai diberikan kepada Shafie memandangkan negara sedang berdepan isu pencerobohan perairan negara di Laut Cina Selatan dan sebagai seorang anak Bajau Laut, pastinya Shafie lebih memahami isu tersebut serta memahami cara untuk mengatasinya.

Dan terakhir, Penasihat Khas Perdana Menteri (PM) – Najib

Dalam memastikan sokongan berterusan dan ampuh terhadap Kabinetnya, peranan Najib tidak boleh dipandang ringan Anwar kerana tanpa sokongan bekas Presiden UMNO itu mustahil langkah menyingkirkan kerajaan PN berjaya direalisasikan.

Situasi kali ini berbeza dengan perjanjian yang pernah dimerterai Anwar dan Najib semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu yang orang tengahnya ketika itu adalah bekas Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla.

Mengapa kali ini berbeza, kali ini Najib memerlukan bantuan Anwar untuk menyelamatkan dirinya dan sama seperti Zahid juga, kedua-dua mereka tidak mahu hidup meringkuk dalam penjara.

Jalan terakhir yang Najib dan Zahid ada sekarang ini hanya bekerjasama dengan Anwar, tiada jalan lain lagi. Apa jadi sekali pun, kepentingan peribadi lebih penting sekarang.

Sebagai balasan, Anwar perlu meletak Najib pada kedudukan selamat atas bantuan yang diberikan dan Penasihat Khas adalah tawaran terbaik yang tidak akan ditolak.

Maka, terbentuklah Kabinet Anwar yang baharu. Tahniah………

Friday, July 30, 2021

Kekal sokong kerajaan Perikatan Nasional, kata Hishammuddin

agendadaily.com
30/7/2021

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ditadbir Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin masih disokong UMNO dan Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bendahari BN tersebut berkata beliau senada dengan pendirian BN dan UMNO yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam di Parlimen.

“Kita dalam BN dan UMNO telah membuat pendirian dan diumumkan oleh TPM semalam,” katanya lapor Bernama.

Terdahulu, Hishammuddin yang juga Menteri Luar menghadiri majlis penyerahan sumbangan peralatan perubatan Kerajaan Arab Saudi melalui King Salman Humanitarian Aid and Relief Center (KSrelief) untuk membantu Malaysia menangani cabaran pandemik Covid-19 di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS).

Pada Khamis, Ismail Sabri yang juga Ketua Whip Kerajaan berkata, lebih 110 Ahli Parlimen masih menyokong kerajaan sedia ada.

Dalam kenyataan berlainan, BN juga mengumumkan seramai 39 MP terdiri daripada UMNO, MIC dan MCA juga kekal menyokong kepimpinan Muhyiddin.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO turut menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara pada Khamis.

Di sebalik kontroversi ‘derhaka’, Tajuddin tetap sokong Muhyiddin

freemalaysiatoday.com
Mohamad Fadli
-July 30, 2021 5:46 PM

Tajuddin Abdul Rahman berkata, semua pihak tidak harus bingkas menuduh kerajaan dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin derhaka kepada Istana.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin di sebalik kontroversi pengumuman pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Tajuddin berkata, semua pihak tidak harus bingkas menuduh kerajaan dan Perdana Menteri derhaka kepada Istana berhubung isu itu.

Katanya, apa yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan pada sidang khas Dewan Rakyat Isnin lalu hanya merujuk kepada perkara diputuskan oleh pihak kerajaan.

“Pembubaran (ordinan) darurat itu…mesti mendapat perkenan Agong dahulu sebelum ia diberitahu kepada orang ramai.

“Kita menerima hakikat itu. Tetapi Menteri Undang-undang (hanya) menyebut di dalam Parlimen, (Ordinan Darurat) telah dibatalkan oleh Kabinet. Dia tak sebut pun lagi yang pembatalan itu belum lagi selesai sehingga mendapat perkenan Agong.

“Dia dijadualkan untuk menjelaskan (perkara berkenaan) Isnin ini. Tetapi sudah jadi macam ini tak tahulah jadi macam mana,” katanya kepada FMT, tanpa mengulas lanjut.

Dalam perkembangan sama, Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob berkata, 40 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno, mengadakan mesyuarat semalam dan menyatakan sokongan berterusan kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Mereka mengambil pendirian demikian meskipun Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendesak Ahli Parlimen parti itu menarik balik sokongan kepada Muhyiddin.

Kenyataan Ismail itu dibuat menerusi surat menggunakan logo dan alamat BN. Bagaimanapun ibu pejabat BN menegaskan kenyataan itu tidak dikeluarkan menerusi saluran rasmi parti.

“Sebarang kenyataan rasmi parti hanya dikeluarkan melalui pengerusi (Ahmad Zahid Hamidi) atau Setiausaha Agung parti (Zambry Abdul Kadir) dan hanya dikeluarkan melalui saluran rasmi komunikasi parti,” kata Setiausaha Eksekutif BN, Mohamad Sahfri Ab Aziz.

Hisham ketepi tuduhan Zahid, sekutu pembangkang bahawa kerajaan gagal

agendadaily.com
30/7/2021

Menteri Kanan Luar Negara Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerima sumbangan Arab Saudi yang disampaikan Duta Besar Kerajaan Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussein Saeed Qattan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, di ibu negara hari ini. - Gambar Wisma Putra

Pemimpin veteran UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini mengetepikan tuduhan yang sering dilemparkan pembangkang, termasuk pemimpin parti beliau sendiri, bahawa kerajaan telah gagal.

Katanya jika kerajaan gagal pastinya negara luar tidak mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada Malaysia, sebaliknya pelbagai sokongan daripada banyak negara membuktikan negara tidak gagal.

Menteri Kanan Luar Negeri itu juga berkata Malaysia turut menerima pelbagai sumbangan yang disalurkan sekutunya sebagai tanda penghargaan kepada negara.

“Jika benar kita negara gagal, saya tidak rasa kita akan diberi pengiktirafan dan penghargaan.

“Buktinya kita boleh lihat pelbagai sumbangan dari negara luar diberikan kepada Malaysia, terutama membabitkan sumbangan vaksin,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Perubatan Caudi-19 daripada Arab Saudi di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di ibu negara, hari ini.

Hadir sama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan.

Sebelum ini Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan sokongan parti itu terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ditamatkan serta-merta kerana mendakwa kerajaan gagal, termasuk dalam usaha membasmi wabak Covid-19.

Malah Zahid juga mendesak Muhyiddin meletak jawatan supaya tanggungawab itu boleh diambil alih oleh pemimpin lain yang beliau tidak namakan.

Bagaimanapun, ramai Ahli Parlimen UMNO yang enggan mengikut telunjuk Zahid, malah terus kekal bersama kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.

Mengulas lanjut Hishammuddin berkata, Malaysia setakat ini sudah menerima sumbangan masing-masing sejuta dos vaksin daripada Amerika Syarikat (AS) dan Jepun serta 500,000 dos dari China.

Katanya, United Kingdom (UK) pula menyumbangkan 450,000 dos vaksin yang dijangka tiba Selasa ini.

“Hari ini suka saya umumkan kerajaan Arab Saudi akan menyumbangkan sejuta dos vaksin AstraZeneca kepada Malaysia,” katanya.

Malaysia turut menerima sumbangan 4.5 juta unit bekalan peralatan perubatan bernilai RM21.14 juta daripada kerajaan Arab Saudi, termasuk pelitup muka, kelengkapan pelindung diri (PPE), bekalan oksigen dan katil elektrik.

Tukar kerajaan PN kepada PH hanya bawa malapetaka sama

ismaweb.net
Athirah Huda Zalhe

Desakan letak jawatan mainan politik dicetus pihak berkepentingan

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 20 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu meletakkan jawatan Perdana Menteri sebagai mengambil tanggungjawab terhadap kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara, semalam.

Ini kerana, desakan peletakan jawatan dari pembangkang dan penarikan sokongan parti tertentu hanya mainan politik yang sengaja dicetuskan oleh pihak yang berkepentingan dalam isu ini.

Malah, keputusan untuk meletakkan jawatan itu juga tidak membawa sebarang keuntungan kepada rakyat, terutama dalam tempoh negara masih bergelut memerangi lonjakan kes jangkitan COVID-19.

Demikian pandangan Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman ketika ditanya terhadap keperluan Muhyiddin bertanggungjawab melepaskan jawatannya, susulan titah Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat yang belum diperkenankan Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahir dukacita kerana apa yang telah diperkenankan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Peguam Negara ketika majlis menghadap secara maya 24 Julai lalu, bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan dirungkaikan, tidak dilaksanakan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Susulan titah Seri Paduka itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan usul hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin kepada Dewan Rakyat, semalam.

Malah, UMNO juga mengarahkan semua Ahli Parlimennya melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi untuk menarik sokongan ke atas Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Mengulas lanjut perkara itu, Ustaz Abdullah Zaik berkata, pertukaran kerajaan di antara Perikatan Nasional (PN) kepada Pakatan Harapan (PH) dalam masa terdekat hanya membawa malapetaka yang sama kepada negara.

“Dalam keadaan sekarang ini, politik negara akan terus tidak stabil sehingga ke suatu tempohnya.

“Malah, usul undi tidak percaya pembangkang terhadap Muhyiddin juga tidak akan menumbangkang PN ketika ini, kerana ketua pembangkang sendiri tidak mempunyai cukup sokongan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan PN masih perlu bertanggungjawab dengan kemelut yang berlaku ini, termasuk menjernihkan semula hubungan kerajaan dan istana.

“Tiada siapa yang akan untung jika berlaku krisis Perlembagaan ketika ini. Malah, PN juga tiada kekuatan untuk mencetuskan krisis itu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

UMNO, BN tetap sokong kerajaan sedia ada

bharian.com.my
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim 
mohd_iskandar@bh.com.my
- Julai 30, 2021 @ 4:24pm

DATUK Seri Hishammuddin Hussein. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dan UMNO tetap menyokong kerajaan sedia ada di sebalik kemelut serta ketidakstabilan politik ketika ini.

Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pendirian itu sudah dinyatakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

"Dalam BN dan UMNO, sudah membuat pendirian dan (perkara itu) diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri semalam.

"Saya sendiri dan rakan dalam Dewan (Rakyat) yang rapat dengan saya, bukan sahaja sokong tetapi senada dengan pendirian yang diumumkan iaitu tetap sokong kerajaan sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Perubatan COVID-19 dari Arab Saudi di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di sini hari ini.

UMNO perlu usahakan penubuhan Kerajaan Interim – Khaled

 bebasnews.my

By Admin
-30/07/2021

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Khaled Nordin mencadangkan UMNO mengusahakan penubuhan Kerajaan Interim dalam menangani krisis perlembagaan yang dihadapi oleh negara ini.

Beliau berkata, kenyataan Perdana Menteri semalam tidak menjernihkan keadaan malah akan menjadikan ia semakin meruncing.

Khaled berkata, wakil rakyat UMNO mesti memilih. Bersama Raja dan rakyat atau bersama dengan Perdana Menteri dan Perikatan Nasional.

“UMNO tidak akan dan tidak wajar terheret dalam konflik ini. Iltizam UMNO sedari awal penubuhannya, adalah antara lain mempertahankan institusi Raja. Apa jua tindakan yang tidak selari dengan iltizam tersebut adalah bertentangan dengan nilai, pendirian dan perjuangan UMNO.

“Jalan keluar semua ini ialah untuk UMNO mengusahakan penubuhan Kerajaan Interim. Meninggalkan Perikatan Nasional adalah lebih baik dan strategik dari membelakangkan kepentingan nasional dalam saat krisis ini.

“‘UMNO cannot abandon the nation for Perikatan Nasional’. Apa lagi bila wibawa kerajaan telah punah sepunah-punahnya,” kata Khaled dalam satu kenyataannya di sini.

Beliau berkata, UMNO mesti menggunakan kesempatan ini untuk memberikan kepimpinan yang diharapkan demi sebuah negara yang sangat memerlukan.

Katanya, UMNO mesti menyelamatkan Malaysia dengan mengusahakan penubuhan Kerajaan Interim hanya dengan tiga mandat sahaja iaitu menguruskan ekonomi negara, menguruskan krisis kesihatan dan mentadbir negara demi menyediakannya untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Sambil menyatakan, Kerajaan Interim ini terhenti bila PRU diadakan, beliau menambah, Parlimen mesti harus terus bersidang, kebebasan media dan media sosial dijamin, setiap keputusan dan perbelanjaan kerajaan mesti di bentangkan di Parlimen demi kepentingan semak dan imbang serta fungsi Perlembagaan mesti dipulihkan sepenuhnya.

BebasNews

Setia UMNO kepada raja, mengatasi kerajaan PN

bharian.com
Oleh Luqman Arif Abdul Karim 
luqman.arif@bh.com.my
- Julai 30, 2021 @ 1:39pm

Perlembagaan UMNO menzahirkan ketaatan dan mempertahan institusi Raja-raja Melayu. Gambar Istana Negara. 
- Foto NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN

KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen UMNO mesti menjarakkan diri daripada terheret dalam krisis di antara kerajaan Perikatan Nasional dengan Istana Negara atau Raja-raja Melayu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata 38 Ahli Parlimen daripada parti berkenaan tidak boleh berada dalam kedudukan dan pendirian yang boleh ditafsirkan sebagai menyanggah teguran Istana Negara.

Katanya, hal itu kerana perlembagaan UMNO tersemat ikrar untuk menzahirkan ketaatan dan mempertahan institusi Raja-raja Melayu.

"Saya menggesa kebijaksaan dan hikmah semua Ahli Parlimen UMNO untuk melakukan perkara yang benar dan selari pendirian parti," katanya hari ini.
Mohamad menggesa kebijaksaan semua Ahli Parlimen UMNO untuk melakukan perkara yang benar dan selari pendirian parti. 
- Gambar UMNO ONLINE
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat kerana baginda belum memperkenan pembatalan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dipetik berkata, baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana yang diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun membabitkan cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, tidak dilaksanakan.

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri mendakwa, semua tindakan yang dilaksanakan kerajaan membabitkan pembatalan Ordinan Darurat dan pelaksanaan sidang khas Dewan Rakyat, teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan sudah menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri sebanyak dua kali kepada Yang di-Pertuan Agong supaya semua Ordinan Darurat dibatalkan, dan memohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda mengenainya.

Berita lanjut menyusul

11 kes positif Covid-19 dikesan di Parlimen semalam, kata Hisham

FMT Reporters
-July 30, 2021 11:45 AM

Noor Hisham Abdullah berkata semua yang akan hadir ke sesi Sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan dinasihatkan untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

PETALING JAYA: Dua lagi kes positif Covid-19 dikesan di kawasan bangunan Parlimen menjadikan keseluruhan adalah sebanyak 11 kes yang dikesan semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, daripada jumlah itu 10 kes dikesan melalui kit ujian kendiri air liur RTK Antigen (Ag) dan satu kes melalui ujian pengesahan RT PCR.

“Kes pertama merupakan seorang petugas yang telah hadir ke Parlimen pada 26 sehingga 28 Julai..ujian pengesahan RT PCR dijalankan sendiri di sebuah fasiliti kesihatan kerana beliau mengalami gejala batuk dan selsema.

“Kes kedua pula dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi 29 Julai menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva kerana beliau mengalami gejala batuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hisham berkata, berdasarkan maklumat siasatan awal didapati kedua-dua kes tersebut dikhuatiri telah berada di beberapa lokasi di sekitar Parlimen semasa tempoh Sidang Mesyuarat Khas Parlimen.

Sehubungan itu, KKM telah menasihatkan semua yang hadir dan berada di Parlimen bermula pada 26 Julai 2021 untuk menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 menggunakan kit ujian air liur RTK Ag.

Difahamkan, pihak Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) telah menjalankan saringan di Parlimen pada 29 Julai.

“Sehingga jam 8.00 malam 29 Julai 2021, seramai 1,183 individu telah menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva test kit,” katanya.

Dalam pada itu, Hisham berkata semua yang akan hadir ke sesi Sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan dinasihatkan untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu, terutama sekali yang mempunyai gejala.

Dalam kerajaan PH dahulu ada hamba dan syaitan bisu: Hadi

agendadaily.com
30/7/2021

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pengaruh asing khususnya Barat berselidung di sebalik gerakan untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, walaupun penjajah telah pulang ke negara masing-masing tetapi masih terdapat ejen-ejen mereka yang sanggup melakukan tindakan sedemikian.

“Walaupun penjajah asing itu sudah pulang ke negeri masing-masing, tetapi agenda penjajahannya masih tetap berlangsung hingga hari ini. Pengaruh dalam lapangan politik, ekonomi dan budaya yang ditinggalkan, diteruskan pergantungannya dengan bekas penjajah masing-masing.

“Kini, kita menyaksikan kebangkitan semula Islam dan merudumnya kekuatan negara besar penjajah. Namun begitu, mereka tetap menghalang segala usaha untuk kembali semula kepada Islam yang sedang diperjuangkan di seluruh negara umat Islam termasuklah di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata penubuhan kerajaan sekular Pakatan Harapan (PH) yang didominasi kalangan bukan Islam dan ekstrem selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu telah mencetuskan kesedaran ramai.

Tanpa menyatakan pihak yang terlibat, tetapi Agenda Daily percaya ia dirujuk kepada AMANAH dan individu Islam dalam DAP, Abdul Hadi berkata ada kumpulan Islam yang terpengaruh dengan kerajaan PH, tetapi sekadar menjadi hamba sahaja.

“Mereka ikut serta bersuara melindungi perancangan kerajaannya yang secara halus melumpuhkan Islam dan umatnya, supaya terus berada dalam kelekaan atau menjadi syaitan bisu,” katanya.

Beliau berkata kejayaan menubuhkan kerajaan campuran PN yang didominasi umat Islam bagi menyelamatkan rakyat dan negara berdepan dengan cabaran apabila ada agenda untuk menjatuhkannya.

“Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana telah berjaya menyatukan parti-parti umat Islam dan Bumiputera di samping parti-parti bukan Islam yang menolak pendekatan ekstrem. Sehingga akhirnya berjaya menubuhkan kerajaan campuran Perikatan Nasional kerana menyedari pendekatan ekstrem tidak akan mampu menyelamatkan negara dan rakyat.

“Justeru, penguasaan kerajaan PN yang menunjukkan perubahan positif akan dicabar, kerana dominasi umat Islam dan kalangan yang tidak ekstrem itu dibimbangi dapat menyelesaikan banyak masalah yang akan membina semula kekuatan umat.

“Maka, sudah pasti wujudnya gerakan untuk menjatuhkan kerajaan PN dengan segala cara. Oleh itu, seluruh rakyat yang sedar dan insaf terutamanya para pemimpin negara, janganlah ditipu lagi dan hendaklah menghalang anasir-anasir perosak yang berpakat untuk menyingkirkan Islam dalam negara,” katanya.

Pada masa yang sama, Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah mengingatkan rakyat perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan supaya rancangan yang sedang berlangsung di beberapa negara lain, gagal dibawa masuk ke negara kita.

“Apatah lagi adanya ejen-ejen yang bersedia melakukannya dan tidak seharusnya masih dibiarkan berkeliaran. Kalau dahulu ditipu oleh penjajah British, janganlah pula hari ini berulang ditipu sehingga berkali-kali,” katanya.

PMO jawab titah dukacita Agong

perakinsights.com
July 30, 2021 9:05 am

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini mempertahankan tindakan mereka membatalkan ordinan darurat adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang serta perlembagaan negara.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) kerajaan sudah menasihatkan yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan ordinan darurat sebelum sidang khas parlimen pada 26 Julai lalu.

Kata PMO, mengikut Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan Agong perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat jemaah menteri.

Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh lstana Negara hari lni.

Kerajaan ingin menjunjung kasih di atas titah penghargaan yang dizahirkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada Kerajaan kerana telah melaksanakan Mesyuarat Khas Parlimen yang bermula pada 26 Julai 2021.

Kerajaan sentiasa menjunjung titah pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sepertimana yang dizahirkan susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun 2021 yang antara lain menekankan bahawa darurat tidak perlu disambung selepas 1 Ogos 2021 dan perlunya Parlimen bersidang secepat mungkin.

Berdasarkan titah pandangan ini. Kerajaan telah memuluskan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bermula 26 Julai 2021.

Sebagai persediaan Mesyuarat Khas Parlimen ini. Jemaah Menteri pada 21 Julal 2021 telah mengadakan perbincangan yang teliti dan mengambil ketetapan-ketetapan seperti berikut:
Pertama. Mesyuarat Khas Parlimen diadakan setelah mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong·

Kedua. Jemaah Menteri tidak akan menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang dl-Perluan Agong untuk membuat Proklamasi Darurat baharu setelah darurat sedia ada tamat pada 1 Ogos 2021:dan

Ketiga. oleh kerana darurat tidak akan disambung. Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di­ Pertuan Agong untuk membatalkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa.

Susulan ketetapan-ketetapan ini. Pejabat Perdana Menteri pada 22 Julai 2021 telah menerima deraf Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 yang disedlakan oleh Jabatan Peguam Negara.

Ordinan ini memperuntukkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dibatalkan berkuatkuasa pada 21 Julai 2021.

Pada 23 Julai 2021. Perdana Menteri telah mengutuskan warkah kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri supaya ordlnan-ordinan darurat berkenaan dibatalkan dan memohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku mengenainya.

Pejabat ini mengambil maklum sebagaimana yang dlzahlrkan di dalam kenyataan media lstana Negara hari ini. KDYMM Serl Paduka Baginda Yang dl-Pertuan Agong sedla maklum bahawa Seri Paduka Baginda Tuanku perlu menerlma dan bertindak mengikut naslhat Jemaah Menter! sepertl yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 40 (1) memperuntukkan:

Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan. Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri. kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini: tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak. atas permintaannya. untuk mendapat apa- apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

Manakala Perkara 40 (1A) puta memperuntukkan: Pada menjalan kan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan. jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat. atas nasihat. atau selepas menimbangkan nasihat. Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

Susulan itu. KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 24 Julai 2021. telah menitahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Peguam Negara menghadap untuk memberlkan penjelasan terperinci mengenai nasihat tersebut.

Sumber: https://www.mhdaily.net/terkini-pejabat-perdana-menteri-jawab-titah-dukacita-agong/?fbclid=IwAR361Azs_ZVtd00XOJqYiF2WUDTTypb8qIeKGsKte5J8YKtD08sCDWli4as

Thursday, July 29, 2021

BN nafi keluar kenyataan

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
29 Julai 2021, 10:01 pm


PETALING JAYA : Ibu Pejabat Barisan Nasional (BN) menafikan kewujudan satu surat yang menggunakan logo dan alamat seperti tersebar dan viral hari ini.

Setiausaha Eksekutif BN, Mohamad Shafri Ab. Aziz memaklumkan, sebarang kenyataan hanya dikeluarkan melalui melalui Pengerusi atau Setiausaha Agung parti.

“Selain itu ia hanya dikeluarkan melalui saluran komunikasi parti,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, tular satu kenyataan menggunakan logo BN yang didakwa memetik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kenyataan itu memaklumkan semua ahli Parlimen BN sebulat suara menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut kenyataan itu, keputusan itu merupakan hasil perjumpaan yang dipengerusikan Ismal Sabri bersama seramai 40 Ahli-Ahli Parlimen BN.

Katanya, semua Ahli Parlimen BN menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

 – UTUSAN ONLINE

Semua MP BN sebulat suara sokong kerajaan Muhyiddin

ismaweb.net
Athirah Huda Zalhe

Akur titah Agong beri keutamaan pada kesejahteraan rakyat, negara


BANGI, 19 Zulhijjah 1442H, Khamis – Semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebulat suara menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu adalah hasil perjumpaan yang dipengerusikan beliau bersama 40 Ahli Parlimen BN.

Beliau berkata, semua Ahli Parlimen BN menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional juga akur dengan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri dalam satu kenyataan berasingan menegaskan bahawa kerajaan masih mendapat sokongan melebihi 110 Ahli Parlimen yang bersama-sama pada hari ini.

Justeru, beliau meminta rakyat supaya bertenang dalam menghadapi situasi terkini dan berdoa supaya kemelut politik berakhir dengan segera.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Pembatalan Ordinan Darurat teratur, selaras Perlembagaan - Pejabat PM

bharian.com
Oleh Ahmad Suhael Adnan 
ahmad.suhael@bh.com.my
- Julai 29, 2021 @ 7:23pm

Kompleks Pejabat Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.
- NSTP/Hazreen Mohamad

KUALA LUMPUR: Semua tindakan yang dilaksanakan kerajaan membabitkan pembatalan Ordinan Darurat dan pelaksanaan sidang khas Dewan Rakyat, adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.-

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan sudah menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri sebanyak dua kali kepada Yang di-Pertuan Agong supaya semua Ordinan Darurat dibatalkan, dan memohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda mengenainya.

Jelasnya, Pejabat Perdana Menteri maklum seperti yang dizahirkan dalam kenyataan Istana Negara hari ini, Yang di-Pertuan Agong sedia maklum bahawa Tuanku perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Perdana Menteri pertama kali mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri itu pada 23 Julai lalu.

"Susulan itu, Yang di-Pertuan Agong pada 24 Julai 2021 menitahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Peguam Negara menghadap untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai nasihat itu.

"Apabila Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula pada 26 Julai 2021, semua Ordinan Darurat dibentang di atas meja Dewan Rakyat selaras dengan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Namun, Ahli Parlimen pembangkang mendesak supaya Dewan Rakyat mengungkaikan Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Susulan itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang, memaklumkan kepada Ahli Dewan Rakyat bahawa kerajaan, iaitu Jemaah Menteri, membuat keputusan untuk membatalkan Ordinan Darurat berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

'Kerajaan disokong 110 ahli parlimen'

malaysiakini.com
Diterbitkan 29 Jul 2021, 6:23 pm
Dikemaskini 6:36 pm

Kerajaan masih mendapat sokongan 110 daripada 222 anggota parlimen, kata Ketua Whip Kerajaan Ismail Sabri Yaakob.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan masih mendapat sokongan melebihi 110 ahli-ahli parlimen yang masih bersama-sama kerajaan pada hari ini.

“Justeru, saya berharap rakyat bertenang dalam menghadapi situasi terkini dan sama-sama kita berdoa agar kemelut politik ini berakhir dengan segera,” kata timbalan perdana menteri yang baru dilantik.

Penegasan itu dibuat selepas istana menegur pengendalian pembatalan ordinat darurat yang tidak mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong serta tidak dimansuhkan melalui parlimen hari ini.

Dalam kenyataan ringkas empat perenggan, Ismail berkata dia menjunjung titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui kenyataan media Istana Negara.

Ismail juga menyifatkan situasi politik negara pada hari ini dalam keadaan yang tidak stabil yang boleh menjejaskan usaha menyelesaikan masalah ekonomi dan memerangi pandemik Covid-19.

Anwar sudah sedia tiga senarai ‘Kabinet bayangan’

agendadaily.com
29/7/2021

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan sudah menyusun senarai ‘Kabinet bayangan’ untuk mengambil alih Putrajaya jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) melepaskan tugas memimpin negara sekarang.

Anwar sendiri meletakkan dirinya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, selain melantik dua Timbalan Perdana Menteri yang salah seorangnya adalah Ahli Parlimen DAP.

Difahamkan ‘Kabinet bayangan’ itu mempunyai tiga senarai nama mereka yang akan dilantik menjadi menteri dan timbalan menteri, yang akan dipilih dalam mesyuarat pimpinan Pakatan Harapan (PH)

Senarai ‘Kabinet bayangan’ itu turut merangkumi beberapa pemimpin UMNO yang sebelum ini kuat menyokong beliau, termasuk anak muridnya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang kini berdepan pelbagai tuduhan di mahkamah.

Difahamkan nama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiada dalam senarai, kata sumber kepada Agenda Daily.

Demikian juga Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal tidak disenaraikan, tetapi beberapa pemimpin Sabah, termasuk Datuk Seri Bung Moktar Radin diletakkan dalam senarai simpanan.

Bagaimanapun, Agenda Daily tidak dapat mengesahkan kebenaran maklumat itu, dan usaha dilakukan untuk mendapatkan kenyataan daripada Anwar sendiri sedang dilakukan.

Antara yang disenaraikan dalam ‘Kabinet bayangan’ Anwar termasuk Presiden AMANAH, Mohamad Sabu yang dikatakan akan dikekalkan sekali lagi di Kementerian Pertahanan.

Demikian juga Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang yang akan dilantik sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap ekonomi, sementara Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad juga dikekalkan di Kementerian Kesihatan.

Sumber itu memberitahu sejak beberapa hari lalu Anwar sudah ‘memerhati’ beberapa rakan dalam komponen PH untuk diletakkan dalam senarai ‘Kabinet bayangannya’.

Sidang ditangguh ke 5.15 petang pula lepas dua kes positif Covid-19 dikesan

malaysiakini.com
Kow Gah Chie
Diterbitkan 29 Jul 2021, 3:01 pm
Dikemaskini 3:52 pm

PARLIMEN | Sidang Dewan Rakyat akhirnya ditangguhkan ke jam 5.15 petang ini apabila timbalan speaker mengejutkan ramai dengan mengumumkan ada dua kes positif Covid-19 dikesan di parlimen.

Mohd Rashid Hasnon berkata, kes pertama membabitkan seorang petugas parlimen yang berada di bangunan tersebut pada 26 hingga 28 Julai, manakala kes kedua dikesan positif pada hari ini.

Katanya maklumat itu dimaklumkan kepada parlimen melalui surat Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Terdahulu sidang Dewan Rakyat ditangguhkan dua kali ketika keadaan sebenar masih tidak dapat dipastikan ekoran kenyataan dikeluarkan Istana Negara tengah hari tadi.

Ketika orang ramai menanti perkembangan terbaru di parlimen kesan daripada kenyataan dibuat Istana Negara, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said berkata, sidang hanya akan disambung pada jam 3.30 petang.

Lazimnya Dewan Rakyat bersidang semula pada jam 2.30 petang selepas tamat waktu rehat dan makan tengah hari.

"Ahli-ahli yang berhormat, perbincangan masih diadakan berkenaan aturan urusan mesyuarat hari ni.

"Sehubungan tu selaras dengan Peraturan Mesyuarat 12 (2), sekarang saya menangguhkan mesyuarat ini sehingga jam 3.30 petang," katanya.

Mengikut perkara 12 (1), setiap sidang Dewan Rakyat hendaklah dimulakan pada jam 10 pagi hingga 1 tengah hari, dan disambung semula pada jam 2.30 petang sehingga 5.30 petang, atau lebih awal.

Pun begitu mengikut peruntukan perkara 12 (2) speaker pada bila-bila masa boleh menangguhkan sidang berkenaan selama tempoh tertentu yang ditetapkan.

Penangguhan itu dibuat ketika media melaporkan anggota kabinet dan peguam negara bertemu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Pertemuan itu diadakan ekoran kenyataan dikeluarkan Istana Negara yang menzahirkan rasa amat dukacita Yang di-Pertuan Agong terhadap cara kerajaan menangani sidang Dewan Rakyat serta pembatalan ordinan darurat.

Istana Negara juga amat dukacita apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan mengelirukan Dewan Rakyat dengan isu pembatalan berkenaan.

Mendengar pengumuman Azalina itu, RSN Reyer (PH-Jelutong bangkit untuk bertanya mengapa penangguhan dibuat, manakala Cha Kee Chin (PH-Rasah) bertanya: "Ada berita besarkah?"

Teo Nie Ching (PH-Kulai) kemudian menyambung: "Letak jawatanlah, bincang apa lagi."

Terdahulu seorang lagi timbalan speaker, Mohd Rashid Hasnon, yang mempengerusikan sidang menangguhkan mesyuarat tersebut selama 15 minit bagi membolehkan isu tersebut dibincangkan.

Ia dibuat selepas ramai ahli parlimen mendesak Mohd Rashid berbuat demikian.

Beberapa ahli parlimen pembangkang juga mendesak agar Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) hadir untuk menjawab isu berkaitan kenyataan dikeluarkan Istana Negara.

Selepas 15 minit Mohd Rashid muncul dan dia menangguhkan sidang sehingga jam 2.30 petang.

Kediaman PM jadi tumpuan media

ismaweb.net
azrulhakimie

Susulan kenyataan Istana Negara berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat

KUALA LUMPUR, 19 Zulhijjah 1442H, Khamis – Kediaman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi tumpuan petugas media susulan kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat hari ini.

Petugas media dilihat mula ‘berkampung’ di rumah perdana menteri yang terletak di Bukit Damansara, di sini sejak pukul 1 tengah hari tadi.

Pemerhatian Bernama mendapati beberapa kenderaan dipercayai membawa menteri dan Peguam Negara memasuki perkarangan kediaman perdana menteri pada kira-kira 1.30 tengah hari.

Dalam kenyataan Istana Negara itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen pada Isnin bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong juga amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan.

 – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Agong tak perkenan kerajaan batal Ordinan Darurat, kata Istana Negara

FMT Reporters
-July 29, 2021 12:20 PM

Yang di-Pertuan Agong menegaskan kenyataan Takiyuddin Hassan pada Isnin di Parlimen adalah tidak tepat dan mengelirukan ahli Dewan Rakyat.

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan yang dibuat di Parlimen pada Isnin bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan baginda, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin.

Dalam kenyataan Fadil berkata, Agong menegaskan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan pada Isnin adalah tidak tepat dan mengelirukan ahli Dewan Rakyat.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) dan Tan Sri Idrus Harun, Peguam Negara semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan,” katanya.

Kenyataan itu menegaskan, Perkara 150 (2B) yang dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan Darurat terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

Istana Negara memaklumkan, baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara, malah membelakangi fungsi dan kuasa Agong selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Seri Paduka Baginda sedia maklum akan perlunya Baginda bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Baginda, selaku Ketua Utama Negara, mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, Agong menzahirkan penghargaan kepada pihak kerajaan di atas pelaksanaan persidangan Parlimen yang bermula pada Isnin lalu dan sejajar dengan saranan Raja-raja Melayu dalam Perbincangan Khas diadakan pada 16 Jun lalu supaya Parlimen dapat diadakan sebelum tamatnya darurat.

Menurutnya, Agong menegaskan Ahli-ahli Parlimen supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah dihadapi.

Ahli parlimen DAP harus minta maaf pada PM, rakyat – Mohamad

suaramerdeka.com
Home
MOHAMAD HASAN

AHLI Parlimen DAP yang bersikap biadab kerana tidak menghormati saat bertafakur dan membaca surah al-Fatihah kepada mangsa Covid-19 dalam Dewan Rakyat digesa untuk meminta maaf kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan rakyat Malaysia.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ahli Parlimen DAP yang dirakam menjerit dan mengganggu ketika saat bertafakur dan membaca al-Fatihah yang dianjurkan oleh Muhyiddin merupakan perbuatan tercela dan jelik.

“Umat Islam dan rakyat Malaysia sangat tersinggung dengan tindakan biadab beberapa Ahli Parlimen DAP yang tidak menghormati saat bertafakur yang dianjurkan oleh Perdana Menteri semasa persidangan Parlimen dua hari lepas.

“Ketika Perdana Menteri membaca surah Al Fatihah dan menyatakan rasa dukanya terhadap kehilangan begitu banyak nyawa akibat pandemik ini, pemimpin DAP dan rakan-rakannya terus berteriakan dan menggangu Perdana Menteri.

“Tiada sedikitpun rasa hormat dan sopan kepada seruan bertafakur dan berdoa. Apa lagi terhadap seorang Perdana Menteri,” kata Mohamad.

Beliau menegaskan sikap yang ditunjukkan oleh ahli parlimen DAP tersebut bercanggah dengan peribadi masyarakat Malaysia yang teguh dengan nilai dan moral.

Mohamad berkata, Parlimen tidak sepatutnya menjadi tempat perbuatan biadab terhadap agama dan bangsa.

“DAP harus meminta maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri dan seluruh umat Islam serta rakyat Malaysia atas tindakan tidak sopan mereka itu.

“Parlimen Malaysia tidak boleh menjadi tempat agama dan nilai terbaik bangsa menjadi sendaan dan perbuatan biadab,” kata Mohamad.

Isnin lalu rakyat Malaysia terkejut dengan tindakan segelintir ahli parlimen DAP yang memekik dan menjerit ketika Muhyiddin dan ahli parlimen lain bertafakur dan membaca al-Fatihan kepada mangsa Covid-19 sebagai pembuka Mesyuarat Khas Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, ahli-ahli parlimen DAP bangun dan terus menjerit-jerit tanpa menghiraukan Muhyiddin dan ahli parlimen lain yang sedang membacakan surah Al-Fatihah.

“Point of order, point of order,” kata mereka untuk menghalang Muhyiddin meneruskan ucapan.

-SM

Laporan: Umno kekal pendirian tarik sokongan terhadap Muhyiddin

malaysiakini.com
Diterbitkan 29 Jul 2021, 10:08 am
Dikemaskini 10:35 am

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pendirian parti itu menarik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin kekal walaupun Proklamasi Darurat tidak disambung selepas 1 Ogos ini, kata laporan.

Ahmad Zahid dipetik Utusan Online berkata pendirian tersebut tidak berubah sehingga kini.

Menurutnya lagi, Umno masih belum memutuskan mengenai tindakan kerajaan PN yang didakwa tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung penamatan Proklamasi Darurat.

“Walaupun parti membuat keputusan bahawa menteri dan timbalan menteri daripada Umno akan meletak jawatan jika Proklamasi Darurat diteruskan namun parti belum membuat keputusan selanjutnya ekoran perkembangan terbaru ini.

“Kita belum berbincang terhadap pendirian terbaru kerana keputusan parti adalah keputusan kolektif.

"Sekarang kita belum mengadakan mesyuarat MT yang bakal dilakukan secara dalam talian pada masa terdekat,” katanya.

Jelasnya, mesyuarat MT akan diadakan dalam masa terdekat berikutan sekarang ahli parlimen Umno sedang menyertai Sidang Khas Parlimen.

Zahid pada 25 Julai lalu memaklumkan Umno memutuskan semua menterinya, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu melepaskan jawatan mereka sekiranya ordinan darurat terus berkuatkuasa selepas 1 Ogos.

Semalam, ahli parlimen Bagan Datuk itu mengulas tindakan tiba-tiba kerajaan PN mengumumkan ordinan darurat dibatalkan pada 21 Julai lalu iaitu sebelum Dewan Rakyat bersidang.
"Bermaksud dalam tempoh beberapa hari lalu aspek perundangan negara dalam kedudukan cacamarba," katanya.

Setakat ini pembatalan berkenaan belum diwartakan di Warta Persekutuan seperti kebiasaannya.

Untuk rekod, tempoh darurat yang bermula pada 11 Jan lalu akan berakhir pada Ahad, 1 Ogos.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan sebelum ini juga berpandangan, pembatalan tersebut dibuat secara tidak berperlembagaan.

Pengumuman Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan pada 26 Julai lalu bahawa ordinan darurat telah dibatalkan mengejutkan Dewan Rakyat.

Takiyuddin juga berkata lantaran itu, "isu pembatalan (peraturan-peraturan ordinan darurat) tidak lagi relevan."

Berikut adalah ordinan-ordinan darurat yang diwartakan tahun ini:
1. Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021
2. Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021
3. Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021
4. Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 [Berhubung berita palsu]
5. Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Pindaan) 2021 [Berhubung kuasa untuk menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui legislatif]
6. Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021

Isu sosial, ekonomi rakyat topik penting Dewan Rakyat hari ini


Julai 29, 2021 @ 7:35am

Tengku Zafrul dijadual membentangkan penerangan pakej bantuan ekonomi dilancarkan kerajaan sejak COVID-19 melanda negara. FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR: Soal kebajikan, sosial ekonomi dan bantuan kewangan kepada rakyat yang terhimpit disebabkan pandemik COVID-19 antara topik utama dijangka dibangkitkan Ahli Parlimen untuk penambahbaikan, pada hari keempat Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan membentangkan penerangan mengenai pakej bantuan ekonomi dilancarkan kerajaan sejak pandemik melanda negara.

Sehingga kini, dilaporkan kerajaan memperuntukkan suntikan fiskal berjumlah RM83 bilion untuk membiayai lapan pakej rangsangan ekonomi termasuk yang terbaharu Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Selain PEMULIH, pakej lain ialah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan PEMERKASA Tambahan.

Selain itu, inisiatif lain ialah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Prihatin PKS Tambahan; Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin).

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 berlangsung selama lima hari, bermula Isnin hingga 29 Julai dan 2 Ogos.

Pada sidang khas ini, kesemua 220 Ahli Parlimen termasuk yang belum divaksin dibenar hadir ke Dewan Rakyat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, termasuk perlu menjalani ujian saringan COVID-19 serta memakai pelitup muka. 

BERNAMA

Ivermectin: Pembangkang akan salah guna kuasa menteri jika jadi kerajaan

agendadaily.com
29/7/2021

Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim

Cadangan supaya Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menggunakan kuasanya untuk meluluskan penggunaan ubat antiparasit haiwan, Ivermectin, bagi merawat pesakit Covid-19 memperlihatkan seolah-olah pembangkang akan ‘menggunakan kuasa’ sewenang-wenangnya jika mereka memerintah.

Malah, tindakan blok pembangkang dan beberapa pemimpin UMNO yang menjadi sekutu mereka mendesak kerajaan menggunakan ubat itu juga ternyata mengetepikan keselamatan dan nyawa rakyat, kerana tidak membuat penilaian dari segi saintifik.

Desakan supaya penggunaan ubat antiparasit haiwan itu digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 itu dibangkitkan Ahli Parlimen (MP) PH Kota Raja, Mohamad Sabu, ketika Sidang Khas Dewan Rakyat kelmarin, tanpa pengemukakan fakta kajian berasaskan saintifik, sebaliknya beliau hanya bercakap menggunakan akal.

Kemudian satu demi satu MP pambangkang dan sekutu mereka seperti MP Bagan Lim Guan Eng, MP Sungai Buloh R Sivarasah, MP Shah Alam Khalid Samad dan MP Tanjung Karang Noh Omar, bangun memberi hujah kosong tanpa bukti kajian.

Sehingga satu tahap, Mat Sabu mencadangkan Dr Adham menggunakan kuasanya sebagai menteri untuk mengetepikan peraturan Badan Regulatori Farmasi Kebangsaan (NPRA) dalam meluluskan penggunaan ubat haiwan itu.

Mengulas perkara itu, Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN), khususnya menteri, tidak akan mengeluarkan arahan sembarangan sebelum siasatan dan kajian teliti dilakukan.

“Sebagai kerajaan, dalam soal yang berkaitan nyawa rakyat, pemimpin tidak boleh main arahkan sahaja agensi yang dipertanggungjawabkan khusus untuk kawal selia ubatan supaya luluskan sesuatu ubat kerana mereka ada piawaian yang perlu dipatuhi.

“Siap ada yang dakwa negara-negara lain sudah luluskan. Tetapi mana data kajiannya? Menteri Kesihatan memaklumkan tidak boleh diluluskan selagi kajian tidak selesai. Yang akan luluskan adalah NPRA sebagai pihak berkuasa yang mengawal selia ubat ubatan.

“Dalam kelulusan penggunaan vaksin pun sebagai misalannya, sekali pun kerajaan mahukan kelulusan yang cepat, kerajaan tidak semudah itu mengarahkan kelulusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Amzad memberi contoh vaksin Sputnik V di mana terdapat dalam portfolio vaksin yang menjadi pilihan kerajaan dan mempunyai data klinikal diterbitkan dalam jurnal perubatan Lancet yang menjadi rujukan di seluruh dunia, sampai sekarang ia belum diluluskan kerana NPRA mempunyai senarai pematuhan yang perlu diikuti.

Sehubungan itu, beliau menyenaraikan pula beberapa persoalan berkaitan Ivermectin yang patut dijawab oleh blok pembangkang.

Katanya:

1) Adakah rakyat boleh menerima jika kerajaan meluluskan sesuatu ubat-ubatan tanpa penelitian yang mengikut kaedah saintifik yang sepatutnya?

2) Sekiranya berbangkit masalah kemudian hari yang mungkin melibatkan kematian, kesan sampingan jangka panjang bagaimanakah bentuk keterangan yang boleh diberikan oleh kerajaan dalam sebarang kes mahkamah tanpa adanya bukti jelas mengenai kesesuaian penggunaan Ivermectin untuk rawatan Covid-19?

3) Bagaimana pula kerajaan jika meluluskan Ivermectin tanpa pembuktian saintifik yang jelas mahu berhadapan dengan keterangan saintifik yang bertentangan hasil kajian dilengkapkan oleh agensi kawal selia pelbagai negara lain, pendirian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan yang terbaru kajian saintifik oleh Universiti Oxford?

4) Bagaimana jika ia melibatkan tuntutan di mahkamah misalnya pertikaian insurans atau sivil yang lain?

5) Bagaimana pendirian syarikat pengeluar Ivermectin itu sendiri? Adakah mereka sendiri mencadangkan Ivermectin untuk perawatan Covid-19?

6) Mengapa biarkan ia digunakan secara ‘off-label’? Setakat mana kajian yang mereka (pengeluar) ada? Adakah mereka pun buat kajian?

7) Tidakkah sepatutnya pengeluar Ivermectin lagi beruntung jika ia dibuktikan secara saintifik berkesan dan selamat untuk rawatan Covid-19. Malah sebelum diluluskan pun mereka sudah ada ‘diehard’ supporter yang mendesak ia diluluskan.

8) Mengapa tak keluarkan laporan kajian?

Sebelum ini, desakan MP pembangkang supaya Ivermectin diluluskan mendapat tentangan dan kritikan daripada pengamal perubatan dan pakar farmasi, malah sesetengahnya menggesa MP terbabit supaya diam kerana mereka bukan profesional dalam bidang perubatan.

Antaranya, bekas perunding farmasi @ BeeLengMY1 berkata, “pelik” melihat ramai Ahli Parlimen PH mendorong penggunaan ubat berkenaan.

“Adakah mereka doktor?” soalnya.

Dia meminta bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang juga Ketua Pasukan Petugas Covid-19 PH, untuk menghentikan perbincangan seperti itu oleh MP PH yang bukan profesional perubatan.

Wednesday, July 28, 2021

SOP ‘ke laut’, PPV KL dibanjiri ratusan warga asing cetus kerisauan

freemalaysiatoday.com
Yasmin Abdul Latif
-July 28, 2021 11:10 PM

Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan kesesakan di PPV KL.

PETALING JAYA: Langsung tiada penjarakan sosial, itu yang berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) apabila dibanjiri orang ramai yang datang untuk divaksinasi, yang baru-baru ini seperti tular di media sosial.

Hasil tinjauan FMT mendapati rata-rata mereka adalah warga asing, walaupun turut kelihatan anggota polis berada di kawasan tersebut bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Namun disebabkan jumlah mereka terlalu ramai keadaan dilihat menjadi tidak terkawal. Keadaan ini mencetuskan kerisauan dalam kalangan warga maya terutama ketika negara mencatatkan kes positif harian Covid-19 tertinggi hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah, kejadian berlaku apabila majikan menghantar pekerja mereka terlalu awal ke PPV sehingga menyebabkan kesesakan.

“Mohon majikan tidak menghantar pekerja terlalu awal ke PPV yang ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan.

“Ramai pekerja warga asing dari Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan akan dihantar ke PPV KLCC. Mohon patuhi janji temu,” katanya ketika dihubungi FMT.

Susulan itu Zainal berkata, mulai esok hanya mereka dari Lembah Klang sahaja dibenarkan mendapatkan suntikan vaksin di PPV Kuala Lumpur.

Dewan Rakyat bergegar, MP Pas dicabar adakan undian dakwa Muhyiddin ada majoriti

puteradaily.com
July 28, 2021 4:41 pm


Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati dengan dakwaan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) yang mengatakan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Tarmizi berkata demikian selepas Ong Kian Ming (PH-Bangi) berkata Muhyiddin sudah tidak mempunyai majoriti .

Jelas Tarmizi, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh terbukti mempunyai majoriti apabila majoriti Ahli Parlimen menyokong Belanjawan 2021.

“Apa yang disebut Bangi tak betul,Pagoh terbukti ada majoriti, apabila kita berjaya lulus Belanjawan di Parlimen

“Mana bukti Ahli Parlimen Port Dickson ada majoriti,” katanya di Dewan Rakyat.

Bagaimana pun beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangun mencelah dan menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan kenyataan Tarmizi itu.

RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bangun mencelah mencabar jika Tarmizi berani, beliau boleh membawa usul undian untuk membuktikan sama ada Muhyiddin mempunyai majoriti sokongan atau tidak petang ini.

Jelas Rayer, kenyataan Tarmizi itu yang mengatakan Muhyiddin mempunyai majoriti sokongan mengelirukan Dewan Rakyat.

“Kalau berani kita undi. Saya cabar Sik (Tarmizi). Bagan Datuk (Zahid Hamidi) sudah beritahu Umno tarik sokongan pada PN.

“Saya cabar Sik sahut cabaran saya,” katanya.

Bagaimana cabaran daripada Rayer itu tidak dijawab oleh Tarmizi.

Sementara itu, Mohamad Alamin (BN-Kimanis) bangkit mencelah meminta Rayer tidak membuang masa sebaliknya fokus kepada isu yang dibentangkan

“Kita bercakap isu vaksin, Jelutong orang cakap pasal vaksin,jangan buang masa,,”katanya,

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon kemudian meminta Rayer tidak mengganggu Tarmizi berucap.

Terdahulu Ong berkata Muhyiddin sudah tidak mempunyai majoriti di dalam Dewan Rakyat dan semua pihak sudah mengetahuinya termasuk pihak kerajaan.

Katanya, jika Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim diberi peluang untuk menjadi perdana menteri, beliau yakin Anwar dapat menangani Covid-19 lebih baik daripada Muhyiddin.

“Tetapi saya rasa kita semua tahu tidak ada seorang pun Ahli Parlimen di sini yang ada majoriti sokongan di dalam dewan ini.

“Kita semua boleh semua berganding bahu dan kerjasama dengan barisan hadapan untuk mengawal Covid-19 dan ekonomi ini adalah sesuatu yang semua pemimpin di sini cadangkan boleh bincang,” katanya.

Sumber | FMT

Rekod tertinggi 17,405 kes Covid-19, 143 kematian

FMT Reporters
-July 28, 2021 7:03 PM


PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan hari ini melaporkan rekod tertinggi 17,405 kes jangkitan Covid-19 dan 143 kematian dalam tempoh 24 jam.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata di Twitter, jumlah keseluruhan jangkitan kini adalah 1,061,476.

Katanya, sebanyak 12,373 kes sembuh hari ini seterusnya membawa bilangan pesakit sembuh kepada 877,812 orang.

Sementara itu, sebanyak 175,113 kes dilaporkan dengan 1,016 pesakit dirawat di unit rawatan rapi manakala 529 memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah keseluruhan kematian kini adalah 8,551.

Selangor kekal merekodkan bilangan kes tertinggi iaitu 7,171, disusuli Kuala Lumpur (2,880), Kedah (1,112), Sabah (913), Negeri Sembilan (863), Johor (767).

Ini diikuti Pulau Pinang (760), Kelantan (532), Melaka (531), Terengganu (490), Sarawak (464), Pahang (429), Perak (406), Putrajaya (68), Labuan (16) dan Perlis (tiga).

Sebanyak 17,399 jangkitan tempatan dilaporkan hari ini selain enam kes import.

BERITA LANJUT MENYUSUL.

Tuesday, July 27, 2021

Berubahlah! Sampai bila nak biar jadi ‘Parlimen sarkas’

ismaweb.net
Siti Hafidah

Rakyat mesti pilih calon berwibawa pada PRU15


BANGI, 17 Zulhijjah 1442H, Selasa – Rakyat kesal dengan sikap Ahli Parlimen ketika berbahas pada sidang khas Dewan Rakyat – yang bermula semalam.

Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, rata-rata rakyat terlalu kecewa dengan beberapa Ahli Parlimen – sehinggakan menganggap persidangan tersebut sebagai ‘Parlimen sarkas’.

Ini lontaran yang menggambarkan kekecewaan rakyat. Gelaran Yang Berhormat adalah satu penghormatan kepada Ahli Parlimen.

“Parlimen pula adalah dewan yang mulia kerana ianya merupakan pentas demokrasi untuk memberi hak perbahasan dalam membawa suara rakyat.

“Kebebasan untuk memberikan pandangan tetap terikat dengan peraturan mesyuarat, peraturan 36 yang berkaitan dengan kesopanan.

“…dan peraturan 37 berkaitan kesusilaan adalah peraturan yang mesti dipatuhi oleh setiap Yang Berhormat sebagai ahli mesyuarat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan itu, sudah sampai masanya rakyat memainkan peranan yang sebaik dan sebetulnya, lebih-lebih lagi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

“PRU15 pasti tiba, mari kita pastikan kemuliaan dewan sidang Parlimen diduduki oleh individu pemimpin yang berwibawa.

“Semoga Parlimen sarkas dapat kita kembalikan semula berfungsi sebagai dewan yang mulia mampu berbahas dengan matang demi kepentingan umum,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga meminta pengundi untuk tidak lagi memilih calon berasaskan parti malah calon ‘sarkas’ yang dicalonkan juga mesti disingkirkan pada PRU15.

“Sebaliknya kita pilihlah calon yang berasaskan peribadi yang berwibawa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

'Darurat batal atau tidak, tunggu Isnin'

bharian.com
Oleh Luqman Arif Abdul Karim
luqman.arif@bh.com.my
 - Julai 27, 2021 @ 12:14pm

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun. - foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Penjelasan mengenai polemik pembatalan Ordinan Darurat hanya akan dibuat pada Isnin ini, seperti diperuntukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM).

Demikian keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, meskipun berulang kali dihujani desakan dalam kalangan Ahli Parlimen mewakili pihak kerajaan dan pembangkang.

Beliau menegaskan bahawa keputusan sedemikian dibuat bagi memastikan setiap pembahas dan prosedur AUM dilaksanakan mengikut perancangan serta masa tertentu.

"Semalam kita bercakap mengenai Majlis Pemulihan Negara, tapi sebab lama kita tak jumpa, jadi kucar-kacir sikit, maka kita campur rojak semua perkara dalam satu sesi.

"Sesi ini ada lima hari, justeru seperti diterbitkan AUM, semalam kita patut bercakap mengenai Majlis Pemulihan Negara, hari ini penjelasan oleh Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Adham Baba), esok Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, kemudian Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) manakala Isnin ialah perkara bersangkut paut mengenai darurat.

"Saya nak lancarkan prosiding ini supaya cukup masa perbahasan. Semalam saya sudah maklumkan, Menteri (di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan) kena jawab semua persoalan dibangkitkan, termasuk pembangkang, mengenai apa diperkatakan beliau semalam.

"Ini bagi mengesahkan sama ada kerajaan sudah putuskan untuk batalkan atau menarik balik, berkuat kuasa 21 Julai lalu dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong," katanya pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Penegasan Azhar itu bagaimanapun dilihat tidak memuaskan hati apabila wakil pembangkang dan kerajaan, masih bangun meminta supaya Takiyuddin segera dipanggil masuk ke dewan bagi menjawab soalan yang disifatkan sebagai amat mudah.

Antara wakil pembangkang yang bangkit mengutarakan desakan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson), Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai), Ramkarpa Singh (PH-Bukit Gelugor), Gobind Singh Deo (PH-Puchong), Hanipa Maidin (PH-Sepang), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya), Lim Guan Eng (PH-Bagan), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PEJUANG-Jerlun) dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Semporna).

Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) yang mewakili kerajaan turut membangkitkan bahawa kerajaan dan menteri bertanggungjawab perlu berkata benar serta memberikan penjelasan tepat berhubung polemik Ordinan Darurat.

"Kalau betul, cakap betul. Kalau betul darurat ini sudah dibatalkan, maka tak perlu kita bincang lagi di sini (Dewan Rakyat) sebab tiada asas nak berbuat demikian.

"Saya antara ahli jawatankuasa bebas mengenai darurat dan dilantik oleh Seri Paduka, maka tak gunalah saya dilantik kalau tidak diberi ruang untuk pertimbang keputusan tamatkan darurat," katanya disahut sokongan Ahli Parlimen daripada blok pembangkang.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang pula memberi amaran supaya Speaker tidak mencemarkan kesucian jawatan yang disandangnya, dengan bertindak untuk bersekongkol dengan menteri.

Dakwanya, menteri bertanggungjawab terhadap perihal undang-undang sudah mengelirukan Dewan Rakyat apabila memberikan gambaran tidak tepat berhubung status Ordinan Darurat yang bakal mencetuskan 'kesan domino' terhadap proses pendakwaan di mahkamah ketika ini.

"Lepas kita tilik, sudah pasti bahawa dia (Takiyuddin) tak boleh jawab sebab itu dia tak mahu jawab. Kalau ada standard decency (asas kesopanan), jawab saja bahawa Kabinet sudah putuskan tetapi masih dalam proses untuk dibawa ke perhatian Seri Paduka.

"Orang boleh terima begitu, bukan berselindung di sebalik Speaker, dengan menggunakan alasan Speaker tak bagi jawab, suruh jawab Isnin nanti," katanya.

Selepas diasak bertali arus, Azhar Azizan menjelaskan bahawa perincian mengenai status darurat dan ordinan berkaitan tidak akan 'lari' ke mana, justeru semua pihak wajar sabar menanti hingga Isnin.

Menerusi pendekatan itu, katanya, perjalanan mesyuarat khas yang diadakan rentetan pandemik COVID-19 tidak akan terganggu dan mampu diadakan mengikut jadual asal, iaitu hingga 2 Ogos ini.

"Perkara itu (pembatalan ordinan) tidak akan ke mana. Kena ikut AUM, soalan sudah dibangkitkan, Menteri Undang-Undang (Takiyuddin) kena jawab. Saya perintah jawab Isnin ini," katanya.

Tengku Razaleigh minta pindah kerusi ke blok Bebas

bharian.com
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi 
bhnews@bh.com.my
- Julai 27, 2021 @ 1:21pm

Tengku Razaleigh Hamzah. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah meminta supaya kedudukannya di Dewan Rakyat diletakkan di blok Bebas yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam satu surat makluman kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bertarikh semalam, vateran politik itu menyatakan tidak pernah menyokong atau bersama-sama dengan kerajaan yang ditubuh menggunakan nama kerajaan PN.

"Saya belum mengetahui sama ada anggota-anggota Dewan Rakyat lain daripada parti saya sudah berurusan dengan Yang di-Pertua mengenai tempat duduk mereka dalam Dewan Rakyat.

"Walau apa pun yang dilakukan oleh mereka ini, saya dengan sukahati mohon berpindah ke tempat lain yang sewajarnya, bersesuaian dengan semangat perjuangan Barisan Nasional (BN)/UMNO terutama sekali pengundi saya, ahli UMNO dan rakyat Malaysia supaya sedikit pun tidak boleh dianggap sebagai penyokong kerajaan gagal ini," jelas surat itu.

Salinan surat makluman itu juga diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung UMNO dan BN serta Penasihat dan Pengerusi Majlis Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC).

Sebelum ini, Razalegh menjelaskan beliau mengambil tindakan berkecuali daripada menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, namun menjelaskan masih kekal sebagai Ahli Parlimen UMNO.

Ketika undian Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hujung tahun lalu juga, beliau mengambil pendirian berkecuali dengan tidak hadir pada setiap sesi pengundian RUU berkenaan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-